Jelajah Merdeka Rakyat Negeri Melaka Malam ini!


23 November 2012

Jelajah Merdeka Rakyat MELAKA

Jelajah Merdeka Rakyat Melaka:

5.00 ptg:
Hi-Tea di Pekan Tiang Dua, Ayer Molek

7.00 mlm:
Solat & Tazkirah Maghrib di Surau Umri, Serkam Pantai

8.00 – 10.00 mlm:
Ceramah & Jamuan Makan Malam di Dewan Pay Fong, Jalan Kubu, Melaka

10.00 – 12.00 mlm:
Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Taman Muzafar Syah, Ayer Keroh

Barisan Penceramah:
i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
ii. YB Lim Kit Siang
iii. YB Salehuddin Ayub
iv. Sdr Shamsul Iskandar Mohd Akin
v. Pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat


— Team Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Negeri Kaya, Rakyat Terus Ditindas dan Dizalimi – Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

16 November 2012

Hasil negeri Sabah berbilion ringgit tapi rakyat terus ditindas

(Oleh Aliff Fikri)

KOTA BELUD 16 November: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) gesa rakyat Sabah melakukan perubahan supaya tidak terus ditindas Umno BN dan dapat menikmati kemudahan yang dinafi kerajaan.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, statistik menunjukkan Sabah memperoleh sumber pendapatan berbilion ringgit namun rakyat terus derita.

“Selagi tak berlakunya perubahan, selama itulah nasib rakyat Sabah tidak akan terbela.

“Kalau di Selangor, kita berjaya berikan pelbagai kemudahan contohnya seperti air percuma, tapi di Sabah usahkan air percuma, paip air pun tak ada, yang ada hanya tong air pemberian Umno, tapi tak guna sebab tak ada paip,” katanya depan penduduk Kampung Payas Payas, Kota Belut sempena Jelajah Kempen Sumpah Rakyat Tuntut Hak, semalam.

Shamsul berkata, kejayaan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor perlu dijadikan inspirasi rakyat Sabah untuk keluar dari kepompong Umno BN dan turut serta melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Selangor diangkat sebagai negeri contoh bila kita (Pakatan) ambil alih, ini kerana jiwa kepimpinan kita yang mengutamakan soal kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Ia terbukti sepanjang empat tahun ini, tidak pernah ada mana-mana pemimpin Pakatan yang terlibat dengan kes rasuah atau skandal penyelewengan.

“Ini beza kita dengan mereka (BN) yang lebih mengutamakan keuntungan peribadi berbanding hak rakyat,” katanya disambut tepukan gemuruh hampir 100 hadirin.

Turut hadir Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Zainuddin; Naib Ketua AMK, Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip; Exco AMK Pusat, Ginie Lim; Ketua AMK Sabah, Mohd Serman Hassnar dan beberapa pimpinan lain.

Kempen tersebut dirasmikan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Rabu lalu dan Sabah merupakan negeri pertama jelajah itu.

Tuntutan RM40 juta hak rakyat Sabah anjuran AMK ini akan menjelajah ke seluruh pelusuk Sabah bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan Isnin ini.

Ia merupakan skandal penyelewengan wang terbesar di negeri itu membabitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.


— Keadilandaily

Menang Pakatan, Musa Aman Akan Diheret Ke Mahkamah! – Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

18 November 2012

Musa Aman diheret ke mahkamah apabila Sabah dimenangi Pakatan

(Aliff Fikri)

SABAH 18 Nov: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman akan diheret ke mahkamah atas pelbagai kesalahan penyelewengan sebaik saja Pakatan Rakyat diberi mandat mentadbir Sabah, kata Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat itu berkata, ia bukan mustahil kerana pernah berlaku terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo.

“Khir Toyo telah kita heret ke mahkamah walaupun hanya menjatuhi hukuman ringan iaitu penjara setahun tapi ia membuktikan penglibatannya dalam rasuah.

“Musa Aman yang bolot hasil kekayaan bersama kroninya, Michael Chia juga akan kita heret,” katanya depan lebih 400 penduduk di kampung Sungai Pukul, Pulau Batik, Tawau.

Musa Aman sebelum ini didakwa terlibat membersihkan wang haram berjumlah US$90 juta bersamaan RM275 juta, selain dikait dengan skandal wang haram RM40 juta apabila Michael Chia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) di Lapangan Terbang Hong Kong.

Jelajah Tuntutan RM40 Juta Hak Rakyat Sabah kendalian AMK itu dijadual menjelajah ke seluruh pelusuk Negeri Di Bawah Bayu bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan pada 19 November ini.

