MATB KeADILan Bahagian Jasin 31 Mac ini

InsyaAllah pada Sabtu (31 Mac 2007) ini keADILan Bahagian Jasin akan menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian (MATB), difahamkan antara kelompok bahagian terakhir yang menjalankan MATB pada tarikh akhir ini. Mesyuarat akan dimulakan sekitar 8.00 malam dan bakal dirasmikan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Bendahari Agung keADILan.

Sebelum itu juga akan diadakan satu Majlis bersama komuniti India di seluruh Jasin pada waktu petang di mana Datuk S. Nallakarupan akan menjadi tetamu kehormat majlis ini.

Kepada masyarakat setempat, kehadiran anda semua adalah sangat dialu-alukan.

Jangan Kita Lupa .. Deklarasi Permatang Pauh

Saya kira ramai yang semakin melupakan amanat perjuangan reformasi yang satu ketika menjadi pegangan dan anutan gerakan reformasi.saya terpanggil untuk kembali meningkatkan kembali pemahaman kita mengenai Deklarasi Permatang Pauh.

Moga bermanfaat buat kita,penjana gerakan reformasi!

Deklarasi Permatang Pauh
12 September 2008

Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “ tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami ” ;

Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat; Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula; Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:

Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;

Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;

Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;

Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;

Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;

Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;

Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.

Malaysiakini: Samy Vellu Diberi 7 Hari Lagi

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMPKR) hari ini memberi lanjutan tempoh tujuh hari lagi kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu untuk mendedahkan semua perjanjian konsesi lebuhraya seperti yang dijanjikannya.

Sebelum ini, pergerakan itu memberi tempoh seminggu, yang berakhir hari ini, kepada Presiden MIC itu untuk berbuat demikian. Perkara itu dinyatakan oleh Naib Ketua AMPKR, S Manikavasagam, selepas pemangku Ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin menyerahkan memorandum kepada Samy Vellu di pejabat menteri berkenaan di Kuala Lumpur pagi ini.

Katanya, jika menteri itu masih membisu, pihaknya akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat Samy Vellu.

“Saya minta beliau usah hanya pandai bercakap, kami mahu beliau mendedahkannya untuk pengetahuan orang ramai. Lihat AMPKR, apabila kami bercakap kami buktikan,” katanya.

Teruskan membaca “Malaysiakini: Samy Vellu Diberi 7 Hari Lagi”

AMK Sahut Cabaran Samy Vellu!

Memandangkan bacul Samy Vellu masih tidak surut,maka saya dan kepimpinan AMK mengambil keputusan yang tegas untuk menyahut cabaran beliau untuk mendedahkan harga Tol SMART dan juga menyerahkan Memorandum Desakan Rakyat kepada Samy Vellu. Esok, Selasa 20 Mac 2007 jam 11 pagi kami pimpinan AMK Pusat akan ‘berkunjung’ ke Kementerian Kerjaraya untuk sama-sama melakukan ‘kunjungan hormat’ ke atas Samy Vellu..

Harapnya beliau bersedia,bukan sekadar bersembunyi di balik pintu!

Boikot Atau Tidak?

pemergian mendiang Datuk Wira Poh Ah Tiam turut membawa signal yang pilihanraya kecil akan diadakan untuk mengisi kekosangan kerusi DUN Machap yang ditinggalkan oleh beliau.Rabu 21 Mac 2007 SPR akan mengisytiharkan tarikh penamaan calon & tarikh pilihanraya kecil (PRK) DUN Machap

DAP telah menegaskan yg tidak akan memboikot PRK ini, dalam erti kata lain, akan meletakkan calon memandangkan kerusi DUN Machap adalah kerusi tradisi DAP.

ada juga spekulasi yg menyatakan keADILan berminat bertanding di DUN Machap,pun begitu amsih belum diputuskan secara rasmi.Persoalannya kini,setelah kita melihat kepada inisiatif boikot PRK DUN Batu Talam, apakah perlu untuk kita teruskan boikot, atau memilih untuk bertempur demi rakyat kali ini?

Bantah Penahanan Tian Chua Di IPD Ampang Malam Ini!

Saya dimaklumkan yang Sdr Tian Chua, Ketua Penerangan KeADILan telah ditahan polis bersama sekumpulan aktivis dan penduduk tempatan yang turut sama membantah perobohan Kampung Berembang, Ampang hari ini.

Tambah mengejutkan yang Tian Chua juga didakwa atas tuduhan cubaan membunuh so bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan. apa yang melucukan, dakwaan itu dibuat hanya kerana Tian melanggar penghadang jalan yang disusun oleh pemaju,dan pemaju mendakwa yang Tian melakukan cubaan membunuh ke atas pemaju terbabit!!

Bersama-sama kita berkumpul di IPD Ampang Taman Dagang pada jam 8 malam ini untuk menyatakan sokongan kepada Tian dan bantahan ke atas tuduhan karut ini!

Memorandum Bantahan Kepada Perdana Menteri Malaysia

Pemuda Barisan Alternatif (BA), Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK) & Institut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) memandang serius pendedahan yang dibuat oleh Gerakan Demokrasi & Anti Korupsi (GERAK) pada 26 Februari 2007 yang lepas, di mana pendedahan tersebut berikut satu tuduhan serius yang membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Dato’ Seri Zulkipli Mat Noor.

