Trauma Dengan Poster Gong Xi Fa Cai!!

cny

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada kawan-kawan Angkatan Muda di semua peringkat dan juga para pengundi di Bahagian Jasin. Untuk kali ini, di bahagian Jasin, saya telah sediakan beberapa keping banner ucapan Selamat Tahun Baru Cina yang disertakan gambar para pimpinan iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Dr Syed Husin Ali.

Saya telah meminta Setiausaha Bahagian, Puan Mahani Masban untuk mendapatkan permit penggantungan. Beliau maklum pada saya kesukaran dan halangan yang beliau terpaksa hadapi untuk mendapatkan permit tersebut. Setelah berusaha selama 3 hari, barulah berjaya dilakukan. Kadang-kadang saya geleng kepala apabila mengenangkan tindakan pemerintah yang senantiasa menyekat proses demokrasi daripada disuburkan hatta sehingga “trauma” apabila melihat banner tersebut.

Karut memang karut,tapi itulah realitinya di Malaysia…

Fokus Pilihanraya Umum,Jangan Terbawa Pilihanraya Parti!

Sepanjang minggu lepas beberapa isu berkenaan krisis kepemimpinan di dalam keADILan menjadi bualan hangat dan mainan propaganda semua pihak. Banyak persoalan yang dibangkitkan oleh ahli dan pendukung keADILan,khususnya di blog Sdr Anwar Ibrahim untuk mengetahui perkara sebenar khususnya di belakang isu perletakan jawatan Sdr Ezam Mohd Nor sebagai Timbalan Ketua Perhubungan keADILan Negeri Selangor merangkap Ketua keADILan Bahagian Shah Alam.

2 aktiviti yang membabitkan saya secara langsung,iaitu pertemuan kepimpinan Angkatan Muda keADILan Pusat (AMK) dan kunjungan hormat ke atas Sdr Anwar Ibrahim. Pertemuan saya bersama Barisan Exco AMK dan Sdr Ezam dilihat sebagai menunjukkan solidariti menyokong Sdr Ezam,sebagaimana yang dimainkan oleh Laman Web Umno-Reform . Pertemuan kami pada malam tersebut bukanlah atas kapasiti menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak,sebaliknya lebih kepada majlis dialog bersama Sdr Ezam untuk mengetahui hujung pangkal pendirian yang diambil oleh beliau. Sebagai Pemangku Ketua AMK,saya mengambil tanggungjawab tersebut untuk menanyakan kepada Sdr Ezam sendiri mengenai spekulasi yang timbul,dan Alhamdulillah klarifikasi diperoleh dengan baik sekali. Saya berpendapat dalam keadaan kita, khususnya keADILan sedang menjaja budaya politik baru,adalah tidak wajar untuk kita memperbesarkan krisis yang timbul, ataupun bersikap opportunist, menangguk di air keruh dengan menyokong satu-satu pihak semata.Yang perlu kita dulukan adalah solidariti parti,bukan agenda peribadi.

Pertemuan AMK Pusat bersama Sdr Anwar Ibrahim memberikan mesej jelas dalam memupuk iltizam saya,dan pastinya seluruh kepimpinan AMK Pusat. Selain menyatakan sokongan pada atas kepemimpinan Sdr Anwar,beliau turut menegaskan setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan semangat muafakat yang tinggi.Paling penting,mesej ringkas beliau menyuntik semangat, ‘tumpu pilihanraya umum,jangan terbawa-bawa pilihanraya parti!’

Demokrasi dalam parti sewajarnya didukung oleh semua pihak.Pun begitu wajar bagi kita,sebagai barisan depan penjana budaya politik baru untuk berfikiran matang dan bertindak secara rasional.Saya kekal berpendapat,kita wajar bersikap telus dan terbuka.jangan terbawa-bawa dengan sentimen yang kekal bakal memusnahkan harapan rakyat yang kian menggunung menyandarkan harapan untuk kita memandu Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih adil dan demokratik.

Saya teringat ungkapan popular Farah Fauzana, Pengacara Melodi, “kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi!”

Kenapa Saya Kata Pak Lah PM Yang Lemah?

Saya ingin mengulangi penegasan yang telah saya lakukan semasa program Debat Perdana pada 12 Mac 2006 lalu yang disiarkan secara langsung melalui TV 1 bahawa Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang lemah. Pada malam tersebut, saya telah membawa sekurang-kurangnya tiga contoh yang jelas iaitu:

Kegagalan Perdana Menteri untuk meluluskan permit surat khabar rasmi Parti Keadilan Rakyat iaitu Suara Keadilan walaupun Parti Keadilan Rakyat merupakan sebuah parti yang berdaftar. Permohonan permit telah dilakukan semenjak tujuh tahun yang lalu. Kebebasan media dan maklumat merupakan prasyarat kepada sebuah kerajaan yang demokratik.

Kegagalan Perdana Menteri untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu di mana secara khususnya saya merujuk kepada dasar kerajaan pimpinan beliau mengenai pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris, AP (approved permit) yang dianugerahkan kepada segelintir elit pemerintah dan anugerah biasiswa yang pada waktu sekarang ini tidak lagi dinikmati oleh pelajar Melayu.

Kegagalan Perdana Menteri untuk memahami masalah dan beban rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat daripada kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen.

Saya percaya penilaian dan pandangan saya bahawa PM Abdullah merupakan seorang Perdana Menteri yang lemah turut dikongsi oleh sebilangan besar rakyat Malaysia termasuk beberapa bekas pimpinan kerajaan. Yang terbaru ialah kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan secara diplomatik bahawa kenaikan harga minyak di Malaysia boleh dielakkan sekiranya kerajaan mengambil tindakan dengan mengukuhkan mata wang kerana dengan mengukuhkan mata wang, harga minyak sebenarnya tidak akan menjadi terlalu tinggi. Dalam erti kata yang lain, pandangan beliau memberikan satu bperspektif bahawa kerajaan di bawah pimpinan PM Abdullah adalah lemah dan tidak berwibawa.
Justeru, saya percaya tindakan YB Wee Ka Siong yang menganggap bahawa kenyataan saya mengkritik PM Abdullah seorang perdana menteri yang lemah sebagai satu kenyataan yang BIADAP, menggambarkan tentang bagaimana semangat demokrasi khususnya kebebasan memberikan pendapat dan pandangan telah mati di dalam sebuah negara yang dianggap sebagai negara yang demokratik. Apatah lagi, pandangan seperti ini keluar dari mulut seorang pimpinan muda kerajaan yang sepatutnya mempunyai pandangan yang lebih progresif dan terbuka.

Saya dengan ini membuat cabaran rasmi dengan mana-mana pimpinan muda parti pemerintah untuk berdebat dengan saya tentang penegasan saya bahawa Malaysia mempunyai sorang Perdana Menteri yang lemah dan beliau perlu berubah segera !