AMK Sahut Cabaran Samy Vellu!

Memandangkan bacul Samy Vellu masih tidak surut,maka saya dan kepimpinan AMK mengambil keputusan yang tegas untuk menyahut cabaran beliau untuk mendedahkan harga Tol SMART dan juga menyerahkan Memorandum Desakan Rakyat kepada Samy Vellu. Esok, Selasa 20 Mac 2007 jam 11 pagi kami pimpinan AMK Pusat akan ‘berkunjung’ ke Kementerian Kerjaraya untuk sama-sama melakukan ‘kunjungan hormat’ ke atas Samy Vellu..

Harapnya beliau bersedia,bukan sekadar bersembunyi di balik pintu!

Angkatan Muda Minta Samy Jawab!

Berhubung dengan laporan berita mengenai soalan wartawan terhadap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu semalam, Angkatan Muda KeADILan Malaysia berpendapat bahawa menteri itu tidak menjawab persoalan penting yang yang diutarakan oleh Angkatan Muda semasa mendedahkan perjanjian konsessi diantara Smart dan Kerajaan Malaysia berhubung dengan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Sungei Besi dan Bandaraya.

Antara persoalan yang lebih penting dalam memperkatakan isu ini ialah:
1.    Samy Vellu tidak bersikap terus terang dalam memperkatakan mengenai kadar tol.
2.    Mengapa kadar tol yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut terlalu tinggi.
3.    Salah pengiraan mengenai volum kesesakan seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian.
4.    Kerajaan boleh meperolehi balik pelaburan kos pembinaan lebuh raya pada tahun 2023. Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat konsesi (Smart) ialah RM5 billion.

Pengisian pendedahan tersebut boleh didapati daripada laman web rasmi keADILan di http://www.keadilanrakyat.org.

Angkatan Muda mendesak agar Kerajaan menggubal Akta Kebebasan Media secepat mungkin supaya ketelusan dalam maklumat yang berhubung dengan kepentingan rakyat dapat diketahui umum.

Maklumat yang didedahkan oleh Angkatan Muda pada 1hb Mac lalu melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan inidividu.

Angkatan Muda juga merasa amat kecewa dengan cara jawapan yang keluar daripada seorang Menteri yang berkata, “ pergi jahanam dengan mereka ini.”

Kami berpendapat kata-kata sedemikian tidak sepatutnya datang dari seorang menteri tetapi daripada seorang ‘dracula’ dan tidak mirip seperti seorang Menteri Kabinet.

Kami menasihati agar Samy Vellu mengikuti kempen “Jiwai Bahasa” yang dijalankan oleh Kementerian kesenian dan Warisan (KeKKwa).

Apa yang dilakukan oleh Angkatan Muda tempoh hari (dalam mendedahkan perjanjian konsessi) adalah sebahagian daripada khidmat kepada rakyat kerana ianya memberi kesan langsung kepada rakyat.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Pemangku Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

AMK Dedah Perjanjian Konsesi Tol SMART

Angkatan Muda KeADILan hari ini mendedahkan butir-butir perjanjian konsesi tol yang ditandatangani dengan SMART Sdn Bhd yang melibatkan terowong dan jalan raya antara pangkalan udara TUDM dan bulatan Kg. Pandan.

Butir-butir perjanjian menunjukkan secara jelas bahawa kerajaan meletakkan beban yang berat ke atas rakyat demi keuntungan besar bagi SMART Sdn Bhd.

Mengikut perjanjian, kadar tol akan bermula dengan RM 2.00 dan akan naik sebanyak RM 1.00 setiap lima tahun hingga 2030.

Kadar tol yang mendadak ini dijustifikasikan mengikut data yang dimanipulasi untuk memberi lebih keuntungan yang mendadak kepada SMART Sdn Bhd. Pertama, anggaran  jumlah trafik adalah berdasarkan data yang diperolehi oleh jalan raya antara KLIA dan Lebuhraya KESAS. Anggaran ini tidak tepat sama sekali, kerana trafik di kawasan Sungai Besi adalah jauh lebih banyak daripada trafik antara KLIA dan KESAS. Anggaran  yang tidak tepat ini akan mengakibatkan kadar tol yang melebih bagi rakyat biasa.

