Isu RM2.6 bilion: ‘Najib nak saman dia boleh saman’ – Shamsul Iskandar

Saman fitnah Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak terhadap Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin tidak sewajarnya berlaku di atas isu skandal Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah diketahui umum.

Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, ramai rakyat Malaysia seharusnya boleh disaman sekiranya Najib serius untuk ‘membersihkan’ namanya daripada dakwaan berkaitan dana 1MDB.

“Dengan posting media sosial mengenai RM2.6 bilion yang dia (Najib) marah, saya rasa ramai rakyat Malaysia boleh disaman (atas isu sama)

“Kalau dia nak saman (saya), dia boleh saman. Tetapi perkara itu bukan tentang saya tetapi mengenai rakyat negara ini. Ia (skandal) adalah sesuatu yang diketahui di seluruh negara,” katanya dipetik The Vibes.

Dalam konteks PRN Johor pula, Shamsul berpendapat Najib cuba sedaya upaya untuk tidak menjejaskan rentak kempennya di sana.

Namun pendedahan bekas pegawai kewangan Goldman Sachs, Tim Leissner yang mengaitkan beliau telah membuka kembali ‘tembelang’ 1MDB yang telah pun sejuk.

“Sekarang kita dalam konteks pilihan raya Johor, dan sudah tentu terdapat banyak isu mengenai beliau sekarang. Terutamanya perbicaraan Tim Leissner. Jadi, memandangkan dia berkeras untuk memfailkan saman, saya akan tunggu,” katanya.

Mengenai urusan mahkamah berkaitan saman itu, Shamsul berkata, beberapa rakan pembangkangnya seperti Ahli Parlimen Jelutong R.S.N. Rayer telah menawarkan sokongan undang-undang percuma.

Shamsul juga berkata dia tidak mengetahui surat tuntutan awal yang dihantar oleh Shafee and Co ke Ibu Pejabat KEADILAN.

“Pasukan peguamnya menghantar surat awal kepada ibu pejabat parti (PKR) ketika kami semua sibuk berkempen,” katanya lagi.

Najib menyaman fitnah Shamsul di atas posting beliau di media sosial mendakwa bekas perdana menteri itu ‘mencuri’ wang rakyat lewat skandal 1MDB.

Bagaimanapun, Najib menafikan beliau didakwa di mahkamah atas tuduhan mencuri, sebaliknya di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA)

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/isu-rm2-6-bilion-najib-nak-saman-dia-boleh-saman-shamsul-iskandar

Gerak Independent sebaiknya lawan BN, bukan PH – Shamsul Iskandar

Percubaan calon calon Bebas dari Gerak Independent (GI) untuk bertanding di kerusi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 menimbulkan kesangsian berkenaan tujuan sebenar perjuangan mereka.

Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, tokoh tokoh GI yang selama ini sering mengkritik kerajaan BN dan PN seharusnya menentang dua perikatan tersebut dalam pilihan raya, bukannya PH.

“Daripada cuba ‘menggoncangkan’ kerusi PH, calon bebas sepatutnya pergi ke kubu kuat BN.

“Saya beranggapan mereka (GI) bukan penyokong BN, jadi mengapa mereka mengganggu kerusi PH dan bukannya menyasarkan kawasan BN seperti Pekan atau Bagan Datuk?

“Adakah mereka benar-benar bebas? Keputusan mereka ini hanya akan dilihat sebagai berkerja dalam kumpulan (bersekongkol) dengan BN,” katanya dipetik The Vibes.

Tambah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, sekiranya GI bertanding di kerusi BN yang sering mereka kritik prestasi menteri di beberapa kementerian, maka rakyat akan lebih menghargai usaha tersebut berbanding kerusi PH yang bukannya sebahagian daripada kerajaan

Malah, kata Shamsul, PH terbuka untuk untuk berkerjasama dengan kumpulan atau parti lain yang berkongsi agenda reformasi dalam konsep “khemah besar”

Mengulas isu sama, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Jimmy Puah pula berkata walaupun calon GI mempunyai hak untuk bertanding di mana-mana kerusi, namun beliau ragu dengan alasan gerakan itu mahu bertanding di kerusi PH

“Saya pastinya tidak bersetuju dengan dakwaan mereka bahawa mereka telah menyasarkan kerusi kami, kerana kerusi itu berada di kawasan yang kurang berprestasi,” katanya.

