SPR Mesyuarat 2 April Tentukan Tarikh Penamaan Calon, PRK

KUALA LUMPUR 26 Mac – Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada hari Jumaat 2 April depan untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, demikian menurut Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

“Notis pengosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor akan dihantar kepada SPR pada hari Isnin. Satu pilihan raya kecil akan diadakan bagi kawasan itu,” kata beliau.

Kerusi tersebut kosong berikutun kematiannya penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad semalam akibat barah otak yang dipercayai dihidapinya sejak tahun 2000 pada usia 71 tahun.

Dr Zainal mengalahkan calon Barisan Nasional dari MIC, Datuk G. Palanivel dengan kelebihan sebanyak 198 undi.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,593 pengundi di mana 53.94 peratus adalah Melayu, 26.67 peratus Cina dan 18.98 peratus India serta 0.41 peratus lain-lain bangsa.

MIC telahpun menamakan Palanivel sebagai calonnya sebelum pun Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak membuat sebarang keputusan.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

KEADILAN Pecah Kubu Kuat Musa Aman Di Libaran

KUALA LUMPUR 26 Mac – Libaran yang merupakan kubu kuat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman akhirnya berjaya ditembusi oleh KEADILAN dengan penganjuran ceramah dan aktiviti politik di kawasan yang dianggap ‘fixed deposit’ pemimpin Umno Sabah itu.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan kejayaan itu sebagai petanda positif dan amat baik kepada kemungkinan besar Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Kita berjaya mengadakan sesi penerangan kepada penduduk Kampung Tinusa 2 di Libaran iaitu kubu kuat Musa Aman yang popular dengan nama ‘fixed deposit’ kerana ini salah satu tempat Musa bergantung untuk undi kemenangan beliau.

“Kejayaan kita bertapak di Libaran merupakan satu tamparan hebat kepada Ketua Menteri dan saya difahamkan telah mengerahkan kuncu-kuncu beliau di situ untuk menghalang dan mengugut penyokong KEADILAN di kawasan itu,” kata Shamsul yang melakukan lawatan kerja ke Sabah minggu lalu.

Beliau berkata ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) bertindak mengugut untuk menghalau penduduk terbabit daripada Kampung Tinusa 2 sekiranya mereka terus menyokong KEADILAN.

“Walaupun sesi penerangan diadakan di sebuah rumah tetapi kehadiran mencecah lebih 100 orang dan mereka menyatakan sokongan kepada KEADILAN secara terangan tanpa rasa takut walaupun dalam kawasan Ketua Menteri mereka sendiri,” ujar Shamsul lagi.

Pengamatan beliau selama dua jam bersama penduduk di situ mendapati rakyat kehausan maklumat dan penerangan mengenai isu penting termasuk Konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu qazaf, lompat parti dan perkembangan kes rasuah Musa Aman.

“Kesan terbesar yang saya dapat lihat daripada ceramah di Libaran ialah Musa sendiri turun ke kawasan itu dan mengarahkan program susulan segera diadakan  di kawasan itu untuk menjawab isu-isu yang saya bangkitkan dalam program tersebut.

“Ini merupakan perkembangan yang cukup baik. Jika kita tumpukan perhatian kepada kawasan-kawasan Melayu yang dipegang oleh Umno sebanyak 32 kerusi Dewan Undangan Negeri, dan laksanakan program secara tersusun, strategik, komprehensif dan bersepadu dan terus mengasak kubu mereka di 32 DUN saya percaya kita akan mencapai ‘breakthrough’ dari segi meraih kemenangan di kawasan ini.

Justeru itu Shamsul berkata beliau telah mengerahkan AMK Sabah supaya segera melaksanakan program bersepadu rakyat di kesemua 32 kawasan yang disasarkan pada setiap bulan yang akan dibantu oleh pimpinan pusat.