Keduanya, anggaran jumlah trafik yang terkandung dalam perjanjian naik setiap tahun, tetapi hanya sehingga 2022; selepas 2022, anggaran jumlah trafik berhenti di 40 juta. Bagaimanakah jumlah trafik boleh naik setiap tahun tetapi berhenti tepat pada tahun 2022?

Kesimpulan harus dilakukan bahawa anggaran jumlah trafik tidak naik selepas tahun 2022 supaya kenaikan kadar tol yang mendadak dan membebankan rakyat secara berketerlaluan boleh dijustifikasikan dan diteruskan.

Perjanjian tol ini juga tidak adil kerana walaupun SMART Sdn Bhd berbelanja RM 0.6 billion untuk membina terowong tersebut, kerajaan membelanjakan RM 1.3 billion. Oleh itu, sebahagian besar daripada pendapatan yang diperolehi oleh pengutipan tol harus disalurkan kepada kerajaan dan rakyat, dan bukan kepada SMART Sdn Bhd, seperti yang dibenarkan oleh perjanjian.

Walaupun kerajaan telah nyatakan bahawa kadar tol masih dibahas, sebenarnya, perjanjian tol ini ditandatangani pada tahun 2004 dan sememangnya sudah mengikat di sisi undang-undang. Oleh itu, sudah jelas bahawa kerajaan telah bersubahat dengan SMART Sdn Bhd untuk menjanakan keuntungan yang melebih dengan membebankan rakyat dengan kadar tol yang teruk dan melebih.

Tribunal Jenayah Terhadap Rakyat & Rasuah Harus Ditubuhkan Bersama Tribunal Jenayah Perang

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyokong saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir agar ditubuhkan Tribunal Jenayah Perang bagi mendakwa Presiden Amerika Syarikat George W. Bush dan Perdana Menteri Britain Tony Blair.

Walaubagaimanapun, kami mendesak agar kerajaan menubuhkan Tribunal Jenayah Terhadap Rakyat menyiasat pendakwaan berniat jahat terhadap tokoh-tokoh rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohammad Sabu, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, peristiwa Memali dan aktivis-aktivis Reformasi di samping penggunaan undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Kami juga berharap Tribunal tersebut mendedahkan keadaan di Pusat Tahanan Perlindungan Kamunting yang digunakan untuk menahan tahanan-tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri; sebagaimana Tun Dr. Mahathir kini mendedahkan keadaan Abu Ghraib.

Pada masa yang sama, sebuah Tribunal Rasuah juga harus ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan rasuah oleh Tun Dr. Mahathir di dalam ’bail out’ Konsortium Perkapalan bernilai RM2 billion; pemberian kontrak bernilai beratus juta ringgit kepada anaknya untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan keputusan untuk tidak mendakwa Dato’ Seri Rafidah Aziz berikutan siasatan rasuah BPR.

Kami juga ingin mendesak ahli Tribunal tidak bekerjasama dengan bekas-bekas diktator yang ingin menggunakan Tribunal tersebut untuk mengalih perhatian dari tindakan jenayah mereka sendiri. Kami menyeru ahli Tribunal untuk mengambil keputusan moral di dalam kerjasama mereka dengan seorang tokoh yang telah menyalahguna kuasa, mengumpul berbillion-billion ringgit wang rakyat dan kini membelanjakannya untuk persidangan antarabangsa.

SHAMSUL ISKANDAR MD. AKIN                                                                                                          Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Angkatan Muda Akan Terus Dedah Dokumen Rasuah

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) berazam untuk meneruskan usaha membela rakyat dengan mendedahkan segala penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan.

