Peristiwa Baling 1974 Jadi Contoh Kebangkitan Rakyat Tuntut Keadilan


Dari Selangorku

11 Disember 2012

Peristiwa Baling Jadi Contoh Kebangkitan Rakyat

PETALING JAYA, 11 DIS : Peristiwa Baling, Kedah pada tahun 1974 yang menunjukkan kebangkitan rakyat dalam menuntut keadilan harus dihayati dan dijadikan iktibar oleh semua masyarakat, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun peristiwa Baling merupakan suatu sejarah terpencil, namun ia mampu membangkitkan suara dan pandangan rakyat bahawa sistem pimpinan kerajaan pada ketika itu adalah ‘rosak’.

“Upacara memperingati peristiwa Baling harus dijadikan acara tahunan yang perlu disebarluaskan supaya anak muda tahu apa yang berlaku dari kebangkitan rakyat era 70 an.

“Jangan kita andaikan kelompok paling miskin itu tidak ikuti perkembangan semasa. Peristiwa Baling harus mengajar bukan sahaja pengalaman sejarah, tetapi mengajar orang bandar bahawa rakyat di desa boleh beri pimpinan,” katanya semasa menyampaikan syarahan memperingati Demonstrasi Baling di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini semalam.

Hadir sama, Senator Dr Syed Husin Ali, aktivis Prof Gurdial Singh, bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Kamarazaman Yaakob, Syed Hamid Ali dan Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin.

Pada 1974, Anwar melancarkan demonstrasi besar-besaran apabila ada laporan media yang menyatakan bahawa penduduk di Baling mati kerana kelaparan akibat kemiskinan.

Hasil demonstrasi tersebut, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA) selama 22 bulan.

Bagaimanapun kesan daripada itu, Kerajaan Umno-BN secara sembunyi terpaksa mengambil tindakan proaktif untuk membangunkan masyarakat luar bandar.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa soal kepedulian rakyat harus diutamakan dan tidak boleh ditolak ansur.

Menurutnya, seseorang pemerintah itu perlu menegakkan keadilan yang saksama untuk rakyat bagi mengurangkan amalan ‘kronisme’ yang diamalkan Kerajaan Umno-BN sekarang.

“Memacu pembangunan itu adalah suatu kemestian, namun kita tidak boleh izinkan kelompok kecil memunggah kekayaan seperti yang berlaku sekarang. Kita tidak boleh izinkan penyelewengan dan rasuah,” katanya lagi.


— Selangorku

10,000 hadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat Melaka


Dari Harakah Daily

9 Disember 2012

10,000 hadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat Melaka

Program semalam bermula pada jam 4.00 petang dengan konvoi motosikal dan kereta yang telah mendapat sambutan luar dugaan.

Antara pimpinan tertinggi PR Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Pimpinan PR negeri yang hadir ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari; Pengerusi PKR Negeri Melaka, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Pengerusi DAP Negeri Melaka, Goh Leong San.

Turut hadir wakil-wakil NGO seperti HIshamuddin Rais mewakili Bersih; Singham dari Tindak; Salmi Ibrahim (Royalti Terengganu); Salmi Ibrahim (Royalti Terengganu); Andasura Rabu (Stop Lynas) dan Lee Chee Chern (Himpunan Hijau). Turut hadir bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Kesemua pimpinan parti dan wakil-wakil NGO serta Kadir telah berucap malam tadi.

Program tersebut juga turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Blues Gang, Ito yang menyampaikan 3 buah lagu.

Turun 12 Januari

Mohammad Sabu dalam ucapannya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya Melaka supaya turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 12 Januari 2013 bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil.

“Sudah tiga kali kita mengadakan Himpunan Bersih, tetapi kerajaan dan SPR terus membutakan mata dan memekakkan telinga tidak menghiraukan tuntutan Bersih dan rakyat Malaysia”.

“Kali ini pada 12 Januari 2013 kita akan turun ke Kuala Lumpur untuk sama-sama hadir pada program Himpunan Sejuta rakyat, kalau mereka degil lagi kita sepak mereka” tegas Muhammad dengan serius sambil menyepak angin.

Azmin dalam ucapan penuh semangatnya menjelaskan kepada rakyat bahawa kedudukan ekonomi negara berada dalam keadaan parah di mana hutang negara sudah meningkat lebih RM500 bilion dan ianya sudah sampai tahap kronik.

