Daftar Pemilih SPR Masih Boleh Dicabar – Ketua AMK


Dari Selangorku

11 Jun 2012

Shamsul: Daftar Pemilih Masih Boleh Dibawa Ke Mahkamah

SHAH ALAM, 11 JUN: Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih boleh dicabar di mahkamah kerana daftar pemilih terbaru masih belum digazetkan lagi.

Demikian beritahu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada TVS ketika ditemui di Dewan Siviks MBPJ, Petaling Jaya semalam.

“Ia boleh dilakukan kerana daftar pengundi baru yang ada telah wujud banyak bantahan, yang ini belum digazetkan lagi. Saya ingat ini dapat dilaksanakan.

“Saya juga dapat tahu perjalanan semakan di Selangor sedang berjalan dengan laju supaya ia dapat di atasi,” kata beliau.

Shamsul yang juga merupakan pengamal undang-undang memberitahu daftar pemilih yang digazetkan tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Jadi saya percaya usaha Kerajaan Selangor ini berkisar dengan kesalahan dalam Akta Pilihan Raya seperti siapa yang sepatutnya mengundi tetapi dibenarkan mengundi,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun menurut Shamsul satu kajian mendalam boleh dijalankan bagi mengenal pasti peruntukan khas yang membolehkan samada Kerajaan Selangor atau pengundi memfailkan kes terhadap penipuan yang wujud dalam daftar pemilih.

Pada tahun 2002, satu pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya iaitu seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2002) telah dibuat bagi membolehkan daftar pemilih yang telah digazetkan tidak boleh dibawa ke mahkamah oleh mana-mana pihak.

“Undang-undang yang menghalang daftar pemilih dicabar di mahkamah adalah daftar yang drakonian, tidak lojik.

“Apa yang penting lagi, pendirian Kerajaan Selangor bahawa sekiranya daftar pemilih tidak bersih mereka tidak bercadang mengadakan pilihan raya di mana saya rasa itu satu cabaran kepada SPR untuk membersihkan daftar itu sendiri.

“Dengan adanya bukti-bukti ini, tentunya SPR akan terkesan dengan tindakan Kerajaan Selangor,” ujarnya lagi.

Sebelum itu, Kerajaan Selangor dalam usaha memastikan daftar pemilih SPR bersih dari unsur penipuan telah menjalankan kempen ‘Selangorku Bersih’.

Kempen yang sedang rancak dijalankan itu turut melibatkan pemimpin Kerajaan Negeri dan juga tempatan bagi mengenal pasti pengundi-pengundi sebenar di kawasan mereka.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM 5 juta untuk Program Pendemokrasian di bawah Geran Selangorku sebagai inisiatif khusus bagi membolehkan semua pihak tanpa mengira parti politik membuat bantahan jika terdapat mana-mana pengundi yang meragukan.


—Selangorku

Kekal dan Besarkan Dana Pendidikan Selangor – AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

9 Jun 2012

ANGKATAN MUDA KEADILAN GESA DANA PENDIDIKAN SELANGOR DIKEKAL DAN DIBESARKAN

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menggesa Dato’ Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor agar tidak membatalkan rancangan menubuhkan dana pendidikan bagi membantu siswa yang terjejas dengan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman pendidikan sekalipun PTPTN telah mengumumkan pembatalan tindakan tersebut.

Sebaliknya AMK menggesa Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim untuk menggunakan kepakaran beliau bagi mewujudkan Dana Tetap Pendidikan yang lebih besar. Dana tetap ini dan aset-aset yang dimilikinya tidak digunakan atau dicairkan tetapi hanya hasil daripada pelaburan dana tersebut disalurkan untuk kepentingan pendidikan rakyat.

Satu skim khas boleh diwujudkan bagi memberi peluang kepada rakyat yang prihatin dengan masa depan negara dan kepentingan pendidikan untuk memberi sumbangan kepada dana tersebut.

