Tawaran Jingga Untuk Rakyat Malaysia! – Pakatan Rakyat

Dari: Keadilan Daily

11 Januari 2012

Tawaran Jingga untuk rakyat 14 Januari ini

(Oleh: Nabihah Hamid)

PETALING JAYA 11 Jan: Manifesto Pakatan Rakyat untuk Pilihan Raya Umum ke-13 akan dikemukakan pada konvensyen Pakatan Rakyat yang bakal diadakan di Alor Setar, Kedah 14 Januari ini.

Ahli parlimen Pakatan Rakyat di sidang media hari ini mendedahkan bahawa manifesto berkenaan akan dibentangkan melalui beberapa kertas kerja yang memfokuskan isu rakyat.

“Konvesyen ini adalah konvesyen yang penting dalam memberitahu rakyat tentang tawaran pakatan melalui Tawaran Jingga yang akan dilancar dalam manifesto,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Antara kertas kerja yang akan dibentangkan ialah mengenai pembaharuan memulihkan perkhidmatan awam oleh exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan isu ‘Federalisme’, oleh Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula akan menyampaikan kertas kerja mengenai anti-monopoli dan Pengerusi Biro Felda Kebangsaan KEADILAN, Suhaimi Said akan membentangkan kertas kerja tentang reformasi Felda.

Menurut Mahfuz, dengan tema ‘Bersihkan Malaysia’, konvensyen kali ini lebih memfokuskan gerak kerja dan strategi bersama tiga parti dalam persediaan pilihan raya umum akan datang

“Konvensyen ini akan memberikan rakyat Malaysia gambaran bagaimana Pakatan bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu dalam negara untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang dimiliki oleh semua rakyat Malaysia, iaitu satu keluarga yang berbilang kaum,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Manakala Naib Presiden KEADILAN, N.Surendran berkata Konvensyen ini akan mengumpulkan dan menampil pelbagai pendapat terutamanya dari badan NGO dan Mahasiswa.

“Ini merupakan satu tempat di mana kelompok-kelompok yang datang dari badan bebas serta mahasiswa untuk menyuarakan pendapat mereka,” kata beliau.

Menurut Ketua Pemuda Dap, Anthony Loke Siew pula, Pakatan akan bekerja keras mengatur strategi bersama dalam konvesyen ini untuk persediaan pilihanraya.

“Kita akan lebih kuat dan mengaturkan lebih strategi. Tawaran jingga ini banyak memfokuskan kepada isu-isu masalah rakyat seperti Felda, monopoli, penjawat awam dan sebagainya.

“Ini akan memberi rakyat apa yang kita mampu tawarkan untuk rakyat dalam menawan Putrajaya,” atanya pada wartawan.


—Keadilan Daily

2 Hari Menjelang #BebasAnwar901: AMK di Kota Raya

Petang ini (Sabtu, 7 Januari), Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Sdr. Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama AMK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan mengedar risalah Bebas Anwar 901 di Pasar Malam Jalan Tuanku Abdul Rahman(TAR) dan kawasan sekitar.

Rapat Umum bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di
Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru.
Ahad, 8 Januari 2012
8.30 malam

Ayuh ramai-ramai bersama mendengar amanat dari Datuk Seri Anwar Ibrahim!

Dan jangan lupa, 9 Januari 2012 ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk solidariti terhadap
Datuk Seri Anwar Ibrahim!

Keadilan Untuk Anwar! Ayuh turun 9 Januari 2012!


—Team Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia

Pakatan Rakyat Tetap Mara!

Keadilan Untuk Anwar! Ayuh turun 9 Januari 2012!


Kenyataan Media

Oleh: YB Azmin Ali

3 Januari 2012

Muslihat UMNO-BN Tidak Akan Menggelincirkan KEADILAN dan Pakatan Rakyat Dari Perjuangan Melaksanakan Perubahan.