Walaupun tekanan demi tekanan terus diberikan oleh kerajaan seperti penggunaan polis untuk mengugut pemimpin pembangkang baru-baru ini, kami merasakan tangungjawab untuk membetulkan penyelewengan dan adalah lebih utama.Kami percaya tekanan yang diberikan, tidak melunturkan aspirasi rakyat untuk mahukan pemerintahan dan pengurusan kerajaan yang baik dan tidak menyeleweng.

Oleh itu kami di AMK bersedia untuk terus mendedahkan dokumen baik yang rahsia atau tidak demi kepentingan nasional dan bangsa Malaysia.

Kami juga menyatakan kesedian untuk menjadi jambatan atau pemancar kepada sesiapa yang mahu mendedahkan dokumen ¡V dokumen terbabit untuk kita sama-sama menghapuskan budaya rasuah dan seleweng yang wujud dari sistem yang tidak bebas di negara kita.

Lagi ditekan lagi kita lawan, bersatu menghapus penyelewengan dan rasuah

SHAMSUL ISKANDAR MD AKIN
Pemangku Ketua
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat

Kenapa Saya Kata Pak Lah PM Yang Lemah?

Saya ingin mengulangi penegasan yang telah saya lakukan semasa program Debat Perdana pada 12 Mac 2006 lalu yang disiarkan secara langsung melalui TV 1 bahawa Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang lemah. Pada malam tersebut, saya telah membawa sekurang-kurangnya tiga contoh yang jelas iaitu:

Kegagalan Perdana Menteri untuk meluluskan permit surat khabar rasmi Parti Keadilan Rakyat iaitu Suara Keadilan walaupun Parti Keadilan Rakyat merupakan sebuah parti yang berdaftar. Permohonan permit telah dilakukan semenjak tujuh tahun yang lalu. Kebebasan media dan maklumat merupakan prasyarat kepada sebuah kerajaan yang demokratik.

Kegagalan Perdana Menteri untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu di mana secara khususnya saya merujuk kepada dasar kerajaan pimpinan beliau mengenai pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris, AP (approved permit) yang dianugerahkan kepada segelintir elit pemerintah dan anugerah biasiswa yang pada waktu sekarang ini tidak lagi dinikmati oleh pelajar Melayu.

Kegagalan Perdana Menteri untuk memahami masalah dan beban rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat daripada kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen.

Saya percaya penilaian dan pandangan saya bahawa PM Abdullah merupakan seorang Perdana Menteri yang lemah turut dikongsi oleh sebilangan besar rakyat Malaysia termasuk beberapa bekas pimpinan kerajaan. Yang terbaru ialah kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan secara diplomatik bahawa kenaikan harga minyak di Malaysia boleh dielakkan sekiranya kerajaan mengambil tindakan dengan mengukuhkan mata wang kerana dengan mengukuhkan mata wang, harga minyak sebenarnya tidak akan menjadi terlalu tinggi. Dalam erti kata yang lain, pandangan beliau memberikan satu bperspektif bahawa kerajaan di bawah pimpinan PM Abdullah adalah lemah dan tidak berwibawa.
Justeru, saya percaya tindakan YB Wee Ka Siong yang menganggap bahawa kenyataan saya mengkritik PM Abdullah seorang perdana menteri yang lemah sebagai satu kenyataan yang BIADAP, menggambarkan tentang bagaimana semangat demokrasi khususnya kebebasan memberikan pendapat dan pandangan telah mati di dalam sebuah negara yang dianggap sebagai negara yang demokratik. Apatah lagi, pandangan seperti ini keluar dari mulut seorang pimpinan muda kerajaan yang sepatutnya mempunyai pandangan yang lebih progresif dan terbuka.

Saya dengan ini membuat cabaran rasmi dengan mana-mana pimpinan muda parti pemerintah untuk berdebat dengan saya tentang penegasan saya bahawa Malaysia mempunyai sorang Perdana Menteri yang lemah dan beliau perlu berubah segera !