Identiti adalah satu ciri penting manusia. Hakikatnya manusia mempunyai berbilang identiti. Ia boleh berasaskan ras, agama, kerakyatan dan sebagainya. Malah pekerjaan dan sikap juga boleh membentuk identiti seseorang. Namun setiap orang berkongsi satu identiti yang sama, iaitu sebagai insan.
Amartya Sen, penerima anugerah Nobel dan pemikir terkenal yang berasal dari India, membicarakan topik identiti dengan begitu menarik di dalam bukunya Identity and Violence: The Illusion of Destiny.
Seringkali terjadi sesuatu tindakan diambil hanya semata-mata berasaskan identiti tanpa sebarang pertimbangan nilai. Identiti ras menjadi cukup sebab untuk seseorang atau sesuatu kelompok manusia dibunuh. Pembunuhan di Rwanda berlaku hanya semata-mata kerana seseorang itu adalah Tutsi atau Hutu. Konflik Balkan tercetus kerana bangsa Serb membuat keputusan bahawa mereka benci kepada orang Bosnia yang sejak sekian lama hidup bersama di bawah Persekutuan Yugoslavia.
Manusia tidak boleh memilih identiti ras. Namun terdapat identiti yang boleh dipilih. Identiti pilihan ini juga mampu menjadi sebab kepada timbulnya perseteruan.
Konflik yang berlaku kini di antara segelintir penganut Islam dengan dunia Barat bukan sekadar bertunjangkan identiti agama. Meski kemarahan kelompok minoriti yang cuba menampilkan imej Muslim ini pada asalnya ialah terhadap ketidakadilan, terhadap kezaliman dan pembunuhan yang dilakukan oleh kerajaan Israel dan Barat terhadap umat Islam, khususnya di Palestin, kemarahan mereka meluas terhadap setiap dan semua yang beridentitikan Barat.
Menjelang Eidul Fitr baru-baru ini, kita menerima berita bahawa pihak berkuasa Indonesia telah membunuh Nordin M. Top yang dianggap sebagai pengganas paling dikehendaki di negara tersebut. Nordin bukan orang Palestin, bukan orang Arab dan bukan orang Afghanistan. Tetapi Nordin memilih identiti bersama, di dalam minda beliau, dengan mereka yang memilih jalan keganasan untuk menentang kezaliman Yahudi dan Barat.
Kepada Nordin dan jaringan keganasan yang menjadi identitinya, pemilihan sasaran serangan mereka hanya berasaskan identiti semata-mata. Identiti sebagai orang Barat atau ‘orang putih’ sudah menjadi cukup alasan untuk dibunuh. Kerana itu sasaran mereka ialah lokasi-lokasi seperti hotel yang menjadi tumpuan pelancong di Indonesia. Kepada mereka identiti ‘orang putih’ itu menjadi pertimbangan utama sedangkan mungkin ada di kalangan ‘orang putih’ yang terkorban itu adalah penentang kezaliman Israel di Palestin.
Ternyata manusia boleh memilih identiti. Pemilihan identiti ialah satu keputusan yang penting dalam kehidupan seseorang. Ia memberi impak yang sangat besar dan mempengaruhi keputusan dan perilaku individu. Kadangkala keterikatan kepada identiti tertentu membentuk mentaliti kawanan (herd mentality) yang memudahkan sekelompok manusia dimanipulasi dan dikawal.
Kerana itu kempen 1Malaysia dijalankan dengan begitu bersungguh-sungguh. Identiti baru rakyat Malaysia cuba dibentuk di kalangan rakyat. Sudah tentu identiti baru ini lengkap dengan aturan keutamaan dan citranya tersendiri yang mahu diterapkan.
Oleh kerana pelopor gagasan 1Malaysia ini adalah seorang pemimpin
yang tercalar dengan salahguna kuasa, rasuah dan malah ditanggap umum sebagai mempunyai kaitan dengan pembunuhan, maka sudah tentu mereka yang boleh menerima gagasan ini juga boleh menerima sifat-sifat negatif yang dimiliki pelopornya.