Untuk itu satu pasukan petugas di bawah Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusuff telah ditubuhkan untuk mengkoordinasi program AMK di Sabah dan Sarawak.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Jom join Program Ketua AMK (25/03/2010-27/03/2010)

Berikut adalah jadual program Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia :

1. Ceramah Umum : Selamatkan Malaysia Daripada Israel;
Tolak Fitnah 2 terhadap Anwar Ibrahim

25/03/2010 (Khamis), 9 malam
Markaz Pas, Taman Rakyat, Dungun, Terengganu
Penceramah:
YB Abdullah Sani, Ahli Parlimen Kuala Langat
YB Ustaz Haji Wan Hassan, ADUN Sura
Shamsul Iskandar Mohd Akin

2. Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Cabang,
Angkatan Muda dan Wanita Kemaman, Terengganu

26/03/2010 (Jumaat), 2.30 petang

3. Ceramah Umum : Selamatkan Malaysia daripada Israel;
Tolak Fitnah 2 terhadap Anwar Ibrahim

26/03/2010 (Jumaat), 9 malam
Pejabat Keadilan, Kemaman, Terengganu

4. Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda
Keadilan Cabang Muar, Johor

27/03/2010 (Sabtu), 10 pagi
Pejabat Keadilan Cabang Muar

5. Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Cabang Bukit
Katil, Melaka

27/03/2010 (Sabtu), 3 petang
Warong Reformasi, Air Molek, Bukit Katil, Melaka

6. Minum Petang bersama Angkatan Muda Keadilan Cabang
Tangga Batu, Melaka

27/03/2010 (Sabtu), 6 petang
Pejabat Keadilan Klebang, Tangga Batu, Melaka

7. Makan Malam dan Ceramah DAP Peringkat Negeri
Melaka

27/03/2010 (Sabtu), 8 malam
Dewan Pay Fong, Melaka
Tetamu Kehormat : YAB Saudara Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau
Pinang

Rakan-rakan anak muda dijemput bersama di dalam setiap program saudara Shamsul. Jom join !

Pejabat Ketua AMK

Mungkin Dalam Hati Mereka, Rakyat Bodoh Dan Pelupa

Li Fook Gao

Jika rampasan kuasa di Perak tidak menjadi masalah kepada mereka, malah disokongnya, apa pula yang nak dibisingkan pada perancangan 916 yang tidak kesampaian?

Tak apa, rakyat dah bosan dengan isu Perak… mereka pun dah lupa. Itu kita tak rampas, mahkamah yang kata Menteri Besar kita sah…. Itu sahaja rakyat perlu ingat… ala.. mereka ini kalau ingat pun, tak akan ingat lama….

Mengapa mereka begitu percaya pada satu kenyataan pengkhianat amanah rakyat yakni ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang menghebohkan tentang konspirasi 916 yang telah berlalu sekian lama?

Apa pula yang tak percayanya…. Tak kisahlah siapa, asalkan cerita itu daripada orang yang benci Pakatan Rakyat, kita akan percaya. Rakyat bukannya kisah… tengok tak ada reaksi pun…. Lambat-laun mereka lupa jaga Zahrain itu seorang katak….

Mengapa pula mereka tidak pula pergi membuat laporan polis terhadap 8 ahli Parlimen daripada BN yang didakwa akan melompat sekiranya 916 berlaku untuk mengesahkan kesahihan dakwaan pengkhianat rakyat tersebut?

Mereka itu masih duduk dalam BN… kita pentingkan persahabatan. Mereka belum lompat, jadi tak boleh kata mereka ini pengkhianat. Ya, kita tahu 916 itu tak menjadi, tapi masih kena siasat ….kita kena cipta isu supaya rakyat jangan hanya teringat pasal GST, Model Ekonomi Baru, kapal selam tak leh selam, jet engin yang dijuallah…. Oops.. silap bukan dijual.. hilang lah… tu lah. Kita kena kaburkan minda mereka…. Tak susah, mereka tu bodoh…

Dalam isu royalti minyak pula, apabila kehabisan hujah untuk menangkis kenyataan-kenyataan berfakta Tengku Razaleigh Hamzah, ketua mereka mengambil pendekatan untuk melakukan serangan peribadi dengan berkata:

“Masalahnya, hari ini saya melihat Ku Li (Tengku Razaleigh) mungkin mengumpan parti untuk buat sesuatu kepada beliau kerana saya nampak dia tidak akan keluar parti. Dia tidak akan buat kesilapan yang sama dua kali ketika keluar parti dahulu, dia mengumpan kepimpinan parti untuk memecatnya atau dikenakan tindakan kerana mahu dianggap sebagai hero.”