Antara pimpinan muda yang ikut serta ialah Pengarah Strategi AMK, Ahmad Zaki Yamani; Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip dan Exco AMK Pusat, Dr Natassia Sarah.

Shamsul bimbang rakyat Sabah akan terus menderita jika Umno BN terus dibiar berkuasa dan Musa Aman terus membolat kekayaan negeri.

“Ini hanya dapat diatasi jika Pakatan menang untuk angkat martabat rakyat dari terus dihina penyamun bernama Musa Aman,” katanya.


— Keadilandaily

Sudah 49 Tahun Bersama Malaysia, Tapi Masih Cerita Tentang Keperluan Asas – Timb. Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

18 November 2012

49 tahun merdeka tapi Sabah masih cerita pasal tiang lampu

SABAH 18 Nov: Sekalipun merdeka sejak 49 tahun lalu tetapi Sabah masih berdepan masalah kekurangan intrastruktur asas, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Khairul Anuar Zainuddin.

“Saya sedih. Hampir setengah abad merdeka tapi Sabah masih bercakap soal tiang lampu, jalan raya, air, tanah dan kemiskinan. Patutnya, kita bincangkan soal kualiti hidup.

“Inilah akibatnya apabila kerajaan Umno BN korup,” katanya depan 300 rakyat di Kampung Pelantong, Beluran semalam.

Beliau antara pimpinan yang menyertai Siri Jelajah Tuntutan RM40 Juta Hak Rakyat Sabah kendalian AMK ke seluruh pelusuk Sabah bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan pada 19 November ini.

Antara pimpinan AMK yang ikut serta ialah Ketuanya, Shamsul Iskandar Mat Akin; Pengarah Strategi AMK, Ahmad Zaki Yamani; Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip dan Exco AMK Pusat, Dr Natassia Sarah.

Beliau turut menempelak kerajaan Umno BN yang gagal mengatasi kemiskinan rakyat.

“Statistik menunjukkan 40 peratus rakyat cuma berpendapatan bawah RM1,500 manakala di Sabah masih ada yang diberi gaji hari.

“Ini kerja gila, kerja zalim. Gaji dan sumber pendapatan isi rumah terlalu rendah sedangkan kos sara hidup makin naik,” katanya.


— Keadilandaily

Insiden Sabotaj Bas, Bertindak Segera! – AMK


Dari KeadilanDaily

2 September 2012

Sabotaj bas Merdeka Rakyat, AMK mahu ambil tindakan undang2

PULAU PINANG 2 Sept: Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan berikutan gangguan program Merdeka Rakyat, kata Setiausahanya, Julailey Jemadi.

“Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat untuk berpersatuan, berhimpun dan menyampaikan maklumat. Malangnya program Merdeka Rakyat diganggu.

“Sepatutnya polis menjamin keselamatan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau pemimpin negara. Di Eropah, Ketua Pembangkang setaraf Menteri. Di Malaysia keselamatan Ketua Pembangkang dan programnya diabai.

“Kita berbincang dengan peguam untuk ambil tindakan undang-undang jika polis terus abaikan aspek keselamatan dalam siri jelajah akan datang,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.

Beliau merujuk insiden bas jelajah Merdeka Rakyat yang dibaling batu dan disimbah cat merah di Pasar Besar Siti Khadijah, awal pagi Sabtu, 1 September lalu.

Berikutan itu, satu siri laporan polis akan dibuat minggu ini di seluruh negara oleh kontinjen AMK setiap negeri.

Julailey juga membayangkan tindakan undang-undang itu dalam bentuk perintah mahkamah atau injunksi sebagai peringatan kepada polis untuk menghalang gangguan terhadap program Merdeka Rakyat.

“Statistik kononnya Malaysia negara ke-19 paling selamat di dunia sudah jadi bahan ketawa,” katanya menyelar reaksi pasif Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berhubung isu itu.


— KeadilanDaily

Lagu Kebangsaan: Tarik Balik! – AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

3 Ogos 2012

Tarik Balik Lagu Tema Sambutan Kemerdekaan 2012

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara usai 55 tahun kemerdekaan, inisiatif kerajaan dalam meraikan sambutan Hari Kemerdekaan menjelang 31 Ogos tiap-tiap tahun, menimbulkan kontroversi yang berterusan.

Pada tahun ini, kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPPK) di bawah pimpinan menteri Dr. Rais Yatim, mencetuskan kontroversi secara pakej: melalui tema, logo, dan lagu tema. Tema ’55 Tahun Merdeka:Janji Ditepati” berterusan dipertikaikan rakyat di samping jeleknya logo dan lagu tema yang mengiringi tema sambutan hari kemerdekaan tersebut.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) berpandangan kontroversi ini tercetus berikutan terdesaknya Umno-BN untuk memaut sokongan rakyat secara paksa dengan memainkan sentimen ‘membalas budi’ ke atas pemerintahan Umno-BN di atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama 55 tahun kemerdekaan. Ini berikutan betapa terdesaknya mereka memastikan rakyat ‘termakan budi’ seterusnya mengundi Umno-BN di dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang dijadualkan akan diadakan pada bila-bila masa selepas sambutan Aidilfitri.

Jika diteliti, saban tahun terdahulu, kelompok karyawan diraikan melalui pertandingan mencipta logo ataupun lagu tema bagi sambutan Hari Kebangsaan. Tetapi, ternyata Rais Yatim terbukti tidak meletakkan dirinya di ‘era moden’ ini, dengan membuat keputusan sehala tanpa mengambil kira pandangan khalayak.

AMK berpendapat, setelah kerajaan Umno-BN menarik balik logo sambutan Hari Kebangsaan berikutan protes rakyat, maka sudah sampai masanya kerajaan menarik kembali lagu tema yang menyaksikan gubahan lirik yang sangat jelek.

Tidak pernah berlaku, dalam mana-mana lagu patriotik khususnya untuk sambutan Hari Kebangsaan, gubahan liriknya secara langsung mengaitkan dasar one-off atau dasar berterusan kerajaan seperti yang dilakukan sekarang dengan mengungkit perihal BR1M, KR1M dan Klinik 1Malaysia. Ini hanya menunjukkan sindrom ‘hilang idea’ sehingga terpaksa mencedok isu-isu tidak berkait untuk membangkitkan semangat perpaduan di kalangan rakyat.

Dengan pendedahan terbaharu di ruang maya yang menyaksikan wujud persamaan melodi lagu tersebut dengan lagu sambutan keagamaan si gereja di Indonesia, maka ini memperkuatkan lagi dakwaan bahawa kerajaan bukan sekadar semberono mempropagandakan lagu tema Hari Kebangsaan, tetapi turut menciplak karya lain.

AMK mendesak kerajaan, tanpa sebarang kompromi, menarik balik lagu tema tersebut, dan memanggil karyawan muzik di Malaysia melalui Seniman misalnya, untuk kembali menggubah lagu tema baharu yang lebih menepati jiwa dan semangat kemerdekaan tulen.

Umno-BN harus berhenti mempropagandakan segala benda yang berada di bawah kawalan mereka, kerana selagi mana mereka meneruskan tabiat jelek ini, selagi itulah penolakan rakyat akan diperlihatkan tanpa kompromi.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

“Sebangsa, Senegara, Sejiwa”


Dari Malaysiakini

1 Ogos 2012

Tema merdeka Pakatan: ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’

Pakatan Rakyat memilih tema alternatif “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” untuk menggantikan tema “Janji Ditepati” oleh kerajaan BN bagi sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Pengerusi jawatankuasa pemilihan tema tersebut, Datuk A Samad Said berkata tema tersebut dipilih setelah menghalusi sebanyak 250 cadangan slogan yang diterima melalui e-mel.

“Akhirnya kami putuskan untuk pilih satu slogan yang turut kami ubah dan disesuaikan,” katanya yang menambah, slogan itu berdasarkan cadangan seorang individu bernama Alhaimi Adam.

“Kerajaan belum tentu akan terima, tapi kena ingat bahawa (cadangan tema) ini datang daripada rakyat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Sementara itu, setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, Pakatan akan memutuskan sekiranya akan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan berasingan dengan tema alternatif tersebut, sekiranya kerajaan pusat enggan menukar tema kontroversi “Janji Ditepati”.

“Itu kita akan bincangkan di peringkat pimpinan kemudiannya, tapi kita harapkan kerajaan dapat rasa denyut nadi rakyat ini sebagaimana (tema) yang dipilih oleh jawatankuasa ini,” katanya lagi dalam sidang media tersebut.

Pakatan sebelum ini memberi tempoh seminggu kepada kerajaan untuk menarik balik tema kontroversi itu yang menerima kritikan keras pelbagai pihak.

Jawatankuasa tersebut juga kini membuka talian kepada para pengguna Internet untuk menghantar cadangan logo dan lagu baru yang selari dengan tema berkenaan.

Tarikh tutup cadangan itu, yang perlu dikemukakan kepada sekretariatpakatan@gmail.com adalah pada 5 Ogos.


— Malaysiakini

Sabah: Kebangkitan Rakyat Bawa Perubahan


Kenyataan Media
Timbalan Presiden KEADILAN

30 Julai 2012

Perkembangan Politik Sabah

KEADILAN melihat perkembangan politik Negeri Sabah sebagai kejayaan agenda reformasi yang disemai lebih 10 tahun yang lalu dan kini menyaksikan hasilnya dengan kebangkitan rakyat Sabah yang berani meruntuhkan tembok ketakutan dan kezaliman; lalu menuntut reformasi yang tulen.

Dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort pastinya mengubah landskap politik Sabah dan menzahirkan iltizam politik rakyat Sabah untuk mencetus serta melaksanakan agenda perubahan.

KEADILAN mengalu – alukan pengumuman Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang meletakkan semua jawatan dari parti masing-masing; UMNO dan UPKO serta kesediaan mereka untuk bersama Pakatan Rakyat dalam usaha melakukan perubahan dalam sistem kenegaraan.

Kita juga menyambut baik iltizam mereka untuk menjana kekuatan rakyat bagi melakukan perubahan di Negeri Sabah. Makanya kerana komitmen yang jelas di kalangan pimpinan Negeri Sabah yang berani mengambil risiko; KEADILAN tidak teragak-agak untuk bersama-sama mereka demi rakyat Sabah.

Kerjasama yang disepakati bersama Pakatan Rakyat merupakan titik permulaan kepada perubahan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13. Slogan ‘Ini kali-lah’ menandakan angin perubahan telah sampai ke bumi Sabah. Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan Negeri Sabah serta menikmati hasil kekayaan Negeri yang selama ini diagihkan secara tidak adil oleh pentadbiran UMNO – Barisan Nasional (BN). Rakyat Sabah juga perlu menolak UMNO – BN yang mengkhianati semangat pembentukan Malaysia.

Dua pengumuman penting yang bersejarah itu menjadi bukti betapa rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan BN. Tambah pula, pentadbiran Dato’ Seri Najib hanya sekadar menabur janji dan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, ianya ditandai kegagalan untuk menepati janji.

Tekad rakyat Sabah untuk bersama Pakatan Rakyat pada hari ini adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka terhadap agenda Pakatan Rakyat untuk melaksanakan perubahan. Mereka yakin dengan dasar – dasar Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga dan perlaksanaannya akan menepati dan memenuhi hasrat dan cita – cita murni rakyat Malaysia yang mahukan urus tadbir yang baik serta pengagihan ekonomi yang adil kepada semua rakyat.

KEADILAN turut mengalu – alukan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) serta kesediaannya bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat untuk menjana arus perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Ini menandakan keyakinan rakyat Sabah kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai peneraju utama dalam Pakatan Rakyat yang insha Allah akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 7. Semoga kebangkitan rakyat Sabah pada hari ini akan menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya Kerajaan Rakyat Negeri Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Salam reformasi


Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN

Sabah Bukan Fix Deposit BN Lagi


Dari Sabah Daily

30 Julai 2012

Tabung simpanan tetap BN sudah retak

PENGUMUMAN Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lajim Ukin yang beliau menarik diri daripada Umno dan akan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang pastinya bukan berita yang diharapkan oleh Perdana Menteri merangkap presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak.

Tetapi tindakan Lajim itu tidaklah pula sesuatu yang baru atau memeranjatkan. Ramalan mengenai kemungkinan beliau menarik diri daripada Barisan Nasional dan menyertai pembangkang sudah berbulan lamanya.

Beberapa bulan lalu, timbul cakap-cakap bahawa beberapa pihak yang tidak puas hati dengan Mohd Najib di Sarawak dan Sabah akan berpakat bagi menentang BN di dua buah negeri itu.

Bagaimanapun, perselisihan pendapat antara Mohd Najib dan kepemimpinan BN Sarawak, khususnya mengenai kedudukan Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri, telah diatasi. Ramalan mengatakan Abdul Taib tidak akan dipaksa meletakkan jawatan.

Penarikan diri Lajim daripada semua jawatan dalam Umno adalah tamparan hebat terhadap Mohd Najib yang cuba mewujudkan gambaran bahawa beliau mempunyai kawalan penuh ke atas politik di dua buah negeri Borneo itu. Selain menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno, Lajim adalah juga ketua bahagian Umno Beufort dan pengerusi BN Beufort.

Mohd Najib sendiri berkata yang peletakan jawatan Lajim adalah sesuatu yang dijangkakan buat beberapa ketika dan beliau akan membuat keputusan esok (Isnin) mengenai kedudukan Lajim sebagai Timbalan Menteri.

Sebaik mana pun Perdana Menteri cuba menyembunyikan kehampaannya terhadap perkembangan di Sabah itu, hakikatnya ia adalah petanda yang tidak positif bagi BN, khasnya di Sabah.

Sambil merujuk kepada peletakan jawatan Datuk Onn Jaafar sebagai presiden Umno, Mohd Najib berkata penarikan diri oleh ahli Umno bukanlah sesuatu yang baru. Yang lebih penting, kata beliau, adalah kesetiaan kepada parti.

Setelah kehilangan pengaruh di kawasan-kawasan Cina pada pilihan raya negeri (PRN) Sawarak pada April tahun lalu, pergantungan BN kepada Sabah menjadi lebih besar. Dua buah negeri Borneo itu sering disebut sebagai “fixed deposit” atau simpanan tetap kerana jaminan sokongan yang padu kepada BN.

Pada PRU 2008, BN menang 30 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dan 24 daripada 25 di Sabah berbanding 85 yang dimenangi di Semenanjung dan sebuah di Labuan.

Tetapi, selepas kemaraan besar DAP dalam PRN Sarawak adalah dikhuatiri yang BN mungkin kehilangan sehingga enam kerusi Parlimen di Sarawak jika trend PRN itu berterusan.

Dengan penarikan diri Lajim, tabung simpanan tetap BN di Sabah telah retak dan jika merebak, pergantungan BN terhadap negeri bawah bayu itu akan menjalin lebih tidak terjamin.

Di Sabah, taat setia politik bolehlah diumpamakan seperti pasir di pinggir pantai – sentiasa berubah. Penarikan diri Lajim boleh membawa kepada pemberontakan besar-besaran seperti yang terjadi pada PRU 1990.

Soalnya, masalah Mohd Najib dan BN di Sabah tidak terhad kepada Lajim seorang saja. Beliau juga perlu membuat keputusan mengenai kedudukan Ketua Menteri, Musa Aman, dan pergiliran jawatan Ketua Menteri antara Islam, Bumiputera bukan Islam dan Cina yang dimansuhkan oleh pendahulunya, Abdullah Ahmad Badawi.

Kesimpulannya, perkembangan terbaru di Sabah itu merumitkan lagi tugas Mohd Najib membuat keputusan mengenai tarikh PRU akan datang kerana tabung simpanan tetap BN mungkin sudah retak. Wallahualam.

-Oleh A Kadir Jasin


— Sabah Daily

RM 100 juta Dana Belia Hanya Gula-Gula Politik – AMK


Dari Keadilan Daily

19 Julai 2012

Dana RM100 juta untuk belia gula2 politik Najib – AMK

KUALA LUMPUR 19 Julai: Dana RM100 juta yang diumum kepada belia hanya sekadar gula-gula politik kerajaan dan ia tidak mampu mengurang beban ekonomi golongan itu, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata, orang muda mahu kerajaan menumpukan isu utama iaitu menyelesaikan masalah kos sara hidup yang tinggi.

“Apa yang Pakatan Rakyat boleh berikan? Kita janji untuk turunkan harga minyak. Kita juga janji berikan pendidikan percuma, pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan meningkatkan peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Perkara-perkara asas ini tidak mampu dilakukan Umno BN. Tetapi perkara inilah yang orang muda mahu kerana dapat mengurangkan bebanan hidup,” katanya dihubungi.

Beliau berkata, pengumuman itu tidak lebih gula-gula politik Najib untuk meraih sokongan belia menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13).

Namun beliau yakin, golongan muda tidak akan terpengaruh dengan ‘bantuan segera’ sebaliknya akan berbalik kepada persoalan asas iaitu menyelesaikan masalah ekonomi.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dana RM100 juta bagi menerajui program 1Malaysia Untuk Belia (1M4U) kononnya untuk memupuk semangat sukarelewan di kalangan belia.

Dana Sukarelawan 1Malaysia (Dre1M) itu akan diuruskan satu pasukan tugas khas dengan pentadbiran dan pengagihan peruntukan dilakukan secara dalam talian.


— Keadilan Daily