Pendedahan yang dibuat hasil daripada satu laporan yang dibuat kepada mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar oleh pegawai kanan BPR sendiri, iaitu Mohamad Ramli Manan memberikan satu gambaran yang amat jelas betapa komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang menjadi anutan tadbirurus kerajaan iaitu untuk menghapuskan amalan rasuah dan birokrasi kian terhakis. Dalam keadaan pelbagai kemelut pentadbiran yang dibelenggu permasalahan rasuah dan etika pentadbiran melingkari pentadbiran kerajaan hari ini, pendedahan terbaru oleh GERAK ini adalah ibarat menambah bebanan kerajaan untuk terus memperbetulkan keadaan yang kian parah dan jelek, sekaligus memalitkan imej dan akauntabiliti kerajaan yang gah dengan slogan akauntabiliti dan prinsip Islam Hadhari.

Ini ditambah lagi dengan pendedahan terbaru mengenai salah laku yang membabitkan Timbalan Menteri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, iaitu Datuk Mohd Johari Baharum yang didakwa menerima sogokan lebih daripada RM5 Juta sebagai habuan untuk membebaskan beberapa penjenayah yang terlibat dengan beberapa jenayah berat. 3 kes yang didakwa ke atas Johari adalah:

i. Di dakwa berlaku pada Januari tahun ini apabila Johari dituduh mengarahkan pembebasan seorang ketua penjenayah di Perak, yang mana ketua penjenayah ini adalah merupakan adik kepada seorang lagi Timbalan Menteri;

ii. Mengeluarkan arahan pembebasan oleh seorang suspek yang disabit atas perjudian haram di Sabah pada bulan Februari lepas. Pendedahan yang dibuat oleh freewebs.com mendakwa Johari dirasuah RM3 juta untuk mengeluarkan arahan tersebut; dan

iii. Jaminan pembebasan seorang ketua penjenayah di Perak selepas penjenayah terbabit menyelesaikan dengan Johari dengan sejumlah wang tidak kurang daripada RM2.5 juta.

Teruskan membaca “Memorandum Bantahan Kepada Perdana Menteri Malaysia”

Angkatan Muda Minta Samy Jawab!

Berhubung dengan laporan berita mengenai soalan wartawan terhadap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu semalam, Angkatan Muda KeADILan Malaysia berpendapat bahawa menteri itu tidak menjawab persoalan penting yang yang diutarakan oleh Angkatan Muda semasa mendedahkan perjanjian konsessi diantara Smart dan Kerajaan Malaysia berhubung dengan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Sungei Besi dan Bandaraya.

Antara persoalan yang lebih penting dalam memperkatakan isu ini ialah:
1.    Samy Vellu tidak bersikap terus terang dalam memperkatakan mengenai kadar tol.
2.    Mengapa kadar tol yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut terlalu tinggi.
3.    Salah pengiraan mengenai volum kesesakan seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian.
4.    Kerajaan boleh meperolehi balik pelaburan kos pembinaan lebuh raya pada tahun 2023. Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat konsesi (Smart) ialah RM5 billion.

Pengisian pendedahan tersebut boleh didapati daripada laman web rasmi keADILan di http://www.keadilanrakyat.org.

Angkatan Muda mendesak agar Kerajaan menggubal Akta Kebebasan Media secepat mungkin supaya ketelusan dalam maklumat yang berhubung dengan kepentingan rakyat dapat diketahui umum.

Maklumat yang didedahkan oleh Angkatan Muda pada 1hb Mac lalu melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan inidividu.

Angkatan Muda juga merasa amat kecewa dengan cara jawapan yang keluar daripada seorang Menteri yang berkata, “ pergi jahanam dengan mereka ini.”

Kami berpendapat kata-kata sedemikian tidak sepatutnya datang dari seorang menteri tetapi daripada seorang ‘dracula’ dan tidak mirip seperti seorang Menteri Kabinet.

Kami menasihati agar Samy Vellu mengikuti kempen “Jiwai Bahasa” yang dijalankan oleh Kementerian kesenian dan Warisan (KeKKwa).

Apa yang dilakukan oleh Angkatan Muda tempoh hari (dalam mendedahkan perjanjian konsessi) adalah sebahagian daripada khidmat kepada rakyat kerana ianya memberi kesan langsung kepada rakyat.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Pemangku Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Bantah Ketua Pengarah BPR – Bersama Ramaikan Perarakan Selasa Ini!

Isu penyalahgunaan kuasa Ketua Pengarah BPR, Dato Seri Zulkifli Mohd Noor sudah menjadi satu lagi bahan bualan rakyat kebelakangan ini. Apalah nasib kita rakyat Malaysia sekarang ini,di saat PM Abdullah Ahmad Badawi menegaskan yang pencegahan rasuah adalah antara mauduk utama yang menjadi teras kepimpinan beliau,orang yang diharapkan memacu usaha itu pula dipalit masalah yang sama!

Atas kapasiti sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab,maka satu perarakan untuk menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Putrajaya akan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat, Angkatan Muda KeADILan Malaysia, dan Gerakan Demokrasi & Anti Korupsi (GERAK) pada Selasa, 6 Mac 2007. Perarakan ini akan diketuai oleh saya,YB Salahuddin Ayub Ketua DPP Pusat dan juga Sdr Ezam Mohd Nor selaku Pengerusi GERAK.

Bagi pihak penganjur,saya menyeru agar rakyat Malaysia yang prihatin dari segenap lapisan masyarakat untuk turut serta menyatakan sokongan ke atas bantahan ini. Sesungguhnya kita tidak boleh redha Malaysia terus bergelut dengan rasuah yang kelak mencemarkan masa depan kita dan juga generasi akan datang, apatah lagi di saat Slogan Anti Rasuah ini dicanang dan dinobatkan oleh kelompok manusia yang menjunjung falsafah Islam Hadhari!