Hahahaha… si rakyat mana yang ingat masa Gemilang, Terbilang dan Cemerlang dahulu apa yang berlaku kepada wang ehsan di Terengganu, kan?? Monsoon Cup, Patrick Badawi…. Sshh… sshhh, senyap, jangan ungkit…. Rakyat kan dah lupa pasal kisah aku menantu…

Selepas berudu bertukar menjadi katak-katak, PKR kehilangan majoriti kerusi parlimen dalam Pakatan Rakyat, ketua mereka pula cepat menyibuk dengan berkata:

“Biasanya parti yang paling banyak anggota Parlimen itu yang diberi penghormatan untuk jadi Ketua Pembangkang tetapi sekarang ini mereka masih memberi penghormatan kepada Datuk Seri Anwar. Mungkin mereka terutamanya PAS tak yakin dengan Lim Kit Siang (Anggota Parlimen Ipoh Timur dan veteran DAP), jadi mereka terpaksalah masih lagi memberi sokongan kepada Anwar.”

Rakyat kan bodoh… mereka ini suka berita sensasi… kita besarkan isu, mereka semua akan lupa yang aku ini bukanlah menteri… yalah … aku tahu orang yang aku tewaskan pun dapat jadi Timbalan Menteri… sebab itu aku tak boleh kalah publisiti.. kena reka isu untuk tonjolkan bahawa aku ini lebih berkaliber dalam menghentam PR…. Tu aje..

Baru-baru ini, tanpa sebarang siasatan dijalankan, ketua mereka terus menyuruh rakyat untuk menilai kredibiliti ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan pendedahan Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai rancangan “16 Sept” di Parlimen.

Nak siasat apa, asalkan kita mainkan isu ini tiap-tiap hari supaya ia “stick to the mind” pada rakyat… ia akan jadi benar… rakyat kan bodoh, dahlah pelupa…. Kita tak ada hujah nak lawan dalam banyak isu, sebab itulah kita kena jatuhkan imej mereka ke tahap kita… rakyat tak akan perasan… asalkan kita buatkan mereka sama jijik seperti kita, rakyat akan percaya… kan mereka bodoh…

Soalan Cepu Emas:

Sekiranya rakyat betul-betul bijak, beranikah mereka membuat kenyataan-kenyataan seperti di atas tanpa mengambil kira kesan politik terhadap mereka?

Kesimpulannya, terdapat 3 modal politik yang boleh menjamin kemenangan Barisan Nasional pada PRU-13, 1. Kebodohan rakyat, 2. Sikap mudah lupa rakyat dan 3. Pakatan Rakyat membuat kesilapan besar yang tidak boleh dimaafkan.

Sekiranya rakyat dapat menilai prestasi Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional secara adil, dan mengelakkan diri sendiri daripada tertipu oleh media arus perdana, percayalah Barisan Nasional akan dapat dikalahkan dengan ketiadaan modal (1) dan (2) jika dan hanya jika tanggapan (3) tidak berlaku.

Sumber: Harakahdaily

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

AMK Sasar Daftar 60 Peratus Anak Muda Sabah Pengundi Baru

SHAH ALAM 23 Mac – Angkatan Muda KEADILAN kini giat dalam usahanya untuk mendaftarkan 60 peratus generasi muda Sabah yang berusia 21 tahun ke atas sebagai pengundi dalam strategi menawan negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata selain menumpukan usaha menambah keahlian baru di Sabah, AMK juga kini sedang gigih mendaftarkan ahlinya sendiri yang untuk menjadi pengundi.

Ini kerana menurut beliau, 30 peratus daripada ahli KEADILAN di Sabah dan Sarawak dikenal pasti masih belum lagi berdaftar sebagai pengundi baru.

Untuk mencapai sasaran ini Shamsul berkata AMK melalui Majlis Pimpinan Negeri Sabah mencapai kata sepakat memberi fokus kepada dua perkara.

“Sebagai bukti bahawa kita serius mahu kukuhkan KEADILAN di Sabah, aktiviti parti akan lebih dipergiatkan di peringkat cabang dan ranting.