GI membariskan calon seperti peguam Siti Kasim, Mohd Tawfik Ismail dan KJ John yang bakal bertanding pada PRU15, seperti yang diumumkan pada sidang media mereka, 17 Februari lalu.

Manakala kerusi yang diintai oleh GI ialah Batu, Petaling Jaya, Wangsa Maju, Subang dan Kota Kinabalu.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/gerak-independent-sebaiknya-lawan-bn-bukan-ph-shamsul-iskandar

Jangan ingat Hasni sahaja boleh jadi MB Johor, PH ada calon lebih baik – Shamsul Iskandar

KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) menjanjikan pentadbiran yang lebih baik buat rakyat Johor sekiranya diberi mandat pada 12 Mac ini.

Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Hasni Mohammad jangan menganggap beliau sahaja boleh diangkat sebagai ketua kerajaan Johor, sedangkan PH mempunyai calon calon MB yang lebih hebat.

“Calon MB, Hasni jangan ingat dia seorang sahaja boleh jadi MB. Kita pun ada calon lebih baik. Saudara Dr Maszlee misalnya, bekas Menteri Pendidikan. Orang DUN Layang Layang. Ini calon boleh diketengahkan menjadi MB,” katanya dalam siri jelajah santai KEADILAN di sebuah restoran di DUN Bukit Batu, pagi tadi.

Dalam ceramah santai itu juga Shamsul mempertikaikan pengumuman terbaharu Presiden Umno, Zahid Hamidi bahawa calon yang akan diletakkan di Johor bercirikan wali, sedangkan katanya, wali adalah orang alim yang tidak cocok dengan perjuangan Umno.

“Saya ketawa bila Presiden Umno berbohong calon calon dari BN berciri wali. Wali ini orang alim, bukan penyangak. Presiden pun ada 47 pertuduhan kes. Baca pertuduhan dekat 2 jam. Tetapi dia kata calon Umno bercirikan wali.

“Kalau betul bersih, saya pasti tidak akan ada PRN kali ini. Mereka akan tunggu pilihan raya umum. Kecuali kita tahu ada ketidak stabilan antara PN dan BN. Yang tak boleh jadi kerajaan stabil BN dan PN kerana secara terbuka mereka bergaduh.

“Ini penting utuk kita sama sama tahu. Kali ini kita nak buat pilihan, pastikan kerajaan yang dilantik baik dan belajar dari pengalaman lalu,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga mengimbau kejayaan PH memerintah Johor selama 22 bulan sebelum dijatuhkan oleh BN.

“Kita ada pengalaman 2018 mengurus negeri Johor. Tetapi pengalaman kita tak lama, namun selama 22 bulan itu paling tidak rekod kita boleh dijadikan sandaran kepada orang Johor untuk meneruskan khidmat PH.

“Misalnya kalau kita tengok Laporan Ketua Audit Negara 2019, dari 4,900 projek pembangunan yang dirancang PH, laporan audit mengesahkan 93% kita telah berjaya laksanakan.

“Ini laporan audit yang bebas. Banyak projek kita rancang, berjaya kita lakukan. Pelaburan yang masuk jauh lebih baik, hampir RM300 juta melebihi apa yang ditunjukkan BN sebelumnya. Pengurusan negeri jauh lebih baik walaupun BN jadi kerajaan sejak merdeka,” katanya.

Justeru, Shamsul menyeru agar pengundi DUN Bukit Batu mengundi calaon KEADILAN, Arthur Chiong Sen Sern pada pilihan raya kali ini

“Dari segi calon yang kita ketengahkan untuk rakyat meletak harapan (terbaik), saudara Arthur, penduduk sini yang ada pendidikan baik. Perniagaan juga baik. Saya yakin dia tidak akan lompat.

