Kelantan Peruntuk RM25,000 Sebulan Untuk Anak Palestin

MALAYSIAKINI – Kerajaan Kelantan membelanjakan RM25,000 sebulan di bawah skim Tabung Bantuan Pendidikan Rakyat Palestin untuk membiayai anak-anak Palestin yang belajar di beberapa institusi pendidikan tinggi di negara ini.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata setakat ini, kerajaan negeri membiayai 27 anak Palestin yang sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam di seluruh negeri termasuk 10 orang di peringkat PhD, Sarjana (12) dan Sarjana muda (lima).

“Kita mahu menggalakkan masyarakat menderma kepada tabung ini dan menjadikannya sebagai amalan tradisi mereka, terutama dalam membela nasib rakyat negara Islam yang ditindas oleh rejim Israel di buminya sendiri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengimamkan solat hajat yang dihadiri kira-kira 5,000 umat Islam di dataran Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, di Kota Bharu hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata kerajaan negeri akan terus memungut seberapa banyak derma daripada rakyat negeri ini bagi mengisi tabung dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Katanya masih ramai rakyat Palestin yang memerlukan bantuan menerusi program itu yang membabitkan kos melebihi RM700,000.

Beliau berkata untuk tahun ini sahaja, tabung ini menyasarkan dana RM800,000 bagi membiayai 30 pelajar lagi di bawah program itu.

Bernama

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Siri Demo Besar Anti-Israel Esok

MALAYSIAKINI – Sekurang-kurangnya dua demonstrasi besar akan diadakan di ibu negara esok oleh pelbagai pihak bagi mengutuk serangan berdarah tentera Israel terhadap flotila bantuan kemanusiaan pro-Palestin.

Demonstrasi tersebut bagaimanapun dilangsungkan secara berasingan – satu di Masjid Kampung Baru anjuran Pemuda PAS manakala satu lagi di Masjid Negara oleh Pemuda Umno, selepas solat Jumaat.

Beberapa NGO dijangka turut menyertai demonstrasi tersebut antaranya Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Di Masjid Kampung Baru kumpulan penyokong pembangkang merancang berarak ke kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang bagi menyatakan menyatakan bantahan mereka kepada negara sekutu Israel itu.

Ia dijadual disertai semua pemimpin utama Pakatan Rakyat dan diketuai ketua umum PKR sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS pusat, Kamaruzzaman Mohamad berkata satu memorandum akan diserahkan kepada kedutaan Amerika oleh pimpinan utama Pakatan.

Katanya, kira-kira 200 anggota unit amal PAS akan ditugaskan mengawal perhimpunan dan perarakan esok.

Kamaruzzaman juga berkata pihaknya turut menjemput BN untuk turut sertai dalam perhimpunan dan perarakan tersebut, tetapi mereka memilih untuk mengadakan perhimpunan sendiri.

Katanya, jemputan tersebut dibuat kepada setiausaha Pemuda Umno, Megat Firdaus Megat Junid.

Kamaruzzaman juga menafikan ura-ura yang mengatakan perhimpunan esok akan diadakan di Masjid KLCC dan Masjid Tabung Haji.

Sebaliknya, tambah beliau, perhimpunan akan diadakan di Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat sebelum berarak ke Kedutaan Amerika.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Pemuda Umno, Saiful Hazizy Zainol Abidin berkata kumpulan di Masjid Negara akan diketuai oleh Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin.

Katanya, semua exco pergerakan tersebut diminta menghadiri perhimpunan tersebut.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Husam: Malaysia Berdengkur Dalam Dakapan Apco

MALAYSIAKINI – Serangan Israel ke atas flotila kapal yang membawa bantuan kemanusian kepada rakyat Gaza yang dikepung terus dikecam pelbagai pihak.

Lewat malam semalam, exco Kelantan, Datuk Husam Musa membidas kekejaman Zionis itu yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 sukarelawan kemanusiaan yang menuju Gaza terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Bagaimanapun, menurut Husan apa yang paling dikesalinya ialah sehingga jam sembilan malam semalam, semakan menerusi laman web Bernama, menunjukkan tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan Israel itu.

“Menteri Luar masuk tidur begitu awal? Kerajaan Malaysia hanya beroperasi mengikut jam pejabat hingga lima petang?

“Kita tidak merasa apa-apa dengan serangan Israel ini? Kita tidak risaukan tentang keselamatan rakyat kita? Kita tidak marahkan Israel bertindak kejam dalam perairan antarabangsa menghalang bantuan kemanusiaan untuk ummat manusia yang sedang menunggu dunia membuka jendela mereka? “ katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut Husam, pemimpin dunia lain termasuk tindakan Perdana Menteri Turki, Erdogan bertindak mengarahkan duta Israel di Ankara supaya berundur manakala tiga latihan ketenteraan dengan negara itu dibatalkan.

