AMK Desak Tubuh Suruhanjaya DiRaja Siasat Polis Tembak Remaja

SUARA KEADILAN – Shah Alam 29 Apr – Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata insiden remaja 15 tahun mati ditembak polis 26 April lalu mencerminkan kepincangan polis dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan memberikan alasan yang sama seperti kes-kes sebelumnya, iaitu mereka hanya menjalankan tugas.


Shamsul juga mempersoalkan etika pengendalian kes-kes yang sepatutnya mengikut garis panduan seperti yang terkandung di dalam Arahan-arahan Tetap Ketua Polis Negara, tetapi melihat kepada kes-kes sebelumnya seperti kes Norizan Salleh dan Allahyarham Tawfiq Noorzan, polis seolah-olah tidak ambil peduli mematuhi undang-undang mereka sendiri.

“Saya berasa terkilan kerana setiap kali polis gagal, nyawa manusia menjadi ganti disebabkan kegagalan mereka dan lebih menekankan lagi ialah apabila polis tidak mahu memberikan jawapan yang telus dan mula bermain tarik tali dengan pihak-pihak yang bersuara.

“Justeru itu AMK berpendapat penubuhan ‘Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC)’ adalah satu kemestian bagi menjaga kebajikan rakyat kerana kecuaian polis semakin berleluasa bagi dan penyiasatan sebegini akan menjadi satu pengajaran kepada anggota-anggota polis yang lain kerana ianya adalah sesuatu yang sangat malang sekiranya kes salahlaku polis juga disiasat oleh polis.

Kata Shamsul, AMK serta Dewan Pemuda PAS Pusat dan Pemuda Sosialis DAP telah menyenaraikan tiga tuntutan daripada rakyat untuk pertimbangan polis.

Pertama ialah supaya Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri Selangor meminta maaf secara terbuka tanpa kompromi kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah.

Kedua menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes ini dan ketiga badan-badan pro-Melayu seperti Pemuda Umno dan Perkasa untuk menyatakan ketetapan mereka dalam isu kezaliman yang menimpa Allahyarham Aminulrasyid, samada mereka menyokong ataupun menentang tindakan polis menembak remaja berkenaan.

Pemuda Pakatan Rakyat dan badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada hari Isnin depan untuk terus mendesak berkenaan salahlaku polis dalam kejadian ini.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Remaja mati ditembak: BN, Pakatan ‘bersaing’ di Shah Alam

THE MALAYSIAN INSIDER – KUALA LUMPUR, 28 April — Dua hari selepas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) sekali lagi menjadi tumpuan media di Selangor.

Bagaimanapun kali ini bukan kerana kempen pilihan raya kecil tetapi memperlihatkan sokongan kepada keluarga seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh polis di Seksyen 11, Shah Alam awal pagi kelmarin.

Semalam, kerajaan pusat mengumumkan satu panel khas akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata panel khas itu akan diketuai oleh Timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Beliau berkata siasatan tersebut akan meliputi semua aspek dan dijalankan secara telus tanpa sebarang fakta disembunyikan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

“Saya bukan sahaja sedih dan kesal malah terkejut dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi kejadian ini membabitkan pelajar yang baru berusia 15 tahun justeru saya jamin siasatan dilakukan secara telus.

“Kita akan siasat semua aspek termasuk kewajaran tindakan polis melepaskan tembakan ketika itu,” katanya di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis (MPV) di kawasan Seksyen 11 Shah Alam.

Aminulrasyid Amzah, 15, dilaporkan terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila dia disyaki cuba mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya.

Menurut polis sebilah parang ditemui dalam kereta itu.

Keluarga itu turut dilawati Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang memberi jaminan beliau akan membangkitkan isu kematian remaja itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini bagi meminta supaya polis menjalankan siasatan kes itu secara adil.

Beliau berkata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar sendiri telah memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara terperinci dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat.

Noh berkata Umno negeri sedia membantu termasuk dalam memberikan khidmat guaman terbaik kepada keluarga itu jika diperlukan.

Ahli Parlimen Selayang dari PKR, William Leong pula berkata insiden itu menimbulkan persoalan sama ada polis telah bertindak dengan cukup munasabah dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas mereka.

Kata beliau, persoalan itu timbul apabila ada insiden membabitkan wanita dan golongan remaja menjadi sasaran tembakan polis atas nama mahu mempertahankan diri mereka daripada penjenayah.

“Oleh itu perlu ada kajian semula segera berhubung peraturan dan prosedur berhubung penggunaan senjata oleh polis,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Ibu remaja tersebut, Norsiah Mohamad, 60, ditemani oleh peguam-peguam Pakatan Rakyat untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam petang semalam, menggesa agar satu siasatan bebas dilakukan oleh Bukit Aman.

Gesaan itu disokong oleh Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam, Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Penerangan PKR Latifah Koya.

Dalam laporannya, Norsiah melahirkan kekecewaan kerana anaknya dilabel sebagai penjenayah.

Peguam N. Surendran dan Latifah dilantik oleh keluarga mangsa.

Bagimanapun Norsiah dibawa keluar oleh seorang yang mendakwa sebagai ahli keluarganya sebaik sahaja laporan polis dibuat.

