Pembentukan kabinet baru pemerintahan Datuk Sri Najib Tun Razak hari ini hanyalah merupakan satu usaha ‘compromise‘ yang tidak menjanjikan apa-apa impak kepada rakyat.
Tidak ada perubahan ketara yang boleh dilihat hasil daripada Kabinet ini. Meskipun 8 Menteri digugurkan, tetapi hanya 6 muka baru yang merangkumi kenaikan pangkat 2 orang Timbalan Menteri sebelum ini. Di samping itu 2 Timbalan Menteri digugurkan, dan 9 muka baru dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Kabinet kali ini juga mencipta sejarah apabila menempatkan seramai 12 orang Senator, terbanyak dalam sejarah pembentukan Kabinet Malaysia. Rakyat wajar mempersoalkan apakah Najib sudah kekurangan calon daripada 144 Ahli Parlimen BN, sehingga terpaksa ‘mengimport’ 12 orang melalui ‘pintu Dewan Negara’. Pastinya ini akan mengakibatkan peruntukan dana yang lebih besar untuk membiayai urusan perkhidmatan dan saraan Anggota Pentadbiran Kabinet.
11 Kementerian juga menempatkan seramai 2 Timbalan Menteri bagi setiap Kementerian, menjadikan sejumlah 22 Timbalan Menteri dilantik bagi tujuan tersebut. Apakah rasional Najib menempatkan setiap kementerian sebanyak 2 Timbalan Menteri sedangkan fungsi setiap kementerian tidak meluas.
Ini termasuklah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mana kedua-dua Menteri dan Timbalan Menteri adalah merupakan lantikan Senator, bukan daripada kalangan Ahli Parlimen.
Keputusan Najib yang tidak melantik Ketua Pemuda Umno yang baru dilantik, Khairy Jamaluddin di dalam kabinet beliau bukanlah sesuatu yang menarik untuk diulas. Pun begitu, wajar untuk kita percaya bahawa usaha Najib yang kononnya menugaskan Khairy untuk ‘menarik kembali sokongan golongan muda’ hanyalah satu usaha yang gagal, kerana dalam keadaan Najib sendiri memperlihatkan keengganan beliau mengiktiraf Ketua Pemuda partinya sedangkan dalam masa yang samaKetua sayap Wanita dan Puteri diberikan tempat di dalam kabinet beliau, mana mungkin ada ruang untuk belia kembali menaruh harapan ke atas Umno-BN.
Dr. Mahathir Mohamad juga telah diperlihatkan sebagai Perdana Menteri ‘de facto’ hasil daripada Kabinet ini, melalui perlantikan anak beliau sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri. Apakah kredibiliti yang ada pada batang tubuh Mukhriz berbanding hampir 80 Ahli Parlimen Backbenchers BN yang lain yang melayakkan beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri? Yang diperdagangkan beliau hanyalah ‘bin Tun Mahathir’ yang sekaligus mengesahkan kitaran politik feudal Umno akan terus berulang dan berulang.
Fakta-fakta ini hanya membuktikan bahawa Kabinet yang dianggap ‘pasukan baru’ oleh Najib ini hanyalah ‘pasukan compromised cabinet‘ yang langsung tidak mencerminkan aspirasi rakyat seluruhnya.