Laporan Polis Putrajaya Repot 2688/10 terhadap PM Najib dan Khairy Jamaludin berkenaan APCO

Saya membuat laporan ini agar pihak polis dapat melakukan satu siasatan terperinci terhadap Ahli Parlimen Pekan, Pahang yang juga Perdana Menteri Malaysia, Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Rembau, Negeri Sembilan masing-masing yang bernama Dato’ Sri Najib Tun Razak dan Khairy Bin Jamaludin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia mengenai satu perjanjian diantara Kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worldwide Sdn. Bhd. yang beralamat berdaftar di Level 21 – Suite 21.01, The Garden South Tower, Mid Valley City, Lingkaran Syed Putra, 59200 Kuala Lumpur bagi satu perjanjian perkhidmatan iaitu “…to provide services public relations, daily managements and goverments relations outreach for Government in United States…” dimana dokumen perjanjian tersebut telah dimeterai pada 4 Ogos 2009. Sesalinan perjanjian yang dimaksudkan adalah dilampirkan. Sesalinan Letter Of Acceptance yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri bertarikh 15 Julai 2009 juga dilampirkan.

Saya sesungguhnya percaya bahawa syarikat APCO Worldwide yang dirujuk di atas merupakan satu syarikat yang mempunyai kaitan dengan Kerajaan Israel iaitu satu kerajaan yang diketahui dunia telah banyak menindas orang-orang Islam di Palestin. Saya juga percaya bahawa dengan wujudnya hubungan secara kontrak di antara Kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worldwide, isu keselamatan negara Malaysia adalah diragui memandangkan hubungan syarikat APCO Worldwide tersebut dengn Kerajaan Israel. Saya selaku rakyat Malaysia amat bimbang sekiranya Kerajaan Malaysia sama ada secara langsung atau tidak langsung akan memberikan maklumat-maklumat sulit terutamanya yang berkaitan dengan isu keselamatan negara kepada syarikat APCO Worldwide sepanjang tempoh kontrak dimeterai. Bersama ini dilampirkan juga sesalinan perjanjian yang membuktikan hubungan Kerajaan Israel dan syarikat APCO Worldwide sebagai rujukan.

Sehubungan itu, saya memohon supaya satu siasatan terperinci di adakan terhadap Dato’ Sri Najib Razak dan Khairy Bin Jamaludin di atas tindakan mereka bermati-matian mempertahankn perjanjian di antara Kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worldwide Sdn. Bhd. seperti di salinan perjanjian yang dikemukakan. Tindakan kedua-dua individu terbabit menunjukkan seolah-olah isu keselamatan negara ini adalah tidak begitu penting sekali pun isu keselamatan negara secara tidak langsung akan diperolehi oleh Kerajaan Israel melalui perjanjian yang telah dimeterai tersebut. Saya juga memohon supaya satu siasatan dibuat bagi memastikan apakah tujuan sebenar kedua-dua individu terbabit di dalam mempertahankan kontrak yang dimeterai dan apakah “interest” kedua-dua individu tersebut di dalam perjanjian yang telah dimeterai.

Sekian laporan saya

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Laporan Polis Terhadap PM Najib dan Khairy Jamaluddin berkenaan perlantikan syarikat milik Zionis, APCO

Pemuda Pakatan Rakyat akan membuat satu laporan polis terhadap PM Najib Tun Razak dan Khairy Jamaluddin berkaitan dengan perlantikan syarikat perunding komunikasi yang didokong oleh Zionis iaitu APCO Worldwide. Perlantikan syarikat ini dikhuatiri akan mendedahkan segala maklumat sulit berkaitan dengan keselamatan negara (national security) kepada negara asing seperti Israel. Laporan polis akan dipimpin oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin. Maklumat program adalah seperti berikut:

Tempat : IPD Dang Wangi (di sebelah stadium)
Masa : jam 11 pagi
Tarikh : 6 April 2010 (Selasa)

Semua rakyat Malaysia termasuk wakil-wakil media dijemput untuk hadir bersama.

