Sidang Media AMK di Perak 22/02/2009

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

22 Feb 2009

SPRM LEMBU UMNO-BN!

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam keras tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertindak selektif mengumumkan bakal mendakwa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim atas tuduhan penyalahgunaan kuasa beliau dalam urusan penyelenggaraan kenderaan peribadi beliau dan juga pengagihan lembu korban oleh PKNS di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

Pengumuman yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Ahmad Said Hamdan jelas menunjukkan penyalahgunaan kuasa beliau yang secara terang menunjukkan pelanggaran Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan kuasa mendakwa hanya kepada Jabatan Peguam Negara.

Tindakan beliau juga kelihatan selari dengan usaha jahat dan terancang oleh Umno-BN yang mahu mengganggu gugat kestabilan kerajaan Negeri Selangor khususnya dalam keadaan tampuk pemerintahan negara bakal diambil alih oleh Najib Tun Razak.

AMK ingin mempersoalkan profesionalisme SPRM dalam mengendalikan siasatan kes-kes rasuah, khususnya yang dibuat oleh AMK sendiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Laporan membabitkan penyelewengan kes pembelian Eurocopter; kes rasuah mantan MB Selangor Khir Toyo; laporan penyelewengan wang kerajaan oleh Kementerian Belia dan Sukan seperti didedahkan oleh Laporan Audit Negara; laporan lesapnya wang kerajaan melalui anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu; laporan mengenai akuan bersumpah Ketua Bahagian keADILan Ipoh Barat, Fauzi Muda mengenai usaha Najib membeli ADUN-ADUN PR di Perak; laporan campurtangan PM yang didedahkan oleh Datuk Raymond Tan di dalam kes membabitkan Datuk Seri Yong Teck Lee; dan puluhan lagi laporan rasuah dan salahguna kuasa yang dikemukakan oleh AMK, kesemuanya dibakulsampahkan oleh SPRM.

Tindakan jijik ini pastinya tidak boleh menutup mata rakyat, dalam keadaan SPRM kini ibarat lembu dicucuk hidung oleh Umno-BN. Kehilangan berbillion-billion wang rakyat diabaikan, sebaliknya laporan yang tiada asas yang dikemukakan oleh Umno-BN melalui NGO-NGO yang pro-Umno didahulukan seolah-olah ia dosa yang telah terbukti besar.

AMK melihat SPRM sudah hilang nilai profesionalismenya. Justeru, AMK akan menggerakkan jentera AMK sepenuhnya untuk menerangkan kepada rakyat pencabulan kuasa dan hak yang dilakukan sewenangnya oleh Umno-BN melalui SPRM.

AMK juga akan melakukan ‘kunjungan hormat’ ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menghadiahkan beliau seekor lembu sebagai signifikan kepada peranan SPRM yang semakin tunduk di kawal Umno-BN.

AMK percaya bahawa rakyat tidak mudah diperbodohkan dengan siri-siri pembodohan rakyat yang sedang giat dilakukan oleh Umno-BN.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Kenyataan Media AMK Mengenai YB Elizabeth Wong : Perbandingan TV 3 Jahat

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin menyatakan sokongan kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Adun KeADILan Bukit Lanjan, YB Elizabeth Wong berikutan kontroversi yang melibatkan diri beliau.

Berkenaan dengan isu yang melibatkan Elizabeth ini, beliau tidak perlu meletak jawatan atas beberapa faktor. Pertamanya beliau bukan memperlakukan adegan lucah sebaliknya gambar beliau diambil secara curi dan tanpa kesedaran beliau.

Keduanya, kehidupan peribadi beliau adalah satu perkara yang perlu dihormati dan sebarang usaha pencabulan hak individu beliau adalah sesuatu yang tidak bermoral.

AMK memandang serius akan perbandingan yang cuba dibuat oleh pihak TV3 dalam Buletin Utama 17 Januari 2009 dengan mengaitkan kes Vijandran, Chua Soi Lek, V.K. Lingam dan sebagainya dengan kontroversi yang melibatkan Elizabeth ini.

Ianya benar-benar berniat jahat kerana kes-kes tersebut semuanya melibatkan perlakuan moral individu tersebut yang jelas salah di sisi agama dan juga tatasusila masyarakat.

Demikian juga dengan kenyataan tidak bertanggungjawab Ketua Pembangkang BN Selangor, Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo yang cuba memesongkan fakta yang berlaku ke atas bekas Menteri Kesihatan dengan Y.B Elizabeth. Beliau perlu maklum bahawa apa yang berlaku kepada bekas Menteri Kesihatan adalah sesuatu yang berbeza memandangkan pendedahan melibatkan bekas Menteri terbabit adalah merupakan skandal seks. Sedangkan apa yang berlaku ke atas Elizabeth adalah merupakan satu penganiayaan yang dilakukan ke atas beliau tanpa beliau sedar.

Tindakan Elizabeth menawarkan diri untuk meletakkan jawatan adalah tindakan terpuji kerana meletakkan parti di depan melebihi hal peribadi. Tetapi AMK percaya bahawa tidak ada keperluan bagi Elizabeth untuk mengundurkan diri kerana beliau tidak bersalah atas soal isu ini melibatkan peribadi beliau.

Sokongan rakyat jelas terbukti di Bukit Lanjan dan seluruh Malaysia terhadap Elizabeth, malah kebanyakan organisasi NGO dan sayap wanita parti-parti politik termasuklah di kalangan parti komponen BN seperti MCA sendiri.