Maka rakyat Malaysia lambat laun akan menjadi mangli dan toleran kepada sifat-sifat negatif tersebut. Lebih malang apabila ia dianggap ciri-ciri asasi identiti 1Malaysia yang mahu diterapkan.
Oleh yang demikian rakyat Malaysia yang berpegang kepada nilai dan prinsip, yang erat kepada identiti bersih dan berintegriti mempunyai tugas yang berat. Kita perlu bersama menggandakan usaha untuk membina identiti Malaysia yang berpaksikan nilai yang luhur dan murni. Identiti ini perlu menggenggam erat prinsip dan citra integriti dan menolak, malah bersedia menentang, gejala rasuah.
Kerana kita percaya korupsi akan mewujudkan masyarakat yang bejat dan merosakkan fabrik sosial rakyat negara ini, kita perlu bertindak.
Justeru Laporan Rasuah Global 2009 Transparency International (TI) seperti yang dihebahkan kepada umum Rabu lalu, mesti diberi perhatian mendalam oleh sang penguasa agar ia boleh menjadi panduan dan kayu ukur di dalam menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai 1 Ikhtiar Nasional. Tentunya 1 Ikhtiar Nasional ini menuntut segenap lapisan masyarakat untuk mempunyai keazaman bagi melahirkan identiti baru Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah.
Laporan Rasuah Global 2009 TI mendedahkan lebih 70 peratus daripada responden yang disoal selidik berhubung rasuah di Malaysia menzahirkan kekecewaan dan juga hilang kepercayaan terhadap usaha kerajaan untuk membanteras rasuah. Mereka juga bosan dengan penularan gejala itu yang terus berleluasa.
Ternyata wujud krisis keyakinan yang serius di kalangan rakyat terhadap pemerintah kini. Antara sebab utama pudarnya keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan membanteras rasuah ini tentunya pendedahan-pendedahan skandal terkini yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kes kematian Teoh Beng Hock ketika disoal siasat menimbulkan seribu satu tanda tanya berhubung kaedah siasatan dan pengumpulan bukti, skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan juga kegagalan SPRM melakukan tindakan susulan terhadap kes VK Lingam yang membabitkan campur tangan tidak wajar di dalam perlantikan hakim adalah isu-isu utama yang menjadi keprihatinan rakyat.
Di dalam skandal PKFZ misalnya, Ketua Polis Negara, Musa Hassan lebih berminat untuk menyiasat siapakah sang menteri yang kononnya membocorkan kertas kabinet berkaitan pembangunan PKFZ yang mendedahkan ‘kompromi’ kabinet untuk menghalalkan penyelewengan wang rakyat. Beliau tidak menunjukkan sebarang kesungguhan atau minat untuk menyiasat siapakah sang menteri dan konco-konconya yang menjadi dalang skandal PKFZ ini.
Pada hemat saya, apa yang lebih membimbangkan ialah pendedahan Datuk Paul Low, Presiden Transparency International (TI) Malaysia yang membandingkan kedudukan Malaysia sekarang di kalangan negara serantau tidak boleh dianggap selesa. Ambil sahaja Indonesia sebagai contoh. 76 peratus rakyatnya berpuas hati dengan tindakan kerajaan mereka membanteras rasuah. Persoalan yang bermain di benak fikiran saya, apakah Malaysia akan dikenali dengan identiti kerajaan yang korup sepertimana dialami oleh Indonesia satu masa dahulu?
Di dalam keadaan keparahan identiti ini pun, UMNO masih lagi bercadang untuk meletakkan seorang calon yang terpalit dengan rasuah di Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang.
Malang!
Shamsul Iskandar
Nota : Artikel ini akan diterbitkan di surat khabar Era Pakatan.