“Kita pun akan luluskan dalam bulan Mac ini, Akta Anti Lompat Parti (agar pengundi tidak kecewa lagi). Kalau lompat kita buat pilihan raya semula,” kata Shamsul.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/jangan-ingat-hasni-sahaja-boleh-jadi-mb-johor-ph-ada-calon-lebih-baik-shamsul-iskandar

PRN Johor: Sampaikan mesej perubahan kepada pengundi muda – Shamsul Iskandar

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan didominasi sokongan pengundi muda.

Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, anggota dan penyokong parti perlu pastikan mesej KEADILAN sampai kepada pengundi muda untuk membuat perubahan.

“Minta sampaikan mesej kepada mengundi muda. Pengundi muda umur 18 – 29 mencapai 45% daripada jumlah pengundi. Jadi yang lama lama (veteran), 60 ke atas kita tahu dia akan buat “pilihan terbaik”.

“Tetapi yang muda saya minta tolong, kita sampaikan kepada mereka. Yang kita nak pilih bukan setakat wakil rakyat. Kita nak pilih pemimpin yang bangun pagi fikir pastikan bukan setakat kawasan tetapi negeri Johor boleh diurus dan ditadbir dengan baik, kebajikan, dan tidak ada kebocoran. Pemimpin yang boleh membawa suara kita,” katanya dalam program santai bersama pengundi DUN Bukit Naning, malam tadi.

Di samping itu, Shamsul juga mengingatkan agar pengundi diberitahu hal sebenar bahawa alasan Umno membubarkan DUN kononnya kerajaan tidak stabil adalah mengarut.

Katanya, pindaan Perlembagaan negeri Johor untuk Undi 18 yang memerlukan 2/3 ADUN sedikit masa lalu disokong oleh semua ADUN, di manakah wujud ketidakstabilan yang dikatakan oleh bekas Menteri Besar, Hasni Mohamad.

“Di Johor belanjawan lulus, buat pindaan umur 18 boleh jadi calon, nak lulus perlu 2/3 sokongan. Saya ingat semua sokong. Apa ke jadah nak buat PRN?

“Yang paling membimbangkan jika mereka mempunyai agenda mempertahankan kuasa. Sebab apa, semalam Mahiaddin buat ucapan mengejutkan, bila dia kata waktu jadi PM zahid bawak fail jumpa dia. Dia kata Tan Sri tolong saya, saya tak bersalah.

“Mahiaddin kata kalau tak bersalah mengapa takut?….. Mula perang BN – PN. Yang tak stabil tu Hasni, kamu, bukan kita. Kita stabil. Sebab itu nak buat PRN nak menyusahkan rakyat. Siapa nak bagi duit keluar mengundi berkali kali (sekali lagi tahun hadapan),” katanya.

Shamsul juga mengingatkan bangsa Johor bahawa Laporan Ketua Audit Negara menyebut negeri itu mencatat pertumbuhan dan kewangan yang baik sepanjang ditadbir oleh Pakatan Harapan pada 2018 – 2020.

Katanya, PH malah mempunyai pengalaman untuk menjadi kerajaan semula.

Shamsul juga menceritakan pengalaman beliau meningkatkan harga sawit ketika menjawat timbalan menteri namun yang mendapat pujian adalah menteri PN yang menggantikan beliau.

“Masa saya jadi timbalan menteri jaga sawit, harga turun. Saya buat kerja, jumpa petani, jumpa semua, buat kerja supaya harga naik, kerajaan PH pula jatuh.

“Lepas tu harga naik, menteri yang baru (daripada Pas) kata tengok akibat daripada doa yang kita beri, tengok harga sawit meningkat.

“Kita (PH) ada pengalaman, kita urus pekebun kecil, kita rangka beberapa perubahan dalam sistem pekebun kecil penoreh getah. Saya pertikai kenapa penoreh perlu bayar cukai pada setiap hasil susu getah. Harga baja dikawal, racun dikawal.