“Adakah kita semua ingin melihat negara kita menjadi Greece yang bangkrap kerana Menteri Kewangan yang sangat ‘cekap’ sehingga negara hampir muflis”

“Semasa Anwar menjadi Menteri Kewangan pertumbuhan ekonomi negara kita sebagai contoh tahun1994 ialah 9.2 %, 1995 (9.8) dan 1996 (10 %) berbanding Najib yang pencapaiannya 2009 ialah -1.5 %, 2010 (7.2%) dan 2011 (5.1 %) sahaja.. Jadi siapa sebenarnya yang bijak menguruskan kewangan negara Anwar atau Najib” tanya Azmin.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw menegaskan bahawa sudah sampai masanya rakyat negeri Melaka menukar kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang dilihat gagal memberikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Ketua Menteri Melaka menganjurkan kenduri kahwin anaknya hingga membelanjakan kira-kira RM1juta, ini duit siapa, sedangkan hutang negeri Melaka sudah hampir RM900 juta, tetapi Melaka hanya bayar hutang kepada pusat hanya RM180,000 tahun lepas”.

“Manakala kerajaan pusat menzalimi rakyat dengan AES dan pelbagai lagi, mereka mencuri duit rakyat dengan dasar yang benar-benar zalim dan menyiksa rakyat” tegas beliau.

Sebelum ini tapak program terpaksa diubah dua kali akibat tuan tanah yang disewa tidak berani membenarkan tanahnya digunakan untuk program tersebut walaupun sudah bersetuju di peringkat awalnya kerana ugutan demi ugutan pihak yang berlagak samseng.


— HarakahDaily

Umno tekan Deepak untuk jatuhkan Najib?


Dari KeadilanDaily

29 November 2012

Umno tekan Deepak untuk jatuhkan Najib?

(Oleh Aedi Asri)

KUALA LUMPUR 29 November: KEADILAN percaya kenyataan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan berhubung peranannya dalam akuan bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) didorong oleh tekanan pihak Umno yang ingin menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin tidak menolak kemungkinan kempen memburukkan imej Najib itu sengaja diatur sempena Perhimpunan Agung Umno.

“Kemungkinan besar (ia berlaku) memandangkan wawancara dibuat ketika Perhimpunan Agung Umno berlangsung. Lagipun Deepak sejak dahulu bukanlah bersama kita,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Shamsul, ia dikuatkan lagi apabila Presiden Umno ketika taklimatnya dalam perhimpunan itu meminta ahli Umno bersatu dan tidak mengkhianati parti.

“Ini menunjukkan wujud perpecahan dan perebutan kuasa dalam Umno,” katanya.

Deepak yang juga kawan baik Rosmah Mansor dalam wawancara Malaysiakini menyatakan kekesalannya ekoran terlibat dalam mengaturkan akuan bersumpah (SD) kedua Bala.

Antara lain, Deepak mendedahkan, SD kedua yang dibuat secara tergesa-gesa oleh Bala, untuk menarik balik tuduhan awalnya yang mengaitkan Najib dengan Altantuya Shaaribuu, adalah sebahagian daripada usaha untuk menggagalkan satu pengakuan yang dirancang berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu.

Memetik wawancara sama, Deepak turut mengaku membayar sejumlah wang kepada keluarga Najib pada 2007 agar Najib, Menteri Pertahanan ketika itu campur tangan bagi membolehkan beliau mengambil bahagian dalam satu projek kementerian itu.

Mengulas kenyataan tersebut, Shamsul menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertegas dan menilai pendedahan Deepak dengan bertanggungjawab.

“Polis perlu ambil sikap tegas. Panggil Deepak ambil keterangan beliau dan minta maklumat dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang buat siasatan sebelum ini,” kata Shamsul.

12 April 2010, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengesahkan SPRM mengambil keterangan Deepak dan adik Najib, Datuk Nazim Razak berkenaan akuan bersumpah Bala itu.

Bala sebelum ini menggemparkan negara apabila pada 3 Julai 2009 muncul di ibu pejabat KEADILAN dan mengumumkan akuan bersumpahnya mengaitkan Najib (waktu itu Timbalan Perdana Menteri) dengan Altantuya.

Bagaimanapun keesokannya pula, dia menarik balik kenyataan dalam akuan sumpah awal melalui akuan kedua pada sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa dan kelam-kabut sebelum menghilangkan diri secara misteri ke luar negara bersama keluarga.

Beliau juga pernah mendakwa keluarga Perdana Menteri memintanya membatalkan akuan bersumpah pertamanya dan bersedia disiasat SPRM dengan syarat ia diadakan di luar negara.

