RM 5 juta Untuk Lompat Masuk BN


Dari Malaysiakini

27 Jun 2012

MP PKR: Saya ditawarkan RM5j untuk sertai BN

Ahli Parlimen PKR Indera Mahkota, Azan Ismail mendakwa beliau telah ditawarkan lebih RM5 juta untuk lompat parti menyertai BN pada tahun 2010.

Beliau bagaimanapun, tidak mahu mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

Azan memberitahu pemberita hari ini bahawa ia berlaku pada 27 Januari 2010 di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur di mana “ejen terbabit telah mengatur satu siri pertemuan”.

Beliau mendakwa, mereka mewakili seorang pemimpin yang sangat dihormati, yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad berkata Azan adalah “saksi utama” untuk membuktikan bahawa sememangnya ada operasi rahsia untuk memujuk ahli parlimen PKR melompat parti.


— Malaysiakini

Ops 20/20: Konspirasi Menjamin Kemenangan Aspirasi di P’Raya Kampus?


Dari Malaysiakini

22 Jun 2012

Pelajar: Opps 20/20 jamin kemenangan Aspirasi

Kumpulan pelajar anti-establishment telah mendedahkan lebih banyak butiran mengenai satu dakwaan pertemuan pemimpin Umno, pembantu menteri, agensi kerajaan dan pegawai polis pada Januari 2011 untuk menjamin kemenangan kumpulan pro-establishment dalam pilihan raya kampus tahun ini.

Pertemuan itu dikatakan sebahagian daripada operasi yang dinamakan ‘menyelaras pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar di institusi pengajian tinggi awam’ yang pertamakali didedahkan oleh Pro-Mahasiswa Nasional (PMN) pada 23 Mei.

Ia juga dikenali sebagai ‘Opps 20/20’, yang dikatakan merujuk kepada objektif memastikan kumpulan Aspirasi yang pro-kerajaan menyapu bersih pilihan raya kampus.

PMN mendakwa BN bercadang untuk “mengawal” institusi pengajian tinggi untuk survival politik mereka menjelang pilihan raya umum akan datang.

Selepas gagal untuk mendapatkan penjelasan yang memuaskan daripada kerajaan selepas pendedahan tersebut, PMN bersama sebuah lagi kumpulan pelajar – Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) – semalam mendedahkan satu salinan yang didakwa minit mesyuarat Opps 20/20 yang diadakan pada 25 Januari 2011, di Akademi Kenegaraan – sebuah pusat latihan yang dikendalikan oleh Biro Tata Negara (BTN) di Kuala Lumpur.

Menurut ‘minit’ tersebut, 21 individu, termasuk pemimpin tinggi Pemuda dan Puteri Umno, pembantu menteri, pegawai kanan Kementerian Pengajian Tinggi, BTN dan pegawai kanan polis dari Bukit Aman, telah disenaraikan sebagai terlibat dalam operasi ini.

Antara mereka ialah Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim yang juga ketua biro pengajian tinggi pergerakan itu, exco Pemuda Umno Tun Faisal Ismail Aziz, exco Puteri Umno Serlwani Sabtu, setiausaha politik menteri pendidikan tinggi Mohammad Khairi A Malik, ketua cawangan khas Bukit Aman Mohd Sofian Makinuddin dan Irmohizam Ibrahim dari BTN, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Razali direkodkan sebagai berkata – ketika berucap di mesyuarat itu – bahawa Opps 20/20 adalah perang psikologi dan sokongan dari semua yang terlibat, dan akan menjadi cermin pilihan raya umum ke-13.

Menurut ‘minit’ tersebut, keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu juga dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.


— Malaysiakini

*Bukti bergambar akan menyusul…

Keahlian KPF Isa Samad Dibekukan!


Dari Malaysiakini

19 Jun 2012

Mahkamah beku sementara keahlian Isa dalam KPF

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah membekukan sementara pelantikan Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan keahliannya dalam koperasi tersebut.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim berkata terdapat merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dan sebagai pengerusi KPF.

Hakim Datuk Abang Iskandar juga menolak semua bantahan awal yang dibangkitkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, kata peguam peneroka berkenaan, Mohamed Hanipa Maidin kepada pemberita.