“Sweden, Sepanyol, Denmark dan Greece juga memberikan reaksi segera dengan memanggil duta Israel. Perancis meminta insiden ini segera disiasat. Malaysia?

“Sehingga jam 9 malam, 31 Mei 2010, semakan menerusi web Bernama, tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan durjana Israel ini,” kata Husam.

Sehubung

an itu, katanya Malaysia seharusnya membatalkan kontrak dengan syarikat Israel – Apco – sebeberapa segera.

“Jika Malaysia telah membayar RM 77 juta kepada syarikat Israel itu, kita mesti menyumbang untuk manusia tertindas di Gaza lebih banyak dari itu.

“Malaysia perlu menyokong tindakan Turki memanggil sidang khas Bangsa-bangsa Bersatu. Malaysia perlu menghantar apa jua bantuan yang diperlukan untuk warga kita yang terlibat,” katanya.

Menurut Husam, dalam respon segera, DAP, Pemuda Umno, PAS dan PKR masing-masing telah mengeluarkan kenyataan.

“Kerajaan Malaysia? Lena dalam dakapan Apco,” katanya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Protes Seluruh Negara Bantah Judi Esok

MALAYSIAKINI – PAS menganjurkan sekurang-kurangnya lima perhimpunan di pelbagai tempat di seluruh negara esok bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan.

Protes yang digerakkan Dewan Pemudanya itu akan diadakan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Daripada kelima-lima negeri itu, perhimpunan di Terangganu dijangka terbesar, melibatkan sekurang-kuranngnya 3,000 orang.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) sendiri dijadual akan turut serta di perkarangan Masjid Pengedang Baru, Kuala Terengganu.

Bercakap kepada Malaysiakini, ahli jawatankuasa PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya tidak memohon permit untuk perhimpunan itu kerana ia akan dibuat “secara aman di dalam perkarangan masjid”.

Menurutnya, demontrasi itu dijangka turut dihadiri kepimpinan Pemuda daripada parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, kerajaan secara rasmi dilaporkan memberi lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA.

Tindakan itu dibantah pelbagai pihak, khususnya termasuk pakatan pembangkang dan NGO Melayu-Islam di Malaysia.

Sementara itu, Di Perak, Naib Ketua Pemuda PAS negeri Salman Salleh berkata kira-kira 2,000 orang dijangka menghadiri demontrasi di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh bagi membantah keputusan kerajaan itu.

Umno juga dijemput

“Semua pertubuhan termasuk Umno, Pemuda Pakatan Rakyat dan NGO dijemput bersama kita untuk menzahirkan bantahan pemberian lesen judi,” katanya.

Menurut Salman, demonstrasi itu akan diketuai oleh ketua Pemuda PAS negeri, Zawawi Hassan.

Di Negeri Sembilan, dijangka 1,500 orang akan menyertai demontrasi di Masjid Negeri Sembilan dekat Seremban selepas solat Jumaat.

Ketua Pemudanya Khairil Anwar Mohd Wafa berkata pihaknya turut menjemput pemimpin Pemuda Pakatan yang bukan Islam, termasuk Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

“Kita tidak pohon permit, kalau hendak tangkap, tangkaplah. Kita buat perhimpunan aman. Dulu masa (demonstrasi) membantah (firma perundin) Apco Worldwide tiada tangkapan pun,” kata Khairil Anwar.

Di Pulau Pinang pula ketua Pemuda PAS Mohd Yusni Mat Piah berkata pihaknya menganjurkan demontrasi esok di hadapan Masjid Permatang Gajus, Permatang Pauh selepas solat Jumaat.

Perhimpunan aman tersebut dijangka seramai 1,000 penyokong Pemuda Pakatan, tambahnya.

Demonstrasi di 22 kawasan PAS

Di Selangor pula keadaan agak berbeza apabila tiada demonstrasi di peringkat negeri dianjurkan PAS.

Ketua Pemudanya Hasbullah Mohd Ridzwan berkata Pemuda PAS negeri telah mengarahkan 22 Pemuda kawasan mengadakan demontrasi itu sama ada esok atau Jumaat depan.

“Setakat ini Pemuda PAS kawasan Hulu Langat akan mengadakan demontrasi membantah keputusan kerajaan itu esok,” katanya.

Hasbullah berkata, dijangka kira-kira 200 orang bagi setiap kawasan akan hadir dalam demontrasi itu.