“Tumpuan juga akan diberikan kepada 32 kawasan Dewan Undangan Negeri  Umno di Sabah dalam melakukan gerak kerja politik dan usaha untuk mendaftarkan pengundi baru di kalangan generasi muda khususnya,” kata beliau sekembali dari lawatan kerja dua hari ke Sabah.

Sehubungan itu gerak kerja ini akan dibantu di peringkat pusat oleh Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff dengan tumpuan kepada usaha mendaftar pengundi baru kata Shamsul.

Beliau juga berkata penerimaan penduduk Sabah terhadap KEADILAN mula menunjukkan perubahan besar apabila ramai penyokong yang majoritinya generasi muda sudah mula buka mata dan menyokong perjuangan KEADILAN melalui siri jelajah ceramah dan majlis anjuran parti di negeri itu minggu lalu.

AMK turut melancarkan kempen tolak fitnah terhadap Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pengedaran cakera padat mengenai fatwa tokoh Ulama Sheikh Yusuf Al-Qaradawi tentang qazaf dan risalah laporan perubatan Mohd Saiful Bukhari Azlan daripada Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua MPN Sabah Ahmad Thamrin Jaini menyeru Cabang, AMK dan Srikandi bekerjasama untuk turun padang di kawasan masing-masing memberi penerangan kepada generasi muda yang mencapai usia 21 tahun agar mendaftar nama mereka di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri atau daerah.

Sumber: Suara-Keadilan

Shamsul Iskandar Mohd Akin

Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

PKR NEGERI SABAH SIAP SEDIA DAFTAR GENERASI MUDA

Saudara Ahmad Thamrin, Pengerusi MPN Keadilan Sabah

PKR Sabah akan menggembleng tenaga Ketua-Ketua Cabang, AMK dan Srikandi serta semua Ketua Penerangan Negeri dan Cabang dimestikan turun padang di tempat masing-masing untuk memberi penerangan kepada generasi muda yang mencapai usia 21 tahun hendaklah mendaftar nama mereka di Pejabat Suruhanjaya Pilihanraya Negeri atau daerah.

Ahmad Tamrin menggesa semua Ketua Ketua Cabang, AMK, Srikandi dan Ketua-Ketua Penerangan PKR dalam Mesyuarat yang diadakan petang tadi bertempat di Pejabat PKR Negeri Kota Kinabalu.

“Generasi muda perlukan perubahan pentadbiran Negeri dan Negara, maka generasi muda mestilah berani bersedia sebagai pemangkin untuk merubah Kerajaan yang zalim kepada sebuah Kerajaan yang betul-betul mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan menolak kepimpinan yang bercorak ala hitler atau ala pimpinan yang berselindung di sebalik telunjuk orang lain,” sindir Ahmad Tamrin, sinis.

Tamrin menyatakan, “Misalnya kalau esok, saya memimpin Negeri atau Negara mengikut telunjuk isteri, maka saya adalah seorang pemimpin yang tidak cekap dan saya perlu dibuang dari memimpin Negeri atau Negara,” tegas Tamrim.

Menjawab satu pertanyaan kata Ahmad Tamrin, “Saya tidak berniat untuk menuding jari kepada siapa-siapa yang berselindung di bawah telunjuk isteri, saya cuma kata ‘misalnya’ tapi kalau saya yang termakan cili, tentu saya sendiri yang terasa pedasnya.”

Bercakap mengenai kempen mendaftar pengundi muda yang berusia 21 tahun, Tamrin berkata “Gerakan secara besar-besaran akan dibuat dari rumah ke rumah untuk memberi kesedaran kepada remaja-remaja Sabah betapa pentingnya mereka mendaftar nama sebagai pengundi jika mereka berhasrat mahu merubah Kerajaan”.

“Mengubah corak pemerintahan UMNO/BN hari ini adalah di tangan muda-mudi kita, citarasa muda-mudi kita hari ini tidak kepada UMNO yang jadi tunggak Kerajaan kerana UMNO dianggap oleh muda-mudi sekarang sebagai sebuah parti politik tradisi yang sudah luput tempoh.”

