2,808 Mengundi Pos PRK Sibu Hari Ini

SUARAKEADILAN – SIBU 13 Mei – Seramai 2,808 pengundi undi pos yang terdiri daripada anggota tentera, polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membuang undi di pusat mengundi masing-masing bermula pukul 8 pagi tadi sehingga 5 petang.

Daripada jumlah itu 271 terdiri daripada petugas SPR yang membuang undi pukul 2 petang tadi di Tingkat 9, Pejabat Residen Bahagian Sibu di Wisma Sanyan.

Anggota polis pula membuang undi di Ibu Pejabat Polis Daerah sibu manakala anggota tentera pula melaksanankan tanggungjawab mereka di Kem Batu 10 Rascom dan Kem Batu 14.

Parlimen Bandar Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar yang mana pengundi kaum Cina merangkumi hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan bumiputera Sarawak (22 peratus) yang akan mengundi 16 Mei nanti.

Pakatan Rakyat diwakili oleh Wong Ho Leng, Pengerusi DAP Sarawak manakala Barisan Nasional mempertaruhkan Robert Lau Hui Yew manakala Narawi Haron bertanding di atas tiket Bebas.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Wong Ho Leng Isytihar Perang Basmi Kemiskinan

TVSELANGOR – Sejak dipilih wakil rakyat pada 1996, Wong Ho Leng mengisytiharkan perang terhadap kemiskinan dan penggangguran – dua isu utama yang membelit warga Sarawak.

Calon pilihan Pakatan Rakyat ini menjadikan kemelut kemiskinan rakyat kepentingannya, melalui siri-siri gesaan dan desakan terhadap kerajaan negeri dan pusat. 40 tahun telah berlalu, rakyat Sarawak masih melarat.

Program ekonomi dibawah Ketua Menteri Taib Mahmud gagal membuahkan hasil. Katanya, pada 2009, pendapatan Sarawak mencecah hampir RM3.726 bilion ringgit, tetapi 70 peratus daripada penduduk rumah panjang masih tidak mempunyai akses kepada air bersih, jalanraya dan tenaga elektrik.

“Jika kamu melawat Rassau, Bungan atau Panasu, kamu boleh nampak rumah-rumah panjang dan bumbung-bumbung mereka yang hampir roboh. Penduduk amat sudi menceritakan kepada kamu janji-janji yang menteri-menteri sebut dahulu. Mereka dijanjikan air, dijanjikan elektrik, dan hari ini, penduduk menjana elektrik sendiri, dan kutip air langit dari hujan,” kata calon Pakatan Rakyat Wong Ho Leng.

Kadar kemiskinan di Sarawak kekal pada paras membimbangkan. Jurang pendapatan amat parah, yang menurut Wong diburukkan lagi dengan barah rasuah. Dengan kadar pelaburan yang semakin corot, Sibu kini jatuh ketinggalan berbanding Kuching, Miri dan Bintulu.

“Saya ingin tanya, berapa ramai rakyat di Sibu yang sekaya calon BN? Di bandar Sibu, ramai yang tidak berpuas-hati dengan kerajaan BN. Tengok sahaja di kampung-kampung Melayu. Kehidupan mereka sukar, kerja juga tidak banyak. Belia Melayu, Cina dan Dayak berhijrah keluar ke Johor Bahru dan Singapura kerana tidak ada kerja disini. Dan kalaupun dapat kerja, gajinya murah,” keluh Wong.

Isu rakyat Sibu sebenarnya lebih parah dari isu kemiskinan. Prasarana yang lemah merencatkan pembangunan Sibu sebagai bandar strategik di Sungai Rajang.

“Tengok sahaja prasarana di Sibu. Keluar sahaja dari lapangan terbang, yang menanti kita adalah jalanraya yang berbukit dan berlopak. Bila hujan turun, ada sahaja kereta yang tergelincir,” kata Wong.

Sibu juga sering dilanda banjir, terutamanya di Jalan Hua Kiew di DUN Bukit Assek. Banjir menyebabkan ramai warga Sibu berhijrah ke bandar-bandar lain kerana kerajaan negeri tidak lagi mampu mengatasi masalah itu.

“Sibu seperti berada di dasar kuali. Jutaan ringgit disalur untuk tangani banjir, tetapi masih gagal. Satu-satunya cara adalah mendalamkan dasar sungai, tetapi BN berlepas tangan. Walhal DAP pernah menawarkan kerja pedalaman secara percuma, tetapi BN lebih rela tengok rakyat Sibu dilanda banjir,” kata Wong.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Isu Kalimah Allah: Calon BN Takut Umum Pendirian

TVSELANGOR – Calon BN Robert Lau tidak mungkin menjadi wakil rakyat yang berkesan kerana mengelak dari mengumumkan pendirian berhubung penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat Kristian di Sarawak.

Calon Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng mempersoalkan sikap takut dan berdiam diri Robert kerana isu penggunaan kalimah Allah memberi kesan kepada kehidupan beragama masyarakat Kristian di Sibu.

Kira-kira 53 peratus dari 54,695 pengundi berdaftar di Sibu beragama Kristian. Masyarakat Cina membentuk 67 peratus, Dayak 22 peratus dan Melayu-Melanau 10.5 peratus.

Semalam, Robert Lau berkata persoalan penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat agama Samawi tidak boleh dijadikan isu, walaupun ia telah menyulitkan kehidupan beragama masyarakat bukan Islam di Sibu.

“Robert mengelakkan diri dari menjawab soalan apakah larangan menggunakan kalimah Allah telah mencabuli hak rakyat Sarawak khususnya dan Malaysia amnya untuk beragama, seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk masyarakat bukan Islam,” kata Wong.

Masyarakat Kristian di Sarawak menggunakan kalimah Allah dalam upacara dan penerbitan mereka sejak zaman penjajahan.

Penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam mncetuskan kontroversi selepas Kementerian Dalam Negeri menguatkuasakan keputusan Kabinet 1986 melarang bukan Islam dari menggunakan beberapa perkataan Arab oleh warta Katolik, The Herald.

Penerbit akhbar itu menang dalam kes mereka yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu, tetapi berakhir dengan kontroversi apabila beberapa rumah ibadat diserang.

Ketika pimpinan Umno-BN mengecam penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam, Pakatan Rakyat menunjukkan kematangan dengan menyeru kepada dialog antara cendekiawan agama.

Ketegangan agama berakhir apabila Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Pas Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim mengepalai usaha kepada perbahasan dengan menemui ketua-ketua masyarakat Kristian.

“Jelas sekali, Robert mengelak dari menjawab soalan ini kerana beliau tunduk kepada tuan politiknya. Bagaimana mungkin orang seperti ini mampu membawa dan mempertahan hak rakyat Sibu?” kata Wong.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

209 Pengundi Sibu Berusia Lebih 100 Tahun?

MALAYSIAKINI – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyiasat dakwaan sebuah badan pemantau tempatan yang menggelarkan diri sebagai “Pemerhati Pilihan Raya Sibu” (SEW) bahawa terdapat 209 pengundi di kawasan Parlimen Sibu yang berumur melebihi 100 tahun.

Pengarah SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata pilihan raya kecil Sibu akan menggunakan senarai daftar pemilih tahun 2009 yang dikemas kini pada 9 April lalu.

“Saya tidak tahu senarai (daftar pemilih) mana yang mereka pakai tetapi kami (SPR) akan meneliti (dakwaan itu),” katanya kepada pemberita selepas taklimat media pilihan raya kecil Sibu di Sibu hari ini.

Semalam, SEW satu pertubuhan baru yang diwujudkan sebagai pemerhati bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu.

Penyelarasnya Wong Meng Chuo berkata SEW yang mempunyai 22 anggota yang akan memantau perjalanan penamaan calon, kempen dan pengundian sepanjang pilihan raya
kecil itu.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu akibat barah hati.

SPR menetapkan 8 Mei sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 16 Mei.

– Bernama

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Pakatan Rakyat, BN Umum Calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu (TERKINI)

TVSELANGOR – SIBU 27 APR: Ketua DAP Sarawak, Wong Ho Leng secara rasmi diumum sebagai calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada satu majlis makan malam.

Beliau sebelum ini pernah bertanding dua kali menentang calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hoi Chew  yang menyandang kerusi itu selama lima penggal tetapi tewas.

Wong adalah adalah antara enam pemimpin DAP yang berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri Sarawak 2006.

Beliau bakal bertembung Robert Lau Hui Yew, 45, calon BN yang juga  Bendahari cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Hui Yew dan Hoi Chew adalah saudara dua pupu.

Pengumuman Hui Yew sebagai calon BN dibuat Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Mei sebagai hari penamaan calon dan 16 Mei ialah hari mengundi.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Jadual Lawatan Ke Sarawak!

KETUA Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin, akan melakukan lawatan kerja ke negeri Sarawak bermula 9 Januari ini.

Berikut adalah diantara program yang telah diaturkan;

9 Januari 2009:
Malam
-Majlis Makan Malam di Batu 4, Luar Bandar Kuching

10 Januari:
Pagi
-Mesyuarat AMK Bahagian Petrajaya dan Satok, Restoran DD, Kuching
-Ceramah Kelompok di Kg Jaya Bakti, Santubong
-Lawatan ke Kg Buntal, Santubong

Petang

-Perjumpaan bersama pemimpin dan rakyat di Bandar Baru Samarian, Santubong

Malam
-Ceramah Kelompok di Lot Bako, Santubong

11 Januari:

PAGI

– Ceramah di Kampung Pendam, Batang Sadong
– Ceramah Kelompok di Kampung Serpan, Asajaya

PETANG
-Ceramah dan Perasmian Jawatankuasa AMK Samarahan di Pinang di Kota Samahan
-Ceramah Kelompok di Kampung Pinang

Untuk segala maklumat atau perubahan, sila hubungi Ketua AMK Sarawak Rahamat Idil Latif di talian 0168746100

Ayuh kita bawa angin perubahan di Bumi Kenyalang!
Sekian
Pejabat Ketua AMK Malaysia
http://www.shamsuliskandar.com