Menurut pemimpin negeri yang dihubungi, kesemua perhimpunan esok dijalankan tanpa memohon permit polis kerana “ia adalah satu perhimpunan aman”.

Difahamkan, pembangkang di negeri-negeri lain, Perlis, Kedah, Pahang dan beberapa kawasan di Selangor akan mengadakan demontrasi itu Jumaat hadapan.

Kemuncak kepada siri demonstrasi tersebut akan dilaporkan diadakan pada 3 Julai ini di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Ketua Pembangkang Tetap Anwar

SUARAKEADILAN – SHAH ALAM 18 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Ketua Pembangkang di parlimen berdasarkan kesepakatan KEADILAN, PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat

Mengulas kedudukan Anwar, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke Siew Fook menegaskan pendirian DAP jelas dalam isu tersebut.

“DAP secara jelas menyokong Anwar sebagai ketua pembangkang dan Pakatan.

“Tidak timbul isu bilangan kerusi dan jika kenyataan yang mempertikaikan ianya jelas perangkap Umno-Barisan Nasional.

Anthony juga meminta Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan supaya tidak menjaga tepi kain orang sebaliknya menyelesaikan masalah yang bergelumang dalam Umno dahulu.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua dari KEADILAN juga berkongsi pendapat yang sama.

“Tiada isu tentang jawatan tersebut kerana ini adalah keputusan bersama kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat dan tidak ada sesiapa yang mempersoalkannya,”

“Sebagai contoh, kita boleh mengambil kerajaan negeri Perak sebelum ini secara bersama memilih Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar,” tambahnya.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Krai pula, Dr Hatta Ramli pula berkata PAS menyokong sepenuhnya Anwar sebagai ketua Pembangkang dan ini telah dipersetujui secara bersama.

“Tidak timbul isu sama ada kita mahu tukar Ketua Pembangkang atau tidak?,” soal Hatta.

Selepas PRK Sibu, kedudukan kerusi parlimen di kalangan parti Pakatan Rakyat ialah 29 dimenangi DAP, KEADILAN 24 manakala PAS 23.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Politik Perkauman Sebati Dengan Umno-BN

SUARAKEADILAN – SIBU 14 Mei – Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli menjelaskan Barisan Nasional adalah sebuah parti yang mengamalkan politik perkauman di negara ini malah menyokong badan bukan kerajaan yang memperjuangkan sentimen agama dan kaum.

“Rakyat kena tahu gagasan 1Malaysia yang dilaungkan oleh pemimpin Umno-Barisan Nasional hanyalah sandiwara semata-mata, pada hakikatnya tidak. Ini dapat dibuktikan dengan rancangan perhimpunan ‘Bangkit Melayu’ sempena 13 Mei di Kuala Terengganu.

“Perhimpunan untuk membangkitkan semangat orang Melayu itu dilihat telah bercanggah dengan keharmonian negara ini. Lagi satu kita kena telitikan kenapa pihak polis tidak menghalang perhimpunan tersebut sedangkan bila kita anjur perhimpun pelbagai amaran diberikan malah kita juga ditangkap.

“Umno-BN selain mengamalkan politik perkauman, mereka juga mengamalkan kekerasan kepada rakyat.

Jadi di sini perlu ada perubahan jangan biarkan mereka senang lenang mengamalkan politik perkauman dan kekerasan,” dalam ucapannya di pentas DAP di Rejang Park semalam.

Dr Hatta berkata lagi Pakatan Rakyat mahukan politik kesejahteraan rakyat bukan politik perkauman.

“Politik Pakatan dengan BN jauh berbeza, kita mengamalkan politik kesejahteraan rakyat bukan politik kotor Umno-BN. Lihat bagaimana mereka mainkan isu negara Islam di sini dengan harapan masyarakat Cina takut untuk mengundi DAP.

“Isu negara Islam telah lama tidak digunakan, tetapi BN mengambil kesempatan ini bagi menakutkan pengundi Cina di Sibu. Masyarakat Cina di sini kena faham betul-betul apa yang mereka katakan itu semuanya tipu, kita dapat duduk bersama DAP dalam membincangkan segala hal demi kesejahteraan rakyat negara ini.

“Pengundi di sini perlu tolak sepenuhnya politik kotor BN jangan bagi bagi mereka terus menjajah negara yang kita cintai ini. Saya datang ke sini bagi membantu calon kita dari DAP untuk menang. Kerusi ini amat penting bagi rakyat Malaysia dan juga Sibu kerana suara dari DAP dapat menentang segala keputusan BN di dalam parlimen,” jelasnya lagi.