Reformasi 98 tercetus apabila rakyat bangkit meluahkan rasa marah dan tidak puas hati mereka terhadap kezaliman UMNO. Berhadapan dengan krisis kewangan 97/98, pentadbiran Dr Mahathir mulai dipertikaikan rakyat. UMNO terburu – buru untuk menyelamatkan elit korporat dan kaum keluarga yang dekat dengan pemerintah. Menjadi halangan kepada cita cita mereka adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan tuntutan rakyat. Mantan Menteri Kewangan yang kini Ketua Umum KEADILAN itu tuntas mahu menyelamatkan negara dan rakyat. Dato’ Seri Anwar tidak bertolak ansur dengan hasrat menggunakan dana awam demi menyelamatkan kroni pemerintah. Maka sebagaimana yang dirakamkan oleh sejarah, Dato’ Seri Anwar dihumban ke penjara dan diaibkan dengan fitnah melampau yang direkayasa UMNO.

Selepas meringkuk selama 6 tahun beliau pun dibebaskan. Bersama – sama pimpinan KEADILAN dan kerjasama PAS serta DAP maka kita berjaya mengecapi keputusan yang memberangsangkan pada tahun 2008. Sejarah pun tercipta. Permuafakatan Pakatan Rakyat kian hari semakin kukuh didasari cita-cita membangunkan Malaysia yang lebih gagah, A Mighty Malaysia. Menyedari rakyat Malaysia bersama-sama dengan Pakatan Rakyat, UMNO terus menganyam muslihat baru yang dicedok dari skrip usang. Sekali lagi DSAI ditohmah dengan fitnah keji. Makanya pada 9hb Januari 2012 adalah tarikh genting. Ianya bukan sahaja mengenai batang tubuh Dato’ Seri Anwar dan keluarga beliau. Akan tetapi keputusan mahkamah pada hari itu pastinya melibatkan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Adalah jelas kes ini bermotifkan politik dan berniat jahat. Pimpinan UMNO-BN mahu memastikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri seperti yang dipersetujui Permuafakatan Pakatan Rakyat.

UMNO menyangka rekayasa jelik itu akan memecah-belah dan menjejaskan usaha Pakatan Rakyat dari memenangi Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Akan tetapi itu merupakan angan-angan mereka semata-mata. Kami bertegas muslihat ini tidak akan menggelincirkan Pakatan Rakyat dari tekad untuk menubuhkan kerajaan persekutuan. Peringatan keras untuk UMNO, apa pun konspirasi untuk memenjarakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kami pasti akan bangkit meruntuhkan tembok kezaliman. Pakatan Rakyat telah sepakat bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke 7.

Walau apapun keputusan pada 9hb Januari nanti, pimpinan KEADILAN bersama-sama Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia keseluruhannya telahpun bersedia menggalas amanah memimpin negara serta berusaha mengembalikannya ke landasan yang tepat. Justeru saya memberi jaminan bahawa kepimpinan KEADILAN akan terus menerajui agenda rakyat. Persoalan kepimpinan sememangnya diputuskan melalui permuafakatan dalam parti. Semenjak dari penubuhannya kepimpinan parti merupakan suatu “evolutionary process,” dan bukannya suatu “revolutionary process.”

Yakinlah bahawa kita akan terus istiqamah meneruskan perjuangan murni ini. Adalah menjadi tanggunggjawab kita semua untuk melaksanakan segala kebijakan, dasar dan agenda yang telah digarap sepertimana yang terkandung dalam Agenda Ekonomi Malaysia, Dasar Bersama PR, Buku Jingga dan Belanjawan PR.

Justeru saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kekal menjana kekuatan dan memperkukuh usaha untuk memenangi Piliharaya Umum ke 13. Kemenangan tersebut adalah Demi Malaysia yang demokratik, Malaysia yang makmur, Malaysia yang aman dan harmoni, Malaysia yang bebas serta Demi Malaysia baru milik rakyat.

Inshaallah, saya, seluruh pimpinan dan seluruh rakyat Malaysia akan hadir menyatakan sokongan dan bersama-sama Dato’ Seri Anwar pada hari tersebut, 9hb Januari 2012.


Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Undang-undang Hubungan Kaum Dangkal – Pakatan Rakyat


Dari: Malaysian Insider

29 Disember 2011

Pakatan sifatkan undang-undang hubungan kaum dangkal

KUALA LUMPUR, 29 Dis — Pakatan Rakyat menolak cadangan mewujudkan undang-undang hubungan kaum sambil menyifatkan ia helah Barisan Nasional (BN) untuk menarik sokongan rakyat melalui konsep 1 Malaysia, yang bertujuan memperkukuhkan perpaduan.