Turut hadir dalam Mesyuarat Pimpinan PKR Negeri ialah Ketua Angkatan Muda Nasional, Shamsul Iskandar Akin.

Laporan : DATUK HALIK ZAMAN

Pejabat Ketua AMK

PENDEDAHAN ZAHRIN MENGAITKAN 8 YB BN YANG CURANG KEPADA UMNO

Ceramah Pakatan Rakyat hari ini di Pejabat Penerangan Pakatan Rakyat Sepanggar di warnai dengan ceramah dan mesej yang telah di sampaikan oleh Ketua AMK Pusat, Sdr Shamsul Iskandar Akin. Dalam ceramah tersebut beliau telah meminta keluarga Pakatan Rakyat Sabah untuk turun padang dengan lebih kerap lagi untuk menyalurkan sesi penerangan terhadap isu-isu semasa yang sedang berlaku pada masa kini.

Ceramah penerangan di Sepanggar

Sebarkan kepada rakyat Sabah bahawa Perdana Menteri Najib menggunakan setiap sudut kekuatan politiknya untuk menghancurkan kekukuhan Pakatan Rakyat khasnya dan PKR amnya. Pelbagai taktik dan agenda yang tidak baik di laksanakan demi untuk mencapai matlamat UMNO/BN untuk melihat Pakatan Rakyat terlerai dan PKR rebah tersungkur menyembah bumi. Begitu lah niat buruk Najib.

Seawalnya, UMNO/BN cuba untuk menggoncang kekuatan PAS dengan isu Kerajaan Perpaduan. UMNO/BN telah memperbesarkan isu Kerajaan Perpaduan yang di andaikan mampu menggoyah ikatan kukuh Pakatan Rakyat. Namun usaha mereka menemui jalan buntu dan gagal.

Tidak cukup dengan itu, UMNO/BN sekali lagi cuba untuk menggoncang DAP dengan isu kalimah Allah. Pelbagai propaganda telah di sebarkan untuk memudarkan kepercayaan orang-orang Islam terhadap keikhlasan DAP dalam Pakatan Rakyat. Ternyata operasi mereka tidak Berjaya. Gagal lagi.

UMNO/BN sekali lagi cuba membinasakan PKR dengan cubaan memusnahkan karier politik dan maruah Dato’ Seri Anwar dengan kes fitnah ke-2. Tidak hanya Anwar, malah isteri beliau yang juga Presiden PKR juga turut di heret bersama kekancah penghinaan.

Tujuan mereka tidak lain selain untuk mematahkan semangat perjuangan orang-orang Melayu dalam PKR. UMNO/BN berharap orang-orang Melayu yang sensitif dengan isu-isu liwat akan segera menarik diri dari PKR dan kembali ke pangkuan UMNO/BN. Nyata sekali kesemua percubaan UMNO/BN gagal. Bukan sahaja orang-orang Melayu terpengaruh, malahan orang orang Melayu bertambah marah kepada para pemimpin UMNO dan bersimpati pula kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Terkini dan mutakhir, UMNO/BN mempergunakan Zahrin untuk menjatuhkan PKR. Zahrain yang bagaikan lembu di cucuk hidung dengan lantangnya menyatakan dalam persidangan Parlimen mengenai hasrat Dato’ Seri Anwar untuk berjumpa Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agung dan Panglima Tentera Malaysia untuk memaklumkan akan pembentukan sebuah kerajaan baru.

Memang secara logic dan precedent politik semasa, seseorang PM atau Ketua Menteri atau Menteri Besar di bolehkan untuk di lucutkan jawatannya di istana sahaja. Bukan lagi mengikut perundangan di mana perlucutan hanya boleh di buat di dewan negeri/rakyat. Kes “rompakan kuasa” di Perak telah menjadi suatu precedent kepada susur-galur politik di Malaysia sekarang ini.

Ahli-ahli Yang Berhormat UMNO/BN dengan megah mendabik dada dan tertawa ria bila Anwar Ibrahim di aibkan dengan tuduhan-tuduhan “hearsay evidence” daripada Zahrain. Akan tetapi mereka terlupa, dalam masa yang sama, apa sahaja yang di perkatakan oleh Zahrain akan menjadi satu backfire balik kepada UMNO/BN.