Ini adalah lanjutan daripada tindakan segera Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang mengumumkan dana khas RM30 juta untuk membantu siswa yang terjejas dengan tindakan PTPTN membekukan pinjaman kepada pelajar baru Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Ternyata Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat tidak sanggup memperjudikan kepentingan dan kebajikan siswa. Sekalipun tindakan zalim Barisan Nasional (BN) tersebut telah menimbulkan kemarahan rakyat, Pakatan Rakyat tidak bersedia untuk bermain politik semata-mata bagi mendapatkan keuntungan politik. Prinsip ini yang mendorong Dato’ Menteri Besar Selangor membuat keputusan berani tersebut setelah mengadakan perbincangan dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ternyata BN terperanjat dengan pendekatan ini sehingga memaksa PTPTN menarik balik keputusan zalim tersebut di dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas pengumuman penubuhan dana tersebut. Tindakan yang mengutamakan kepentingan rakyat telah berjaya mematikan permainan politik BN.

AMK juga mengulangi gesaan sejak tahun 2008 agar negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat mempertingkatkan kerjasama di dalam sektor pendidikan dan pekerjaan. Ini adalah untuk membantu golongan muda yang memerlukan bantuan mendapatkan pendidikan dan peluang pekerjaan berkualiti.

Satu konsortium pendidikan melibatkan institusi-institusi pendidikan tinggi dari negeri-negeri Pakatan Rakyat boleh ditubuhkan untuk menghimpunkan kepakaran masing-masing bagi manfaat bersama yang lebih besar. Konsortium ini juga boleh menjadi penyelaras dan pemudahcara untuk membuka akses yang lebih luas kepada anak-anak muda Malaysia, khususnya dari negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Pada masa sama, perlu wujud satu usaha penyelarasan untuk menyuai-padan (match) rakyat yang mencari pekerjaan dengan peluang-peluang pekerjaan yang wujud. Latihan-latihan perlu untuk menyesuaikan mereka dengan pekerjaan tersebut juga boleh ditawarkan. Usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan pekerjaan ini adalah lebih bermakna daripada keuntungan sekejap rasuah tunai yang diamalkan secara berleluasa oleh BN sekarang.

AMK percaya rakyat akan menilai prestasi kerja kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mengutamakan rakyat dan dapat membandingkannya dengan BN yang lebih gemar bermain politik murahan bagi mendapat keuntungan politik sekalipun mengorbankan kepentingan rakyat.


AHMAD ZAKI YAMANI BIN ZAINON
Pengarah Strategi
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

UNISEL: Kerajaan Selangor Akan Bantu Mangsa Kezaliman Umno-BN


Dari Malaysiakini

7 Jun 2012

Beku PTPTN: Unisel cair aset bantu pelajar terbabit

Kerajaan Selangor memandang berat kesusahan yang dihadapi pelajar baru Universiti Selangor (Unisel) yang menurutnya teraniayai ekoran tindakan kerajaan persekutuan dan menteri pengajian tinggi membekukan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar di universiti tersebut.

“Sebagai tindakan jangka pendek, UNISEL akan menggunakan asetnya untuk membantu pelajar yang dalam kesukaran meneruskan pengajian.

“Aset ini merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan petang ini.

Kerajaan Selangor, katanya, telah selesai menyusun semula hutang tersebut di mana tanah seluas 500 ekar itu telah menjadi aset Unisel.

Khalid berkata, kerajaan negeri akan membantu Unisel mengapungkan hartanah tersebut di pasaran untuk mendapatkan wang tunai.

“Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil usaha ini. Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan BN membekukan PTPTN,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bantuan kewangan ini hanyalah berbentuk sementara sehingga penyelesaian konkrit dicapai.

“UNISEL akan memperincikan bantuan yang akan diberikan kepada pelajar-pelajar teraniayai ini dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan Selangor sangat kecewa dengan tindakan Kerajaan Persekutuan khususnya menteri pengajian tinggi yang mengaku bertanggungjawab mengarahkan pembekuan PTPTN kepada Unisel.

“Tindakan tidak bertanggungjawab dan membelakangi semangat Federalisme ini bukan sahaja menganiayai pelajar-pelajar baru, malah telah mengecewakan ibu bapa yang menaruh harapan tinggi terhadap anak-anak mereka,” katanya.

Khalid mendakwa Barisan Nasional telah menjadikan pelajar Unisel dan ibu bapa mereka yang sebahagian besarnya Melayu sebagai mangsa hanya kerana perbezaan dasar politik antara Kerajaan Selangor dan Pusat.