Pejabat Ketua AMK

Khairy Bermatian Pertahan Apco Kerana Kawan Baik Omar Mustapha Ong?

Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR 30 Mac – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap dakwaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang cuba menggaitkan beliau dengan pegawai tinggi Apco Worldwide sebagai satu usaha mengalihkan persoalan sebenar yang membabitkan keselamatan negara.

Sambil menyifatkan dakwaan Khairy sebagai sebagai tidak berasas, Anwar turut mempersoalkan tindakan Khairy yang cuba melarikan diri daripada berbincang perkara pokok berhubung Apco.

“Saya kenal Khairy, saya juga kenal Najib, saya kenal Muhyiddin, jadi isunya apa?

“Isunya sekarang Apco memainkan peranan dalam kerajaan Malaysia dan pimpinan kerajaan Malaysia. Soal saya hadir dalam persidangan dengan orang Israel sebanarnya ramai juga hadir dalam persidangan termasuk dengan tokoh ulama Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, begitu juga saya hadir dalam persidangan persatuan Hindu, Kristian dan sebagainya, itu bukan isu.

“Isunya sekarang Khairy cuba nak lari daripada isu penglibatan dia dan Omar Mustapha Ong  dengan syarikat Ethos yang boleh  menjejaskan keselamatan negara.

“Soal siapa kenal siapa tak penting kerana yang menjadi persoalan utamanya adalah menggunakan kepakaran Israel yang mendedahkan rahsia keselamatan dan strategi negara kepada bahaya.

“Tiada negara yang berbuat demikian melainkan anda sangat terdesak,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi.

Khairy dan Omar Mustapha Ong dikatakan mempunyai hubungan persahabatan yang rapat.

Anwar turut mempersoalkan tindakan Khairy yang selama ini bertanggungjawab menjadi wakil ‘jurucakap’ mempertahankan tindakan bagi pihak Apco di Parlimen.

“Kenapa Khairy bertanggungjawab menjawab kepada pihak Apco. Ini sangat meragukan. Anda merujuk kepada soal keselamatan negara dan Perdana Menteri yang sepatutnya jawab isu ini. Khairy bukan sebahagian daripada kerajaan, dia hanya Ketua Pemuda Umno. Saya minta kerajaan beri penjelasan bukan dia, kenapa dia beriya sangat nak pertahankan Apco?,” katanya.

Beliau turut menyelar dakwaan fitnah Khairy yang mengatakan ini hanyalah cubaannya untuk mengalih pandangan rakyat kepada krisis parti KEADILAN yang kini dikatakan bermasalah.

“Bukan saya yang minta dan mengarahkan untuk membuka isu ini. Saya diarah oleh Speaker. Jika saya tolak untuk jawab saya akan didakwa. Ini bukan nak alih pandangan, ini helah kerajaan nak tekan saya tapi saya bangkit dan kemukakan fakta mengenai perisikan tentera Israel dalam seluruh jentera kita disini.

Mereka ingat saya tidak ada bahan tapi mereka silap besar,” katanya,” tegas Ketua Pembangkang itu.

Anwar juga menggesa supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara dan mampu mengeruhkan hubungan dengan negara Islam lain.

“Pemimpin Pakatan Rakyat yang lain mencapai kata sepakat agar usul menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan dan kita akan kemukakan usul itu kemudian,” katanya.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Agen Israel Dalam Sistem Komunikasi PDRM

http://chegubard.blogspot.com

Keseluruhan tender pembinaan sistem komunikasi yang akan ditukar dari analog kepada digital telah pun diserahkan secara rasmi kepada Asiasoft (M) Sdn. Bhd. (no. Syarikat : 150529-H).

Syarikat ini adalah milik penuh kepada syarikat tunggalnya iaitu Asiasoft Pte. Ltd. Yang berpengkalan di Singapura. Nilai penuh tender yang diberikan kerajaan Malaysia ialah RM1 billion tetapi dikecilkan menjadi RM42 juta.