Surendran memberitahu The Malaysian Insider bahawa keluarga berkenaan berhadapan dengan tekanan agar menggunakan peguam-peguam Umno.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Thamrin Ghafar: Sudah Tiba Masanya Saya Menyokong Pakatan Rakyat

SUARA KEADILAN – SHAH ALAM 27 Apr – Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Thamrin Ghafar menyifatkan sudah tiba masa bagi beliau menyokong Pakatan Rakyat setelah melihat penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa yang dilakukan oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun mentadbir negara.Bercakap kepada Suara Keadilan baru-baru ini anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba itu berkata beliau sendiri tidak bersetuju dengan banyak dasar yang dilaksanakan kerajaan Umno-BN yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Saya dah mula sedar bahawa banyak isu yang saya sendiri tidak boleh terima tentang dasar Umno dan Barisan Nasional. Saya rasa sudah sampai masanya saya terpaksa mengubah sikap,” kata Thamrin yang juga adalah bekas Pengerusi MARA.

Kehadiran beliau pada dua majlis utama semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor telah mengejutkan penyokong Pakatan Rakyat.

Thamrin pertama kalinya hadir pada majlis Pidato Perdana anjuran Pemuda Pakatan Rakyat di Sg Buaya 24 April lalu dan juga ceramah ‘grand finale’ di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Hulu Selangor: Keputusan Kalah Tidak Mengejutkan

HARAKAH – Petugas Pakatan Rakyat di Hulu Selangor yakin PR akan menang dalam PRK kali ini, namun keputusan adalah sebaliknya. Walau bagaimanapun keputusan tersebut tidak memeranjatkan dan tidak juga mengecewakan.

BN tidak pula menang besar sebagaimana yang dijangkakan. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri begitu sombong dan angkuh kononnya BN pasti akan menang dengan majoriti 6000 undi.

Keputusan yang diumumkan ialah calon BN P Kamalanathan mendapat 24,997 undi, manakala calon PKR Datuk Zaid Ibrahim memperolehi 23,272 undi. Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi. Majoriti 1,725 undi yang diperolehi oleh BN dilihat jauh lebih rendah dari angka yang menjadi sasaran UMNO BN.

Majoriti yang dicapai tidak berbaloi dengan puluhan juta yang dihamburkan kepada rakyat bagi merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor, belum dikira dengan janji-janji BN yang ditaburkan ketika berkempan. Media arus perdana setiap minit menyebelahi BN, tidak ada sedikit berita yang positif mengenai PR.

Kempen-kempen mereka berjaya meracuni pemikiran orang kampung terutamanya di kawasan felda dan perkampungan tradisonal yang tidak mendapat maklumat dari sumber yang sebenar. Berbeza dengan pengundi dalam bandar dan juga pengundi Cina yang lebih terbuka sikap mereka. Media berbahasa Cina lebih terbuka dan banyak melaporkan cerita yang sebenar mengenai PR.

Tidak ada yang terperanjat sebenarnya dengan keputusan ini kerana propaganda dan fitnah jahat yang dimainkan oleh UMNO BN dengan menyerang peribadi calon. Banyak bahan-bahan terbitan yang diterbitkan oleh UMNO mengandungi fitnah jahat yang paling tidak bermoral dan beretika.

Tidak kurang juga ada yang diugut dengan berbagai ugutan, dan ada yang dirasuah dengan benda untuk memancing undi.

Kesimpulan ringkas UMNO BN tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan majoriti yang terkeluar dari KPI mereka. Muhyididn meletakan harapan yang tinggi untuk menang dengan majoriti lebih besar berdasarkan pencapaian baik adun-adun BN dalam memenangi peti undi di peringkat DUN masing-masing pada PRU 2008. Ternyata ketiga-tiga Adun BN tidak membantu menambahkan majoriti yang selesa.

Walau bagaimanapun post mortem mesti dibuat bagi memuhasabah faktor-faktor kekalahan dalam tempoh terdekat. Saya mencadangkan jawatankuasa post mortem mesti dibentuk atas nama Pakatan Rakyat. Biarlah PAS dan DAP yang ramai menganggotai Jawatankuasa post mortem PRK Hulu Selangor, seorang dua PKR boleh juga dilantik tetapi biarlah yang agak berkecuali. Post mortem mestilah telus, ia mesti sampai ke akar umbi. Semua faktor hendaklah dilihat, bermula dengan faktor Jentera Pilihanraya, faktor calon, faktor kewangan, faktor media dan sebagainya.

Berdasarkan post mortem ini, jadikanlah ia sebagai panduan dalam merangka strategi bagi menawan semula Hulu Selangor pada PRU akan datang, ia juga boleh menjadi panduan untuk keseluruhan negeri Selangor. Komposisi kaum di Hulu Selangor adalah gambaran komposisi kaum di seluruh negeri Selangor.

Kepada para petugas PR terutamanya petugas PAS, jangan sedikitpun rasa kecewa dan sedih di atas kekalahan ini. Jadikan ia sebagai satu tekad untuk kemenangan akan datang. Kemenangan UMNO BN kali ini bukan bermakna ia akan menang selama-lamanya. Saya percaya dengan kemenangan ini, mereka akan bertambah angkuh, bongkak, takabbur dan sombong, mereka akan memandang rendah keupayaan dan kekuatan kita. Kita juga percaya kemenangan yang mereka capai akhirnya akan membawa kekalahan dan kehancuran yang lebih besar suatu ketika ini.