“Hari ini walaupun sawit meningkat, hasil kurang (akibat baja, racun naik). Adakah di bawah Hasni ada pelan membantu pekebun?” tanyanya.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga menerangkan mengenai keperluan PH menyertai memorandum kerjasama (MoU) dengan PM Ismail Sabri.

Dengan MoU itu katanya, PH berjaya mendesak peruntukan tambahan melawan Covid 19, mewujudkan 10 jawatankuasa menyemak kementerian di Parlimen dan akan meluluskan undang undang anti lompat parti.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/prn-johor-sampaikan-mesej-perubahan-kepada-pengundi-muda-shamsul-iskandar

Tahun harimau: Semoga bangkit nyahkan rasuah, penyelewengan

Tahun Baharu Cina yang jatuh pada tahun harimau kali ini diharapkan mampu memberi kekuatan semangat kepada raakyat Malaysia melawan rasuah dan penyelewengan yang sedang berleluasa.

Dalam perutusan Tahun Baharu Cina Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengharapkan tahun harimau ini akan mengembalikan maruah rakyat menolak kebatilan dan memilih pemerintah yang berwibawa mentadbir negara.

“Mengikut tradisi astrologi Cina, tahun ini adalah tahun Harimau. Saya juga dilahirkan pada tahun Harimau ini, yang membawa maksud tidak takut, mulia dan penuh semangat.

“Bersesuaian dengan sifat Harimau, dengan pelbagai isu dan bencana yang melanda negara kita baru-baru ini, semoga kita semua bangkit dari pandemik, komited menghapuskan rasuah kerana rasuah dan penyelewengan merupakan punca kelemahan ekonomi negara,” katanya.

Di samping itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga mengingatkan etnik Tionghua yang meraikan tahun baharu agar sentiasa menjaga keselamatan diri dengan mengutamakan Prosedur Standard Operasi bagi menghindari Covid 19.

“Kita mesti terus mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) ketika meraikan sambutan Tahun Baru Cina apatah lagi semasa negara masih mencatat kes yang tinggi dan pelbagai jenis varian baru.

“Walau apa juga keadaan yang kita hadapi sekarang ini, kita perlu sentiasa bersama, dan berwaspada dengan mengutamakan keselamatan sebagai fokus utama, kerana ia adalah usaha terbaik untuk menjadikan negara kita lebih selamat semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Tidak lupa kepada masyarakat Tionghua di Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul juga telah menyumbang sedikit bantuan kepada mereka dalam persiapan meraikan tahun baharu.

“Sebagai Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, sudah menjadi tanggungjawab untuk membantu pengundi-pengundi saya dalam persiapan menyambut perayaan ini.

“Aktiviti pemberian cenderahati buat penduduk Cina di kawasan saya telah dijalankan sejak seminggu yang lepas lagi. Saya juga telah mengambil inisiatif untuk menyumbang sedikit perbelanjaan di Toh Kong Cai Sheng Tian dan Toh Kong Wu Sheng Kong.

“Harapan saya semoga sumbangan ini dapat digunakan dan memberi manfaat kepada komuniti cina di Hang Tuah Jaya,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/tahun-harimau-semoga-bangkit-nyahkan-rasuah-penyelewengan

Jangan beri peluang BN bermaharaja lela, pengundi Johor lebih matang – Shamsul

Rakyat Johor yang dilihat lebih matang berpolitik berbanding dua negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti Melaka dan Sarawak sebelum ini.

Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, rakyat Johor seharusnya keluar mengundi beramai ramai pada PRN kali ini bagi mengelakkan Umno – BN menang 2/3 kerusi DUN sebagaimana di Melaka November tahun lalu.

“Saya percaya PRN Melaka beri pengajaran pada rakyat, kalau mereka tidak keluar mengundi dan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi untuk memilih kerajaan, maka kita akan lihat BN akan terus menguasai.