Bala mendakwa bahawa Deepak memainkan peranan dalam menggesa penyiasat persendirian itu supaya menarik balik akuan bersumpah yang mengaitkan Perdana Menteri.

Malah beliau juga mendakwa ditawarkan RM5 juta oleh Nazim bagi menarik balik akuan bersumpah pertamanya itu.


— Keadilandaily

Najib Pengecut, Halang Peguam Perancis Masuk – Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

27 November 2012

Halang peguam Perancis bukti Najib pengecut – Shamsul

KUALA LUMPUR 27 November: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan kerajaan menghalang kemasukan dua peguam Perancis, bukti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seorang pengecut.

“Kerajaan sebelum ini mendakwa kes ini tidak wujud tetapi apabila peguam berkenaan mahu datang ke Malaysia untuk menerangkan perkara sebenar, kerajaan tak berani bagi kebenaran,” ujarnya.

“Ini mengukuhkan persepsi ada sesuatu yang diselindungkan kerajaan. Ia juga menunjukkan dakwaan mengenai rasuah Scorpene adalah benar,” katanya ketika dihubungi.

Shamsul berkata, peguam ini menjernihkan persoalan mengenai perundangan Perancis dan dokumen yang diteliti oleh mahkamah Perancis berhubung kes itu.

Tambahnya, Najib bimbang kes yang turut dikaitkan dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu akan terbongkar menjelang pilihan raya umum ke 13.

“Imej Malaysia akan lebih parah bila taklimat berkenaan diadakan di Singapura. Di mana demokrasi dan kebebasan bersuara melalui Parlimen? Parlimen sepatutnya bebas mendapat maklumat kerana ia dewan tertinggi,” ujarnya.


— Keadilandaily

Akhbar Inggeris Terbesar Hong Kong Siar Skandal RM 40 juta Musa Aman


Dari KeadilanDaily

26 November 2012

Akhbar terbesar Hong Kong lapor skandal RM40 juta Musa Aman

(Oleh Aisha Geoffrey)

KUALA LUMPUR 26 November: Skandal rasuah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan jutawan balak, Michael Chia mendapat liputan akhbar berbahasa Inggeris terbesar di Hong Kong – South China Morning Post City.

Akhbar tersebut melaporkan pertemuan delegasi KEADILAN dengan pihak berkuasa dan Ahli Parlimen Hong Kong untuk menggesa siasatan terhadap kes rasuah itu supaya dibuka semula.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang ketika dihubungi memberitahu, terdapat sekurang-kurangnya lima media cetak Hong Kong membuat liputan terhadap kes berkenaan.

“Ia menunjukkan media antarabangsa memandang berat isu ini,” katanya.

Akhbar lain yang membuat liputan kes rasuah itu antaranya Hong Kong The Sun, AM730, Hong Kong Oriental Daily dan Hong Kong Singpao.

“Selain media, pihak berkuasa di sana juga sangat mengambil berat isu ini. Jika betul tiada kes, mana mungkin media nak buat liputan,” kata Lih Kang.

“Kita harap agensi kerajaan di Malaysia juga dapat mengambil tindakan sewajarnya,” sambung beliau.

Sebelum ini, Chia yang rapat dengan Musa ditahan di Hong Kong kerana terlibat dalam penggubahan wang haram RM40 juta.

Taikun balak itu menyatakan wang berkenaan milik Musa tetapi pemimpin Umno terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mendakwa ia adalah dana untuk Umno Sabah.

Lih Kang bersama Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian ke Hong Kong selama dua hari, bermula 21 November lalu.

Delegasi terbabit juga ditemuramah khas oleh Reutera-Bloomberg yang mengikuti perkembangan kes tersebut.


— Keadilandaily

SPRM, Sila Siasat Umno, MCA dan MIC Sapu Tanah Rakyat Selangor – AMK


Kenyataan Media Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

22 November 2012

AMK desak SPRM siasat skandal Umno, MCA & MIC ‘sapu’ tanah rakyat S’ngor

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat segera skandal pemberian 24 bidang tanah komersial yang bernilai tinggi kepada parti-parti Barisan Nasional pada harga RM1 sekaki persegi sahaja.

SPRM diminta untuk menyiasat segera ke atas pemimpin Barisan Nasional dan kerajaan Umno BN yang jelas menyalahguna kuasa serta terlibat dalam konflik kepentingan (conflict of interest). Kesemua 24 bidang tanah yang dimiliki rakyat perlu dikembalikan kepada kerajaan negeri Selangor.