Beliau menjelaskan perubahan besar yang bakal berlaku di Sibu adalah amaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar tahu rakyat Sibu sudah muak dengan pemerintahannya.

“Kemenangan calon DAP ini dapat memberi tanda kepada Najib bahawa rakyat Sarawak khususnya di Sibu telah muak dengan pemerintahan Najib dan BN. Rakyat sekarang sudah bangkit dan akan menghalau BN dari tanah Sarawak pada pilihan raya negeri nanti,” kata Dr Hatta lagi.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Umno Mahu Jadikan Malaysia Serambi Las Vegas

HARAKAHDAILY – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan pemimpin Umno melalui Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang mahu menimbangkan sekali lagi cadangan meluluskan lesen judi Bolapsepak Piala Dunia 2010.

Hal ini sudah jelas mendapat tentangan rakyat sejak cadangan pertamanya tahun lepas. Namun kali ini ia berbangkit lagi dengan alasan bahawa kerajaan gagal membanteras aktiviti sindiket perjudian haram. Alasan ini dengan sendirinya membuktikan kelemahan sistem pentadbiran dan penguatkuasaan kerajaan. Bila sudah gagal mereka keluarkan lesen untuk menghalalkan pula.

Kempen memerangi dadah masih diteruskan walaupun belum berjaya menghapuskan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah. Dadah diistihar sebagai musuh negara. Kenapa selepas bertahun-tahun gagal membasmi dadah hingga ke akar umbi Kerajaan tidak mengeluarkan lesen pengedaran dadah pula.

Kerajaan kata dadah itu merosakan rakyat dan menjadi ancaman kepada negara kerana menyebabkan ketagihan serta dorongan melakukan jenayah. Apakah judi tidak memainkan peranan yang sama. Berapa ramai rakyat Malaysia yang jadi kaki judi mengabaikan keluarga mereka, malah ada yang sanggup jadi penjenayah untuk mendapatkan modal berjudi. Sepatutnya judi diistihar sebagai musuh utama negara juga.

Rakyat Kelatan khususnya pasti bersyukur dengan kekalahan Umno dan Awang Adek dalam pilihanraya lalu dinegeri itu. Jika beliau menang dan Umno rampas kerajaan Kelantan, pastilah beliau yang kononnya mahu diangkat menjadi Menteri Besar akan menjadikan Kelantan sebagai Negeri Serambi Las Vegas bukan lagi Serambi Mekah.

Disebabkan gagal di Kelantan beliau yang mendapat peluang jadi Menteri melalui ehsan Najib mahu jadikan Malaysia pula sebagai serambi Las Vegas. Tak dapat Kelantan, satu negara diperjudikannya.

Mungkin tindakan ini terdorong dek peluang yang dinikmati Singapura yang baru-baru ini mendapat suntikan pelaburan sebanyak USD 5.7 Bilion dari Las Vegas Sand Corp yang mahu membina sebuah Resort Perjudian mewah dinegara itu bagi menyaingi Genting Highland. Projek Marina Bay Sand itu dijangkakan mendatangkan pulangan USD 2 Bilion setahun dan menjadi antara sumber kewangan baru bagi Kerajaan Singapura.

Oleh itu, Awang Adek cuba menunjukan Malaysia lebih terbuka dari Singapura dengan harapan syarikat Perjudian antarabangsa berminat membuka resortnya di Malaysia pada masa akan datang. Krisis kewangan global menjadikan pemimpin Umno buta mata, dan sanggup mengambil apa sahaja peluang untuk mengaut keuntungan bagi membiayai projek-projek politik yang mereka janjikan kepada rakyat sejak PRU-12.

Tahun ini usia Umno 64 tahun, bermakna sudah lebih 64 tahun mereka bergelumang dengan perjudian. Di awal penubuhannya berbondong-bondong Ulama’ dan Ustaz-Ustazah keluar dari Umno menubuhkan PAS kerana kedegilan pemimpin Umno yang tekad menjadikan loteri kebajikan dan pelbagai jenis judi sebagai aktiviti ekonomi mereka hingga ke hari ini.

Hari ini Umno masih bersandarkan hasil judi untuk terus berdiri megah di PWTC. Lihat sahaja senarai pemegang saham dan ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat judi dalam negara. Malah, bila sebut pasal tokoh pelaburan judi dalam Umno rakyat akan terbayang wajah Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.

PAS berharap agar rakyat membuka mata dan bangkit menolak dasar-dasar perjudian yang cuba dihalalkan Umno. PAS yakin, tanpa duit hasil judi, ekonomi negara ini mampu melangkah jauh ke hadapan.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Pejabat Ketua AMK Malaysia