Para pimpinan PR hendaklah sentiasa memuhasabah dengan kekalahan ini. Tudinglah jari ke arah diri masing-masing sebelum kita menuding ke arah orang lain. Mengakui kesilapan dan kelemahan sebenarnya adalah lebih baik dari menyalahkan pihak lain, ia tidak menjadikan kita hilang kredibiliti dengan mengakui kesilapan dalam percaturan ini. Malahan ia akan menjadikan titik tolak bagi kita memperbaiki segala kelemahan dan membina kekuatan baru.

Para petugas pilihanraya sudah tentu akan balek ke negeri dan kampung masing-masing mulai malam ini. Namun rakyat dan pengundi di Hulu Selangor tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja. PRK merupakan permulaan yang baik bagi gerak kerja untuk pilihanraya akan datang. Menjadi tugas dan tanggungjawab jentera parti di peringkat DUN masing-masing terus mengisi dengan program-program yang berterusan. Kerajaan PR Selangor tidak boleh berlengah dalam melaksanakan agenda pembangunan, buktikan sekalipun Hulu Selangor PR tidak mempunyai Adun dan Ahli Parlimen, pembangunan material dan program kebajikan untuk rakyat tetap diutamakan.


Ustaz Misbahul Munir Masduki,
Setiausaha Politik YAB Datuk Seri Nizar.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Rakyat Hulu Selangor Digesa Sekat Kemasukan Pengundi Hantu

SUARA-KEADILAN – KUALA KUBU BAHARU 24 April – Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyeru agar rakyat Hulu Selangor berjaga dan menyekat kemasukkan pengundi hantu untuk memenangkan calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil esok.

“Saya dapat maklumat bahawa ada 35 buah bas yang digunakan untuk membawa pengundi hanti bagi membantu Barisan Nasional memenangi pilihan raya kecil kali ini.

“Bas tersebut akan masuk melalui tol Tanjung Malim dan akan dibawa ke tempat-tempat yang telah mereka tetapkan. Apa yang kita mahu penduduk Hulu Selangor yang ada pada malam ini jangan balik kita sekat kemasukan mereka dari segenap sudut bagi menyekat pencerobohan mereka,” kata Shamsul pada ceramah perdana di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu di sini.

Beliau berbangga dengan kedatangan penyokong Pakatan Rakyat pada malam ini dan menyifatkan ia sebagai tanda kemenangan Pakatan Rakyat.

“Kalau macam ini sokongan rakyat kepada Pakatan yang saya rasa kehadiran seramai 30,000 orang, saya rasa ini isyarat kemenangan kita esok dengan majoriti yang besar.

“Sokongan padu ini jelas rakyat sudah sedar dengan apa yang telah Barisan Nasional lakukan sebelum ini yang jelas telah menyebabkan rakyat tertindas.

“Ingat esok adalah hari yang amat penting kepada kita semua terutamanya penduduk Hulu Selangor selain isyarat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa rakyat tidak lagi mendapat sokongan rakyat walaupun beliau merasa dia adalah Perdana Menteri yang popular,” kata Shamsul lagi.

Shamsul menyatakan kita mahukan pemimpin yang ikhlas dan berperinsip dalam membawa perjuangan untuk rakyat bukan seperti calon BN yang secara terang telah berbohong mengenai kelayakan pendidikan yang beliau miliki.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Azmin Cabar Najib Hadir Debat

ERA PAKATAN – KUALA LUMPUR : Naib Presiden PKR Azmin Ali mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini, sekali gus mengesahkan ura-ura program tersebut yang diiklankan melalui kain rentang di pelbagai tempat. “Malam esok (24 April) debat Datuk Seri Anwar dan Najib, permit polis sudah dapat. Kalau tidak berani bagi Rosmah (Mansor ganti),” cabar Azmin dalam ceramah perdana Pakatan Rakyat (PR) di Sungai Buaya malam semalam. Katanya, Najib dipersilakan hadir dengan membawa penyokongnya di stadium mini Kuala Kubu Bharu bagi berhujah tetang kewajaran kerajaan melantik Apco Worldwide sebagai firma perunding kepada kerajaan Malaysia. Semalam, dilaporkan beberapa kain rentang dipasang mendakwa Najib akan menyertai debat perdana dengan Anwar di Kuala Kubu Baru pada jam 9 malam ini. Hebahan media mengenai program kempen calon PKR Datuk Zaid Ibrahim pula menunjukkan Anwar, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Zaid akan juga hadir pada ceramah di situ. Bagaimanapun, seorang pegawai pejabat perdana menteri dilaporkan menafikan Najib akan menyertai majlis debat itu. Sementara itu, Setiausaha Agung PKR ketika ditemui pada ceramah yang sama di Sungai Buaya berkata, walaupun tiada sebarang surat rasmi dihantar bagi menyatakan cabaran itu, ia sudah cukup untuk ‘berkomunikasi’ dengan Najib. “Saya percaya Najib pun tidak masuk pejabat sekarang,” katanya ketika ditanya tentang cabaran yang hanya dibuat melalui pentas ceramah dan kain rentang sahaja.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Antara Facebook, APCO, BN dan PR?