AMK ingin memuji keberanian YB Ng Suee Lim, Adun Sekinchan yang membongkarkan skandal rasuah dan salahguna kuasa yang berlaku semasa pemerintahan Umno BN di bawah bekas Menteri Besar Khir Toyo. Dalam tempoh tahun 1999 hingga 2008, kerajaan Umno BN telah menjual tanah komersial yang bernilai tinggi kepada parti Umno, MCA, MIC dan Gerakan.

Tanpa rasa malu dan segan, terdapat sekeping tanah yang diberi hakmilik atas nama individu Dato Seri Samy Velu dan Dato S Subramaniam. Kedua-dua individu tersebut adalah pemimpin MIC pada masa itu yang jelas bahawa terbuktinya budaya rasuah dan salahguna kuasa di dalam Umno BN secara terang-terang.

Kewibawaan SPRM sekali lagi tercabar dengan skandal yang berlaku. Sebenarnya, rakyat berharap SPRM akan bertindak dengan professional dan tidak berpihak kepada mana-mana parti dalam penyiasatan skandal tersebut serta mendakwa semua yang terlibat. SPRM peru bertindak tegas agar pemindahan manfaat di kalangan Umno BN agar skandal tersebut tidak akan berulang dan sekaligus mengembalikan kredibiliti SPRM sendiri.

AMK berpendapat bahawa kesemua maklumat yang dibentangkan oleh Adun Sekinchan sangat mencukupi untuk SPRM mengambil tindakan. AMK yakin Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor tidak akan bertolak ansur serta memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada SPRM dalam proses siasatan tersebut agar 24 bidang tanah tersebut dapat dikembalikan dengan kadar yang segera.

Sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, indeks rasuah negara kita tidak diperbaiki malah bertambah teruk sehingga membimbangkan. Oleh itu, AMK mendesak Najib Razak yang merangkap Presiden UMNO/BN, memohon maaf kepada semua rakyat atas skandal tanah tersebut.

Sementara itu, demi kepimpinan melalui teladan serta iltizam politik banteras rasuah, Najib Razak perlu memperbetulkan masalah tersebut dengan mengarahkan Umno, MCA, MIC dan Gerakan agar mengembalikan kesemua 24 bidang tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri Selangor.


Lee Khai Loon
Ketua Penerangan AMK

Jelajah Merdeka Rakyat Negeri Melaka Malam ini!


23 November 2012

Jelajah Merdeka Rakyat MELAKA

Jelajah Merdeka Rakyat Melaka:

5.00 ptg:
Hi-Tea di Pekan Tiang Dua, Ayer Molek

7.00 mlm:
Solat & Tazkirah Maghrib di Surau Umri, Serkam Pantai

8.00 – 10.00 mlm:
Ceramah & Jamuan Makan Malam di Dewan Pay Fong, Jalan Kubu, Melaka

10.00 – 12.00 mlm:
Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Taman Muzafar Syah, Ayer Keroh

Barisan Penceramah:
i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
ii. YB Lim Kit Siang
iii. YB Salehuddin Ayub
iv. Sdr Shamsul Iskandar Mohd Akin
v. Pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat


— Team Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia

Negeri Kaya, Rakyat Terus Ditindas dan Dizalimi – Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

16 November 2012

Hasil negeri Sabah berbilion ringgit tapi rakyat terus ditindas

(Oleh Aliff Fikri)

KOTA BELUD 16 November: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) gesa rakyat Sabah melakukan perubahan supaya tidak terus ditindas Umno BN dan dapat menikmati kemudahan yang dinafi kerajaan.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, statistik menunjukkan Sabah memperoleh sumber pendapatan berbilion ringgit namun rakyat terus derita.

“Selagi tak berlakunya perubahan, selama itulah nasib rakyat Sabah tidak akan terbela.

“Kalau di Selangor, kita berjaya berikan pelbagai kemudahan contohnya seperti air percuma, tapi di Sabah usahkan air percuma, paip air pun tak ada, yang ada hanya tong air pemberian Umno, tapi tak guna sebab tak ada paip,” katanya depan penduduk Kampung Payas Payas, Kota Belut sempena Jelajah Kempen Sumpah Rakyat Tuntut Hak, semalam.

Shamsul berkata, kejayaan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor perlu dijadikan inspirasi rakyat Sabah untuk keluar dari kepompong Umno BN dan turut serta melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Selangor diangkat sebagai negeri contoh bila kita (Pakatan) ambil alih, ini kerana jiwa kepimpinan kita yang mengutamakan soal kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Ia terbukti sepanjang empat tahun ini, tidak pernah ada mana-mana pemimpin Pakatan yang terlibat dengan kes rasuah atau skandal penyelewengan.