“Saya percaya ada dinamiknya tersendiri di Johor, kerana di Johor mereka (pengundi) matang dalam politik dan telah menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum lepas.

“Saya harap rakyat Johor boleh melihat isu ini akan dan berikan sokongan kepada KEADILAN dan PH,” katanya.

Mengenai pendapat penganalisis politik bahawa BN sengaja memilih untuk mengadakan PRN selepas Tahun Baharu Cina agar pengundi teras PH itu tidak pulang kali kedua ke kampung untuk mengundi, Shamsul tidak menolak pendapat sedemikian.

Katanya, BN kali ini terdesak untuk menang banyak DUN dan tidak mustahil mereka melakukan apa pun strategi demi mengunguli percaturan kuasa.

“Mungkin juga, kita tahu Tahun Baharu Cina 1 Februari dan kebanyakan pengundi Cina mereka akan balik kampung. Sudah pasti untuk balik sekali lagi akan menyukarkan.

“Saya percaya PRN akan berlaku hujung bulan Februari dan itu mungkin strategi yang mereka gunakan untuk memastikan tidak ramai akan keluar mengundi seperti di Melaka,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/jangan-beri-peluang-bn-bermaharaja-lela-pengundi-johor-lebih-matang-shamsul

‘Pertembungan politik Presiden Umno – PM, rakyat Johor dipaksakan pilihan raya’

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak mempunyai asas yang kukuh untuk diadakan pada bulan hadapan kerana mandat mentadbir negeri itu berbaki setahun lagi dan boleh disekalikan dengan Pilihan Raya Umum (PRU)

Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, PRN itu dilihat lebih kepada pertembungan politik di antara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Zahid yang bakal menghadapi keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes dakwaan penyelewengannya mungkin tidak mahu PRU dilewatkan dan merisikokan karier politik beliau, manakala Ismail pula perlukan masa yang lebih panjang bagi membuktikan beliau boleh diangkat sebagai pimpinan utama Umno dalam pemilihan nanti.

“PRN Johor ini menyaksikan rakyat jadi mangsa, akibat pertembungan kepentingan politik di antara Presiden Umno Datuk Seri Zahid yang pada hari ini diarahkan oleh mahkamah untuk memasuki pembelaan dan dalam masa sama, secara khususnya saya lihat Ismail Sabri pula sebagai PM sedang berusaha bersungguh sungguh memastikan beliau berpeluang menjadi Presiden Umno.

“Tentunya dengan PRN Johor ini, natijahnya yang boleh kita lihat akan menyebabkan PRU itu akan terus didesak untuk disegerakan. PM sahaja mempunyai kuasa untuk memanggil PRU.

“Jadi saya yakin ada dua mazhab sedang bertembung dalam kepimpinan Umno ketika ini. Satu segi saya lihat presiden Umno ingin segera buat PRU kerana kita tahu kesnya akan terus menyusul. Sekiranya beliau didapati bersalah maka beliau tidak lagi boleh bertanding dalam PRU, dan tentunya beliau sedang menjangkakan (lebih senang) Parlimen itu dibubarkan sebelum tarikh keputusan mahkamah,” katanya.

Manakala alasan bekas Menteri Besar (MB) Johor bahawa Kerajaan Negeri itu hidup di atas ehsan pembangkang sebagai dalih mengadakan PRN ditolak oleh Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu.

Menurut Shamsul, Pakatan Harapan (PH) telah memberikan kerjasama yang amat baik, termasuk menyokong Belanjawan 2022 negeri Johor, dan tidak timbul isu ADUN kerajaan yang akan melompat parti meruntuhkan kerajaan atau sebagainya.

“Jadi ini yang berlaku di Johor, malah bekas MB sendiri menyatakan kerajaan beliau hidup atas ehsan pembangkang.