Klik gambar untuk ke blog RAKYAT MARHEAN!

Semenjak 2 tahun kebelakangan ini kerajaan Barisan Nasional di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, terpalit dengan pelbagai skandal yang merosakkan imej negara. Antaranya isu kematian Altantuya, isu kapal selam scorpene, isu enjin jet hilang. Dan yang terbaru pula isu yang melibatkan keselamatan negara, iaitu kontrak kepada APCO Worldwide di mana lembaga pengarahnya adalah berbangsa Yahudi. Dan kerajaan telah membayar sebanyak RM80 juta.

Kita dapati ada dua perkhidmatan dibayar untuk perkhidmatan APCO. Satu ialah public affair dan public government affair services. Dan satu lagi ialah strategic communication and public relation and press outreach,” kata Tian Chua.

Sumber: Shamsul Iskandar Mohd Akin

Bab 1 – Isu APCO:

Mungkin ada yang berpendapat kerjasama dengan Yahudi adalah suatu perkara kecil dengan alasan bahawa:

1. Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempunyai hubungan diplomatik dengan beberapa pemimpin-pemimpin politik barat seperti Paul Wolfowitz.

2. Kita tidak dapat elak dari produk/perkhidmatan internet ciptaan Yahudi seperti, Facebook, Microsoft, Apple dan lain-lain lagi.

Hujah Kami (PR):

1. Sungguh pun begitu, pernah suatu ketika, Anwar menggunakan kapasitinya sebagai pemimpin ISLAM BERPENGARUH dan hubungan baiknya dengan Paul Wolfowitz, meminta supaya kerajaan AS membersihkan nama ulamak tersohor dunia Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi daripada dilabelkan sebagai pengganas! Oleh itu kita dapat melihat, adakah pemimpin ISLAM selain Anwar pernah berbuat perkara sedemikian demi memelihara imej ISLAM yang suci daripada dilabelkan sebagai agama yang ganas?

2. Memang benar dalam keadaan sekarang sukar untuk kita mengelak daripada menggunakan produk-produk Yahudi. Dan kita boleh menggunakan produk-produk mereka selagi mana ia tiada kaitan dengan Zionis, serta keadaan di mana sesuatu jenis produk itu tiada kewujudan dicipta oleh orang selain Yahudi. Tidak dapat semua, jangan tinggalkan semua!

Seandainya ia tidak melibatkan Yahudi yang tiada kaitan dengan Zionis mungkin kami boleh bertolak ansur. Hatta Nabi Muhammad S.A.W. juga diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu :

‏أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ

Ertinya : “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW” ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)

Sumber: Khairul Adli Abdullah

3. Tidak bolehkah kerajaan melantik syarikat-syarikat tempatan, apa kurangnya dengan syarikat tempatan? Adakah kerajaan Umno-Bn memandang rendah dengan keupayaan dan kepakaran IT oleh anak-anak tempatan? Apa hebat sangat dengan Yahudi Zionis yang mereka sanjung itu?

Seterusnya adalah di antara hujah konkrit mengapa kami (PR) membantah pelantikan APCO Worlwide oleh kerajaan Umno-BN kerana:

1. Pada masa yang sama, APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau kita lihat senarai Panel Penasihat Antarabangsanya, ahli penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel.

2. Oleh itu, adalah penting untuk Dewan dan rakyat memahami bahawa reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi. Apa fungsi firma pelobi di Washington?

3. Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

4. Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini; yang secara tidak langsung kini Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah mendapat penghormatan kerana tergolong dengan pemimpin-pemimpin sebegini.

5. Pertama – mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama di dalam perjanjian ini adalah mengenai perkara-perkara rahsia; dengan izin “Confidentiality” atau “non-disclosure”.

6. Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

7. Sebab itu, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia. Biar saya ingatkan rakyat Malaysia tidak mudah untuk diputarbelitkan.

8. Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO.

9. Jadi kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

10. Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International. Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

Sumber: Shamsul Iskandar Mohd Akin

Risiko Kepada negara:

1. Sebab itu kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan keselamatan dan reputasi negara serta maruah umat.

2. Kita jelas mengapa kita bangkitkan isu ini. Ianya kerana kita mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran Dato’ Sri Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil sebuah firma yang tercemar dengan rekod berkhidmat untuk para diktator dan petindas. Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan serta persoalan.

3. Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh, pastinya ia berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan dan banyak kementerian lainnya. Maknanya APCO mempunyai akses/terdedah kepada jaringan strategik serta penting dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO, lalu mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikan rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya menggesa kerajaan agar segara membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini.

*Ini bukan sebahagian dari ucapan. Sekadar penilaian dan perbandingan pihak tuan berhubung persamaan di antara 1Malaysia dan 1Israel:

(a). 1Israel adalah parti gabungan yang dipimpin oleh Ehud Barak yang menang pilihanraya Israel pada tahun 1999. Ia pada asalnya mengumpulkan Parti Buruh, Gesher dan Meimad dan kemudiannya bergabung dengan parti-parti agama Yahudi dan sayap kanan seperti Shas, Meretz dan beberapa parti lain.