Oleh itu, keputusan dalam kamar hari ini membenarkan pembekuan sementara terhadap keahlian Isa dalam KPF dan kedudukannya sebagai pengerusi.

“Jadi ada mesyuarat esok dan Isa tak boleh hadir,” kata Hanipa kepada pemberita selepas muncul dari kamar hakim.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Hanipa Maidin mewakili pemohon Abdul Talib Ali, Abdul Mubin Abdul Rahman, Abdul Razak Mohammad dan Muhamad Noor Atan manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili responden iaitu Panel Pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SKM, dan KPF.

Katanya, mahkamah juga membenarkan permohonan pemohon untuk mendapatkan perintah sementara bagi menggantung status keanggotaan dan pemilihan Mohd Isa dalam KPF di bawah Seksyen 36(1)(b) Undang-Undang Kecil KPF, bagi tujuan pengesahan mesyuarat agung perwakilan KPF yang akan diadakan pada 20 Jun ini dan juga sehingga keputusan penuh semakan kehakiman.

Hanipa berkata antara alasan yang dikemukakan Pejabat Peguam Negara itu ialah peneroka Felda bukanlah pihak yang terjejas dengan keputusan responden dan mereka juga tidak ada ‘locus standi’ untuk menfailkan saman itu dan isu itu bukan melibatkan undang-undang awam.

“Tarikh untuk pendengaran penuh semakan kehakiman belum ditetapkan oleh mahkamah,” katanya.

Pada 12 Jun lepas, keempat-empat peneroka itu menfailkan permohonan itu bagi memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama dan kedua iaitu Panel Pertikaian SKM, SKM, bertarikh 23 Mei lepas, yang mengekalkan keanggotaan Mohd Isa adalah tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.

Mereka juga memohon mahkamah membatalkan keputusan itu dan perintah ‘mandamus’ supaya KPF membatalkan keanggotaan Mohd Isa dalam KPF.

Mereka juga memohon perintah sementara bagi menggantung status keanggotaan dan pemilihan Mohd Isa dalam KPF.

Pemohon mendakwa berdasarkan Peraturan 11(1)(c) yang dibaca bersama Peraturan 2 Undang-Undang Kecil KPF, Mohd Isa tidak layak menganggotai KPF kerana beliau bukan kakitangan yang dilantik secara tetap oleh Felda.

Mereka berkata Mohd Isa adalah pengerusi Felda yang dilantik secara kontrak dan seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan.


— The Malaysiakini

Saari Sungip Sahkan Seksaan Ala Guantanamo di Kamunting


Dari Keadilan Daily

19 Jun 2012

Saari Sungip sahkan seksaan ISA ala Guantanamo

KUALA LUMPUR 19 Jun: Bekas tahanan, Saari Sungip mengesahkan wujud pelbagai deraan mental dan fizikal sepanjang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk dibogel dan kemaluan dijolok dengan kayu serta seksaan lain.

Bercakap kepada Keadilan Daily, beliau menyalahkan polis atasan kerana menerapkan anggota bawahan dengan pendekatan deraan menyerupai ala Guantanamo terhadap tahanan yang belum dibuktikan bersalah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang itu berkata, banyak ketidakadilan berlaku, antaranya dihalang bertemu ahli keluarga dan tidak dibenar berjumpa peguam.

“Tahanan tidak boleh hubungi sesiapa termasuk peguam dan keluarga selama 60 hari. Pada 90 hari pertama, tahanan diasing dalam sel berbeza.

“Selepas 60 hari, baru dapat jumpa keluarga, itupun dipantau. Langsung tiada akses kepada peguam melainkan keluarga buat kenyataan bertulis mohon peguam dibenar melawat.

“Apabila dibebas pula, tahanan disyarat hanya boleh ‘buka cerita’ selepas setahun,” katanya menceritakan pengalamannya mengulas nota penyeksaan yang diseludup keluar dari Kem Kamunting.

Saari berkata, kezaliman ISA terserlah apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ditumbuk hingga matanya lebam.