Bagaimanapun wakil rakyat dari pemerintah telah mencadangkan undang-undang itu, yang akan dibentangkan pada Mac, ia merupakan undang-undang yang dilihat mencerminkan komitmen pentadbiran Najib terhadap kepelbagaian budaya dan toleransi.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata walaupun dengan undang-undang sedia ada, kumpulan sayap kanan dan akhbar aliran utama telah bertindak mengeluarkan perkara-perkara berbaur perkauman dan hasutan.

Beliau menjelaskan keadaan yang berlaku itu membuktikan BN lebih berminat untuk terus menggunakan langkah transformasi dangkal daripada membenarkan institusi sedia ada melindungi hak semua rakyat Malaysia.

“Walaupun kita mempunyai undang-undang hubungan kaum yang sempurna, tanpa pelaksanaan yang adil ia akan menjadi ejekan bagi rakyat – sama seperti pengumuman perdana menteri sebelum ini mengenai Malaysia akan menjadi negara demokrasi terbaik di dunia,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Lembah Pantai ini menambah undang-undang baru perlu diwujudkan dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan sahaja dibenarkan BN tetapi menegaskan pemimpin kerajaan tidak memahami hak yang diberikan kepada rakyat.

Putrajaya sepatutnya menubuhkan satu jawatankuasa pilihan Parlimen untuk mengkaji kesan Akta Hubungan Kaum, mempertimbangkan “baik, tidak bijak” undang-undang yang dicadangkan itu, tambahnya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata ia akan bagus untuk kerajaan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz untuk mengadakan perbincangan mengenai undang-undang baru itu sebelum dibentangkan di Parlimen.

Beliau juga tidak yakin sekiranya ia merupakan satu keperluan untuk mewujudkan undang-undang baru itu di Malaysia yang tidak menghadapi mana-mana masalah serius.

“Tiada keperluan mewujudkan undang-undang ini, selain itu ia memerlukan perbincangan,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini.

Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong berkata terdapat unsur “curiga” sambil menyifatkan ia seperti kembali kepada mentaliti Perang Dingin yang bertentangan dengan ucapan perdana menteri pada sambutan Hari Malaysia.

“Mentaliti Perang Dingin adalah tentang mengawal dan menganggap kerajaan tahu yang terbaik,” katanya.

“Tetapi konteks telah berubah. Persoalannya sekarang adalah ia bukan lagi tentang mengawal tetapi bagaimana untuk memperbudahkan dialog.”

Ahli Parlimen Bukit Bendera ini juga mempersoalkan sekiranya perlu untuk mewujudkan undang-undang itu sekarang memandangkan semua kaum hidup secara bersama dan orang Melayu merupakan majoriti di kebanyakan bandar.

“Adakah persoalan tentang kaum masih penting?,” soalnya.

Wakil rakyat Umno Datuk Seri Azalina Othman Said berkata memandangkan beliau belum diberikan penerangan tentang Akta Hubungan Kaum, ia mungkin undang-undang yang dicadangkan melalui satu respons di debat talian hangat.

“Saya mengandaikan ia memberikan faedah kepada kerajaan, mesti ada alasan untuk itu,” kata Ahli Parlimen Pengerang ini.

“Ia lebih mudah membangkitkan kemarahan dalam banyak perkara di Internet terutamanya apabila nama penulis dirahsiakan. Mereka boleh mencetuskan lebih banyak kemarahan melalui tulisan dan Facebook.”

Tetapi Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata rakyat akan memberikan tafsiran yang salah tentang hasrat undang-undang itu sambil menambah ia bukan tentang mengatur hubungan antara kaum tetapi mencegah perkara-perkara yang bersifat perkauman dan keagamaan.

“Ia bukan tentang menguruskan hubungan antara orang Melayu, Cina dan India. Ia tentang memastikan anda tidak didiskriminasikan berdasarkan warna atau kaum,” katanya.

Beliau berkata undang-undang yang dicadangkan itu akan memastikan Malaysia menjadi negara yang “setaraf” dengan dunia maju, merujuk ia seperti undang-undang di Britain.