Lapan orang YB yang di sebut namanya oleh Zahrin telah di cacatkan imejnya pada pandangan mata Dato Seri Najib dalam Dewan Rakyat. Dengan terdedahnya nama 8 orang YB Dewan Rakyat yang nak lompat ke PKR itu sudah pasti mereka ini tidak ada lagi peluang nak jadi calon di bawah tiket BN pada PRU13 yang akan datang.

Antara Zahrain sedar atau tidak, sikap yang ingin “membantu” UMNO/BN dalam memaklumkan aktiviti PKR telah menghancurkan karier politik mereka dalam UMNO. Najib sudah pasti tidak lagi menaruh kepercayaan kepada kelapan-lapan YB yang di sebut namanya oleh Zahrain itu. Syabas Zahrin engkau telah berbuat kerja baik untuk PKR.

Kepada Zahrain, tahniah di ucapkan kerana niat beliau sebenarnya untuk memalukan Anwar tetapi akhirnya “memakan” UMNO/BN sendiri serta “menikam karier politik” 8 orang ahli Parlimen UMNO yang di sebut namanya oleh Zahrin. Walaupun dinafikan oleh 8 orang YB UMNO tersebut tapi parut lukanya mesti nampak ketara bahawa 8 orang YB tersebut sudah mencacat cederakan ketaatan mereka kepada UMNO dan Najib. Boleh kah Najib percaya mereka?

Demikian Ketua Pemuda Pusat Encik Shamsul Iskandar Akin menamatkan ceramahnya di Sepanggar malam tadi. Turut memberi ceramah ialah Ustaz Annuar Ali PAS Sabah dan Encik Razak Jamil Ketua AMK Sabah.

Laporan Datuk Halik Zaman

Pejabat Ketua AMK

Kerajaan Dicabar Pamer Perjanjian Royalti Minyak

Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim mencabar kerajaan mempamerkan perjanjian royalti minyak antara Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri kepada umum supaya rakyat dapat menilainya sendiri.

“Tuan-tuan pernah lihat perjanjian tersebut? Kenapa perjanjian tiga mukasurat itu tidak boleh dipamerkan kepada umum? Kenapa? Kerana mereka hendak tipu,” katanya.

Isu pemberian royalti minyak kepada Kelantan hangat kembali baru-baru ini apabila dua gabungan NGO daripada Kelantan dan Terengganu mahu menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada Yang di-Pertuan Agung hari ini.

Bagaimanapun, perhimpunan yang dijangka menghimpunkan ribuan rakyat daripada kedua-dua negeri di lapangan terbang Kuala Terengganu pagi ini terpaksa dibatalkan atas arahan polis.

Bercakap dalam seminar kepimpinan anak muda anjuran kerajaan Selangor di Petaling Jaya, Zaid berkata perjanjian royalti minyak antara kerajaan negeri dan Petronas jelas menggariskan pembahagian jumlah yang berhak diterima pihak masing-masing.

“Ia tidak ada sebut tentang jarak berapa batu nautika (yang dipertikaikan kerajaan persekutuan). Ia kata, aku dapat seringgit, engkau (kerajaan negeri) dapat lima sen,” katanya dengan analogi menarik.

‘PERKASA, Siapa hendak rampas hak Melayu?’

Sementara itu, ketika mengulas isu kepimpinan pada abad ke-21, Zaid mengambil peluang mengkritik Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang didakwanya sengaja menakut-nakutkan orang Melayu.

Beliau mempersoalkan kepada NGO pimpinan ahli parlimen Pasir Mas Ibrahim Ali itu berulang kali menyebut kebimbangan terhadap hak-hak keistimewaan orang Melayu seperti yang diperuntukan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam wawancara Ibrahim dengan Malaysiakini, beliau berkata kita mesti pertahankan hak-hak dalam Perkara 153. Saya pun Melayu. Siapa yang hendak ambil hak kita yang dia cakap sangat itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kira-kira 900 peserta perhimpunan kongres tersebut – kesemuanya berumur bawah 35 tahun – supaya tidak terikut-ikut dengan “ketakutan yang sengaja direka oleh orang politik”.

