Jangan Kita Lupa .. Deklarasi Permatang Pauh

Saya kira ramai yang semakin melupakan amanat perjuangan reformasi yang satu ketika menjadi pegangan dan anutan gerakan reformasi.saya terpanggil untuk kembali meningkatkan kembali pemahaman kita mengenai Deklarasi Permatang Pauh.

Moga bermanfaat buat kita,penjana gerakan reformasi!

Deklarasi Permatang Pauh
12 September 2008

Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud “ tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami ” ;

Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat; Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula; Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:

Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;

Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;

Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;

Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;

Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;

Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;

Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.

Malaysiakini: Samy Vellu Diberi 7 Hari Lagi

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMPKR) hari ini memberi lanjutan tempoh tujuh hari lagi kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu untuk mendedahkan semua perjanjian konsesi lebuhraya seperti yang dijanjikannya.

Sebelum ini, pergerakan itu memberi tempoh seminggu, yang berakhir hari ini, kepada Presiden MIC itu untuk berbuat demikian. Perkara itu dinyatakan oleh Naib Ketua AMPKR, S Manikavasagam, selepas pemangku Ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin menyerahkan memorandum kepada Samy Vellu di pejabat menteri berkenaan di Kuala Lumpur pagi ini.

Katanya, jika menteri itu masih membisu, pihaknya akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat Samy Vellu.

“Saya minta beliau usah hanya pandai bercakap, kami mahu beliau mendedahkannya untuk pengetahuan orang ramai. Lihat AMPKR, apabila kami bercakap kami buktikan,” katanya.

Teruskan membaca “Malaysiakini: Samy Vellu Diberi 7 Hari Lagi”

AMK Sahut Cabaran Samy Vellu!

Memandangkan bacul Samy Vellu masih tidak surut,maka saya dan kepimpinan AMK mengambil keputusan yang tegas untuk menyahut cabaran beliau untuk mendedahkan harga Tol SMART dan juga menyerahkan Memorandum Desakan Rakyat kepada Samy Vellu. Esok, Selasa 20 Mac 2007 jam 11 pagi kami pimpinan AMK Pusat akan ‘berkunjung’ ke Kementerian Kerjaraya untuk sama-sama melakukan ‘kunjungan hormat’ ke atas Samy Vellu..

Harapnya beliau bersedia,bukan sekadar bersembunyi di balik pintu!

Boikot Atau Tidak?

pemergian mendiang Datuk Wira Poh Ah Tiam turut membawa signal yang pilihanraya kecil akan diadakan untuk mengisi kekosangan kerusi DUN Machap yang ditinggalkan oleh beliau.Rabu 21 Mac 2007 SPR akan mengisytiharkan tarikh penamaan calon & tarikh pilihanraya kecil (PRK) DUN Machap

DAP telah menegaskan yg tidak akan memboikot PRK ini, dalam erti kata lain, akan meletakkan calon memandangkan kerusi DUN Machap adalah kerusi tradisi DAP.

ada juga spekulasi yg menyatakan keADILan berminat bertanding di DUN Machap,pun begitu amsih belum diputuskan secara rasmi.Persoalannya kini,setelah kita melihat kepada inisiatif boikot PRK DUN Batu Talam, apakah perlu untuk kita teruskan boikot, atau memilih untuk bertempur demi rakyat kali ini?

Takziah Buat Keluarga Mendiang Poh Ah Tiam

saya ingin mengucapkan takziah ke atas keluarga mendiang Datuk Wira Poh Ah Tiam, Ketua Perhubungan MCA Melaka yang juga Exco Kerajaan Tempatan Negeri Melaka yang meninggal dunia lewat petang Khamis lepas kerana menghidap penyakit kanser. meskipun berbeza lapangan dan anutan politik,jasa-jasa mendiang tetap kekal di dalam ingatan semua.sekalung takziah buat keluarga mendiang.

.

Bantah Penahanan Tian Chua Di IPD Ampang Malam Ini!

Saya dimaklumkan yang Sdr Tian Chua, Ketua Penerangan KeADILan telah ditahan polis bersama sekumpulan aktivis dan penduduk tempatan yang turut sama membantah perobohan Kampung Berembang, Ampang hari ini.

Tambah mengejutkan yang Tian Chua juga didakwa atas tuduhan cubaan membunuh so bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan. apa yang melucukan, dakwaan itu dibuat hanya kerana Tian melanggar penghadang jalan yang disusun oleh pemaju,dan pemaju mendakwa yang Tian melakukan cubaan membunuh ke atas pemaju terbabit!!

Bersama-sama kita berkumpul di IPD Ampang Taman Dagang pada jam 8 malam ini untuk menyatakan sokongan kepada Tian dan bantahan ke atas tuduhan karut ini!

Angkatan Muda Minta Samy Jawab!

Berhubung dengan laporan berita mengenai soalan wartawan terhadap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu semalam, Angkatan Muda KeADILan Malaysia berpendapat bahawa menteri itu tidak menjawab persoalan penting yang yang diutarakan oleh Angkatan Muda semasa mendedahkan perjanjian konsessi diantara Smart dan Kerajaan Malaysia berhubung dengan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Sungei Besi dan Bandaraya.