“Ia satu akta yang menarik. Ia akan menuju ke arah Malaysia yang lebih baik. Ia akan mewakili semangat 1 Malaysia. Kita sepatutnya menyokongnya.”


—Malaysian Insider

Keadilan Untuk Anwar! Ayuh turun 9 Januari 2012!

Ceramah Isu Semasa 30 Disember 2011

Ceramah Perdana Isu Semasa #BebasAnwar901

Tarikh: 30 Disember 2011 (Jumaat)
Masa: 9.00 malam
Lokasi: Dewan Orang Ramai Blok A, Taman Melati (Cabang Wangsa Maju)

Penceramah:
YB Zuraidah Kamaruddin (Ahli Parlimen Ampang, Ketua Wanita PKR)
Sdr. Shamsul Iskandar Md Akin (Ketua Angkatan Muda KeADILan(AMK) Malaysia)
Datuk Dr. Tan Keek Kwong (Penyelaras PKR Cabang Wangsa Maju)
Sdr. Ishak Surin (YDP PAS Batu)

Semua dijemput hadir untuk mendengar hal berkaitan isu-isu semasa dan isu DS Anwar

—Team Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia

Serangan Gereja di Nigeria, KeADILan Selar Tindakan Tersebut

Dari: Keadilan Daily

26 Disember 2011

KEADILAN selar serangan gereja di Nigeria

KUALA LUMPUR 26 Dis: KEADILAN menyelar serangan ke atas gereja di Nigeria ketika sambutan perayaan Krismas oleh masyarakat Kristian di negara itu, semalam.

Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, serangan terbabit yang dilakukan kumpulan yang menggelarkan diri mereka “Boko haram”, mencemar imej dan kesucian Islam.

“Perbuatan demikian terkutuk di sisi Islam, kerana jelas Al Quran menyebut bahawa rumah ibadat seperti gereja, kuil dan sebagainya tidak boleh dibinasakan kerana nama tuhan masih disebut di dalamnya.

“Perbuatan demikian mengundang persepsi negatif yang dihadapi dunia Islam di dunia barat, bahawa Islam menghalalkan ekstrimisme agama,”

“Pakatan Rakyat khasnya KEADILAN menyatakan rasa kesal yang amat sangat kepada perbuatan sedemikian,” tegas beliau kepada Keadilandaily.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas turut mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ke atas penganut Kristian dan gereja di Nigeria, kata pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas, Datuk Kamarudin Jaffar.

Menurutnya, Pas juga turut menyokong kenyataan Majlis Muslim Britain semalam yang turut sama mengutuk serangan itu.

“Pas bersama masyarakat antarabangsa mengutuk keras serangan terhadap gereja Kristian tersebut.

“Kita juga menyokong kenyataan Majlis Muslim Britain yang mengutuk serangan tersebut,” katanya kepada Harakahdaily.

Setiausaha Agung Majlis Islam Britain Murad Farooq, dalam kenyataannya berkata bahawa orang Islam yang beriman tidak boleh membiarkan serangan ke atas tempat-tempat ibadat penganut agama lain termasuk Kristian apatah lagi serangan itu berlaku pada perayaan yang paling penting bagi mereka.

Pada pagi Krismas lalu, dua gereja iaitu gereja St Teresa dan gereja Evangelical yang menagkibatkan sekurang-kurangnya 15 orang menjadi mangsa.


—Keadilan Daily

Konvensyen Pakatan: Umum Manifesto Bersama

Dari: Malaysian Insider

24 Disember 2011

Pakatan akan umum ‘manifesto bersama’ di konvensyen kebangsaan

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Pakatan Rakyat akan mendedahkan manifesto bersama parti perikatan itu pada konvensyen kebangsaan bulan depan di mana pemimpin tertinggi percaya ia akan menekankan dan membantu menyatukan persediaan mereka dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Difahamkan manifesto Pakatan Rakyat berbentuk “mudah, ringkas” dan “halus” untuk memberikan dan menjelaskan maklumat penting apa yang ditawarkan gabungan tiga parti itu kepada rakyat.

Sebelum ini The Malaysian Insider melaporkan Pakatan Rakyat berkemungkinan akan mengadakan konvensyen kebangsaan yang terakhir di Kedah pada 14 Januari depan untuk merangka strategi pilihan raya mereka.

