PM Dituduh Rancang Dakwa Anwar Liwat

MALAYSIAKINI – Para peguambela ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berusaha untuk mengaitkan perdana menteri dalam konspirasi untuk menjatuhkan Anwar dengan tuduhan meliwat seorang bekas pembantu lelakinya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengakui bertemu pembantu ketua umum PKR itu – Saiful Bukhari Azlan, selepas dia berkata diliwat oleh Anwar tetapi sebelum satu aduan polis dibuat pada Jun 2008.

Najib juga menafikan campurtangan dalam kes tersebut.

Saiful memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia bertemu Najib pada 24 Jun – dua hari sebelum kenyataannya bahawa Anwar telah meliwatnya – satu jenayah di negara Islam – dan empat hari sebelum dia berjumpa polis.

Saiful memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia telah menceritakan kepada Najib masalah yang dihadapinya.

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan apakah masalah yang dihadapinya ketika itu.

Saiful memberitahu demikian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan tuduhan liwat terhadap Anwar.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, di sebuah pangsapuri di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dihukum 20 tahun penjara – hukuman yang sekaligus akan menamatkan karier politik ketua pembangkang ini yang telah berjaya menyatukan pembangkang untuk menafikan BN penguasaan dua pertiga BN di parlimen selepas pilihan raya umum 2008.

Anwar telah disabitkan dengan kesalahan liwat pada 2000, di samping hukuman atas kesalahan salahguna kuasa sebelumnya – selepas beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri semasa kemuncak krisis kewangan Asia pada 1998.

Sabitan bagi tuduhan liwat itu dikecam secara meluas kerana didakwa tidak adil dan ianya kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Berikutan itu, Anwar layak bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh selepas pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan prestasi terburuk BN, termasuk hilang kuasa di lima negeri – Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Manakala PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dengan tambahan kerusi.

Bagaimanapun, Perak jatuh kembali ke tangan BN selepas tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat bertindak keluar parti dan menyokong BN.

Najib merupakan timbalan perdana menteri ketika Anwar berdepan dengan tuduhan liwat itu dan mengambil alih teraju pentadbiran negara pada April tahun lalu, dengan ikrar untuk meliberalisasikan ekonomi dan menangani ketegangan kaum antara kaum Melayu, Cina dan India.

“Perdana menteri terbabit. Terdapat konspirasi politik untuk menyingkirkan Anwar,” kata peguam Karpal Singh di mahkamah hari ini.

Karpal juga mencabar dakwaan Saiful yang dia diliwat, dengan menegaskan bahawa ia tidak disokong oleh satu laporan perubatan.

Perbicaraan kes liwat terhadap Anwar dijadual berterusan hingga Ogos depan.

– Reuters

Pejabat Ketua AMK Malaysia

‘Malaysia Bukan Masyarakat Judi’

MALAYSIAKINI – Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa kerajaan pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus. Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut:

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa ‘tindakan pemerintah terikat dengan maslahah’. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri. Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi’i r.h: “Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair). Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?! Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu. Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima. Al-Quran menyebut: (maksud) “Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219). Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima. Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada ‘dilesenkan’ atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan. Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa ‘judi adalah budaya kami’, atau ‘kebanggaan hidup kami’. Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi. Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama. Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang. Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah ‘tauke’ sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen. Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat ‘hisap candu berlesen’ untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen? Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

7. Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah cadangan ini!

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Wong Ho Leng Cabar Calon BN Buat Pendirian Isu Limbang, Blok L-M

TVSELANGOR – Calon BN dicabar mengumumkan pendirian berhubung isu perlucutan kedaulatan Malaysia keatas lapangan minyak di blok L dan M yang terletak di luar pesisiran pantai Sabah-Sarawak.

Wong Ho Leng berkata ada kemungkinan kedua-dua lapangan minyak itu adalah milik Sarawak.

“Saya cabar beliau untuk suarakan isu ini sebelum 16 Mei depan. Saya cabar beliau umumkan pendirian berhubung isu blok L dan M, isu Limbang dan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Amat menyedihkan jika calon BN ini tidak mampu jawab kerana sehingga ke hari tiada seorang pun dari BN yang jawab dengan jelas,” katanya.

Lapangan minyak M dan L seluas kira-kira 6,000 kilometer persegi. Setiap lapangan ini mampu menghasilkan 250,000 hingga 300,000 tong setiap hari selama 15 hingga 20 tahun.

Hasil dari kedua-dua lapangan ini dianggarkan mencecah RM65.6 juta setiap hari.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah Musa Aman secara rasmi mengumumkan lapangan L dan M bukan wilayah Sabah.