“Hal ini jelas menunjukkan BN sanggup melakukan apa sahaja untuk melaksanakan politik sempit mereka hatta menganiaya dan menggadai masa depan anak-anak muda di negara ini,” dakwanya.


— Malaysiakini

Jangan Diskriminasi Mereka! – Ketua AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

6 Jun 2012

PTPTN Di Desak Jangan ‘Amalkan Diskriminasi Terhadap Mahasiswa UNISEL !

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bertindak menggantung sebarang permohonan pelajar Universiti Selangor (Unisel) untuk mendapatkan pembiayaan pengajian mereka.

Ini dimaklumkan kepada mahasiswa-mahasiswi IPT berkenaan sewaktu taklimat oleh Pengurusan IPT yang diadakan minggu ini sempena pembukaan semester baharu dan pengambilan baharu mahasiswa ke IPT berkenaan.

Tindakan ini, menunjukkan bagaimana PTPTN telah menjadi ejen politik Umno-BN melalui cengkaman Kementerian Pengajian Tinggi untuk menekan IPTS khususnya yang beroperasi di Negeri-negeri Pakatan Rakyat, dalam konteks ini di Selangor.

Ini tidak mengejutkan sementelahan sebelum ini juga, Umno-lah yang galak mengasak Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor untuk membiayai pengajian mahasiswa/i khususnya di Unisel dan KUIS. Berikutan ketegasan PR menolak diskriminasi dan cengkaman hutang PTPTN ke atas mahasiswa/i, kini mereka dijadikan mangsa dengan penafian permohonan ini.

Harus ditegaskan bahawa penjelasan telah diberikan malah diperincikan oleh Pengarah Strategi KEADILAN sewaktu berdebat dengan Ketua Pemuda Umno baru-baru ini berhubung isu konsesi melampau melibatkan pembinaan dan pengurusan Unisel dan KUIS yang menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa menanggung kos melebihi yang sewajarnya.

Sungguhpun begitu, dalam Dialog AMK bersama Menteri Besar Selangor baru-baru ini, YAB Dato’ Menteri Besar telah membayangkan kebarangkalian PTPTN menghentikan pembiayaan kepada mahasiswa/i Unisel dan KUIS akan berlaku. Dan AMK telah mencadangkan agar bagi kes sebegini, Kerajaan Negeri Selangor boleh menyusun pelan tindakan untuk menanggung kos pengajian mahasiswa/i yang baharu mendaftar di Unisel dan KUIS.

Justeru, AMK melihat wujud kewajaran mendesak untuk Kerajaan Negeri Selangor mempertimbangkan opsyen menanggung kos pengajian tersebut.

Buat PTPTN, ‘sekalung tahniah’ kerana berjaya mengesahkan bahawa mereka ‘secara rasmi’ telah menjadi ejen Umno untuk melaksanakan politik dendam Umno kepada PR. Tentunya tindakan ini menzahirkan satu lagi ‘amalan diskriminasi kepada negeri Selangor.

AMK menyarankan agar PTPTN meneruskan agenda membalas dendam sebegini, kerana ini secara relatifnya memudahkan tugas PR untuk terus meyakinkan rakyat bahawa pemansuhan PTPTN adalah sesuatu yang relevan dan harus dilakukan, melalui kuasa undi di dalam PRU-13 akan datang !


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Isu PM bukan Melayu Hanya Untungkan Umno – Ketua AMK


Dari Antarapos

7 Jun 2012

Isu PM bukan Melayu untungkan Umno, kata Pakatan

KUALA LUMPUR: Polemik mengenai kelayakan orang bukan Melayu diangkat menjadi Perdana Menteri hanya menguntungkan pihak Umno/Barisan Nasional manakala Pakatan Rakyat hanya akan mendapat kesan negatif, kata Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menurut beliau, kenyataan yang dibuat oleh pengerusi DAP, Karpal Singh baru-baru ini yang mengatakan beliau akan memperjuangkan Perdana Menteri bukan Melayu tidak perlu ditafsirkan secara berlebihan.

Tambahnya, beliau bimbang isu tersebut dimanipulasikan oleh Umno demi kepentingan politik mereka.

“Kenyataan Karpal tak perlu ditafsir berlebihan. Kenapa kita harus bimbang pada perkara yang tidak negatif?