Beliau menyeru lebih ramai peguam tampil memberi pandangan dan sokongan kepada bekas tahanan untuk memberi kekuatan kepada mereka supaya bercerita pengalaman ngeri ditahan ISA.

“Kesan seksaan memerlukan kekuatan untuk pulih dari trauma. Bukan mudah mahu ceritakan pengalaman,” katanya yang mencatat penderitaannya dalam buku secara bersiri “Suara Dari Kamunting” dan “Siri Mansuhkan ISA.”

Beliau ditahan ISA kali pertama pada 12 Oktober 1998 dan kali kedua, 10 April 2001.

Nota penyeksaan yang memperinci seksaan ala Guantanamo terhadap 45 tahanan yang masih dikurung di pusat tahanan di Taiping, Perak terbongkar.

Nota tanpa tarikh itu diseludup keluar dari kem tahanan ISA di Kamunting oleh kakitangan kem dan diserah kepada Malaysiakini.

Seksaan itu berlaku, ketika proses soal siasat semasa individu berkenaan ditahan di satu pusat tahanan reman, sebelum dipindahkan ke Kamunting.

Antaranya mangsa dipaksa menanggalkan pakaian dan hanya memakai pakaian dalam dan “digantung terbalik” daripada satu “mesin” yang bergerak mengelilingi satu “bilik penyeksaan khas yang disyaki terletak di Bukit Aman”.

Selain itu, minyak panas dilumur ke kemaluan mangsa dan mencucuh kemaluan dengan api rokok.


— Keadilan Daily

Nota Haru Dari Kamunting: Penyeksaan Ala Gunatanamo!


Dari Malaysiakini

18 Jun 2012

Nota mengharukan dari Kamunting

“Nota penyeksaan” yang didakwa diseludup keluar dari kem tahanan ISA di Kamunting, menimbulkan persoalan berhubung kaedah soal siasat yang digunakan pihak berkuasa.

Nota berkenaan, didakwa diseludup keluar oleh kakitangan kem dan diserahkan kepada Malaysiakini, menyatakan dengan terperinci penyeksaan ala Guantanamo yang didakwa dialami oleh 45 orang tahanan yang masih dikurung di pusat tahanan di Taiping, Perak.

Tiada tarikh dinyatakan dalam nota berkenaan, namun insiden berkenaan didakwa berlaku ketika proses soal siasat ketika individu berkenaan ditahan di satu pusat tahanan reman, sebelum dipindahkan ke Kamunting.

Kandungan nota berkenaan tidak dapat disahkan secara bebas, namun dakwaan itu termasuk:

Dipaksa menanggalkan pakaian sehingga hanya memakai pakaian dalam, dan “digantung terbalik” daripada satu “mesin” yang bergerak mengelilingi satu “bilik penyeksaan khas yang disyaki terletak di Bukit Aman”
“Tiba-tiba mesin pun berhenti. Lantas, bertubi-tubi seluruh tubuhnya dipukul dengan objek tumpul (mungkin cota)”
“Apabila pukulan dihentikan, mesin itu pun kembali bergerak. Tidak berapa lama mesin itu dihentikan semula dan dia kembali dipukul teruk”
Minyak panas dilumurkan ke kemaluan
Mencabut bulu di badan, termasuk bulu kemaluan
Melumur pes cili ke badan, terutama ke kemaluan, dan “dipaksa membiarkan cili itu mengering pada badannya” untuk tempoh dua hingga tiga hari
Mencucuh kemaluan dengan api rokok
Dipaksa berbogel dan melakukan ketuk ketampi selama beberapa jam untuk tempoh sehingga 60 hari

Difahamkan, pasukan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ketika melawat kem berkenaan untuk memeriksa tahanan berkenaan, yang menjalankan mogok lapar, turut menerima set nota yang sama.

Pesuruhjaya Muhammad Sha’ani Abdullah berkata Suhakam kini sedang “membincangkan” kandungannya.


— Malaysiakini

UNISEL: Kerajaan Selangor Akan Bantu Mangsa Kezaliman Umno-BN


Dari Malaysiakini

7 Jun 2012

Beku PTPTN: Unisel cair aset bantu pelajar terbabit

Kerajaan Selangor memandang berat kesusahan yang dihadapi pelajar baru Universiti Selangor (Unisel) yang menurutnya teraniayai ekoran tindakan kerajaan persekutuan dan menteri pengajian tinggi membekukan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar di universiti tersebut.