“Sekarang, ia (manifesto bersama) akan diperkenalkan semasa konvensyen kebangsaan. Butirannya belum dimuktamadkan tetapi kami kerap bertemu untuk menyiapkan semuanya,” kata Pengarah Straregik PKR Rafizi Ramli.

“Manifesto ini akan mengandungi dasar-dasar yang paling penting dan matlamat tiga parti dalam Pakatan Rakyat…ia akan diperhalusi. Kami tidak boleh membawa begitu banyak mesej semasa pilihan raya, jadi pengundi akan mudah faham dengan apa yang ditawarkan kami iaitu sebagai satu gabungan dan bakal kerajaan,” tambahnya.

Manifesto Pakatan Rakyat akan “menyatukan” kedua-dua Rangka kerja Bersama dan Buku Jingga, menurut Rifizi.

Buku Jingga yang dibentuk secara bersama menawarkan beberapa aspek utama dalam tempoh 100 hari selepas menawan Putrajaya termasuk memberikan elaun bulanan RM500 kepada guru yang akan membelanjakan kos keseluruhan sebanyak RM3.2 bilion setiap tahun.

Ia juga turut akan mengambil langkah tertentu untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA), memansuhkan sistem tol serta menawarkan akses perkhidmatan Internet tanpa wayar di kawasan bandar dan luar bandar.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah melakukan transformasi dalam pentadbiran termasuk memansuhkan ISA, menggubal undang-undang perhimpunan aman serta membenarkan pelajar berumur 21 tahun ke atas untuk menyertai politik luar kampus.

“Ia seperti manifesto pilihan raya. Kami akan memberikan tumpuan tentang apa yang kami ketengahkan seperti bagaimana kempen Tony Blair pada 1999 yang memberikan fokus kepada beberapa kisu utama,” kata Rafizi.

Bekas perdana menteri UK Blair berjaya memimpin Parti Buruh memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya umum 1997 negara itu dan melaksanakan beberapa manifesto termasuk memperkenalkan gaji minimum, Akta Hak Asasi dan Akta Kebebasan Maklumat.

Pemimpin Pakatan Rakyat yang bertanggungjawab untuk merangka manifesto bersama itu terdiri darida Rafizi, Nurul Izzah Anwar, Saifuddin Nasution Ismail, Chua Tian Chang, Dr Dzulkefly Ahmad, Salahuddin Ayub, Dr Hatta Ramli, Tony Pua, Liew Chin Tong, Teresa Kok dan Anthony Loke.

Rafizi menegaskan manifesto itu dirangka pada masa yang tepat, menambah bahawa ia menunjukkan walaupun PKR, PAS dan DAP berlainan idealogi namun berjaya disatukan secara bersama seperti satu perjanjian.

“Kami tidak menang pilihan raya hanya kerana sokongan penyokong kami…kami memerlukan manifesto ini untuk ditawarkan kepada pengundi. Isu-isu yang dibangkitkan seperti gaji, kos sara hidup yang tinggi. Ini akan menarik perhatian generasi muda,” katanya.

Dijangkakan konvensyen itu akan menjadi tumpuan, Rafiziz berkata perbicaraan liwat yang melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diumumukan pada 9 Januari turut akan mempengaruhi suasana.

Keputusan perbicaraan kes liwat Anwar yang telah mengambil masa selama dua tahun itu dijangka akan berakhir pada 9 Januari yang melibatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dengan bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tiga tahun lepas.


—Malaysian Insider

Konvensyen Pakatan Rakyat Januari ini, Fokus #PRU13

Dari: Malaysian Insider

22 Disember 2011

Konvensyen nasional Pakatan bulan depan, fokus spesifik hadapi PRU-13

KUALA LUMPUR, 22 Dis — Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan konvensyen kebangsaan bulan depan, dilihat sebagai yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 – pertemuan yang akan memfokus persiapan menghadapi pilihan raya umum.

The Malaysian Insider difahamkan konvensyen itu akan diadakan di Kedah pada 14 Januari.

Konvensyen-konvensyen sebelum ini masing-masing diadakan di Selangor dan Pulau Pinang – kedua-duanya ditadbir oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Konvensyen nasional itu yang akan bertindak sebagai usaha melancarkan hubungan kerja antara komponen PR – PKR, PAS dan DAP juga akan memfokus ‘game plan’ mereka menghadapi Barisan Nasional (BN).