“Saya bimbang Umno sebagai parti pemerintah selalu takutkan orang Melayu kononnya kalau Umno kalah, hilang kuasa orang Melayu. Kenapa kita harus main perkara sebegitu?

Beliau berkata demikian di dalam Program Dalam Radar Khas anjuran bersama portal berita Antara Pos dan Radio 24 hari ini.

Selain itu, Shamsul turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan bahawa Pakatan sengaja mahu isu tersebut sengaja diprovokasikan untuk mendapat sokongan masyarakat bukan Melayu.

“Pada saya (isu PM bukan Melayu) bukan provokasi kecuali Umno nak menakutkan orang Melayu. Pada saya ini jahat. Tidak diletak pada perspektif sebenar,” katanya di dalam program yang dihoskan oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar itu.

Tetamu lain pada program tersebut adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan pakar sejarah, Profesor Emiritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Saifuddin di dalam responnya kemudian menafikan dakwaan yang dibuat Shamsul itu.

Menurutnya, persoalan yang lebih utama yang harus diberikan perhatian adalah tentang bagaimana untuk melaksanakan demokrasi pada tahap yang lebih tinggi.

“Saya setuju Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan mesti Melayu (menjadi Perdana Menteri). Cuma dari segi sejarahnya begitu.

“Yang lebih mustahak adalah bagaimana kita urus demokrasi itu, bagaimana kedua-dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) mewakili komposisi kaum,” katanya.

Tambah beliau, di negara ini seolah-olah wujud ketertiban di dalam memilih seorang ketua negara, malah ketika BN/Umno mempunyai majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat tidak mengubal undang-undang untuk mewajibkan hanya orang Melayu yang boleh menjadi perdana menteri.

Beliau mengambil contoh di mana ketika Umno diharamkan sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, parti-parti komponen Barisan Nasional sepakat mengekalkan beliau sebagai Pengerusi Barisan Nasional.

Saifuddin berkata isu itu tidak harus dibangkitkan oleh Karpal Singh kerana ketua pembangkang sendiripun adalah orang Melayu yang beragama Islam.

“Sedangkan anggota pembangkang sendiri memilih orang Melayu sebagai ketua pembangkang… kenapa pula nak timbul isu mengenai seorang bukan Melayu jadi Perdana Menteri.

“Pakatan Rakyat sendiri masih mengekalkan Datuk Seri Anwar sebagai ketua pembangkang walaupun dari segi komposisi kerusi di Parlimen, PKR kehilangan beberapa kerusi kerana beberapa orang ahli parlimen yang bertindak meninggalkan Pakatan,” katanya.

Sehubungan itu, kata Saifuddin, isu mengenai perdana menteri bukan Melayu tidak harus dipolitikkan dan dijadikan bahan untuk diketengahkan menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak.


—Antarapos

“Rais Yatim, Sila Adakan Debat Najib vs Anwar” – AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

5 Jun 2012

AMK mencabar Rais Yatim adakan Debat Perdana Najib vs Anwar

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mencabar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim untuk mengadakan Debat Bakal Perdana Menteri di antara Najib Tun Razak dan Anwar Ibrahim dengan gentleman serta berpandukan prinsip demokrasi yang asas.

Di samping mengesa Anwar Ibrahim untuk menunjukkan kepimpinan yang gentleman, mengapakan Rais Yatim tidak mendesak Najib Razak untuk berdebat? Bukankah berdebat itu adalah platform yang terbaik bagi rakyat menilai pandangan dan tawaran yang diberi oleh kedua-dua pemimpin?

Mengapakah sampai hari ini kedua-dua Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak mengutuk keganasan politik dan budaya samseng yang kian serius? Adakah UMNO/BN merestui budaya samseng tersebut diteruskan?

Kenyataan Rais Yatim yang menuduh Pakatan Rakyat akan menggunakan kekerasan termasuk demonstrasi bagi ambil alih pemerintahan dalam pilihanraya umum yang akan datang adalah tidak berasas serta berniat jahat. Beliau telah memutar-belitkan semangat kebangkitan rakyat Timur Tengah (Arab Spring) yang menolak pemerintahan yang zalim dan rasuah sama sebagai cara keganasan dan kekerasan untuk rampas kuasa.