AMK berpendapat bahawa Elizabeth perlu meneruskan tugas beliau seperti biasa dan terus berkhidmat kerana rakyat memerlukan beliau dan berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau sepanjang 11 bulan beliau menjadi ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Hj Ramlan Roes
Exco,
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Merangkap Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan

Malam Amal Gaza-Palestin

Madani Gaza

Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar akan menghadiri Malam Amal Madani Gaza-Palestin yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff di Kompleks Sukan Balik Pulau, pada 31 Januari ini jam 8 malam.

Program berkenaan akan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Fairus Khairuddin serta pidato madani akan disampaikan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Khalid Jaafar.

Malam Amal Madani ini juga akan diserikan dengan penampilan istimewa dari penyanyi Yasin dan rakanya.

Seluruh rakyat dijemput hadir!
Pejabat Ketua AMK Malaysia

AMK Bidas Penahanan Ketua AMK Terengganu

5 Januari 2009

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin melahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak polis yang menahan Ketua AMK Terengganu, Sdr Fariz Musa dan lima lagi ahli Skuad AMK Terengganu yang sedang menampal poster di sekitar bandar Kuala Terengganu, awal pagi tadi.

Penahanan Fariz yang juga Tmbalan Ketua AMK Pusat jelas merupakan satu bentuk intimidasi awal oleh BN yang memanipulasi pihak polis untuk mengekang kempen yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat.

Apa yang menghairankan ialah,apakah aktiviti penampalan poster boleh dikaitkan sebagai satu hasutan yang boleh membawa kepada kemudaratan awam? Apakah calon BN, yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab kepada pengurusan polis bertindak menggunakan kuasa di saat-saat akhir beliau menjawat jawatan berkenaan sebelum beliau melepaskan jawatan untuk dinamakan sebagai calon PRK Kuala Terengganu esok?

AMK difahamkan bahawa yang menjadi isu ialah poster yang ditampal memaparkan gambar mendiang Altantuya Shaaribuu.Persoalan timbul apakah masalah yang dihadapi dengan paparan gambar mendiang Altantuya jika ia tidak mensabitkan mana-mana pihak berkenaan?

AMK mempersoalkan apakah Najib Tun Razak berasa gusar dengan penampalan poster berkenaan berikutan beliau akan hadir ke penamaan calon di Kuala Terengganu? Seharusnya Najib tidak perlu gusar jika beliau benar-benar tidak terlibat mahupun mengenali mendiang Altantuya sebagaimana yang pernah disumpahkan beliau sewaktu Pilihanraya Kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008 lepas.

AMK dengan ini mendesak agar pihak polis memberikan justifikasi terperinci berkenaan penahanan sdr Fariz dan ahli Skuad AMK dan menggesa mereka dibebaskan pada kadar segera.

AMK juga ingin memberi peringatan kepada Umno-BN agar mereka tidak menyalahgunakan jentera dan instrumen kerajaan termasuklah pihak polis untuk memastikan kemenangan mereka pada 17 Januari kelak. Rakyat tidak mudah diperbodohkan dengan siri intimidasi yang kelak akan menjerat leher Umno-BN sendiri.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Israel Yang Bacul

AMK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang ternyata biadap dengan melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza.

Kebaculan Israel terserlah apabila mereka menjamin serangan ke atas Gaza akan berlarutan selama beberapa ketika lagi. Tambah mengecewakan apabila serangan dibuat tatkala umat Islam sedunia sedang meraikan kedatangan Tahun Baru Hijrah.

Serangan ini membuktikan bahawa Israel yang merupakan sekutu rapat George Bush akan terus memanipulasi keadaan dengan melancarkan keganasan tanpa mengambil kira faktor kemanusiaan.

AMK ingin menggesa agar Presiden Dipilih Amerika Syarikat Barack Obama memainkan peranan yang konstruktif pada kadar segera agar beliau tidak dilihat bakal meneruskan legasi Bush yang terpalit dengan jenayah kemanusiaan yang sangat parah.

AMK mendesak PM Abdullah selaku Perdana Menteri untuk memanggil Sidang Dewan Rakyat tergempar bagi mendapat sokongan kedua pihak kerajaan dan pembangkang bagi sama-sama meluluskan usul mengutuk serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Sempadan politik tidak harus dijadikan alasan untuk kerajaan menolak inisiatif kecil ini demi memperlihatkan kepekaan kita kepada nasib umat Islam yang kian tertindas dek kezaliman Israel.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

AMK akan bersama mengusahakan struktur formal Pemuda Pakatan Rakyat

Kenyataan Media

Angkatan Muda Keadilan Malaysia

22 November 2008

Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan bersama mengusahakan struktur formal Pemuda Pakatan Rakyat.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyambut baik pandangan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) akan kepentingan penubuhan struktur rasmi Pemuda Pakatan Rakyat di peringkat nasional dan negeri. Ini selari dengan ketetapan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan pada 28 November 2008 lalu yang mahu hubungan antara organisasi pemuda parti-parti Pakatan Rakyat diperkukuhkan.

Kerjasama dan dialog yang erat telah sedia wujud sebelum ini di antara organisasi pemuda parti-parti Barisan Alternatif. Hubungan yang sama diteruskan antara Angkatan Muda Keadilan dan Dewan Pemuda PAS (DPPP). Malah menjelang Pilihanraya Umum Kedua belas, satu dokumen bersama telah dilancarkan. Dokumen yang dinamakan Harapan Anak Muda Malaysia itu telah menggariskan jatidiri anak muda Malaysia dan harapan perubahan yang didokong bersama.
Teruskan membaca “AMK akan bersama mengusahakan struktur formal Pemuda Pakatan Rakyat”