“Kami merancang untuk memfokus pendekatan terperinci dalam mencapai visi dan tawaran kami bagi rakyat Malaysia.

“Pelannya ialah memperhalusi pelbagai rancangan kami bagi Malaysia, jika diberi peluang untuk menerajui peringkat pusat,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar kepada The Malaysian Insider.

Naib Presiden PKR ini berkata, fokus konvensyen sangat spesifik – pemimpin-pemimpin PR akan menyediakan ahli-ahlinya membuat persiapan menghadapi pilihan raya, dengan menjelaskan mereka isu-isu yang perlu ditangani ketika bercakap dengan pengundi berpotensi.

Katanya, pembangkang persekutuan ini akan memastikan manifesto atau rancangan masa depan disusun ke arah menarik pengundi-pengundi muda.

“Kami ada pelbagai dokumen sehingga kini – dari Buku Jingga, pelan 100 hari, Agenda Ekonomi Rakyat Malaysia dan kejayaan-kejayaan kerajaan negeri dipimpin PR,” katanya lagi.

Katanya, PR akan menjelaskan kepada pengundi bahawa mereka akan satu penyelesaian dan pasukan pemimpin yang akan mengurangkan ketirisan dan mengatasi rasuah jika dapat menerajui Putrajaya.

Bagaimanapun beliau tidak menjawab sama ada pihaknya akan mengumumkan barisan Kabinet bayangan ketika konvensyen kelak.

“Kami komited kepada Kabinet yang kecil jika diberi mandat kelak. Fokus kekal ke atas rancangan dan dasar-dasar yang dapat menangani soal kemerosotan institusi kita.

“Pilihan PR berkenaan PM jelas tetapi buat masa sekarang fokus kekal ke atas soal menang kerusi-kerusi persekutuan, membolehkan kami memperoleh majoriti selesa,” katanya lagi.

Pilihan raya umum 2008 menyakskan BN melalui prestasi paling buruk dengan kehilangan lima negeri dan 82 kerusi Parlimen, sekali gus keciciran majoriti dua pertiga.


—Malaysian Insider

Lebih Baik Diperkuda dari Diper-LEMBU-kan

Dari Malaysian Insider

5 Disember 2011

Lebih baik diperkuda dari diperlembukan, Pakatan jawab Umno

SHAH ALAM, 5 Dis — Selepas berhadapan dengan serangan bertubi-tubi Umno ketika perhimpunan mereka hujung minggu lalu, Pakatan Rakyat pula menggunakan platform rapat rakyat malam tadi untuk melawan pesaing politiknya dengan mendakwa Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak telah gagal memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia.

Malah, dengan menggunakan sepenuhnya dakwaan salah guna dana dan penyelewengan dalam projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dan kemerosotan indeks persepsi rasuah, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyerang balik Umno yang hujung minggu lalu melemparkan siri tuduhan, dakwaan dan tanggapan negatif mengenai mereka.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, tanpa ragu-ragu Umno telah bertindak secara tidak bermoral dengan menyalahgunakan dana yang dikhususkan bagi projek NFC dan kemudian mempertahankan Ketua Wanitanya Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Projek NFC diuruskan oleh keluarganya Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Isu berkenaan dengan masalah dalam NFC pertama kali terdedah menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Kemudian, kepimpinan PKR mendakwa suami Shahrizat, Datuk Mohamed Salleh Ismail telah menggunakan berjuta-juta ringgit dari dana NFC dalam urusan dalam termasuk pembelian dua unit kondominium mewah bernilai RM13.8 juta dan perbelanjaan peribadi.

“Hanya mereka yang tidak bermoral boleh melemparkan kata-kata penghinaan (ke atas Pakatan Rakyat), boleh mencuri RM250 juta, dan kemudian mempertahankan diri mereka.

“Kesalahan pertama adalah salah guna dana dan kedua ialah mempertahankan tindakan mereka,” kata Anwar di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Turut hadir Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKr Azmin Ali.

Turut hadir Sasterawan Negara Datuk Samad Said, yang muncul ikon baru dalam arena sosiopolitik negara ketika perhimpunan Bersih 2.0 menuntut pembaharuan sistem pilihan raya, Julai lalu.