(b). 1Israel menandakan beralihnya dasar Parti Buruh menjadi lebih keras dan bersayap kanan; dengan kemasukan parti-parti lain di dalam gabungan. Ia merupakan gabungan pilihanraya yang mengumpulkan parti-parti perkauman bersayap kanan yang berbeza ideologi dan kepentingannya.

(c). Sebab itu pendekatan yang diambil oleh Ehud Barak adalah dengan menumpukan kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh 1Israel kepada rakyat untuk mengalih perhatian pengundi daripada perbezaan ideologi parti-parti di dalam 1Israel.

(d). Platform 1Israel menjanjikan perkhidmatan-perkhidmatan yang lebih baik terutamanya di dalam pendidikan dan kesihatan yang terpampang di papan tanda besar.

(e). Mesej-mesej yang konsisten di papan tanda besar ini adalah tumpuan 1Israel untuk mendahulukan rakyat; dengan mendahulukan perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan sebelum meluaskan kawasan penempatan Israel.

(f). Jadi mesej 1Israel adalah “rakyat didahulukan”, mesej 1Malaysia adalah “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.

(g). Satu lagi inisiatif utama kerajaan 1Israel adalah dengan merombak sistem kesihatan. Di bawah 1Israel, fungsi Kementerian Kesihatan diubah dengan menjadi perancang dan mengurangkan penekanan kepada rawatan wad dan hospital – sebaliknya rakyat digalakkan mendapatkan rawatan pencegahan sebelum ke hospital; sama ada di klinik atau dengan ubat-ubatan yang diberikan.

(h). Maka 1Israel penekanannya adalah klinik, di Malaysia kita ada Klinik 1Malaysia.

(i). Selain itu di bawah 1Israel pelbagai tabung, yayasan dan kempen dilancarkan secara bertubi-tubi; semuanya di bawah payung 1Israel. Begitulah juga di Malaysia tiap-tiap hari kita disuap dengan pelancaran, yayasan (contohnya Yayasan 1Malaysia), tabung, kampung dan pelbagai lagi – semuanya konsep 1Malaysia.

Sumber: Shamsul Iskandar Mohd Akin

Bab 2 – Isu Fitnah Zaid & Isu Keluar PKR:

Di sebalik isu APCO tersebut, Umno-BN cuba menutup isu tersebut dengan merujuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan, seterusnya mereka memperbesar-besarkan isu-isu remeh temeh yang berlaku dalam PKR.

1. Pada mulanya ramai yang mempersoalkan mengapa Dr. Hariri Rahmat, orang tempatan tidak dicalonkan PRK P094 Hulu Selangor? Tetapi pimpinan PKR tidak mencalonkan beliau adalah kerana, dari awal-awal lagi pimpinan sudah dapat menghidu perancangan beliau untuk melompat parti apabila di minta oleh Datuk Salehuddin agar BN menang tanpa bertanding.

2. Lantaran dari segelintir Ahli-Ahli Parlimen, ahli-ahli PKR keluar parti. Seterusnya baru-baru ini pula Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelantan meletak jawatan dan keluar parti. Justeru itu ia adalah tidak mustahil bahawa ini semua adalah komplot terancang yang didalangi oleh Datuk Salehuddin Hashim, mantan Setiausaha Agong PKR. Ini dapat dilihat apabila, setiap kali sidang media keluar parti diadakan pasti Salehuddin kelihatan di situ.

3. Akhirnya apabila kempen Umno-BN di P094 Hulu Selangor, mereka membangkitkan isu kononnya Datuk Seri Zaid Ibrahim seorang kaki botol. Pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadap Zaid. Mereka membuat gambar super-imposed dan menyebarkannya ke serata blog pro BN. Namun tidak sampai 2 jam, kerja-kerja fitnah mereka telah dapat di kesan oleh Angkatan Muda Keadilan Melaka.

Manakala Gambar ke 3 (Bawah) telah di superimposed oleh blogger BN dengan menambah botol Alkohol pada gambar tersebut. Gambar ini telah disiarkan di beberapa blog pro BN.

Sumber: AMK Melaka

Jelaslah Umno-BN masih belum berubah, mereka masih menggunakan taktik politik kotor, dan mereka ketandusan idea untuk melakukan perjuangan palsu mereka!

Kami (PR) ingin menyeru kepada semua pengundi-pengundi di P094 Hulu Selangor, supaya bijak menilai yang mana permata dan mana satu kaca. Ia adalah demi kebaikan, keadilan dan kebenaran subur di Hulu Selangor. Kami percaya pengundi-pengundi di Hulu Selangor bijak dan tidak mudah menerima fitnah murahan seperti itu!

Khairul Adli Abdullah

Pembantu IT Shamsul Iskandar Mohd Akin

Webmaster AMK Jasin

Sumber: Khairul Adli Abdullah

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Siasatan Kes Rasuah Scorpene Bermula Di Perancis, Masa Depan Najib Terancam

Masa depan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam semakin gelap dan diibaratkan bagai telur dihujung tanduk berikutan tindakan berani tiga peguam kanan Perancis yang memfailkan permohonan di mahkamah Paris menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pembayaran komisyen dalam pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.

Menurut laporan Asia Sentinel yang bertajuk “Murky Arms Deal Linked To International Pattern of  Kickbacks” oleh wartawan John Berthelsen bertarikh 16 April 2010, skandal berbilion dolar ini yang didakwa didalangi oleh Najib kini tidak lagi dapat dibendung dalam Malaysia dan kini telah melimpah ke arena antarabangsa.

Asia Sentinel berkata tindakan peguam, William Bourdon, Renaud Semerdjian dan Joseph Breham dengan kerjasama pertubuhan hak asasi Malaysia, Suaram, memfailkan kes tersebut dengan pihak pendakwa Perancis telah memusnahkan perancangan kerajaan Malaysia melalui badan kehakiman dan institusi Parlimen selama lapan tahun untuk menyekat kes ini daripada diadili pada peringkat antarabangsa.

Barisan hakim di Pejabat Pendakwaraya Paris telah menjalankan penyiasatan terhadap pegawai tinggi di Perancis, Pakistan dan negara lain berkaitan urusan pembelian kapal selam yang sama yang didakwa ada kaitan dengan unsur rasuah dan pembayaran komisyen.

Elemen pembabitan Malaysia dalam penyiasatan panjang ini disahkan dalam kertas siasatan bertarikh 4 Disember 2009 dan 23 Februari 2010.

Laporan itu menambah penyiasatan teliti tersebut dilakukan sejak dua tahun lalu oleh hakim penyiasat, Francoise Besset dan Jean-Christophe Hullin yang merangkumi ahli politik kanan Perancis serta penjualan kapal selam dan peralatan ketenteraan lain kepada kerajaan di seluruh dunia.

Media Perancis dikatakan tidak sanggup melaporkan sesetengah daripada tuduhan paling serius disebabkan kebimbangan implikasi politik.

Asia Sentinel menjelaskan dakwaan yang dibuat mempunyai kaitan dengan salah satu konglomerat pertahanan Perancis iaitu DCN yang dimiliki oleh kerajaan. Syarikat tersebut bergabung dengan firma elektronik Perancis, Thales pada 2005 menjadikannya antara kuasa dominan dalam industri pertahanan Eropah.

Anak syarikat DCN, Armaris terlibat dalam pembinaan kapal selam disel daripada kelas Scorpene yang dijual kepada India, Pakistan dan juga Malaysia. Kesemua kontrak jualbeli, menurut peguam yang bertindak bagi pihak Suaram, disyaki mempunyai unsur rasuah

Tambah laporan itu lagi sejak Najib berpindah portfolio daripada menerajui Kementerian Pertahanan ketika mana urusan jualbeli itu dikendalikan pada 2002 sehingga beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, skandal tersebut dilihat ancaman terbesar kepada kerajaan dan juga parti.

Kekuasaan Umno dilihat sebagai penghalang kepada skandal itu mendapat apa-apa pelunag untuk diutarakan dalam mahkamah Malaysia dan ini menjadi sebab utama mengapa Suaram terpaksa mendapatkan pertolongan daripada pendakwa Perancis.

“Kertas siasatan baru sahaja dikemukakan dan setakat ini telah menggerakkan siasatan awal polis terhadap aspek kewangan urusniaga tersebut,” kata satu sumber Paris yang intim dengan pihak pertahanan Perancis.

“Belum ada siasatan rasmi lagi dan siasatan akan melihat kepada dokumen yang dirampas di DCN yang dilakukan ketika satu lagi penyiasatan dijalankan terhadap rasuah yang dibayar oleh DCN di Pakistan.

Sumber juga menyatakan pihak polis kini hanya menumpukan perhatian kepada dakwaan rasuah dan belum lagi melihat kepada kes pembunuhan wanita Mongolia pada 2006 yang bekerja sebagai penterjemah bagi pihak Najib dan sahabat beliau, Abdul Razak Baginda semasa berada di Paris berhubung urusan perniagaan kapal selam.

Asia Sentinel mendedahkan terdapat banyak kes pembunuhan yang berkaitan urusan penjualan pertahanan DCN di Taiwan dan Pakistan. Pendakwaraya mensyakki kematian 11 jurutera kapal selam Perancis dalam kejadian letupan bom pada 2002 di Karachi, yang pada mula dianggap perbuatan Al-Qaeda, sebenarnya adalah pembunuhan balas dendam akibat keenganan pihak Perancis untuk memberi rasuah bernilai jutaan dolar kepada pegawai tentera Pakistan.

Pembabitan Malaysia berkisar dakwaan pembayaran komisyen berjumlah €114 juta (RM540 juta) kepada sebuah syarikat tempatan, Perimekar bagi perkhidmatan sokongan berkaitan pembelian kapal selam. Perimekar dimiliki oleh KS Ombak Laut Sdn Bhd yang dipunyai oleh sahabat baik Najib, Abdul Razak Baginda. Isteri Abdul Razak, Maslinda ialah seorang peguam dan bekas majistret serta pemegang saham syarikat tersenut menurut peguam Perancis.

“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakang ini, hakim di Perancis telah menyiasat beberapa kes yang melibatkan DCN,” kata peguam Renaud Semerdjian kepada Asia Sentinel dalam temuramah melalui talipon.

“Ini bukanlah kes seumpama yang pertama disiasat. Terdapat banyak lagi ks yang serupa di Pakistan dan juga India. Apabila dilihat secara dekat setiap kali berlaku penjualan senjata maka kemungkinan pelanggaran undang-undang adalah amat tinggi.”.

Sebagai Menteri Pertahanan dari tahun 2000 hingga 2008, Najib telah bertanggungjawab terhadap perancangan menaiktaraf pertahanan angkatan tentera Malaysia secara besar-besaran. Ini termasuk pembelian dua kapal selam daripada Armaris dan pajakan sebuah lagi kapal kelas Agosta yang pernah digunakan oleh tentera laut Perancis.

Jet pejuang Sukhoi juga dibeli Rusia dalam tempoh Najib menerajui Kementerian Pertahanan termasuk juga jutaan ringgit dicurahkan kepada kapal peronda perairan. Kesemua pembelian ini telah menimbulkan kecurigaan oleh pihak pembangkang dalam Parlimen Malaysia tetapi sebarang usaha penyiasatan berjaya dikekang oleh Umno. Malah apabila soalan diaju kepada Najib, beliau menjadi marah dan enggan menjawab.

Walaupun usaha hebat dilakukan oleh Umno untuk menutup kes rasuah berhubung pembelian peralatan tentera oleh Najib, isu pembunuhan penterjemah Mongolia berusia 28 tahun, Altantuya Shaariibuu yang juga kekasih yang ditinggalkan Abdul Razak akhirnya mendedahkan segala penyelewengan yang berlaku kepada perhatian dunia. Altantuya yang berperanan dalam perbincangan jualbeli kapal selam mendedahkan dalam suratnya yang dijumpai selepas kematian beliau bahawa dia cuba mengugut Abdul Razak untuk mendapatkan US$500,000.

Bagaimanapun Altantuya ditembak mati pada Oktober 2006 dan mayatnya diletupkan oleh dua pengawal peribadi Najib dengan menggunakan bahan letupan setelah Abdul Razak mengadu kepada ketua pengawal peribadi Najib, Musa Safri supaya menghalang Altantuya daripada menganggu beliau. Tidak lama setelah dibebaskan pada November 2008 dalam keadaan keputusan hakim yang meragukan, Abdul Razak meninggalkan Malaysia dan menetap di England. Kedua pengawal peribadi Najib tersebut dihukum tetapi tidak ada motif dibuktikan mengapa mereka melakukan pembunuhan itu.

Walaupun terdapat pengakuan daripada salah seorang yang tertuduh bahawa mereka akan dibayar lumayan sekiranya melupuskan wanita itu namun pihak mahkamah tidak membenarkan penyiarannya.

Urusan pembelian kapal selam itu tidak pernah dibangkitkan sepanjang perbicaraan mahkamah selama sebulan yang memperlihatkan bagaimana pendakwa, peguambela dan juga hakim berganding bahu bagi memastikan nama Najib tidak sesekali dikaitkan dalam mahkamah. Malah seorang penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak untuk melindungi daripada Altantuya membuat pengakuan bersumpah yang menunjukkan bahawa Najib sebenarnya kekasih wanita Mongolia itu dan kemudiannya diserahkan kepada Abdul Razak.

Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam mendedahkan bagaimana beliau dinyahkan dari Kuala Lumpur. Akhirnya beliau keluar daripada tempat persembunyian di India untuk menceritakan bahawa seorang ahli perniagaan yang rapat dengan isteri Najib telah menawarkan RM5 juta untuk menutup mulut dan meninggalkan negara. Bala juga mengatakan beliau menemui adik Najib, Nazim yang meminta beliau menarik balik akuan bersumpah yang dibuat.

Dalam penyiasatan yang sedang dijalankan di Paris sekarang, isunya berkisar apakah syarikat Perimekar kepunyaan Abdul Razak berhak kepada komisyen sebanyak RM540 juta tersebut.

Datuk Zainal Abidin Zin, Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu memberitahu Parlimen, Perimekar menerima amaun tersebut iaitu 11 peratus daripada harga jualan kapal selam untuk “koordinasi dan khidmat sokongan”. Kertas siasatan di Paris menunjukkan tidak ada sebarang jenis perkhidmatan sedemikian diberikan.

Menurut kertas siasatan, Perimekar didaftar pada 2001, beberapa bulan sebelum kontrak jualbeli ditandatangan. Syarikat tersebut menurut kertas siasatan itu lagi,” tidak mempunyai daya kewangan yang kukuh untuk melaksanakan kontrak tersebut.” Semakan akaun pada 2001 dan 2002 kata kertas siasatan itu lagi,”menunjukkan dengan jelas bahawa syarikat ini tidak langsung ada sebarang kemampuan atau kemampuan perundangan atau kemampuan kewangan dan/atau kepakaran untuk menyokong kontrak sedemikian rupa.”

