Angkatan Muda KeADILan hari ini mendedahkan butir-butir perjanjian konsesi tol yang ditandatangani dengan SMART Sdn Bhd yang melibatkan terowong dan jalan raya antara pangkalan udara TUDM dan bulatan Kg. Pandan.
Butir-butir perjanjian menunjukkan secara jelas bahawa kerajaan meletakkan beban yang berat ke atas rakyat demi keuntungan besar bagi SMART Sdn Bhd.
Mengikut perjanjian, kadar tol akan bermula dengan RM 2.00 dan akan naik sebanyak RM 1.00 setiap lima tahun hingga 2030.
Kadar tol yang mendadak ini dijustifikasikan mengikut data yang dimanipulasi untuk memberi lebih keuntungan yang mendadak kepada SMART Sdn Bhd. Pertama, anggaran jumlah trafik adalah berdasarkan data yang diperolehi oleh jalan raya antara KLIA dan Lebuhraya KESAS. Anggaran ini tidak tepat sama sekali, kerana trafik di kawasan Sungai Besi adalah jauh lebih banyak daripada trafik antara KLIA dan KESAS. Anggaran yang tidak tepat ini akan mengakibatkan kadar tol yang melebih bagi rakyat biasa.
Keduanya, anggaran jumlah trafik yang terkandung dalam perjanjian naik setiap tahun, tetapi hanya sehingga 2022; selepas 2022, anggaran jumlah trafik berhenti di 40 juta. Bagaimanakah jumlah trafik boleh naik setiap tahun tetapi berhenti tepat pada tahun 2022?
Kesimpulan harus dilakukan bahawa anggaran jumlah trafik tidak naik selepas tahun 2022 supaya kenaikan kadar tol yang mendadak dan membebankan rakyat secara berketerlaluan boleh dijustifikasikan dan diteruskan.
Perjanjian tol ini juga tidak adil kerana walaupun SMART Sdn Bhd berbelanja RM 0.6 billion untuk membina terowong tersebut, kerajaan membelanjakan RM 1.3 billion. Oleh itu, sebahagian besar daripada pendapatan yang diperolehi oleh pengutipan tol harus disalurkan kepada kerajaan dan rakyat, dan bukan kepada SMART Sdn Bhd, seperti yang dibenarkan oleh perjanjian.
Walaupun kerajaan telah nyatakan bahawa kadar tol masih dibahas, sebenarnya, perjanjian tol ini ditandatangani pada tahun 2004 dan sememangnya sudah mengikat di sisi undang-undang. Oleh itu, sudah jelas bahawa kerajaan telah bersubahat dengan SMART Sdn Bhd untuk menjanakan keuntungan yang melebih dengan membebankan rakyat dengan kadar tol yang teruk dan melebih.