“Blok L dan M berkemungkinan besar bukan milik Sabah. Ketua Menteri Sabah Musa Aman mengumumkan perkara itu, maka tentu sekali lapangan minyak ini milik Sarawak. Tetapi BN serah harta negara ini pada Brunei. Amat tidak bertanggungjawab!” katanya.

“Tidak ada logik seandainya ia diserahkan sebagai ganti kepada Limbang kekal sebagai tanah Sarawak. Limbang dari dahulu lagi adalah wilayah Sarawak. Saya bantah apa sahaja usaha yang menjejaskan kedaulatan Malaysia. Bahkan saya sedia mati untuk tanahair,” tegasnya.

Wong Ho Leng berkata BN tidak mempunyai sebarang alasan untuk melucutkan kedaulatan Malaysia keatas lapangan minyak ini, yang sepatutnya digunakan untuk menampung kebajikan rakyat termiskin.

“Sarawak berada di tangga keempat yang termiskin di negara ini. Minyak disedut keluar dari bawah kaki rakyat Sarawak tetapi kita hanya dapat 5 peratus royalti sejak 1970an. Apakah ini adil untuk Sarawak? Masih ramai lagi yang miskin disini, dan kita berhak kepada sekurang-kurangnya 20 peratus royalti,” tegasnya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Lagi Saksi Sahkan Kenyataan Azamuddin

MALAYSIAKINI – Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, pemilik kenderaan yang bergesel dengan kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah, telah bertemu denganya dan menceritakan peristiwa sebelum remaja itu ditembak mati oleh polis pada 26 April.

Khalid berkata, ahli perniagaan tersebut tampil menemuinya kelmarin (Selasa) dan meminta pandangannya berhubung tindakan lanjutnya yang patut diambil.

“Dia asalnya tidak mahu campur. Dia takut direman,” katanya yang enggan mendedahkan indentiti pihak terbabit buat masa ini.

Bagaimanapun, selepas dinasihatkan, Khalid menambah, pemilik kenderaan tersebut membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di seksyen 11 pada sebelah malam selepas pertemuan tersebut.

Pada 27 April lalu – sehari selepas insiden kematian Aminulrasyid, Khalid (kiri) dilaporkan telah mendedahkan butiran kandungan laporan polis saksi utama kes itu, Azamuddin Omar, yang berada dalam kereta bersama arwah, pada malam kejadian tersebut.

Dalam aduanya, Azamuddin antaranya mendakwa kenderaan yang dipandu arwah telah bergesel dengan sebuah kereta, menyebabkan beliau dikejar oleh tiga penunggang motosikal, dipercayai rakan kepada pemilik kenderaan itu.

Menurut aduan itu lagi, ketika melarikan diri, mereka telah memotong sebuah kereta polis yang kemudiannya turut mengejar mereka. Azamuddin juga dilaporkan mendakwa, tembakan terhadap Aminulrasyid dilepaskan selepas kejadian tersebut.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam, Khalid berkata, beliau difahamkam seorang penunggang motosikal tersebut turut membuat laporan polis sejurus selepas kejadian tersebut, juga di IPD yang sama.

Menurut Khalid lagi, pemilik kereta tersebut memberitahunya, pada malam kejadian tersebut, keretanya digunakan oleh seorang rakannya dan keluar minum di seksyen 7 bersama tiga penunggang motosikal terbabit.

Tambahnya, kedua-dua laporan tersebut bertepatan dengan apa yang diceritakan oleh Azamuddin dalam laporan polis dan sidang medianya sebelum ini.

Menjawab soalan, Khalid berkata, walaupun kedua-dua pihak terbabit tidak menyaksikan peristiwa ketika Aminulrasyid ditembak, laporan tersebut didakwa dapat membuktikan “konsisten dan tepatnya” versi yang diceritakan kembali oleh Azamuddin.

“Kalau di bahagian awalnya (cerita itu) tepat, takkanlah di akhirnya tidak betul?” soalnya kembali.

Sehubungan itu, Khalid mempersoalkan kenapa “laporan yang telah berada dalam simpanan polis” itu tidak didedahkan kepada umum ketika kerajaan menjamin satu siasatan yang telus akan dilaksanakan dalam kes itu.

“Ketelusan bukannya bermaksud telus terhadap jawatankuasa (pemantau) sahaja, tetapi juga kena telus kepada rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, Khalid juga menyuarakan kebimbingannya terhadap perkembangan siasatan kes Aminulrasyid di mana Azamuddin telah tiga kali dipanggil memberikan keterangan oleh pihak polis.
Beliau berkata, tindakan itu – terakhir petang semalam – dikhuatiri boleh mendorongnya tersilap membuat kenyataan dan tidak konsisten memberikan jawapan.
“Berapa kali dia (Azamuddin) perlu menceritakan perkara ini? Apa tujuan dia diminta menceritakan perkara yang sama berulang-ulang kali?” soal Khalid.
Pejabat Ketua AMK Malaysia

Rakan Mangsa – Tiada Rempuhan?

foto oleh: Zunar

KHAIRUL ADLI ABDULLAH – Kejadian yang menimpa seorang remaja 15 tahun, Allahyarham Aminulrasyid, menggemparkan kita dan mengcalarkan imej Polis DiRaja Malaysia(PDRM). Saya berasa amat dukacita dengan tragedi yang menimpa keluarga mangsa.

Mungkin Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hanya mampu membuat kenyataan yang bersifat defensive seperti berikut, “Jangan pertikaikan pihak polis!”

Oleh itu peristiwa yang berlaku terhadap Allahyarham, tidak boleh dipandang ringan. Kerana insiden seperti ini bukanlah kejadian pertama. Kes yang melibatkan A.Kugan (mati dalam lokap), A Gnanapragasam (mati dalam lokap), Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz (tembakan di program Bersih, Batu Buruk), Tawfiq Noorzan (tembakan di Perlis), Norizan Salleh (tersalah tembak), menggambarkan berlaku kepincangan kepimpinan yang serius di dalam PDRM.

Sebentar tadi saya telah melihat video sidang media oleh saksi kejadian, dan saya meneliti kenyataan media tersebut yang ditafsirkan oleh peguam keluarga mangsa, N.Surendran, membuktikan bahawa dakwaan pihak polis tidak benar:

1. Tiada rempuhan kenderaan mangsa terhadap kenderaan polis.

2. Tiada pengunduran kenderaan dari sekatan jalanraya.
3. Tiada senjata, parang dan sebagainya.

Jadi banyak kesangsian yang timbul, menyebabkan rakyat ragu-ragu dengan kejadian yang berlaku itu. Justeru itu, keluarga mangsa tidak mahukan inkues. Tetapi mereka mahukan Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi memastikan ketelusan siasatan, dan anggota polis yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

AMK Gesa Najib Pecat Musa Hassan

SUARA-KEADILAN – SHAH ALAM 1 Mei – Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri memandang serius kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam respon beliau kepada media mengenai insiden tembakan ke atas Allahyarham Aminulrasyid Amzah beberapa hari lepas.

Dalam kenyataan beliau yang dilaporkan oleh beberapa media internet dipetik sebagai berkata jika anda tidak mahu polis menguatkuasakan undang-undang, saya boleh arahkan anggota-anggota saya supaya jangan buat apa-apa termasuk memeriksa kenderaan atau menangkap Mat Rempit yang memandu tanpa lesen.

Menurut Shamsul, kenyataan seumpama ini adalah jelas satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang Ketua Polis Negara yang sepatutnya mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

“Persepsi rakyat ke atas polis sekarang berada di tahap yang mendukacitakan, rentetan pelbagai salah laku dan salah tindakan yang diambil, sekecil kes rasuah jalanan sehinggalah sebesar
penglibatan Asiasoft, sebuah syarikat yang berpangkalan di Tel Aviv, Israel yang mempunyai akses ke dalam sistem maklumat Polis DiRaja Malaysia.

“Kes yang melibatkan A.Kugan (mati dalam lokap), A Gnanapragasam (mati dalam lokap), Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz (tembakan di program Bersih, Batu Buruk), Tawfiq Noorzan (tembakan di Perlis), Norizan Salleh (tersalah tembak),dan terbaru Aminulrasyid, menggambarkan berlaku kepincangan kepimpinan yang serius di dalam PDRM.

“Apa yang lebih mendukacitakan, kesemuanya berlaku dibawah kepimpinan Musa selaku Ketua Polis Negara dan kenyataan tersebut jelas menggambarkan bahawa beliau gagal menjulang aspirasi rakyat untuk dijamin keselamatan mereka sepenuhnya,” jelas Shamsul lagi dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh AMK.

Dalam pada itu, AMK juga katanya percaya sekiranya Perdana Menteri masih serius dengan Program Transformasi Kerajaan dan juga NKRA yang dilaung-laungkan di bawah slogan “rakyat didahulukan”, maka langkah pertama untuk menjayakan NKRA mengurangkan kadar jenayah, ialah memperkemas pengurusan dan kepimpinan polis dengan memecat Musa.

Pejabat Ketua AMK Malaysia