“Ini beza kita dengan mereka (BN) yang lebih mengutamakan keuntungan peribadi berbanding hak rakyat,” katanya disambut tepukan gemuruh hampir 100 hadirin.

Turut hadir Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Zainuddin; Naib Ketua AMK, Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip; Exco AMK Pusat, Ginie Lim; Ketua AMK Sabah, Mohd Serman Hassnar dan beberapa pimpinan lain.

Kempen tersebut dirasmikan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Rabu lalu dan Sabah merupakan negeri pertama jelajah itu.

Tuntutan RM40 juta hak rakyat Sabah anjuran AMK ini akan menjelajah ke seluruh pelusuk Sabah bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan Isnin ini.

Ia merupakan skandal penyelewengan wang terbesar di negeri itu membabitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.


— Keadilandaily

Menang Pakatan, Musa Aman Akan Diheret Ke Mahkamah! – Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

18 November 2012

Musa Aman diheret ke mahkamah apabila Sabah dimenangi Pakatan

(Aliff Fikri)

SABAH 18 Nov: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman akan diheret ke mahkamah atas pelbagai kesalahan penyelewengan sebaik saja Pakatan Rakyat diberi mandat mentadbir Sabah, kata Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat itu berkata, ia bukan mustahil kerana pernah berlaku terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo.

“Khir Toyo telah kita heret ke mahkamah walaupun hanya menjatuhi hukuman ringan iaitu penjara setahun tapi ia membuktikan penglibatannya dalam rasuah.

“Musa Aman yang bolot hasil kekayaan bersama kroninya, Michael Chia juga akan kita heret,” katanya depan lebih 400 penduduk di kampung Sungai Pukul, Pulau Batik, Tawau.

Musa Aman sebelum ini didakwa terlibat membersihkan wang haram berjumlah US$90 juta bersamaan RM275 juta, selain dikait dengan skandal wang haram RM40 juta apabila Michael Chia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) di Lapangan Terbang Hong Kong.

Jelajah Tuntutan RM40 Juta Hak Rakyat Sabah kendalian AMK itu dijadual menjelajah ke seluruh pelusuk Negeri Di Bawah Bayu bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan pada 19 November ini.

Antara pimpinan muda yang ikut serta ialah Pengarah Strategi AMK, Ahmad Zaki Yamani; Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip dan Exco AMK Pusat, Dr Natassia Sarah.

Shamsul bimbang rakyat Sabah akan terus menderita jika Umno BN terus dibiar berkuasa dan Musa Aman terus membolat kekayaan negeri.

“Ini hanya dapat diatasi jika Pakatan menang untuk angkat martabat rakyat dari terus dihina penyamun bernama Musa Aman,” katanya.


— Keadilandaily

Sudah 49 Tahun Bersama Malaysia, Tapi Masih Cerita Tentang Keperluan Asas – Timb. Ketua AMK


Dari KeadilanDaily

18 November 2012

49 tahun merdeka tapi Sabah masih cerita pasal tiang lampu

SABAH 18 Nov: Sekalipun merdeka sejak 49 tahun lalu tetapi Sabah masih berdepan masalah kekurangan intrastruktur asas, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Khairul Anuar Zainuddin.

“Saya sedih. Hampir setengah abad merdeka tapi Sabah masih bercakap soal tiang lampu, jalan raya, air, tanah dan kemiskinan. Patutnya, kita bincangkan soal kualiti hidup.

“Inilah akibatnya apabila kerajaan Umno BN korup,” katanya depan 300 rakyat di Kampung Pelantong, Beluran semalam.

Beliau antara pimpinan yang menyertai Siri Jelajah Tuntutan RM40 Juta Hak Rakyat Sabah kendalian AMK ke seluruh pelusuk Sabah bermula dari Tuaran dan berakhir di Labuan pada 19 November ini.

Antara pimpinan AMK yang ikut serta ialah Ketuanya, Shamsul Iskandar Mat Akin; Pengarah Strategi AMK, Ahmad Zaki Yamani; Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus; Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip dan Exco AMK Pusat, Dr Natassia Sarah.

Beliau turut menempelak kerajaan Umno BN yang gagal mengatasi kemiskinan rakyat.

“Statistik menunjukkan 40 peratus rakyat cuma berpendapatan bawah RM1,500 manakala di Sabah masih ada yang diberi gaji hari.

“Ini kerja gila, kerja zalim. Gaji dan sumber pendapatan isi rumah terlalu rendah sedangkan kos sara hidup makin naik,” katanya.


— Keadilandaily