Hadi juga menyentuh skandal NFC dengan menafikan segala tuduhan dilemparkan oleh Umno ketika perhimpunan agung tahunannya.

Sepanjang hujung minggu lalu, Umno mendakwa PAS dipergunakan oleh DAP manakala MCA pula mengatakan bahawa DAP berada dalam telunjuk PAS.

“PAS diperkudakan oleh DAP. DAP diperkudakan oleh PAS… Umno diperlembukan,” katanya.

“Lebih baik diperkuda daripada diperlembukan kerana kuda untuk perjuangan, lembu untuk disembelih,” kata beliau.

Nik Aziz pula mendakwa Umno mengabaikan prinsip-prinsip Islam ekoran desakan MCA, rakannya dalam BN.

“Umno dipaksa menolak Islam sebab ia mahu memuaskan MCA,” katanya lagi.

Dengan merujuk kepada Indeks Persepsi Rasuah terbitan Transparency International, Lim berkata, negara telah merosot 13 tempat ke kedudukan ke-60 sejak Najib mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009.

“Apakah Umno boleh berubah? Apakah Umno boleh berubah? Kita perlu mengubah Umno. Dan, untuk membawa perubahan, kita perlu memastikan bahawa Datuk Seri Najib menjadi ketua pembangkang selepas pilihan raya umum ke-13.

“Kita boleh memulakan sekarang, bab (dalam sejarah negara) di mana akan ada keadilan, kebebasan dan kemakmuran bagi semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Pakatan Rakyat memulakan siri majlis rapat umum dengan yang pertama di Shah Alam malam tadi.

Dalam Perhimpunan Agung Umno yang berakhir kelmarin, Anwar merupakan antara individu yang dihentam kuat oleh pemimpin dan perwakilan Umno termasuk oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Perhimpunan Umno itu juga seolah-olah menjadikan Anwar sasaran utama ‘balas dendam’ parti itu sepanjang persidangan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno menuduh PAS diperkudakan oleh DAP dan tidak lagi memperjuangkan Islam.

DAP pula dilabel sebagai parti cauvinis Cina yang sedang menggugat kuasa orang Melayu di negara ini.

Selain di Shah Alam malam tadi, majlis seumpama itu juga akan diadakan di Perak pada 10 Disember ini dan di Pulau Pinang pada 18 Disember.


—Malaysian Insider

Sila hadir beramai-ramai ke Mahkamah Jalan Duta bagi memberi sokongan moral terhadap kes Fitnah II Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Disember 2011 (Khamis) dan 9 Disember 2011 (Jumaat) ini.

Reformasi!

*Mohon cuti awal-awal untuk keadilan!

Perhimpunan Umno Terkahir Sebelum Putrajaya Jatuh?

Dari Detikdaily

Oleh Subky Latif

4 Disember 2011

Sidang Umno terakhir sebelum Putrajaya jatuh?

ADALAH benar Perhimpunan Agung Umno ke 64 bermula 29 Nobember lalu adalah yang terakhir sebelum PRU 13, tetapi ia lebih menjurus kepada menghadapi Anwar Ibrahim dari penghadapi masalah parti itu dan pilihan raya yang bakal dihadapi itu.

Mesyuarat agung bagi mana-mana pertubuhan yang didaftarkan, baik ia diadakan sekali setahun atau dua tahun sekali, selain dari memenuhi kehendak undang-undang adalah satu acara muhasabah bagi mengkaji kelemahan dan kekuatan organisasinya.

Kalau tidak pun atas sebab kehendak undang-undang, ia wajar berhimpun bagi memeriksa apa yang telah dibuatnya setahun lalu sebagai persiapan lunjakan kerja setahun akan datang atau masa-masa mendatang. Apa kelemahan dan kegagalan setahun lalu dan apa pula kekuatan dan kejayaannya. Dari situ ia akan tahu kelemahan dan kekuatannya.

Tetapi bermula dari perasmian ketiga-tiga sayapnya – Wanita, Pemuda dan Puteri – ia dilambakkan dengan menghadapi Anwar Ibrahim yang ditendangnya dari UMNO hujung tahun 90an dulu. Sudah lebih sepuluh tahun Anwar tidak ada dalam UMNO, ia masih dihantui oleh bayang-bayang ketua pembangkang itu.