Antara persoalan yang lebih penting dalam memperkatakan isu ini ialah:
1.    Samy Vellu tidak bersikap terus terang dalam memperkatakan mengenai kadar tol.
2.    Mengapa kadar tol yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut terlalu tinggi.
3.    Salah pengiraan mengenai volum kesesakan seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian.
4.    Kerajaan boleh meperolehi balik pelaburan kos pembinaan lebuh raya pada tahun 2023. Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat konsesi (Smart) ialah RM5 billion.

Pengisian pendedahan tersebut boleh didapati daripada laman web rasmi keADILan di http://www.keadilanrakyat.org.

Angkatan Muda mendesak agar Kerajaan menggubal Akta Kebebasan Media secepat mungkin supaya ketelusan dalam maklumat yang berhubung dengan kepentingan rakyat dapat diketahui umum.

Maklumat yang didedahkan oleh Angkatan Muda pada 1hb Mac lalu melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan inidividu.

Angkatan Muda juga merasa amat kecewa dengan cara jawapan yang keluar daripada seorang Menteri yang berkata, “ pergi jahanam dengan mereka ini.”

Kami berpendapat kata-kata sedemikian tidak sepatutnya datang dari seorang menteri tetapi daripada seorang ‘dracula’ dan tidak mirip seperti seorang Menteri Kabinet.

Kami menasihati agar Samy Vellu mengikuti kempen “Jiwai Bahasa” yang dijalankan oleh Kementerian kesenian dan Warisan (KeKKwa).

Apa yang dilakukan oleh Angkatan Muda tempoh hari (dalam mendedahkan perjanjian konsessi) adalah sebahagian daripada khidmat kepada rakyat kerana ianya memberi kesan langsung kepada rakyat.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Pemangku Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Fokus Pada Anwar, Bukan Pada Jawatan!

 

Meskipun Kongres Tahunan KeADILan bakal berlangsung pada bulan Mei depan, bahangnya sudah terasa seawal hari ini. Dalam pada kita mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan pilihanraya yang hanya menanti ilham PM untuk diadakan, KeADILan juga dalam proses memperkemaskan kepimpinan dan jentera parti apabila dalam kongres akan datang juga akan dilangsungkan pemilihan parti. Kita tidak seperti Umno, yang seringkali menangguhkan amalan demokrasi dalaman mereka apabila tiba waktu pilihanraya. KeADILan tegar dan tegas untuk melaksanakan amalan demokrasi yang kekal menjadi mauduk utama perjuangan meski terpaksa berhadapan dengan cabaran kecil pemilihan.

Saya terpanggil untuk memberikan pandangan memandangkan terdapat kepelbagaian pendekatan ketika mana parti yang muda ini ghairah untuk mempraktikkan amalan demokrasi. Di suatu sisi, ada pandangan yang menyatakan bahawa amalan muafakat tanpa pertandingan dan mungkin juga tanpa pencalonan yang pelbagai mesti menjadi keutamaan pada tahap ini. Muafakat juga demokratik kata mereka. Saya juga cenderung untuk bersetuju dengan pandangan ini. Asasnya ialah prinsip syura seperti yang dinukilkan di dalam Al-Quran yang menggalakkan kita bermesyuarah, wa amruhum syura bainahum. Alasan utama pandangan ini ialah bagi mengelakkan bibit perpecahan yang lebih besar di dalam parti.

Di dalam masa yang sama pandangan yang menyatakan bahawa pesta (kalau boleh saya gunakan istilah ini) demokrasi mesti kelihatan di dalam parti yang komited dengan agenda perubahan khususnya di dalam usaha memperbaiki sistem dan amalan demokrasi di Malaysia juga tidak boleh disisihkan. Ada kebenaran dan niat yang murni bagi kumpulan yang mendokong sisi pandangan ini. Saya teringat salah satu bab di dalam buku karangan Wilfred Madelung, The Succession of Muhammad yang menceritakan bagaimana beberapa pencalonan telah dibuat semasa perbincangan Sahifah Bani Saadah untuk memilih Khalifah baru selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W. walaupun Baginda Rasul seolah-olah telah menunjuk pengganti beliau iaitu Abu Bakar As-Siddiq.

Walau apapun pertandingan (contestation) pandangan, pada hemat saya, Kongres kali ini perlu menjadi titik tolak keADILan untuk melangkah lebih berani. Persoalannya bagaimana ? Saya beriltizam menggerakkan seluruh kekuatan Angkatan Muda untuk menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden keADILan dan juga mendesak Kerajaan agar beliau dibenarkan untuk bertanding dalam pilihanraya umum yang akan datang. Saya tegas menyatakan, ini wajar menjadi fokus utama kongres parti akan datang. Bukan bermakna menafikan amalan dan semangat demokrasi di dalam parti, tetapi adalah lebih penting bagi kita untuk meletakkan keADILan di landasan yang tepat dengan kemudinya dipegang secara serius oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan penyertaan beliau sebagai Presiden, pastinya keyakinan ahli dan rakyat Malaysia akan bertambah dan suasana/ambience ini akan memperhebatkan lagi keADILan untuk berhadapan dengan Umno/BN dalam Pilihanraya Umum akan datang. Mengikut urutan fiqh keutamaan, di dalam keadaan sokongan rakyat kian memuncak kepada keADILan dan perubahan politik, perkara ini yang wajar kita tekankan, bukannya ghairah untuk merebut jawatan di dalam parti.