“Pada saya itu perkataan cukup tidak menunjukkan kematangan kerana kita lihat dalam banyak hal, baru baru ini pun, ketika meluluskan belanjawan negeri Speaker yang juga merupakan pimpinan pembangkang terus memberikan sokongan dan pada saya itu tidak menjadi isu kepada rakyat Johor,” katanya

Shamsul juga menolak pilihan raya yang dipaksakan ketika wabak Covid 19 varian Omicron sedang melanda dan mungkin membahayakan nyawa rakyat

“Waktu sekarang bukan yang terbaik (untuk PRN) kerana negara masih lagi bergulat dengan masalah pandemik dan terbaharu varian virus Omicron dan kita tentunya juga sedang penyaksikan pemulihan ekonomi.

“Maka membuat PRN waktu ini pada saya akan menyukarkan keadaan,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/pertembungan-politik-presiden-umno-pm-rakyat-johor-dipaksakan-pilihan-raya

Dedahkan syarikat pembalakan, rangka strategi Daya Tahan Negara – Shamsul

Kerajaan digesa mendedahkan nama nama syarikat pembalakan yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan banjir balak dan merosakkan banyak perkampungan di Pahang.

Ahli Parlimen Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) berkata, pendedahan itu wajar dilakukan bagi memudahkan rakyat yang mengalami kerugian harta benda mengambil tindakan undang undang ke atas syarikat tersebut.

“Kerajaan sewajarnya memberikan (mendedahkan) kepada kita syarikat yang diberikan kebenaran, kerana kita mahu mengalakkan rakyat memulakan tindakan saman atas kesalahan tort yang mana berlaku kecuaian sehingga memudaratkan orang ramai.

“Ini suatu yang penting untuk kita sama sama ambil tindakan tegas kerana kita tahu banjir satu perkara yang merunsingkan rakyat,” katanya dalam sidang khas Dewan Rakyat mengenai banjir, sesi petang tadi.

Ketua Penerangan KEADILAN itu juga bertanya mengenai aset kerajaan Malaysia yang boleh digerakkan dalam keadaan banjir adakah menckupi.

Menurut beliau, tinjauan dalam kalangan mangsa banjir mendapati rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan peralatan mereka membantu mangsa.

Begitu juga, beliau mengkritik Menteri Pertahanan yang berada di luar negara ketika bencana tetapi tidak memberi arahan yang berkesan kepada ATM walaupun dalam zaman kecanggihan teknologi telekomunikasi.

Di samping itu, Shamsul turut tidak berpuas hati berhubung masalah banjir ini ditimbulkan secara bermusim serta tiada langkah konkrit yang diambil menanganinya.

“Sesi lepas saya bangkitkan banjir di kawasan saya. Pada ketika itu saya bangkitkan rakyat naikkan bendera merah ketika yang lain naik bendera putih. Mereka bertindak begitu kerana rasa lemah terpaksa berdepan pandemik (Covid 19), (tekanan) ekonomi dan keadaan banjir berkali kali,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan Malaysia mula melihat isu isu yang diwacanakan di peringkat antarabangsa berkenan perubahan iklim bagi menjamin persediaan masa hadapan sama ada menghadapi banjir atau bencana lain.

“Sekarang ini wacana di peringkat antarabangsa bercakap mengenai daya tahan. Bagaimana kita sediakan satu strategi Daya Tahan Negara.

“Adalah (baik jika ada) satu usaha mengambil wacana wacana seperti ini, agar kita menggubal satu strategi Daya Tahan Negara dalam berdepan dengan bencana yang mendatang,” katanya.

Shamsul juga mengingatkan kerajaan agar tidak menguruskan bantuan pasca banjir dengan budaya tokenisme. Apabila berlaku bencana, katanya, diberi bantuan secara one off atau token dan kemudian rakyat ditinggalkan begitu sahaja.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/dedahkan-syarikat-pembalakan-rangka-strategi-daya-tahan-negara-shamsul

‘Hairan UPM anugerah hampir 400 PhD, universiti terbaik dunia kurang 20 penerima?’

Penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena majlis Konvokesyen ke 44 pada 8 hingga 13 Januari lalu menjadi tanda tanya berkenaan bilangan graduan penerima PhD.

Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, terdapat keraguan dalam kalangan rakyat apabila universiti ulung dalam ranking 10 terbaik dunia menganugerahkan kepada kurang 20 penerima PhD dalam setahun tetapi UPM menghasilan 398 pelajar setahun.

“Saya tertanya tanya mengapakah begitu ramai yang dianugerahi PhD di UPM sedangkan universiti universiti di luar negara yang lebih tinggi rankingnya dalam senarai Times Higher Education misalnya, tidak menganugerahkan ijazah PhD sebanyak itu dalam setahun.

“Timbul tanda tanya bagaimanakah pelajar PhD ini dinilai sekiranya seorang pelajar memerlukan seorang profesor sebagai penyelia bagi tujuan memantau, menyemak dan meluluskan tesis yang mereka hasilkan?

“Adakah UPM mempunyai tenaga pengajar sebanyak itu atau mereka diselia oleh pensyarah yang lebih rendah taraf akademiknya?” tanya Shamsul.

Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi, universiti terbaik dunia, seperti University of Cambridge hanya menghasilkan kurang sepuluh graduan PhD setahun dalam 5 tahun terakhir ini.

Oleh itu, beliau ingin penjelasan adakah kualiti PhD universiti tempatan setaraf universiti utama dunia lainnya, atau mempunyai taraf berlainan?

“Jika PhD yang dihasilkan di bawah standard universiti ulung dunia, dan kaedah penyediaan tesisnya lebih mudah maka apakah standard ini diakui dunia akademik di luar Malaysia?

“Penganugerahan PhD bukan perkara kecil. Seseorang yang memiliki PhD dianggap layak dan kompeten untuk melakukan kerja kerja yang sesuai dengan kepakarannya. Sekiranya kualiti PhD itu dikompromi maka kerja yang dilakukan kelak merisikokan organisasi yang mengupah mereka

“Justeru dalam hal ini saya mendesak Kementerian Pengajian Tinggi memantau universiti universiti tempatan yang mengeluarkan begitu banyak graduan PhD dalam setahun dan meneliti kaedah penghasilan PhD mereka, sebelum ranking universiti Malaysia merosot di peringkat antarabangsa, yang meletakkan keutamaan kepada kualiti penyelidikan,” katanya lagi.

Untuk rekod, seramai 5,695 graduan pelbagai program pengajian menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen ke 44. Iaitu Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seramai 398, Ijazah Sarjana (Master) seramai 1,093, Bacelor (3,544) dan Diploma (660).

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/hairan-upm-anugerah-hampir-400-phd-universiti-terbaik-dunia-kurang-20-penerima

SPRM: Berkata Benar Dan Ambil Tanggungjawab! -Shamsul Iskandar

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar menyuarakan kekecewaan beliau mengenai imej negara yang terus merundum berikutan isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki baru-baru ini.

Menerusi satu ciapan di Twitternya, Shamsul menyatakan bahawa keadaan semakin parah kerana isu tersebut.

“Keadaan semakin parah. Imej negara terus merudum. Pimpinan yang sepatutnya mencegah kemungkaran rasuah cuba untuk menyorok sesuatu. 

Ini mengingatkan saya tentang kata kata ‘@vaclavhavel- truth will overcome lies.’

“Berkata benarlah dan ambil tanggungjawab. ‘Country first!’,” katanya.

Pada 8 Januari, menerusi satu kenyataan bersama, enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) itu menegaskan bahawa mereka pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepas itu tidak pernah menyatakan pendapat seperti yang dinyatakan Abu Zahar.

Sebaliknya, mereka mengemukakan cadangan berasingan susulan dakwaan pemilikan saham dengan jumlah melampau berkait.

Mengulas lanjut, enam individu itu menegaskan, LPPR tiada kuasa penyiasatan susulan penubuhannya adalah sebagai Lembaga Penasihat.

Sumber: https://sumberkini.my/sprm-berkata-benar-dan-ambil-tanggungjawab-shamsul-iskandar/