Apa yang mencurigakan ramai penyelidik ialah ‘individu’ yang bertanggungjawab membina sistem itu. Individu tersebut dikenalpasti sebagai bekas tentera Israel yang berkhidmat sebagai programmer semasa di Israel.

Programmer yang bernama Izhak David Naskar yang memegang pasport Israel bernombor 10902695 itu masih lagi warganegara Israel. Jadi, bolehkah kita menganggap ini suatu kebetulan?

Paling membimbangkan ialah Izhak bukanlah tentera atau programmer biasa, beliau adalah ‘pakar’ sistem komputer yang telah memenangi anugerah daripada Kementerian Pertahanan Israel. Malah beliau juga bertanggungjawab membina sistem risikan berteknologi tinggi untuk pasukan pertahanan Israel sekitar 1970 hingga 1987.

Seorang lagi rakan Izhak yang bertanggungjawab membina sistem komunikasi PDRM ialah Ido Sccheschter yang memegang pasport Israel bernombor 56626252. Ido pula lebih mencurigakan kerana selaku ahli pasukan yang bertanggungjawab membina sistem komunikasi untuk PDRM bersama-sama Izhak, hingga saat ini beliau masih lagi seorang tentera Israel yang sah bukannya tentera pencen.

Apakah yang menyebabkan PDRM mengambil orang-orang Israel ini? Adakah kerana terdesak atau didesak?

Bukankah lebih baik jika melantik programmer-programmer dari kementerian pertahanan Iran yang sememangnya lebih pakar dari Israel.

Sumber: Harakahdaily

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

PR Cadang Lapor APCO Kepada Raja-Raja Melayu

Fazli Othman

KUALA LUMPUR 22 Mac – Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mencadangkan supaya Pakatan Rakyat menghantar memorandum khas kepada Raja-Raja Melayu berkaitan syarikat APCO Worldwide dan penglibatan mereka dengan rejim Zionis Israel.

Mahfuz berkata APCO terlalu merahsiakan banyak perkara termasuk pelanggan mereka sendiri.

“Kita mencurigai peranan  mereka di seluruh dunia dan juga peranan mereka di Malaysia apabila dilantik oleh Najib.

“Ini menunjukkan kerajaan kita terlalu lemah apabila terpaksa mendapatkan nasihat daripada syarikat Zionis Yahudi seolah-olah memperkecilkan syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran berkaitan dengan media baru,” tegas Mahfuz lagi kepada media di Parlimen.

Isu syarikat APCO menjadi panas apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan perkara tersebut dalam Dewan Rakyat semasa membahas titah menjunjung kasih Yang DiPertuan Agong Rabu lalu.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Umno-BN Berusaha Keras Tutup Isu APCO

KUALA LUMPUR 22 Mac – Sidang Dewan rakyat pagi tadi menjadi kecoh apabila Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah usul wakil Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan memberi tempoh seminggu kepada Ketua Pembangkang menjelaskan kenyataan beliau minggu lalu mengaitkan kerajaan Umno-Barisan Nasional dengan APCO Worldwide, sebuah firma perunding yang ada pertalian dengan negara Zionis Israel.

Beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk Yusmadi Yusoff, R. Sivarasa, Saifuddin Nasution Ismail dan N. Gobalakrishnan bangun membantah Abdul Rahman.

Yusmadi dalam hujahnya memberitahu Dewan bahawa isu APCO sudah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah dan jawapan lisan Perdana Menteri tersebut sudah jelas membuktikan APCO secara tidak khusus sememangnya terlibat dengan komunikasi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee bahawa kerajaan memberi Anwar tempoh seminggu untuk membuktikan dakwaannya tersebut.Nazri berkata Anwar akan diheret ke jawatankuasa mengenai hak dan keistimewaan Parlimen sekiranya gagal memberikan jawapannya.