Keseluruhan ucapan perasmian sayap-sayap itu oleh Mahyuddin Yasin sebagai Timbalan Presiden UMNO, baik menyentuh soal dalaman parti dan luaran adalah dikaitkan dengan Anwar.

Serangan, kecaman dan hasutannya terhadap DAP, belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin UMNO dalam perhimpunannya sebelum ini, ada hubungannya kesan politik kerjasama Anwar dengan parti itu.

Kecaman Muhyiddin terhadap PAS adalah yang seketara sikap Dr. Mahathir sepanjang pimpinannya dulu. Serangan yang keras itu adalah disebabkan PAS menjadi sekutu kuat Anwar.

Sebelumnya PAS dan DAP adalah terkepung dalam pagar tebal yang dibina UMNO, tetapi pagar itu telah dipecah dan dirempuh dengan kedagangan Anwar. Kalau Anwar tidak datang, pagar itu tetap digegar, tetapi dengan penampilan bersama Anwar dengan mereka mempercepat ia roboh. Justeru robohnya pagar itu telah mara mereka menuju Putrajaya.

Maka bagai hendak pecah kepala Muhyiddin menumpukan sepenuh ucapannya mengerah hulubalang Pemudanya, serikandi Wanitanya dan permata Puterinya bagi mengepung soldadu Pakatan Rakyat bersama Anwar yang sudah meninggal jauh pagar roboh di belakang untuk memasuki tembok Putrajaya.

Kerana tumpuannya kepada Anwar lalu tidak dipedulikan segala retak dan sompek dalam partinya. Dalam responsnya, ketua serikandinya berlepas diri dari skendal lembu suaminya, bertumpu kepada persoalan Anwar juga. Seolah-olah Anwar jadi tema pidatonya di tengah wanita bertudung merah. Habis tenaganita perwakilan dan pemerhati bertepuk tangan di celah suara dan pidatonya mengenai persepsinya yang menyeluruh tentang Anwar.

Dibiarkannya hantu dan bangkai lembu yang dilambakkan kepadanya kepada suami dan anak-anakinya. Dia marah kepada Zuraidah PKR yang tidak marah kepada isteri Anwar kerana isteri Anwar membela suaminya.

Zuraida suruh ketua Serikandi UMNO itu letak jawatan tapi tak suruh isteri Anwar letak jawatan. Ketua Serikandi tak peduli tentang suaminya dengan lembu-lembunya, tidak bela suaminya. Isteri Anwar peduli dengan masalah suaminya dan dia bela suaminya.

Shahrizat Jalil marah Zuraida suruh dia berhenti tetapi tidak marah Bung Mokhtar yang lebih dulu dari Zuraida suruh dia berhenti. Mengapa? Zuraidah membela Anwar dan Bung Mokhtar tiada hubungan dengan Anwar.

Muhyiddin lantik Ketua Pemuda jadi ketua Hulubalang saja. Tidak jadikan dia Panglima. Agaknya panglimanya Muhyidin sendiri.

Maka sebagai ketua Hulubalang, habis segala ilmu yang dipelajarinya di Universiti Oxford dan pengalamannya membentu mertuanya dugunakan untuk membuat ucapan mengenai Anwar kepada perhimpunan partinya. Dia membuat reserach dan homework bagi memastikan hujahnya kuat tentang Anwar.

Cukuplah dengan tiga orang penting UMNO – Muhyiddin, Shahrizat dan Khairy Jamaluddin – mengepalai pembengangan tentang Anwar. Tentulah yang lain-lain terarah kepada topik yang sama.

Mengapa Perhimpunan Agung UMNO tertumpu kepada Anwar saja? Apakah Anwar saja masalah besar kepada UMNO dan kerajaan? Atau sidang itu dirasakan yang terakhir sebelum jatuh Putrajaya?


—Detikdaily

Sila hadir beramai-ramai ke Mahkamah Jalan Duta bagi memberi sokongan moral terhadap kes Fitnah II Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Disember 2011 (Khamis) dan 9 Disember 2011 (Jumaat) ini.

Reformasi!

*Mohon cuti awal-awal untuk keadilan!