“Sebagai tindakan jangka pendek, UNISEL akan menggunakan asetnya untuk membantu pelajar yang dalam kesukaran meneruskan pengajian.

“Aset ini merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan petang ini.

Kerajaan Selangor, katanya, telah selesai menyusun semula hutang tersebut di mana tanah seluas 500 ekar itu telah menjadi aset Unisel.

Khalid berkata, kerajaan negeri akan membantu Unisel mengapungkan hartanah tersebut di pasaran untuk mendapatkan wang tunai.

“Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil usaha ini. Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan BN membekukan PTPTN,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bantuan kewangan ini hanyalah berbentuk sementara sehingga penyelesaian konkrit dicapai.

“UNISEL akan memperincikan bantuan yang akan diberikan kepada pelajar-pelajar teraniayai ini dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan Selangor sangat kecewa dengan tindakan Kerajaan Persekutuan khususnya menteri pengajian tinggi yang mengaku bertanggungjawab mengarahkan pembekuan PTPTN kepada Unisel.

“Tindakan tidak bertanggungjawab dan membelakangi semangat Federalisme ini bukan sahaja menganiayai pelajar-pelajar baru, malah telah mengecewakan ibu bapa yang menaruh harapan tinggi terhadap anak-anak mereka,” katanya.

Khalid mendakwa Barisan Nasional telah menjadikan pelajar Unisel dan ibu bapa mereka yang sebahagian besarnya Melayu sebagai mangsa hanya kerana perbezaan dasar politik antara Kerajaan Selangor dan Pusat.

“Hal ini jelas menunjukkan BN sanggup melakukan apa sahaja untuk melaksanakan politik sempit mereka hatta menganiaya dan menggadai masa depan anak-anak muda di negara ini,” dakwanya.


— Malaysiakini

Jual rahsia negara: KEADILAN tuntut penjelasan Najib


Dari Keadilan Daily

6 Jun 2012

Jual rahsia negara: KEADILAN tuntut penjelasan Najib

PETALING JAYA 6 Jun: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab berkenaan penjualan rahsia pertahanan negara kepada syarikat pembina kapal Perancis, DCNS.

Menurutnya, selaku Menteri Pertahanan pada masa itu, Najib tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja dengan memilih untuk menutup kes tersebut.

“Saya mendesak Najib, supaya tidak mengambil mudah skandal penjualan rahsia pertahanan negara. Beliau harus tampil memberikan jawapan bagaimana rahsia tersebut boleh dijual oleh penasihat utama beliau sendiri.

“Tindakan menjual rahsia pertahanan negara ini adalah pengkhianatan pada tahap tertinggi mesti dijawab oleh Najib sendiri kerana ia berlaku semasa beliau memimpin Kementerian Pertahanan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Kata beliau, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, keselamatan negara bakal tergugat kerana rahsia yang menjadi aset tertinggi itu sudah terbongkar.

“Secara langsung, dengan terdedahnya strategi tersebut ia membuka ruang untuk memanipulasi kelemahan Scorpene. Tindakan ini membahayakan nyawa perajurit negara yang mengendalikan kapal selam Scorpene yang sudah beroperasi.

“Pendedahan ini menunjukkan bagaimana pimpinan Umno Barisan Nasional tidak teragak-agak untuk menggadaikan kemerdekaan dan keselamatan negara demi mengumpulkan kekayaan,” katanya.

Beliau turut mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dan mengheret ‘penjenayah’ itu ke muka pengadilan.

“Saya juga mendesak pihak berkuasa yang terbabit – PDRM, SPRM, ATM, memulakan siasatan segera untuk membawa yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Sekiranya, ATM tidak terlibat dalam penjualan maklumat strategik negara, maka saya mendesak pimpinan tertinggi ATM untuk membuat laporan polis dengan segera,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Rundingan Keselamatan (MRK) KEADILAN, Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab menyifatkan kejadian memalukan negara itu berlaku akibat pemusatan kuasa di tangan menteri.