Kejahilan Rais Yatim terhadap sistem demokrasi yang berasaskan badan kehakiman yang bebas, kebebasan media serta hak asasi manusia amat memalukan. Beliau perlu belajar semula tentang prinsip kebangkitan rakyat, demokrasi dan hak asasi manusia agar tidak diketawa.

AMK menegaskan bahawa Pakatan Rakyat memilih pilihanraya untuk mendapat sokongan rakyat dan membentuk kerajaan. Walaupun 12 kali pilihanraya umum telah diadakan di Malaysia, pihak pembangkang telah menerima hakikat dan menghormati keputusan rakyat dengan cara yang aman dan tenang. Dalam sejarah Malaysia, pembangkang tidak pernah mengadakan demonstrasi atau mewujudkan kacau-bilau untuk menggulingkan kerajaan.

Kenyataan pimpinan UMNO/BN yang sering menuduh Pakatan Rakyat dengan pelbagai fitnah adalah berunsur intimidasi serta mengalihkan fokus kelemahan dan penyelewengan pemerintahan yang sedia ada.

Oleh itu, AMK mendesak Perdana Menteri perlu menghentikan segala keganasan politik serta melaksanakan 8 tuntutan Bersih 2.0 untuk mengadakan satu pilihanraya yang bebas, adil dan bersih sebelum membubarkan parlimen.


Lee Khai Loon
Ketua Penerangan
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Undi Mahasiswa Penentu Hala Tuju Negara – Ketua AMK


Dari Keadilan Daily

4 Jun 2012

Undi mahasiswa penentu hala tuju negara – Shamsul

KUALA LUMPUR 4 Jun: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, mahasiswa perlu membuat pilihan dan keputusan yang tepat dalam menentukan hala tuju pentadbiran negara.

Katanya, ia penting supaya hak dan kebebasan mahasiswa dikembalikan semula selepas sekian lama dinafikan kerajaan Umno Barisan Nasional.

“Mahasiswa mesti membuat keputusan menjelang pilihan raya bagi memanfaatkan setiap undi. Jika tidak, mereka akan terus berada di bawah legasi Umno dan mahasiswa akan terus ditekan,” kata Shamsul.

Beliau berkata demikian dalam forum Tawaran AMK kepada Mahasiswa Malaysia dalam PRU 13 yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCH), 30 Mei lalu.

Forum berkenaan bertujuan menjelaskan tawaran Pakatan Rakyat kepada mahasiswa menjelang Pilihan Raya Umum ke 13.

Shamsul dalam pada itu mengajak mahasiswa bersama Pakatan Rakyat dan memahami tawaran yang diberikan kepada mereka oleh parti itu.

“Apa yang penting, apabila mesej dapat disampaikan pada golongan sasaran ini, baru akan ada keterbukaan dan ketika itulah mereka harus membuat pilihan dan tampil bersama-sama dalam perjuangan,” katanya dalam forum selama satu jam setengah itu.

Turut menjadi ahli panel dalam forum itu ialah Naib Ketua AMK, Nazree Mohd Yunus; Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammad Haziq Abdul Aziz dan Pengasas Legasi Mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris, Adam Adli.

Manakala Pengarah Biro Mahasiswa AMK, Saifullah Mohd Zulkifli pula bertindak selaku moderator.


— Keadilan Daily

PRU13: 1 Manifesto Untuk Pakatan Rakyat


Dari Malaysiakini

25 Mei 2012

Pakatan Rakyat guna satu manifesto untuk PRU13

Pakatan Rakyat akan menggunakan satu manifesto sahaja dan mengutamakan isu ekonomi dan pendidikan sebagai strategi memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata ketiga-tiga parti terbabit telah membincangkan pembahagian kerusi di peringkat nasional dan menyelesaikan banyak pertindihan kerusi kecuali sebilangan kecil, termasuk satu di Kedah, yang dijangka selesai Jun ini.

“Majlis Presiden parti menetapkan garispanduan mengenai peruntukan kerusi dan saya yakin dengan semangat muafakat yang kuat dalam PR (Pakatan Rakyat, PRU kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PR dan Barisan Nasional,” katanya.

Kerusi yang sememangnya dimenangi parti komponen Pakatan Rakyat (pada pilihan raya lepas) tidak akan diminta untuk dirundingkan (pembahagiannya), katanya kepada pemberita selepas melancarkan SISMEP 3.0 dan penyerahan bahan-bahan kempen pilihan raya kepada semua pengarah pilihan raya PKR di Kedah dan Perlis di Alor Setar hari ini.