Pada Rabu lalu Anwar mendedahkan dalam ucapan menjunjung kasih titah Yang Dipertuan Agong bahawa APCO Worldwide dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah juga syarikat yang sama melakarkan slogan ‘One Israel’.

Menurut beliau APCO pada 1999 menasihatkan Perdana Menteri Israel ketika itu, Ehud Barak untuk memperkenalkan slogan ‘One Israel’.

Jumaat lalu Nazri berkata jemaah menteri akan bermesyuarat untuk memutuskan sama ada Anwar perlu diheret ke jawatankuasa khas berkenaan.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan
Malaysia

Musa Hassan Tidak Serius Basmi Jenayah

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 22 MAc – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di bawah pimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan didakwa melanggar etika polis dalam membasmi jenayah di negara ini yang semakin meningkat daripada 150,000 kepada 210,000 kes jenayah dari tahun 2005 sehingga sekarang.

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan tindakan Musa menolak permohonan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menubuhkan Polis Bantuan (Auxiliary Police).

MBPJ sebelum ini telah membuat permohonan bagi mendapat kelulusan Ketua Polis Negara melalui Ketua Polis Daerah Petaling dengan menyatakan peruntukan sebanyak RM4.2 juta telah diluluskan dalam bajet MBPJ bagi menubuhkan polis bantuan berjumlah 50 anggota.

Keputusan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara secara bertulis pada 17 Mac kepada MBPJ mengatakan kelulusan tidak dapat diberi dengan alasan akan wujud pertindihan kuasa antara polis dengan pasukan yang akan ditubuhkan nanti.

Dalam sidang media yang di adakah di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa menegaskan MBPJ mengambil tindakan positif untuk membantu polis dalam usaha membasmi jenayah yang kian meningkat sekarang.

“MBPJ telah mengambil initiatif yang pro-aktif untuk mengatasi masalah keselamatan di bandaraya tersebut. Peruntukan sebanyak RM4.2 juta telah diluluskan dalam bajet 2010 bagi menubuhkan polis bantuan seramai 50 orang.

“Cadangan ini telah menerima sokongan yang sepenuhnya daripada Ketua Polis Daerah Petaling tetapi cadangan dan sokongan itu ditolak oleh Ketua Polis Negara.

“Kita kesal dengan tindakan tersebut, MBPJ sediakan segala kemudahan dan kos bagi polis bantuan bukannya menggunakan bajet PDRM sehinggalah kepada menyediakan pondok-pondok bagi menempatkan anggota tersebut. Kita cuma inginkan kelulusan sahaja kalau, alasan berlaku pertindihan kuasa itu tidak boleh diterima kerana apa yang kita sedia maklum faktor yang meningkatnya kadar jenayah adalah disebabkan oleh kekurangan anggota polis dalam memantau setiap daerah dan tempat,” jelas Sivarasa.

Beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN juga berkata disebabkan jenayah yang tidak dapat dibendung lagi persatuan penduduk terpaksa mengambil tindakan sendiri dengan mengupah syarikat pengawal serta membina halangan-halangan jalan raya di kawasan perumahan mereka.

“Saya nak maklum halangan jalan raya yang diambil oleh persatuan adalah salah tetapi demi memastikan keselamatan, mereka rela berhadapan undang-undang.

“Bagi memastikan matlamat Bandaraya Selamat, MBPJ telah mengambil initiatif menubuhkan pasukan polis bantuan malangnya permohonan mereka ini telah ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Jika Kementerian Dalam Negeri ikhlas untuk menangani masalah kadar jenayah yang masih meningkat, kerajaan perlu membuat penyusunan dan penugasan semula jabatan dan anggota PDRM yang berjumlah 100 ribu orang. Gunakan puluhan ribu anggota yang berada di Cawangan Khas, Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am bagi membantu mencegah jenayah,” tegas beliau.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan
Malaysia