“Pengaruh menteri dan lantikan politik serta pegawai bukan tentera terlalu besar boleh mendatangkan kesan buruk kepada strategi dan taktik pertahanan negara, apatah lagi ini bukanlah bidang kepakaran mereka.

“Ia mengesahkan pendapat ramai pimpinan angkatan tentera bahawa kuasa yang terlalu dipusatkan di tangan menteri dan pegawai bukan tentera perlu dikaji semula demi keselamatan negara,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan pengalamannya, bagi mengelakkan kejadian pengkhianatan ini berterusan, campur tangan menteri perlu dikaji semula.

“Salah satu perkara yang perlu dikaji serta merta ialah campur tangan dan kuasa menteri yang terlalu besar sehingga melunturkan pendapat panglima-panglima angkatan tentera.

“Ia juga merupakan satu perlanggaran keselamatan (security breach) yang akan membahayakan nyawa prajurit kita yang bertugas dengan operasi kapal selam Scorpene,” kata Abdul Hadi.


— Keadilan Daily

“Rais Yatim, Sila Adakan Debat Najib vs Anwar” – AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

5 Jun 2012

AMK mencabar Rais Yatim adakan Debat Perdana Najib vs Anwar

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mencabar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim untuk mengadakan Debat Bakal Perdana Menteri di antara Najib Tun Razak dan Anwar Ibrahim dengan gentleman serta berpandukan prinsip demokrasi yang asas.

Di samping mengesa Anwar Ibrahim untuk menunjukkan kepimpinan yang gentleman, mengapakan Rais Yatim tidak mendesak Najib Razak untuk berdebat? Bukankah berdebat itu adalah platform yang terbaik bagi rakyat menilai pandangan dan tawaran yang diberi oleh kedua-dua pemimpin?

Mengapakah sampai hari ini kedua-dua Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak mengutuk keganasan politik dan budaya samseng yang kian serius? Adakah UMNO/BN merestui budaya samseng tersebut diteruskan?

Kenyataan Rais Yatim yang menuduh Pakatan Rakyat akan menggunakan kekerasan termasuk demonstrasi bagi ambil alih pemerintahan dalam pilihanraya umum yang akan datang adalah tidak berasas serta berniat jahat. Beliau telah memutar-belitkan semangat kebangkitan rakyat Timur Tengah (Arab Spring) yang menolak pemerintahan yang zalim dan rasuah sama sebagai cara keganasan dan kekerasan untuk rampas kuasa.

Kejahilan Rais Yatim terhadap sistem demokrasi yang berasaskan badan kehakiman yang bebas, kebebasan media serta hak asasi manusia amat memalukan. Beliau perlu belajar semula tentang prinsip kebangkitan rakyat, demokrasi dan hak asasi manusia agar tidak diketawa.

AMK menegaskan bahawa Pakatan Rakyat memilih pilihanraya untuk mendapat sokongan rakyat dan membentuk kerajaan. Walaupun 12 kali pilihanraya umum telah diadakan di Malaysia, pihak pembangkang telah menerima hakikat dan menghormati keputusan rakyat dengan cara yang aman dan tenang. Dalam sejarah Malaysia, pembangkang tidak pernah mengadakan demonstrasi atau mewujudkan kacau-bilau untuk menggulingkan kerajaan.

Kenyataan pimpinan UMNO/BN yang sering menuduh Pakatan Rakyat dengan pelbagai fitnah adalah berunsur intimidasi serta mengalihkan fokus kelemahan dan penyelewengan pemerintahan yang sedia ada.

Oleh itu, AMK mendesak Perdana Menteri perlu menghentikan segala keganasan politik serta melaksanakan 8 tuntutan Bersih 2.0 untuk mengadakan satu pilihanraya yang bebas, adil dan bersih sebelum membubarkan parlimen.