Azmin yang juga pengarah pilihan raya PKR berkata sebanyak 13 juta risalah pilihan raya telah dicetak untuk diedarkan kepada pengundi dengan memberi tumpuan pengundi muda di seluruh negara.

Beliau yakin Pakatan Rakyat mampu mempertahan Kedah kerana sokongan pengundi muda yang semakin melonjak.


— Malaysiakini

Malam Berdarah Lembah Pantai: KEADILAN Mengecam Tindakan Politik Samseng


Kenyataan Media
Parti KEADILAN Rakyat (PKR)

25 Mei 2012

KEADILAN Kecam Serangan “Malam Berdarah Lembah Pantai”

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyelar dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Umno, khususnya Umno Lembah Pantai yang dinaungi Raja Nong Chik, yang telah mengganggu program Ceramah Perdana KEADILAN Lembah Pantai yang berlangsung di Apartment Pantai Permai malam tadi, 24 Mei 2012.

Tindakan provokasi samseng puak Umno yang telah membaling batu bata, telur dan botol air mineral ini telah mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kecederaan:

1) seorang pakcik yang terkena batu di kepala; dan
2) seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang mungkin telah patah tangan akibat terkena batu bata di pergelangan tangan.

Dan beberapa orang awam termasuk anggota polis yang hadir juga telah terkena telur yang dibaling pihak Umno.

Kami juga difahamkan beberapa pegawai Ahli Parlimen Lembah Pantai telah diugut sebelum dan sewaktu program ceramah ini berlangsung, dan tayar kereta YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, yang diletakkan di tapak berdekatan dengan tapak tempat ceramah juga telah ditoreh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Cukup jelas bahawa tindakan samseng Umno, khususnya Umno Lembah Pantai, untuk mengadakan ceramah yang ditempatkan dalam kawasan kuarters DBKL berjarak 100m dari ceramah KEADILAN adalah suatu tindakan provokasi yang cukup tidak bertanggungjawab. KEADILAN menggesa supaya pihak Polis Di-Raja Malaysia dan DBKL menyiasat bagaimana kuarters tersebut telah dibenarkan untuk digunapakai pihak Umno dan adakah ini merupakan SOP yang sesuai dalam konteks masakini.

Secara dasar, KEADILAN melihat tindakan provokasi Umno bukan sahaja pada malam tadi tetapi pada insiden-insiden sebelum ini di Merlimau, di Felda Lepar Hilir, dan banyak lagi sebagai satu taktik yang cukup terdesak oleh sebuah parti politik yang cukup ghairah untuk terus memegang kuasa dengan apa cara sekalipun.

Episod Malam Berdarah di Lembah Pantai malam tadi jangan harus berulang. KEADILAN menggesa pihak PDRM untuk menyiasat insiden ini dan juga insiden-insiden seumpanya dengan sepenuhnya, agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

KEADILAN juga menggesa Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno, Datuk Raja Nong Chik selaku Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai, dan Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda Umno untuk sama-sama mengecam tindakan samseng ini, serta untuk mengatakan TIDAK kepada Politik Samseng. Sekiranya mereka tidak melakukan sedemikian, maka Umno telah melampaui batas dan melangkah garis di mana semua tindakan kekerasan ini merupakan tidak lain tidak bukan suatu “Deklarasi Perang Terhadap Rakyat”, yang memberi restu untuk menyerang Rakyat dan membunuh Demokrasi.

Akhir sekali, KEADILAN menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya parti-parti politik seperti Umno, supaya menolak dengan menyeluruh Politik Samseng.


YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden KEADILAN
YB Tian Chua, Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden KEADILAN
Sdr Shamsul Iskandar, Ketua Angkatan Muda KEADILAN

24/5: Ceramah Ketua AMK di Pantai Permai, Lembah Pantai.

24 Mei 2012: Ceramah Merdela Rakyat “Hala Tuju Politik & Ekonomi Rakyat” oleh Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia, Sdr. Shamsul Iskandar Mohd Akin di PPR Pantai Permai, Lembah Pantai bersama YB Nurul Izzah, YB Tian Chua, YB Khald Samad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

—Team Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK)