UNISEL: Kerajaan Selangor Akan Bantu Mangsa Kezaliman Umno-BN


Dari Malaysiakini

7 Jun 2012

Beku PTPTN: Unisel cair aset bantu pelajar terbabit

Kerajaan Selangor memandang berat kesusahan yang dihadapi pelajar baru Universiti Selangor (Unisel) yang menurutnya teraniayai ekoran tindakan kerajaan persekutuan dan menteri pengajian tinggi membekukan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar di universiti tersebut.

“Sebagai tindakan jangka pendek, UNISEL akan menggunakan asetnya untuk membantu pelajar yang dalam kesukaran meneruskan pengajian.

“Aset ini merupakan hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan petang ini.

Kerajaan Selangor, katanya, telah selesai menyusun semula hutang tersebut di mana tanah seluas 500 ekar itu telah menjadi aset Unisel.

Khalid berkata, kerajaan negeri akan membantu Unisel mengapungkan hartanah tersebut di pasaran untuk mendapatkan wang tunai.

“Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil usaha ini. Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan BN membekukan PTPTN,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bantuan kewangan ini hanyalah berbentuk sementara sehingga penyelesaian konkrit dicapai.

“UNISEL akan memperincikan bantuan yang akan diberikan kepada pelajar-pelajar teraniayai ini dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan Selangor sangat kecewa dengan tindakan Kerajaan Persekutuan khususnya menteri pengajian tinggi yang mengaku bertanggungjawab mengarahkan pembekuan PTPTN kepada Unisel.

“Tindakan tidak bertanggungjawab dan membelakangi semangat Federalisme ini bukan sahaja menganiayai pelajar-pelajar baru, malah telah mengecewakan ibu bapa yang menaruh harapan tinggi terhadap anak-anak mereka,” katanya.

Khalid mendakwa Barisan Nasional telah menjadikan pelajar Unisel dan ibu bapa mereka yang sebahagian besarnya Melayu sebagai mangsa hanya kerana perbezaan dasar politik antara Kerajaan Selangor dan Pusat.

“Hal ini jelas menunjukkan BN sanggup melakukan apa sahaja untuk melaksanakan politik sempit mereka hatta menganiaya dan menggadai masa depan anak-anak muda di negara ini,” dakwanya.


— Malaysiakini

Jual rahsia negara: KEADILAN tuntut penjelasan Najib


Dari Keadilan Daily

6 Jun 2012

Jual rahsia negara: KEADILAN tuntut penjelasan Najib

PETALING JAYA 6 Jun: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertanggungjawab berkenaan penjualan rahsia pertahanan negara kepada syarikat pembina kapal Perancis, DCNS.

Menurutnya, selaku Menteri Pertahanan pada masa itu, Najib tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja dengan memilih untuk menutup kes tersebut.

“Saya mendesak Najib, supaya tidak mengambil mudah skandal penjualan rahsia pertahanan negara. Beliau harus tampil memberikan jawapan bagaimana rahsia tersebut boleh dijual oleh penasihat utama beliau sendiri.

“Tindakan menjual rahsia pertahanan negara ini adalah pengkhianatan pada tahap tertinggi mesti dijawab oleh Najib sendiri kerana ia berlaku semasa beliau memimpin Kementerian Pertahanan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Kata beliau, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, keselamatan negara bakal tergugat kerana rahsia yang menjadi aset tertinggi itu sudah terbongkar.

“Secara langsung, dengan terdedahnya strategi tersebut ia membuka ruang untuk memanipulasi kelemahan Scorpene. Tindakan ini membahayakan nyawa perajurit negara yang mengendalikan kapal selam Scorpene yang sudah beroperasi.

“Pendedahan ini menunjukkan bagaimana pimpinan Umno Barisan Nasional tidak teragak-agak untuk menggadaikan kemerdekaan dan keselamatan negara demi mengumpulkan kekayaan,” katanya.

Beliau turut mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dan mengheret ‘penjenayah’ itu ke muka pengadilan.

“Saya juga mendesak pihak berkuasa yang terbabit – PDRM, SPRM, ATM, memulakan siasatan segera untuk membawa yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Sekiranya, ATM tidak terlibat dalam penjualan maklumat strategik negara, maka saya mendesak pimpinan tertinggi ATM untuk membuat laporan polis dengan segera,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Rundingan Keselamatan (MRK) KEADILAN, Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab menyifatkan kejadian memalukan negara itu berlaku akibat pemusatan kuasa di tangan menteri.

“Pengaruh menteri dan lantikan politik serta pegawai bukan tentera terlalu besar boleh mendatangkan kesan buruk kepada strategi dan taktik pertahanan negara, apatah lagi ini bukanlah bidang kepakaran mereka.

“Ia mengesahkan pendapat ramai pimpinan angkatan tentera bahawa kuasa yang terlalu dipusatkan di tangan menteri dan pegawai bukan tentera perlu dikaji semula demi keselamatan negara,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan pengalamannya, bagi mengelakkan kejadian pengkhianatan ini berterusan, campur tangan menteri perlu dikaji semula.

“Salah satu perkara yang perlu dikaji serta merta ialah campur tangan dan kuasa menteri yang terlalu besar sehingga melunturkan pendapat panglima-panglima angkatan tentera.

“Ia juga merupakan satu perlanggaran keselamatan (security breach) yang akan membahayakan nyawa prajurit kita yang bertugas dengan operasi kapal selam Scorpene,” kata Abdul Hadi.


— Keadilan Daily

Jangan Diskriminasi Mereka! – Ketua AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

6 Jun 2012

PTPTN Di Desak Jangan ‘Amalkan Diskriminasi Terhadap Mahasiswa UNISEL !

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bertindak menggantung sebarang permohonan pelajar Universiti Selangor (Unisel) untuk mendapatkan pembiayaan pengajian mereka.

Ini dimaklumkan kepada mahasiswa-mahasiswi IPT berkenaan sewaktu taklimat oleh Pengurusan IPT yang diadakan minggu ini sempena pembukaan semester baharu dan pengambilan baharu mahasiswa ke IPT berkenaan.

Tindakan ini, menunjukkan bagaimana PTPTN telah menjadi ejen politik Umno-BN melalui cengkaman Kementerian Pengajian Tinggi untuk menekan IPTS khususnya yang beroperasi di Negeri-negeri Pakatan Rakyat, dalam konteks ini di Selangor.

Ini tidak mengejutkan sementelahan sebelum ini juga, Umno-lah yang galak mengasak Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor untuk membiayai pengajian mahasiswa/i khususnya di Unisel dan KUIS. Berikutan ketegasan PR menolak diskriminasi dan cengkaman hutang PTPTN ke atas mahasiswa/i, kini mereka dijadikan mangsa dengan penafian permohonan ini.

Harus ditegaskan bahawa penjelasan telah diberikan malah diperincikan oleh Pengarah Strategi KEADILAN sewaktu berdebat dengan Ketua Pemuda Umno baru-baru ini berhubung isu konsesi melampau melibatkan pembinaan dan pengurusan Unisel dan KUIS yang menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa menanggung kos melebihi yang sewajarnya.

Sungguhpun begitu, dalam Dialog AMK bersama Menteri Besar Selangor baru-baru ini, YAB Dato’ Menteri Besar telah membayangkan kebarangkalian PTPTN menghentikan pembiayaan kepada mahasiswa/i Unisel dan KUIS akan berlaku. Dan AMK telah mencadangkan agar bagi kes sebegini, Kerajaan Negeri Selangor boleh menyusun pelan tindakan untuk menanggung kos pengajian mahasiswa/i yang baharu mendaftar di Unisel dan KUIS.

Justeru, AMK melihat wujud kewajaran mendesak untuk Kerajaan Negeri Selangor mempertimbangkan opsyen menanggung kos pengajian tersebut.

Buat PTPTN, ‘sekalung tahniah’ kerana berjaya mengesahkan bahawa mereka ‘secara rasmi’ telah menjadi ejen Umno untuk melaksanakan politik dendam Umno kepada PR. Tentunya tindakan ini menzahirkan satu lagi ‘amalan diskriminasi kepada negeri Selangor.

AMK menyarankan agar PTPTN meneruskan agenda membalas dendam sebegini, kerana ini secara relatifnya memudahkan tugas PR untuk terus meyakinkan rakyat bahawa pemansuhan PTPTN adalah sesuatu yang relevan dan harus dilakukan, melalui kuasa undi di dalam PRU-13 akan datang !


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

“Rais Yatim, Sila Adakan Debat Najib vs Anwar” – AMK


Kenyataan Media
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

5 Jun 2012

AMK mencabar Rais Yatim adakan Debat Perdana Najib vs Anwar

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mencabar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim untuk mengadakan Debat Bakal Perdana Menteri di antara Najib Tun Razak dan Anwar Ibrahim dengan gentleman serta berpandukan prinsip demokrasi yang asas.

Di samping mengesa Anwar Ibrahim untuk menunjukkan kepimpinan yang gentleman, mengapakan Rais Yatim tidak mendesak Najib Razak untuk berdebat? Bukankah berdebat itu adalah platform yang terbaik bagi rakyat menilai pandangan dan tawaran yang diberi oleh kedua-dua pemimpin?

Mengapakah sampai hari ini kedua-dua Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak mengutuk keganasan politik dan budaya samseng yang kian serius? Adakah UMNO/BN merestui budaya samseng tersebut diteruskan?

Kenyataan Rais Yatim yang menuduh Pakatan Rakyat akan menggunakan kekerasan termasuk demonstrasi bagi ambil alih pemerintahan dalam pilihanraya umum yang akan datang adalah tidak berasas serta berniat jahat. Beliau telah memutar-belitkan semangat kebangkitan rakyat Timur Tengah (Arab Spring) yang menolak pemerintahan yang zalim dan rasuah sama sebagai cara keganasan dan kekerasan untuk rampas kuasa.

Kejahilan Rais Yatim terhadap sistem demokrasi yang berasaskan badan kehakiman yang bebas, kebebasan media serta hak asasi manusia amat memalukan. Beliau perlu belajar semula tentang prinsip kebangkitan rakyat, demokrasi dan hak asasi manusia agar tidak diketawa.

AMK menegaskan bahawa Pakatan Rakyat memilih pilihanraya untuk mendapat sokongan rakyat dan membentuk kerajaan. Walaupun 12 kali pilihanraya umum telah diadakan di Malaysia, pihak pembangkang telah menerima hakikat dan menghormati keputusan rakyat dengan cara yang aman dan tenang. Dalam sejarah Malaysia, pembangkang tidak pernah mengadakan demonstrasi atau mewujudkan kacau-bilau untuk menggulingkan kerajaan.

Kenyataan pimpinan UMNO/BN yang sering menuduh Pakatan Rakyat dengan pelbagai fitnah adalah berunsur intimidasi serta mengalihkan fokus kelemahan dan penyelewengan pemerintahan yang sedia ada.

Oleh itu, AMK mendesak Perdana Menteri perlu menghentikan segala keganasan politik serta melaksanakan 8 tuntutan Bersih 2.0 untuk mengadakan satu pilihanraya yang bebas, adil dan bersih sebelum membubarkan parlimen.


Lee Khai Loon
Ketua Penerangan
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Undi Mahasiswa Penentu Hala Tuju Negara – Ketua AMK


Dari Keadilan Daily

4 Jun 2012

Undi mahasiswa penentu hala tuju negara – Shamsul

KUALA LUMPUR 4 Jun: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, mahasiswa perlu membuat pilihan dan keputusan yang tepat dalam menentukan hala tuju pentadbiran negara.

Katanya, ia penting supaya hak dan kebebasan mahasiswa dikembalikan semula selepas sekian lama dinafikan kerajaan Umno Barisan Nasional.

“Mahasiswa mesti membuat keputusan menjelang pilihan raya bagi memanfaatkan setiap undi. Jika tidak, mereka akan terus berada di bawah legasi Umno dan mahasiswa akan terus ditekan,” kata Shamsul.

Beliau berkata demikian dalam forum Tawaran AMK kepada Mahasiswa Malaysia dalam PRU 13 yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCH), 30 Mei lalu.

Forum berkenaan bertujuan menjelaskan tawaran Pakatan Rakyat kepada mahasiswa menjelang Pilihan Raya Umum ke 13.

Shamsul dalam pada itu mengajak mahasiswa bersama Pakatan Rakyat dan memahami tawaran yang diberikan kepada mereka oleh parti itu.

“Apa yang penting, apabila mesej dapat disampaikan pada golongan sasaran ini, baru akan ada keterbukaan dan ketika itulah mereka harus membuat pilihan dan tampil bersama-sama dalam perjuangan,” katanya dalam forum selama satu jam setengah itu.

Turut menjadi ahli panel dalam forum itu ialah Naib Ketua AMK, Nazree Mohd Yunus; Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammad Haziq Abdul Aziz dan Pengasas Legasi Mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris, Adam Adli.

Manakala Pengarah Biro Mahasiswa AMK, Saifullah Mohd Zulkifli pula bertindak selaku moderator.


— Keadilan Daily

Apa Peranan Terasasi? – SUARAM


Dari Malaysiakini

3 Jun 2012

Isu Scorpene: Suaram gesa k’jaan jelas peranan Terasasi

Suaram menggesa kerajaan menjelaskan peranan Terasasi (Hong Kong) Sdn Bhd yang didakwa menjual rahsia negara kepada syarikat Perancis berhubung urusniaga RM4 bilion untuk membeli kapal selam Scorpene.

“Setakat ini, perana Terasasi masih belum dijelaskan di Parlimen Malaysia.

“Kerajaan Malaysia perlu menjelaskan perkara ini dan peranan yang dimainkan Abdul Razak Baginda dalam transaksi (melibatkan kertas penilaian Scorpene),” kata pengarah Suaram Kua Kia Soong.

Abdul Razak dan bapanya merupakan pengarah Terasasi, sebuah syarikat yang muncul dalam siasatan Suaram ke atas syarikat pembina kapal Perancis, DCNS, dalam kes penjualan dua kapal selam Scorpene kepada Malaysia.

Terasasi didakwa menerima sejumlah 36 juta euro (RM142 juta) daripada DCNS – antara lainnya untuk ‘jualan’ laporan sulit melibatkan penilaian tentera laut Malaysia ke atas pesanan untuk kapal selam itu.

Kua dalam satu emel kepada Malaysiakini semalam berkata, satu inkuiri perlu dibuat ke atas dakwaan serius itu.


— Malaysiakini

Scorpene: Lanjutan Akan Didedahkan di Bangkok


Dari Malaysiakini

29 Mei 2012

Scorpene: Maklumat lanjut akan didedah di Bangkok

Badan hak asasi manusia, Suaram, akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai samannya dalam kes Scorpene di Bangkok, Thailand esok, kerana peguamnya dari Perancis sehingga ini masih gagal mendapatkan kebenaran memasuki Malaysia.

Tidak pasti bila peguam Suaram dari Perancis, Joseph Breham akan diberi visa kerja untuk memasuki Malaysia, dan oleh itu, pemimpin NGO berkenaan memutuskan untuk menemuinya di Thailand.

Brehem dan pasukan Suaram yang diketuai pengarahnya Cynthia.

Gabriel dan peguamnya Fadiah Nadwa Fikri akan mengadakan sidang akhbar kemudiannya mengenai perkembangan baru dalam kes kapal selam Scorpene yang difailkan oleh badan hak asasi manusia di Paris.

Gabriel berkata ia akan diadakan di Kelab Wartawan Asing di Thailand untuk mendedahkan lagi butiran hasil siasatan awal pihak pendakwa serta perkembangan terbaru kes tersebut.

Breham sepatutnya melawat Malaysia minggu ini, tetapi permohonannya untuk mendapatkan visa kerja untuk memasuki negara, masih belum diluluskan pihak berkuasa Malaysia.

Berikutan itu beliau akan menemui pihak Suaran di Bangkok.


— Malaysiakini

Malam Berdarah Lembah Pantai: KEADILAN Mengecam Tindakan Politik Samseng


Kenyataan Media
Parti KEADILAN Rakyat (PKR)

25 Mei 2012

KEADILAN Kecam Serangan “Malam Berdarah Lembah Pantai”

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyelar dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Umno, khususnya Umno Lembah Pantai yang dinaungi Raja Nong Chik, yang telah mengganggu program Ceramah Perdana KEADILAN Lembah Pantai yang berlangsung di Apartment Pantai Permai malam tadi, 24 Mei 2012.

Tindakan provokasi samseng puak Umno yang telah membaling batu bata, telur dan botol air mineral ini telah mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kecederaan:

1) seorang pakcik yang terkena batu di kepala; dan
2) seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang mungkin telah patah tangan akibat terkena batu bata di pergelangan tangan.

Dan beberapa orang awam termasuk anggota polis yang hadir juga telah terkena telur yang dibaling pihak Umno.

Kami juga difahamkan beberapa pegawai Ahli Parlimen Lembah Pantai telah diugut sebelum dan sewaktu program ceramah ini berlangsung, dan tayar kereta YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam, yang diletakkan di tapak berdekatan dengan tapak tempat ceramah juga telah ditoreh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Cukup jelas bahawa tindakan samseng Umno, khususnya Umno Lembah Pantai, untuk mengadakan ceramah yang ditempatkan dalam kawasan kuarters DBKL berjarak 100m dari ceramah KEADILAN adalah suatu tindakan provokasi yang cukup tidak bertanggungjawab. KEADILAN menggesa supaya pihak Polis Di-Raja Malaysia dan DBKL menyiasat bagaimana kuarters tersebut telah dibenarkan untuk digunapakai pihak Umno dan adakah ini merupakan SOP yang sesuai dalam konteks masakini.

Secara dasar, KEADILAN melihat tindakan provokasi Umno bukan sahaja pada malam tadi tetapi pada insiden-insiden sebelum ini di Merlimau, di Felda Lepar Hilir, dan banyak lagi sebagai satu taktik yang cukup terdesak oleh sebuah parti politik yang cukup ghairah untuk terus memegang kuasa dengan apa cara sekalipun.

Episod Malam Berdarah di Lembah Pantai malam tadi jangan harus berulang. KEADILAN menggesa pihak PDRM untuk menyiasat insiden ini dan juga insiden-insiden seumpanya dengan sepenuhnya, agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

KEADILAN juga menggesa Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno, Datuk Raja Nong Chik selaku Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai, dan Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda Umno untuk sama-sama mengecam tindakan samseng ini, serta untuk mengatakan TIDAK kepada Politik Samseng. Sekiranya mereka tidak melakukan sedemikian, maka Umno telah melampaui batas dan melangkah garis di mana semua tindakan kekerasan ini merupakan tidak lain tidak bukan suatu “Deklarasi Perang Terhadap Rakyat”, yang memberi restu untuk menyerang Rakyat dan membunuh Demokrasi.

Akhir sekali, KEADILAN menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya parti-parti politik seperti Umno, supaya menolak dengan menyeluruh Politik Samseng.


YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden KEADILAN
YB Tian Chua, Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden KEADILAN
Sdr Shamsul Iskandar, Ketua Angkatan Muda KEADILAN

24/5: Ceramah Ketua AMK di Pantai Permai, Lembah Pantai.

24 Mei 2012: Ceramah Merdela Rakyat “Hala Tuju Politik & Ekonomi Rakyat” oleh Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia, Sdr. Shamsul Iskandar Mohd Akin di PPR Pantai Permai, Lembah Pantai bersama YB Nurul Izzah, YB Tian Chua, YB Khald Samad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

—Team Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK)

Serang dan Terang – Ketua AMK


Dari Keadilan Daily

23 Mei 2012

PRU 13: AMK guna kaedah ‘serang dan terang’

KUALA LUMPUR 23 Mei: Anggota Angkatan Muda KEADILAN (AMK) diseru lebih giat turun ke akar umbi bertemu anak muda dengan taktik ‘serang dan terang’, kata Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

“Risalah jangan dibiar dalam bilik gerakan atau letak di masjid. Jentera mesti berjumpa pengundi. Suka atau tidak, undi orang muda jadi penentu PRU 13.

“Kita mesti cari mereka, yakinkan bahawa pengundi muda adalah ejen perubahan. Jentera AMK mesti susun pertemuan dan buat penerangan sistematik,” katanya.

Berbanding negeri yang ditadbir Umno BN, kata Shamsul, Pakatan Rakyat lebih berjaya mengangkat peranan anak muda, khususnya di Selangor.

Merujuk Sistem Menang Pilihan Raya (Sismep 3.0), sehingga suku keempat 2011, mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun ialah 342,000 manakala 453,000 berusia 31 hingga 40 tahun.

“Kuasa rakyat itu lebih besar orang yang berkuasa,” tegasnya.


— Keadilan Daily