Lee Khai Loon
Ketua Penerangan
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Sekatan Pinjaman PTPTN Untuk Unisel Bukti Umno BN Hukum Mahasiswa – AMK


Kenyataan Media
Angkatan Mda KEADILAN (AMK) Malaysia

6 Jun 2012

SEKATAN PENDANAAN PENGAJIAN TINGGI DI UNISEL SEBAGAI BUKTI KERAJAAN UMNO-BN MENGHUKUM MAHASISWA KERANA MENYOKONG DASAR PENDIDIKAN PERCUMA PAKATAN RAKYAT

Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia berasa kesal dengan tindakan PTPTN dan pentadbiran kerajaan BN yang menyekat pinjaman pengajian mahasiswa baru UNISEL seperti yang dilaporkan. Tindakan ini jelas menunjukan sikap zalim dan tidak profesional UMNO Barisan Nasional di dalam memberikan khidmat kepada mahasiswa dan anak muda.

Tindakan ini persis menghukum mahasiswa dan anak muda kerana menyokong dasar baru yang dibawa oleh Pakatan Rakyat dengan memperkenalkan pendidikan percuma dari pendidikan rendah hingga pengajian tinggi.

Jika benar slogan Dato Seri Najib Razak, ‘Rakyat Didahulukan’ seharusnya regim UMNO Barisan Nasional memikirkan langkah untuk mengukuhkan sistem pendanaan pengajian tinggi mahasiswa. Namun malang rakyat Malaysia kerana berlaku sebaliknya. BN dengan rakus menghukum sokongan mahasiswa ini dan menuding tanggugjawap pendidikan ini kepada kerajaan negeri.

Biro Mahasiswa ingin menegaskan bahawa, Malaysia adalah Negara yang menjunjung perlembagaan. Di dalam Jadual 9, senarai I perlembagaan Malaysia telah menetapkan bahawa pendidikan merupakan salah satu daripada tanggungjawap Kerajaan Persekutuan. Justeru adalah tidak adil untuk pihak BN selaku kerajaan persekutuan melapaskan tanggungjawap ini sewenang-wenangnya kepada kerajaan negeri.

Pihak kerajaan negari juga terpaksa menanggung beban dengan perlu membayar lebih RM 24 juta hasil perjanjian konsesi berat sebelah kerajaan negeri dan syarikat kroni sewaktu UMNO memegang pentadbiran Selangor.

Pihak Biro Mahasiswa ingin menegaskan bahawa tindakan zalim ini akan mengundang padah yang lebih besar dan meniup lagi kebangkitan Mahasiswa. Saya ingin menyeru dan mendesak pihak yang bertanggungjawap agar menimbang semula langkah dangkal yang dicadangkan untuk diambil dengan menyekat pinjaman kepada Mahasiswa atas alasan kerajaan BN tidak mampu menawarkan dasar pendidikan percuma yang memihak kepada rakyat.


Mohd Saifullah Mohd Zulkifli
Pengarah Biro Mahasiswa
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Scorpene: Lanjutan Akan Didedahkan di Bangkok


Dari Malaysiakini

29 Mei 2012

Scorpene: Maklumat lanjut akan didedah di Bangkok

Badan hak asasi manusia, Suaram, akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai samannya dalam kes Scorpene di Bangkok, Thailand esok, kerana peguamnya dari Perancis sehingga ini masih gagal mendapatkan kebenaran memasuki Malaysia.

Tidak pasti bila peguam Suaram dari Perancis, Joseph Breham akan diberi visa kerja untuk memasuki Malaysia, dan oleh itu, pemimpin NGO berkenaan memutuskan untuk menemuinya di Thailand.

Brehem dan pasukan Suaram yang diketuai pengarahnya Cynthia.

Gabriel dan peguamnya Fadiah Nadwa Fikri akan mengadakan sidang akhbar kemudiannya mengenai perkembangan baru dalam kes kapal selam Scorpene yang difailkan oleh badan hak asasi manusia di Paris.

Gabriel berkata ia akan diadakan di Kelab Wartawan Asing di Thailand untuk mendedahkan lagi butiran hasil siasatan awal pihak pendakwa serta perkembangan terbaru kes tersebut.

Breham sepatutnya melawat Malaysia minggu ini, tetapi permohonannya untuk mendapatkan visa kerja untuk memasuki negara, masih belum diluluskan pihak berkuasa Malaysia.

Berikutan itu beliau akan menemui pihak Suaran di Bangkok.


— Malaysiakini