“Di Malaysia ini bumiputera (jumlahnya) besar. Di Sabah dan Sarawak, Iban sahaja sudah 60 peratus. Itu belum campur Melanau. Mustahil hak kita akan diambil oleh sesiapun,” katanya kepada peserta yang kebanyakannya berbangsa Melayu.

Sumber: Malaysiakini

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Nik Aziz Ajak Rakyat Contohi Cara Berpolitik MCA

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu rakyat mencontohi cara berpolitik pemimpin MCA kerana mereka memlilih dan menjatuhkan seseorang pemimpin melalui pemilihan di peringkat dalaman parti.

Pada 4 Mac lalu, 22 angota jawatankuasa pusat (CC) MCA meletakkan jawatan, yang sekaligus menyaksikan Datuk Seri Ong Tee Keat terpaksa bertanding semula jika mahu terus berkuasa.

Menurut Nik Aziz, masyarakat bukan Islam akan memerhatikan bagaimana buruknya politik orang Melayu apabila bertelagah sesama sendiri.

Beliau mengulas dan menyelar tindakan sesetengah pemimpin politik yang mendedahkan keburukan pemimpin lain atau ketuanya di khalayak umum apabila keluar parti.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, jika anggota parti yang tidak suka kepada pemimpinnya, ia boleh diselesaikan di peringkat dalaman mengikut prosedur dalam sesebuah pertubuhan, sama ada melalui mesyuarat agung atau sebagainya.

“Mendedahkan keburukan bekas pemimpin kepada orang lain di khalayak umum perbuatan tidak berakhlak dan tidak bertamadun,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ceramahnya di Dataran Ilmu, di Kota Bharu, hari ini.

Nik Aziz mengulas tindakan Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, yang mendedahkan kepincangan dalam Parti Pakatan Rakyat (PKR), membabitkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila keluar dari parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Terbaru, Zahrain mendedahkan nama lapan Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.

Nik Aziz berkata, anggota parti mempunyai saluran tertentu untuk menjatuhkan pemimpin yang mereka tidak suka dan bukan cara mendedahkan keaiban pemimpin itu di khalayak umum.

“Ini cara tidak kena dan peluang masih terbuka untuk pihak yang melakukan perbuatan itu kembali ke pangkal jalan untuk bertaubat daripada melakukan kesalahan itu,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Isu Tanah TNB: Jawatankuasa Dibentuk

Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersetuju untuk membentuk jawatankuasa bersama dengan penduduk kampung baru Rawang untuk mencari penyelesaian dalam pertikaian melibatkan tanah di situ.

Keputusan untuk membentuk jawatankuasa itu dicapai pada pertemuan dengan sepuluh wakil penduduk kampung dan lapan pegawai TNB, dipengerusikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah exco kerajaan tempatan Ronnie Liu, ahli parlimen Selayang William Leong dan wakil rakyat Rawang Gan Pei Nei.

Keputusan untuk membentuk jawatankuasa bersama itu timbul berikutan tindakan TNB mengancam untuk meruntuhkan perkampungan berkenaan pada Isnin lalu, bagi membina menara kabel rentangan tinggi.

Operasi merobohkan kampung berkenaan bagaimanapun dibatalkan pada saat terakhir apabila penduduk menghalang pihak berkuasa memasuki tanah berkenaan.

Berikutan ini, kerajaan mengumumkan operasi tersebut ditangguhkan bagi membolehkan rundingan hari ini dijalankan.

Pada kejadian dua hari lalu, lebih 200 orang berhimpun di jalan masuk menuju Kampung Sg Terentang, Rawang dalam usaha terakhir mereka menghalang TNB daripada menyambung semula kerja-kerja pembinaan dalam projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di kampung mereka.

Kes berkenaan pernah dibawa ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu dan mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu.

Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat.

Apabila siap kelak, projek yang membabitkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 59km, kira-kira satu kilometer jaraknya dari Kampung Sg Terentang itu akan menyaksikan pembinaan lima menara satu tiang.

Projek CAR akan meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada 33kV kepada 275kV dan membantu mengatasi kekurangan kuasa di Lembah Klang.

Sumber: Malaysiakini

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia