PM Najib tetapkan agenda Utusan Malaysia ?

Pendedahan Hata Wahari dan politik talam dua muka

Pendedahan bekas wartawan kanan Utusan Malaysia (Utusan) Hata Wahari bahawa agenda Utusan ditetapkan oleh Biro Politik UMNO yang dipimpin Presiden Najib Razak pasti menakjubkan pelbagai pihak!

Semenjak zaman reformasi, komentari pelbagai pihak sama ada oleh ahli akademik, ahli politik, wartawan, penganalisa politik, aktivis masyarakat atau pihak lain telah membentuk “common sense” dalam kalangan masyarakat yang prihatin terhadap isu kebebasan media dan politik negara, bahawaUtusan bagaikan “lidah rasmi UMNO”. Kini seorang bekas wartawan kanan Utusan telah membuktikan kesahihan “common sense” tersebut.

Kalau kecenderungan komentari selama ini melihat kawalan terhadap Utusan dari segi pemilikan syarikat dan “consumption” atau pemaparan berita saban hari, kini Hata Wahari (gambar kanan) membekalkan perspektif kawalan terhadap Utusan dari segi “production” atau penetapan agenda secara langsung dan tidak langsung oleh Biro Politik UMNO pimpinan Najib.

Betapa munafiknya PM

Pendedahan Hata Wahari sekali gus membuktikan betapa munafik seorang Perdana Menteri yang kononnya berazam membawa gagasan 1Malaysia jitu kepada rakyat jelata malahan berbicara tentang idea 1ASEAN tanpa segan silu semasa berucap pada Forum Kepemimpinan ASEAN kelapan baru-baru ini, seolah-olah retorik 1Malaysia yang penuh dengan bayangan politik fitnah dan unsur-unsur ekstrem dapat dijadikan inspirasi kepada negara-negara rantau ASEAN.

Kalau selama ini Najib cuba membentuk imej diri sebagai “Bapa Transformasi” melalui pengumuman pelbagai pelan transformasi dan penonjolan gagasan 1Malaysia yang kononnya mementingkan “prinsip pertengahan” (moderation) serta perpaduan, dan bertentangan dengan sifat ekstrem sesetengah organisasi seperti PERKASA atau komen pemimpin politik seperti Muhyiddin Yasin, kini pendedahan Hata Wahari menunjukkan bagaimana manusia bernama Najib dan organisasi bergelar Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu memainkan politik talam dua muka.

Politik talam dua muka ini cuba memaparkan Najib sebagai pemimpin yang membawa gagasan pertengahan sementara tindakan dan komen ekstrem PERKASA dan pemimpin politik UMNO yang lain adalah bertentangan dengan prinsip Najib, maka bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh Najib.

Pendedahan Hata Wahari memungkinkan perspektif berlainan dalam memahami politik talam dua muka yang dimainkan oleh Najib dan UMNO. Berikutan itu, pelbagai soalan timbul. Antaranya, selain Najib, Muhyidin, Ahmad Zahid Hamidi, Hishamudin Husein, Safie Apdal, Tengku Adnan Mansor dan Ahmad Maslan yang berada dalam mesyuarat penetapan agendaUtusan, siapa lagi yang berkomplot dengan pemimpin UMNO dalam menjayakan agenda politik UMNO-Utusan?

Kalau diteliti pelbagai isu hangat yang dipelopori Utusan termasuk isu agama dan isu fitnah video seks, kemusykilan timbul berhubung peranan aktor tertentu seperti pimpinan PERKASA serta Datuk T dan hubungan mereka dengan UMNO-Utusan.

Talam dua muka

Antaranya, apakah politik talam dua muka memainkan peranan dalam pemaparan berita palsu Utusan bertajuk “Kristian agama rasmi?” yang dilaporkan pada 7 Mei 2011? Apakah Presiden PERKASA Ibrahim Ali yang mendakwa bahawa komunis di sebalik tabir agenda tersebut juga memainkan peranan dalam politik talam dua muka? Bagaimana pula dengan komplotan politik fitnah video seks?

Kini, susulan keputusan secara sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang meminta Menteri Dalam Negeri “mengambil tindakan keras ke atas laporan palsu yang dibuat oleh Utusan Malaysia pada muka depannya tanggal 7 Mei tentang konspirasi di antara DAP dan paderi-paderi Kristian di Pulau Pinang untuk menubuhkan sebuah negara Kristian dan melantik Perdana Menteri beragama Kristian”, apakah Hishammuddin akan mengambil tindakan keras terhadapUtusan?

Sementara kita menyaksikan perkembangan seterusnya, otak durianku terfikir membicarakan hubungan antara media dan kuasa pemerintah serta pembentukan kuasa media dalam konteks yang lebih luas.

Kekompleksan kuasa media dapat ditonjolkan dari pelbagai aspek. Keunikan Utusanadalah fakta bahawa pemilikan dan penetapan agenda oleh UMNO jelas menjadikannya “suara UMNO”, bukan sebagai suara masyarakat kepelbagaian etnik, ideologi dan pandangan yang menjadi hakikat Malaysia khususnya dalam era internet. “Suara UMNO” juga merujuk kepada suatu bentuk “kuasa politik-media” yang besar sehingga mampu melakukan fitnah atau pembohongan terhadap “musuh politik” dan “musuh peribadi”.

Lantaran itu, Utusan tidak lagi melambangkan pemikiran dan kemahuan masyarakat Malaysia. Utusan hanya melambangkan mentaliti dan kemahuan pimpinan UMNO khususnya Najib yang terdesak kerana berdepan dengan tekanan pilihan raya umum akan datang sehingga menggunakan Utusan untuk memainkan politik fitnah dan politik talam dua muka.

Dewasa ini, Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya tidak lagi memerlukanUtusan untuk mengetahui apa yang berlaku dalam dan di luar Malaysia. Namun tidak cukup sekadar menolak Utusan. Kita wajar menolak rejim pemerintah yang mahukan kawalan ketat terhadap media massa diteruskan. Kita juga wajar menolak mana-mana akhbar yang cuba mencontohi Utusan!

Akhbar bahasa Cina

Justeru, mentaliti dan hipokrisi sesetengah editor kanan akhbar Bahasa Cina wajar dibangkitkan untuk menghalusi pemahaman kita apabila membicarakan kuasa media yang diperolehi Utusan khususnya dan media amnya.

Untuk berdekad lamanya khususnya selepas penggantungan permit penerbitanSin Chew Jit Poh semasa Operasi Lalang 1987 dan dalam konteks Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (pindaan) 1987, barisan editor kanan sesebuah akhbar Bahasa Cina cenderung melihat laporan politik Utusan,Berita Harian (BH) dan New Straits Times (NST) sebagai rujukan utama.

Apa yang dimaksudkan di sini adalah, apabila didapati wujud berita berkenaan sesuatu yang negatif terhadap pimpinan UMNO-Barisan Nasional atau sesuatu yang dikira sensitif, laporan Utusan, BH atau NST dijadikan rujukan. Apabila akhbar Utusan, BH atau NST memberikan liputan besar, hal ini bermaksud adalah selamat untuk akhbar Bahasa Cina melaporkan isu yang sama pada keesokan harinya.

Logiknya adalah bahawa laporan Utusan, BH dan NST melambangkan agenda UMNO, dan pengalaman akhbar Bahasa Cina yang kononnya lebih “vulnerable” berbanding dengan Utusan, BH dan NST yang mempunyai sokongan politik (rujuk kepada UMNO) yang kuat apabila berdepan dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri.

Lantaran itu, akhbar seperti Utusan, BH dan NST dilihat sebagai memiliki kuasa politik yang “tidak dimiliki” akhbar Bahasa Cina. Maka setiap kali kritikan dilontar terhadap akhbar Bahasa Cina yang melakukan penapisan diri (self-censorship), laporan berita yang tidak beretika atau berkepentingan diri, logik sedemikian dibangkitkan untuk mematikan kritikan.

Dengan kata lain, apa yang cuba diutarakan adalah bahawa akhbar Bahasa Cina tidak bersekongkol dengan kuasa politik dan tidak membentuk “kuasa politik-media”. Logik sedemikian mirip dengan hujah bahawa Najib yang “moderate” tidak bersekongkol dengan kuasa esktrem sedangkan komplotan kuasa sebenarnya mengambil tempat, cuma imej “pertengahan” Najib dperkukuh melalui pembentukan persepsi “kuasa politik-media”.

Aspek yang jarang-jarang sekali dibincangkan adalah, yang berdepan malahan berkomplot dengan kuasa politik tidak terhad kepada Utusan, BH dan NST, akhbar Bahasa Cina juga bersekongkol dengan kuasa politik. Contoh klasik ialah hubungan komplotan sesetengah editor kanan akhbar Bahasa Cina dengan pemimpin tertentu MCA yang begitu menonjol sekali semasa pertarungan politik berlaku sesama puak bertentangan dalam MCA.

Apa yang ingin dibicarakan di sini adalah, selain berdepan dengan kawalan politik, akhbar yang bersekongkol dengan rejim pemerintah juga membentuk kuasa politik sehingga mampu melancarkan serangan terhadap musuh rejim pemerintah dan individu atau golongan yang dianggap musuh peribadi editor kanan akhbar arus perdana tanpa check and balance.

Sesungguhnya, logik akhbar Bahasa Cina lebih “vulnerable” telah dijadikan alasan oleh editor kanan untuk berdekad lamanya sementera menikmati kepentingan tertentu melalui politik talam dua muka dalam kalangan editor akhbar arus perdana.

Sebab itu, setiap tahun apabila terbaca bicara editor kanan akhbar arus perdana mengenai kepentingan kebebasan media sempena hari kebebasan akhbar sedunia, otak durianku akan membisik kepada diriku, jangan kita terpedaya dengan politik talam dua muka editor kanan akhbar yang bersekongkol dengan kuasa establishment!

Sesungguhnya, hubungan komplotan sedemikian telah memperkukuh cengkaman rejim pemerintah terhadap media. Malahan, apabila sesetengah wartawan bangkit atau masyarakat madani bergerak mempertahankan kebebasan media, hubungan komplot sedemikian menjadi halangan kepada perjuangan membebaskan media daripada kawalan ketat rejim pemerintah.

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

http://merdekareview.com/bm/news.php?n=11846

Video Seks 2011: Ulangi skrip video 1999 !

Persamaan dan Perbezaan Video Lucah 1999 dan 2011
Surat dari bekas Ketua CID KL kepada Ketua Polis Negara

Sebelum kita tersasar lebih jauh,tidak salah untuk kita dibawa berpatah balik kepangkal jalan, untuk meneliti semula peristiwa lampau bagi mencari penyelesaian yang ideal dan membuat keputusan siapa yang benar dan siapa yang patut dipersalahkan kerana telah menyebabkan kegusaran dan kekeliruan dikalangan rakyat.

Mat Zain Ibrahim
18hb.April 2011

Kepada;

YDH Tan Sri Haji Ismail Hj.Omar,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia, Melalui:Email dan Dengan Tangan
Bukit Aman,
50560 Kuala Lumpur,
Email:iho@rmp.gov.my

YDH Tan Sri,

SIASATAN VIDEO SEKS 2011-PERSAMAAN DAN PERBEZAAN DENGAN VIDEO SEKS PERTAMA 1999.

1. Sepertimana juga sebilangan besar rakyat,saya turut mengikuti perkembangan penyiasatan Polis berkaitan isu video seks menerusi MSM dan juga media alternatif yang akan masuk minggu ke-empat.Berdasarkan kepada komen-komen mereka yang berpeluang membuatnya,menampakkan ramai yang mempersoalkan hala tuju penyiasatan Polis. Malah ramai yang membantah secara lantang pendirian Polis yang dikatakan jelas kelihatan berat sebelah terhadap satu pihak yang bertelagah dalam isu ini.

2. Saya jemput Tan Sri merujuk kepada Surat Terbuka saya bertarikh 28 March 2011 yang kemudiannya dibahaskan diParlimen.Saya mengekalkan dan mengulangi kenyataan-kenyataan saya dalam Surat Terbuka tersebut,serta mengambil kandungannya sebagai sebahagian dan lanjutan kepada surat ini.Saya mengekalkan pendirian saya bahawa isu video lucah ini adalah merupakan pertembungan peribadi antara Rahim Thamby Chik dan Anwar Ibrahim.

3. Saya yakin Polis mampu mengambil pendirian yang professional dan berkecuali menangani siasatan ini,serta memberikan pendengaran yang adil kepada kedua- dua belah pihak,sambil memberikan mereka “gelanggang yang samarata”(level playing field),untuk membuktikan kebenaran masing-masing.

4. Bukan menjadi hasrat saya mencampuri siasatan Polis,namun begitu sebagai seorang pesara Polis yang berpeluang menangani isu-isu yang berkaitan dengan Anwar dan Rahim serta beberapa kenamaan lain ketika dalam perhidmatan,saya rasa terpanggil untuk mendedahkan maklumat-maklumat yang saya percaya dapat membantu siasatan.

4.1. Saya dapati ada beberapa perkara mustahak yang ada hubungkait dengan siasatan isu video lucah ini,tetapi tidak diumumkan kepada rakyat yang boleh mengelirukan persepsi mereka.Saya berharap ketinggalan ini adalah disebabkan Polis terlepas pandang dan bukannya dengan sengaja atau curang menyembunyikan fakta-fakta mustahak demikian.

VIDEO SEKS PERTAMA 1999.

5. Saya percaya sebilangan besar rakyat malahan warga Polis sendiri tidak sedar dan mungkin akan terkejut bila mengetahui keujudan Video Seks Pertama yang kononnya dikatakan melibatkan Anwar juga,yang diedarkan dalam tahun 1999.Pengedaran video seks ini disekitar Bandaraya Kuala Lumpur berlaku pada 24 dan 25 November 1999 beberapa hari sebelum Pilihanraya Umum ke-10 yang diadakan pada 29 November 1999.

5.1. Terdapat dua video seks yang diedarkan serentak. Iaitu satu berjudul “Siapa Anwar” manakala yang satu lagi berjudul “Skandal Seks Mat Sabu” (merujuk kepada Mohamed Sabu seorang pemimpin PAS).Bagi maksud eksesais ini saya akan ketepikan video Skandal Seks Mat Sabu, memandangkan isu beliau tidak berkaitan dengan penyiasatan yang sedang berjalan sekarang.

5.2. Beberapa ramai orang awam dari sekitar Kuala Lumpur yang menemui video-video ini yang dikatakan ditinggalkan dihadapan rumah atau pejabat atau lain-lain premis,tampil membuat laporan masing-masing dan menyerahkan video-video berkenaan kepada Polis.Antara mereka adalah seorang Encik Mohd.Zainuddin Arman dan seorang Encik Onn Abu Bakar.Antara report Polis yang berkaitan ialah Ceras Rpt No:19068/99 dan Sungai Besi Rpt No:5894/99 bertarikh 25.11.1999.Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur telah membuka satu kertas siasatan berkaitan kes ini dengan kesemua laporan-laporan yang diterima di-“cross refer” kepada laporan Pertama seperti yang lazimnya.KJSJ Kuala Lumpur ada membuat kenyataan akhbar mengesahkan menerima laporan-laporan dan video-video tersebut, serta memperakukan yang kes berkenaan sedang dalam siasatan Polis.

5.3. Saya sendiri telah melihat video-video tersebut sekurang-kurangnya dua kali. Pertama kali adalah bersama dengan beberapa Pegawai Kanan JSJ Kuala Lumpur bagi menentukan klasifikasi penyiasatan yang betul.Kali kedua bersama mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, dipejabat KJSJ setelah YBhg.Tan Sri Datuk Bandar terbaca berita mengenai edaran video ini diakhbar.Setakat yang saya masih ingat, antara kandungan Video Seks Pertama 1999 ini,terdapat juga rakaman perbualan telefon antara seorang lelaki yang dikatakan Anwar dengan seorang teman wanitanya.

5.4. Penyiasatan JSJ Kuala Lumpur berjaya mengesan dan mengenalpasti “sumber” Video Seks Pertama 1999.Bagaimanapun gagal untuk mengenalpasti orang atau orang-orang yang bertanggungjawab dengan pengedarannya kepada umum. Namun begitu pengedarannya dipercayai bermotifkan politik bersandarkan ianya dibuat beberapa hari sahaja sebelum Pilihanraya Umum ke-10.Sepanjang yang saya ingat tidak ada pihak yang mengaku bertanggung jawab mengedarkan video seks berkenaan.

5.5. Selain itu,tidak dapat disahkan sama ada pengadu-pengadu yang tampil membuat report mengenai penemuan Video Seks Pertama ini, telah membuat salinan untuk simpanan mereka sendiri atau sebaliknya,sebelum menyerahkan kepada Polis.Beberapa orang pengadu dikenalpasti sebagai ahli Parti Keadilan.

VIDEO SEKS KEDUA 2011.

6. Memandangkan Kumpulan yang menggelar diri mereka Datuk T,terdiri daripada Rahim,Shuib dan Eskay telah membuat pengakuan secara terbuka dan mengambil tanggung jawab diatas penemuan dan penayangan video lucah (akan dirujuk sebagai Video Seks Kedua 2011) kepada beberapa ramai pemberita di-Carcosa Seri Negara pada 21 March 2011,maka beberapa perbandingan dan persoalan boleh ditimbulkan berkaitan kedua-dua video seks ini.Saya berpendapat penyiasatan lanjut berkaitan Video Seks Kedua 2011 wajib mengambilkira keujudan dan keadaan berkaitan Video Seks Pertama 1999.Terdapat “nexus” antara kedua Video Seks ini.

Antara persoalannya adalah seperti berikut:-

6.1. Adakah Video Seks Pertama itu juga tulen sepertimana Video Seks Kedua yang ketulenannya telah diistiharkan secara rasmi.

6.2. Adakah kandungan adegan-adegan dalam Video Seks Pertama, sama ada sepenuhnya atau sebahagian daripadanya terdapat juga dalam Video Seks Kedua.

6.3. Adakah identity lelaki dalam Video Seks Kedua yang Polis telah istiharkan boleh dikenalpasti secara positif itu, lelaki yang sama dalam Video Seks Pertama.

6.4. Adakah rakaman suara lelaki dalam Video Seks Pertama itu milik lelaki yang dikatakan boleh dikenalpasti dalam Video Seks Kedua.

6.5. Adakah rakaman suara wanita dalam Video Seks Pertama itu milik wanita yang dikatakan telah dikenalpasti dalam Video Seks Kedua .

6.7. Adakah lokasi pengambaran Video Seks Pertama itu sama dengan lokasi pengambaran Video Seks Kedua.

6.8. Adakah Rahim,Shuib dan Eskay terlibat atau mempunyai apa-apa peranan dalam
pembikinan atau pengedaran Video Seks Pertama 1999, memandangkan ketiga-tiga mereka dilaporkan telah mengenali dan mempunyai sesuatu hubungan dengan Anwar.Lebih-lebih lagi Rahim yang dipercayai mempunyai sebab untuk menyimpan dendam terhadap Anwar oleh kerana Anwar telah membuat laporan Polis membabitkan salahlaku jenayah dan perbuatan rasuah Rahim bersabit Tun.H.S.Lee Rpt:22517/99 pada 20.8.1999.Iaitu lebih kurang 3 bulan sebelum Video Seks Pertama diedarkan kepada umum pada 24/25 November 1999.

7. Selain daripada laporan Polis melibatkan Rahim,Anwar juga telah membuat 3 laporan berasingan melibatkan beberapa orang kenamaan lain beberapa bulan sebelum pengedaran Video Seks Pertama itu,seperti berikut;

7.1. Dang Wang Rpt:20255/99 bertarikh 9.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri,Peguam Negara dan Gani Patail telah menyalahgunakan kuasa kerana tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Rafidah Aziz,atas sifat Menteri MITI, telah dengan secara rasuah memberikan saham kepada menantunya.

7.2. Tun H.S.Lee Rpt:19625/99 bertarikh 21.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan kuasanya dengan menghalang tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Eric Chia (mendiang), yang telah dikatakan melakukan penyelewengan dan rasuah menyebabkan Kumpulan Perwaja mengalami kerugian RM 2.7 billion.

7.3. Tun H.S.Lee Rpt:20455/99 bertarikh 30.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan kuasa dengan melindungi perbuatan rasuah Tun Daim Zainuddin.Dalam laporan ini juga Anwar membuat dakwaan khusus terhadap Tun Daim yang dikatakan telah mengumpul harta peribadi secara rasuah bernilai ratusan juta ringgit.Anwar turut menyertakan tiga surat perakuan oleh individu berlainan selaku penyimpan dan pemegang amanah harta bagi pihak Tun Daim.Mereka yang dimaksudkan ialah;Tan Sri Abdul Halim Saad sebagai pemegang amanah saham-saham dalam Syarikat Senarai Awam bernilai lebih kurang RM 150 juta.Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah sebagai pemegang tunai berjumlah RM 150 juta.dan Tan Sri Tajuddin Ramli sebagai pemegang tunai RM 70 juta.

8. KJSJ Kuala Lumpur memberi perhatian kepada laporan-laporan yang dibuat oleh Anwar seperti diatas memandangkan dokumen-dokumen bukti yang Anwar kemukakan dengan tiap satu laporan beliau,telah diperolehinya ketika beliau masih memegang jawatan dalam Kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri.Laporan-laporan beliau diterima sebagai dibuat oleh seorang mantan Timbalan PM dan bukan sebagai seorang individu bernama “Anwar”.

8.1. Sama ada pendedahan yang beliau buat seperti diatas telah menyebabkan individu-individu terlibat atau orang-orang sekeliling mereka marah dan menyimpan dendam terhadap Anwar tidak diketahui tetapi tidak boleh diketepikan.

SUMPAH PALSU RAHIM BUAT KEPADA PERDANA MENTERI.

9. Satu diantara 4 kesalahan jenayah yang pihak BPR dan Jabatan Peguam Negara sahkan mempunyai keterangan “prima-facie” terhadap Rahim ialah; kerana membuat satu Akuan Statutori Palsu (atau dalam bahasa yang mudah;”Angkat Sumpah Palsu”), suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 7 tahun jika disabitkan kesalahannya.Akuan palsu ini dikatakan dibuat kepada Perdana Menteri dan di-Jabatan Perdana Menteri ketika itu.

9.1. Persoalan yang boleh ditimbulkan dalam situasi ini adalah; sama ada keterangan Rahim dalam siasatan Video Seks Kedua, boleh diterima pakai sepenuhnya, memandangkan Rahim telah sanggup sehingga mengangkat sumpah palsu kepada Perdana Menteri dan Kerajaan untuk menyembunyikan kesalahan-kesalahan jenayah yang beliau telah lakukan seperti yang dilaporkan oleh BPR sedemikian itu.Jika demikian,kesanggupan Rahim memberi kesaksian palsu dalam siasatan Video Seks Kedua tidak boleh diperkecilkan.

9.2. Walaubagaimanapun saya berpendapat “benefit of the doubts” wajar diberi kepada Rahim berkaitan penglibatannya dalam Video Seks Kedua.Saya sarankan siasatan wajar dijalankan sama ada Rahim telah dihasut,dipaksa atau diugut untuk mendapatkan apa-apa keterangan dengan apa cara sekalipun untuk mensabitkan sesuatu kesalahan jenayah terhadap Anwar;sebagai balasan Peguam Negara kepada Rahim yang tidak dituduh atas beberapa kesalahan salahguna kuasa,rasuah dan membuat akuan statutory palsu.

9.3. Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.Ini memandangkan Peguam Negara,Gani Patail antara 26.10.1998 hingga 21.12.1998 telah dengan cara yang menyalahi undang-undang mendapatkan seorang Dr.Abdul Rahman Yusof menyediakan tiga laporan perubatan palsu terhadap Anwar dalam siasatan kes mata-lebam.Dipercayai sebagai balasannya, Dr.Rahman tidak dikenakan apa apa pertuduhan oleh Gani Patail dalam kes ugutan jenayah terhadap Dr.Rahman.Salahlaku jenayah Gani Patail sedemikian itu beserta dengan bukti-bukti yang tidak disangkal adalah dalam pengetahuan persendirian YAB Perdana Menteri sejak dua-setengah tahun yang lalu.

JAM TANGAN OMEGA

10. Pada pendapat saya,sekiranya penyiasatan kes Video Seks Kedua ini dikekalkan dibawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan semata-mata,maka penyiasatan lanjut untuk mengesan pemilik Jam Tangan Omega tersebut adalah tidak relevan serta melampaui keperluan “ingredients” yang wajib dibuktikan dibawah Seksyen 292 KK tersebut.

10.1. Dengan itu izinkan saya menyarankan supaya Pegawai Penyiasat kes melebarkan klasifikasi penyiasatan kepada Seksyen 192 Kanun Keseksaan iaitu,mereka keterangan palsu.Saya sarankan supaya Pegawai Penyiasat memfokuskan perhatian kepada misalan-misalan yang sedia ujud sekian lama,sepertimana diperturunkan dibawah.

Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

Misalan-Misalan.
(a)A memasukkan barang-barang kedalam sebuah peti kepunyaan Z,dengan niat supaya barang-barang itu boleh dijumpai dalam peti itu,dan supaya keadaan ini boleh menyebabkan Z disabitkan atas kesalahan mencuri.A telah mereka keterangan palsu.

(English version)
(a)A puts jewels into a box belonging to Z,with the intention that they may be found in that box,and that this circumstance may cause Z to be convicted of theft.A has fabricated false evidence.

10.2. Berdasarkan kenyataan Eskay sendiri kepada media cara bagaimana Jam Tangan Omega tersebut sampai ketangan beliau,serta mengambil kira hubungan akrab beliau dengan Anwar, serta motif Eskay mendedahkan video seks berkenaan, tidak keterlaluan untuk saya berpendapat bahawa misalan (a) dalam Seksyen 192 Kanun Keseksaan tersebut, mungkin adalah relevan.

10.3. Pada pendapat saya beban bukti yang jam Omega tersebut tidak diperlakukan sepertimana misalan yang tersebut diatas kini terletak dibahu Eskay dan bukan pemilik berdaftar jam Omega tersebut.

10.4. Berdasarkan kepada keadaan yang mengelilingi Video Seks Kedua ini,saya berpendapat bahawa terdapat kewajaran untuk melebarkan siasatan meliputi pembuktian kes dibawah Seksyen 192 Kanun Keseksaan.Ini sebagai peringatan kepada orang ramai akan betapa seriousnya perbuatan mereka keterangan palsu dan kesan jangka panjangnya terhadap Sistem Keadilan Jenayah kita.

PENYELESAIAN ISU “ONCE AND FOR ALL”

11. Ada kalanya kita harus berani melakukan sesuatu yang luar biasa untuk menyelesaikan sesuatu masaalah “once and for all”.Asalkan tindakan-tindakan yang diambil tidak menyalahi undang-undang Negara dan Hukum Syariah atau melanggar paraturan moral.Sekiranya kita tersesat jalan, tidak salah kita berpatah balik kepangkalnya untuk mencari jalan yang betul.

11.1. Selama lebih 12 tahun pemikiran rakyat telah bergelumang dan diracuni serta dicemari dengan isu-isu yang berkisar dengan seks luar nikah dan seks luar tabii,seolah-olah tidak ada perkara yang lebih penting daripada itu untuk rakyat fikirkan.Malahan pemain-pemain utama yang terlibat dalam kekalutan ini juga berkisar diantara beberapa individu sahaja yang nama-nama mereka hampir kesemuanya terdapat dalam surat kecil ini.

11.2. Sebelum kita tersasar lebih jauh,tidak salah untuk kita dibawa berpatah balik kepangkal jalan, untuk meneliti semula peristiwa lampau bagi mencari penyelesaian yang ideal dan membuat keputusan siapa yang benar dan siapa yang patut dipersalahkan kerana telah menyebabkan kegusaran dan kekeliruan dikalangan rakyat.Saya mencadangkan tindakan-tindakan berikut;

TAYANGKAN VIDEO SEKS PERTAMA 1999 KEPADA UMUM.

12. Saya menjangka akan dikecam membuat cadangan ini.Percayalah,saya yang menyelia penyiasatan kes ini dan ingatan saya masih segar akan apa yang terkandung dalam video tersebut.Video tersebut tidak mengandungi adegan- adegan seksual seperti dalam “blue film” yang mungkin sesetengah orang harapkan.Kandungan keseluruhannya pada pendapat saya tidak tergulung sebagai bahan lucah sepertimana tafsiran dalam Seksyen 292 Kanun Keseksaan.Tayangannya kepada umum juga pada pendapat saya tidak menyalahi mana-mana undang-undang Am atau Syariah.

12.1. Sepanjang yang saya ingat, kandungan Video yang dibertajuk “Siapa Anwar” lebih berbentuk documentary yang menggambarkan kisah hidup seksual Anwar.Video ini juga mendedahkan gambar-gambar lokasi/bilik hotel dimana Anwar dikatakan sering kunjungi untuk melakukan aktibiti seks luar nikah atau luar tabii beliau.Turut dimuatkan dalam video ini adalah rakaman perbualan telefon antara seorang lelaki yang dikatakan Anwar dengan teman wanitanya dan bercakap mengenai seks.Video ini disunting sedemikian rupa yang sesuai digunakan untuk meyakinkan penuntun bahawa Anwar adalah seorang yang tidak bermoral dan tidak layak dan sesuai untuk menjadi pemimpin, lebih-lebih lagi kepada Masyarakat Melayu yang beragama Islam.

12.2. Saya yakin selepas rakyat diberi peluang menuntun video ini,khasnya orang-orang Melayu, mereka boleh membuat keputusan masing-masing, sama ada Anwar benar-benar seorang yang tidak mempunyai moral untuk layak menjadi pemimpin dan Perdana Menteri seperti yang cuba digambarkan, ataupun video tersebut telah direkacipta oleh musuh-musuh peribadi dan politik Anwar bertujuan memfitnah dan membunuh karier politik beliau,ataupun kerana membalas dendam akibat pendedahan Anwar berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah pemimpim-pemimpin tertentu sepertimana yang disebutkan dalam perenggan 6.8 dan 7 diatas.Sekiranya anggapan yang terkemudian ini yang betul,maka tindakan undang-undang yang setimpal terhadap individu yang melakukan jenayah tersebut hendaklah dilaksanakan tanpa lengah lagi without fear or favour.

PENUTUP.

13. Lebih cepat kita menyelesaikan isu ini,lebih baik untuk rakyat jelata.Selamat maju jaya dan selamat sejahtera.

Yang benar,
(Mat Zain Ibrahim)
18 April 2011

Sk.
SUPM (untuk makluman KPN dan T/KPN)

http://darisungaiderhaka.blogspot.com

Pertubuhan Pro-Israel Tertua Dunia Isytihar Anwar Musuh Israel

TVS – Pertubuhan pro-Israel tertua di dunia, B’nai B’rith International, yang menyifatkan diri mereka jagoan Yahudi sejagat, mengisytiharkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ancaman kepada kaum Yahudi.

Dalam gesaan rasmi badan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John F Kerry, B’nai B’rith mendesak Washington D.C memutuskan semua hubungan dengan Anwar Ibrahim kerana membangkitkan kebencian terhadap Israel dan Yahudi-Zionis.

Ditubuhkan pada 13 Oktober 1843, pertubuhan yang mempunyai 200,000 anggota dan penyokong di 50 buah negara antara gerakan yang paling aktif memperjuangkan kepentingan rejim Tel Aviv.

B’nai B’rith mengeluarkan kecaman terhadap Anwar Ibrahim dalam satu surat rasmi kepada John F Kerry, bertarikh 25 Mei lalu.

Pertubuhan ini melahirkan kebimbangan diatas kenyataan-kenyataan Anwar yang dikatakan anti-Israel semasa mendedahkan hubungan Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan firma perunding Apco Worldwide 30 Mac lalu di Parlimen.

B’nai B’rith juga memandang serius ucapan Anwar yang mereka sifatkan anti-Israel semasa membongkar pencerobohan perisik rejim Tel Aviv di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Manusia seperti Anwar Ibrahim tidak sewajarnya diberi penghormatan yang sekarang ini diterimanya hasil dari hubungan baik dengan Amerika Syarikat,” tegas Presiden B’nai B’rith Dennis W. Glick.

“Serangan beliau terhadap kerajaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak disadur dengan fitnah yang anti-Yahudi dan anti-Israel,” menurut surat itu lagi.

Anwar Ibrahim sebelum ini turut diserang portal rencana The New Ledger kerana mempersoalkan ikatan kerajaan Najib Abdul Razak dan Apco Worldwide.

Penulis terbabit, Rachel Motte, menuduh Anwar sebagai ekstremis dan membidas tindakan beliau membantah “keberanian Najib” menuruti kehendak Washington menekan Republik Islam Iran.

“Orang-orang kanan Anwar berkata kerajaan Malaysia melantik syarikat (Apco Worldwide) yang di dakwa mempunyai talian erat dengan rejim Zionis di Israel. Mereka mendakwa panel penasihatnya terdiri dari bekas ketua keselamatan kerajaan Israel dan ramai pekerjanya adalah bekas anggota Agensi Keselamatan Israel,” kata Rachel Motte.

“Anwar terus membangkitkan sentimen anti-Semitik dengan mendakwa adanya perisik Israel dalam unit Teknologi Maklumat PDRM,” menurut rencana itu lagi.

Penulis bagaimanapun tidak menampilkan bukti menunjukkan sebaliknya, mahupun bukti Apco Worldwide atau pekerjanya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan rejim Tel Aviv.

Anwar mendedahkan pencerobohan ejen perisikan Israel ke Bukit Aman di Dewan Rakyat 6 April lalu berdasarkan kepada laporan Pengarah Bahagian Logistik PDRM Dato’ Mahsuri Zainal.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Pemuda Pakatan: Hentikan Perkhidmatan Apco

MALAYSIAKINI – Para pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat hari ini mendesak kerajaan berhenti menggunakan perkhidmatan syarikat perunding Apco Worldwide dan syarikat-syarikat lain yang ada kaitan dengan Israel selaras dengan pendirian negara mengutuk tindakan negara Zionis itu melancarkan serangan maut ke atas kapal bantuan kemanusian ke Gaza.

Delegasi yang terdiri daripada anggota Pemuda PAS dan PKR itu, menyerahkan nota bantahan tersebut kepada pegawai khas kepada Perdana Menteri, Razali Ibrahim di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini di bawah pengawasan ketat kira-kira 20 anggota polis dan pegawai keselamatan.

Delegasi tersebut diketua oleh Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan turut disertai setiausaha Dewan Pemuda PAS, Kamaruzzaman Mohd dan ketua Pemuda PKR Selangor Khairul Anwar.”Inilah masanya bagi perdana menteri mengambil langkah tegas untuk memprotes jenayah perang yang dilakukan oleh Israel,” kata Shamsul kepada wartawan selepas itu.

Kerajaan juga harus mengambil kesempatan ini untuk memutuskan semua bentuk hubungan dengan syarikat lain yang mempunyai kepentingan Israel, tambahnya.

Tidak ada demonstrasi diadakan pagi ini selain menaikkan sepanduk yang mendesak kerajaan mengusir Apco.

Para aktivis melaungkan slogan untuk beberapa ketika di kawasan letak kereta pejabat perdana menteri, sambil diperhatikan oleh kira-kira 20 anggota polis dan anggota keselamatan.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Batalkan perjanjian dengan APCO: Surat kepada PM Najib Razak

Kepada

Y.A.B Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

YAB Dato Sri,

CUKUP DENGAN KENYATAAN, ANAK MUDA BERTINDAK MEMBANTAH TINDAKAN PENGGANAS ZIONIS !

Dengan hormatnya kami merujuk perkara di atas untuk perhatian serius daripada YAB Dato Seri.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) sangat dukacita dengan kelesuan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri dalam memberi respon yang seiring dengan gelodak emosi dan sensitiviti rakyat Malaysia dan umat Islam seluruhnya ke atas apa yang berlaku di Gaza.

Serangan kejam dan penahanan biadap oleh askar komando Israel ke atas para aktivis kapal Turki Mavi Marmara yang mengetuai konvoi Freedom Flotilla yang dijadualkan tiba di Genting Gaza adalah suatu tindakan terdesak rejim tersebut bagi menyekat kemaraan dan bantuan dari negara luar, membuktikan sekali lagi keikhlasan Israel dalam perjanjian damai Palestin-Israel layak dipersoalkan.

YAB Dato’ Sri,

Keganasan bertentangan dengan hak kemanusiaan dan perundangan perairan antarabangsa ini tidak boleh dimaafkan, dan AMK mendesak kerajaan Malaysia agar segera menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB untuk mengadakan suatu sidang khas bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Jenayah Perang Antarabangsa bagi menghentikan kekejaman puak Zionis ini daripada terus liar menindas rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Dilaporkan 19 aktivis maut dan 66 yang cedera manakala 11 sukarelawan NGO termasuk 6 rakyat Malaysia adalah antara anak kapal yang ditahan. Kerajaan Malaysia sehingga kini tiada memaklumkan penyiasatan butiran lanjut tentang keadaan dan nasib mereka secara rasmi dengan pihak Israel. Situasi ini amat menyedihkan banyak pihak yang terkilan dengan kerajaan yang sekan tidak hirau dengan nasib rakyat Malaysia sendiri.

YAB Dato’ Sri,

Selaku Perdana Menteri kepada sebuah negara Islam, YAB Dato’ Sri perlulah menghormati kehendak dan sensitiviti rakyat dalam isu ini yang jelas melibatkan maruah Islam. Tindakan tentera Zionis ini nyata membuktikan bahawa rejim palsu ini sudah tidak lagi menghormati undang-undang perang Kesatuan Geneva dan PBB sebagai institusi tertinggi antarabangsa.

AMK mendesak agar kerajaan segera membatalkan segala urusan perdagangan ekonomi, diplomatik serta segala bantuan yang berkaitan dengan negara rejim Israel. Bersandarkan rekod perdagangan dan ekonomi negara, Malaysia mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis ini. Buktinya, kerajaan Malaysia mempunyai pemegangan saham sebanyak 31% di Pantai Holding Berhad iaitu sebuah anak syarikat kepada Parkways Holdings Limited, yang dimiliki pelobi besar Zionis Richard C.Blum.
Teruskan membaca “Batalkan perjanjian dengan APCO: Surat kepada PM Najib Razak”

MB Selangor Ajak Rakyat Malaysia Berkabung

MALAYSIAKINI – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia memberikan penghormatan terakhir ke atas kehilangan 16 nyawa peserta frotila pro-Palestin yang diserang tentera Israel semalam.

“Seluruh rakyat Malaysia perlu berkabung bagi menghormati kehilangan 16 nyawa setakat ini, dalam serangan kejam tentera Zionis itu,” katanya.

Katanya, tindakan tentera Zionis itu sama sekali tidak boleh diterima oleh masyarakat berbilang kaum di Selangor kerana ia merupakan perbuatan kejam dan melampaui batas kemanusian.

“Kerajaan Selangor mendesak Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyiasat dan bertindak terhadap tentera Zionis kerana melakukan jenayah yang dikutuk seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Khalid juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia telah memutuskan semua hubungan diplomatik dan perniagaan dengan kerajaan serta rakyat Israel.

“Perdana Menteri perlu mengistiharkan bahawa Malaysia secara rasmi telah membatalkan kontrak dengan (firma perunding) Apco (Worldwide) dan mengharamkan sistem teknologi keselamatan untuk kegunaan polis yang dibekalkan syarikat Eropah dan Amerika Syarikat dengan nasihat teknikal Yahudi,” katanya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Husam: Malaysia Berdengkur Dalam Dakapan Apco

MALAYSIAKINI – Serangan Israel ke atas flotila kapal yang membawa bantuan kemanusian kepada rakyat Gaza yang dikepung terus dikecam pelbagai pihak.

Lewat malam semalam, exco Kelantan, Datuk Husam Musa membidas kekejaman Zionis itu yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 sukarelawan kemanusiaan yang menuju Gaza terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Bagaimanapun, menurut Husan apa yang paling dikesalinya ialah sehingga jam sembilan malam semalam, semakan menerusi laman web Bernama, menunjukkan tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan Israel itu.

“Menteri Luar masuk tidur begitu awal? Kerajaan Malaysia hanya beroperasi mengikut jam pejabat hingga lima petang?

“Kita tidak merasa apa-apa dengan serangan Israel ini? Kita tidak risaukan tentang keselamatan rakyat kita? Kita tidak marahkan Israel bertindak kejam dalam perairan antarabangsa menghalang bantuan kemanusiaan untuk ummat manusia yang sedang menunggu dunia membuka jendela mereka? “ katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut Husam, pemimpin dunia lain termasuk tindakan Perdana Menteri Turki, Erdogan bertindak mengarahkan duta Israel di Ankara supaya berundur manakala tiga latihan ketenteraan dengan negara itu dibatalkan.

“Sweden, Sepanyol, Denmark dan Greece juga memberikan reaksi segera dengan memanggil duta Israel. Perancis meminta insiden ini segera disiasat. Malaysia?

“Sehingga jam 9 malam, 31 Mei 2010, semakan menerusi web Bernama, tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan durjana Israel ini,” kata Husam.

Sehubung

an itu, katanya Malaysia seharusnya membatalkan kontrak dengan syarikat Israel – Apco – sebeberapa segera.

“Jika Malaysia telah membayar RM 77 juta kepada syarikat Israel itu, kita mesti menyumbang untuk manusia tertindas di Gaza lebih banyak dari itu.

“Malaysia perlu menyokong tindakan Turki memanggil sidang khas Bangsa-bangsa Bersatu. Malaysia perlu menghantar apa jua bantuan yang diperlukan untuk warga kita yang terlibat,” katanya.

Menurut Husam, dalam respon segera, DAP, Pemuda Umno, PAS dan PKR masing-masing telah mengeluarkan kenyataan.

“Kerajaan Malaysia? Lena dalam dakapan Apco,” katanya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Rakyat Malaysia Antara Diserang Kapal Perang Israel

MALAYSIAKINI – Rakyat Malaysia yang menaiki sebuah daripada enam flotila bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza diserang kapal perang Israel mengakibatkan 16 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Menurut The Star, rakyat Malaysia itu adalah krew televisyen dari Astro yang menaiki kapal dari Turki.

Sementara itu menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Pejabat Ketua AMK Malaysia