“Tidak seorang daripada pengarah atau pemegang saham Perimekar mempunyai pengalaman walau sedikit dalam pembinaan, penyelenggaraan atau logistik kapal selam,” tegas kertas siasatan itu. “Di bawah terma kontrak €114 juta (RM540 juta) adalah berhubung beberapa peringkat pembinaan kapal selam.” Pertimbangan pembayaran kepada Perimekar “adalah secara bulanan dan kos tanggungan penginapan anak kapal Malaysia sepanjang tempoh latihan mereka. Maka dengan itu tidak ada sebarang kaitan antara langkah-langkah pembilan dan peringkat pembinaan kapal selam seperti yang dinyatakan.”

Pada 1 April 2010 Asia Sentinel melaporkan perkhidmatan penyelenggaraan kapal selam dilakukan oleh sebuah syarikat  bernama Boustead DCNS iaitu syarikat kerjasama antara BHIC Defence Technologies Sdn Bhd, anak syarikat Boustead Heavy Industries Corp Bhd yang senaraikan di Bursa Malaysia, dan DCNS SA, anak syarikat DCN. Bahagian Industri Berat Boustead kini memasukkan Perimekar sebagai “sekutu kumpulan. PSB terlibat dalam pemasaran, menaiktaraf, penyelenggaraan dan khidmat berkaitan bagi industri pertahanan maritim Malaysia,” menurut laporan tahunan Boustead.

Pada asalnya Boustead memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa kontrak perkhidmatan adalah berjumlah RM600 juta untuk tempoh enam tahun atau RM100 setiap tahun tetapi kontrak itu kemudiannya melambung kepada  RM270 juta setahun. Boustead Holdings dimiliki sebahagiannya oleh Kerajaan Malaysia dan berkait rapat dengan Umno.

“Terdapat asas kukuh untuk mempercayai bahawa (Perimekar) diwujudkan hanya untuk satu tujuansahaja: mengurus pembayaran komisyen dan mengagihkan amaun kepada penerima berlainan termasuk penjawat awam dan/atau orang tengah Malaysia atau asing,” dedah kertas siasatan itu lagi.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Apco Nasihati Perang Siber Terhadap Pakatan Rakyat?

Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR 15 Apr – Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mempersoalkan jumlah bayaran RM77 juta yang dibayar kepada syarikat perunding antarabangsa Apco Worldwide sambil menyifatkan langkah tersebut mendedahkan kerajaan Malaysia, rakyat dan negara kepada penyusupan anasir Zionis Israel.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mempersoalkan asas yang digunapakai kerajaan untuk membuat jumlah bayaran yang sebegitu besar kepada syarikat yang dikatakan menyediakan dua jenis perkhidmatan kepada kerajaan.

“Saya dapat penjelasan dari menteri bahawa Apco telah dibayar dalam dua jenis perkhidmatan, satu ‘public affairs and government services’ dan kedua perkhidmatan komunikasi strategik dan ‘public relations and press outreach’. Kedua-dua perkhidmatan ini kalau campur berjumlah RM77 juta,” kata beliau pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010.

Menurut Tian, menteri berkaitan juga sebelum ini menafikan bahawa Apco bukan dibayar untuk membentuk imej 1Malaysia tetapi menyatakan kepakaran  syarikat itu digunakan untuk memperbaiki hubungan Amerika Syarikat dan Malaysia.

“Saya tidak faham apa yang telah rosak sehingga kita kita perlu belanja sampai RM77 juta untuk perbaiki hubungan kita dengan Amerika,” soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyatakan butiran perbelanjaan mengenai perkhidmatan Apco begitu istimewa dan mempersoal perkhidmatan firma tersebut yang turut menyediakan khidmat perundingan media.

“Adalah sesuatu yang bukan rahsia ‘cyber trooper’ dikhaskan pihak kerajaan bagi perang siber samada dari facebook, blog, twitter dan platform lain di internet. Kita dapat tahu ada orang yang diberi beberapa ribu ringgit sebulan, untuk menjadi cyber trooper sahaja.

“Ini bukan perkara yang strategik melibatkan sekuriti negara, tetapi sekuriti Barisan Nasional. Kita mahu penjelasan memuaskan apa kedudukan ini, mengenai perang siber yang diwujudkan kerajaan BN.

“Ini bukan musuh, kalau kita mahu mereka yang mengancam sistem risikan kita, atau jaringan keselamatan dengan tujuan mensabotaj negara. Ini tidak patut jadi agenda kerajaan BN. Kita tak mahu perkara ini disembunyikan. Kami mahukan harap butiran berapakah jumlah yang, dibelanja setiap tahun, dibawah JPM,” tegas Kit Siang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab soalan itu mengakui perkhidmatan Apco di Malaysia bertujuan untuk memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat.

“Kita tahu di Amerika ini ada budaya lobi. Sudah tentulah bila kita nak lobi, kalau kita nak jadi kerajaan yang ‘nationalistic’ jadi kita kena ambil firma tempatan di sana yang juga banyak menjalankan kerja di negara lain,” Nazri memberi alasan.

Sementara itu menjawab soalan dari Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar samada hubungan dengan Amerika  perlu diperbaiki kerana kegagalan Perdana Menteri sebelum ini yang tidak menjaga hubungan baik itu, Nazri menjawab, setiap Perdana Menteri mempunyai keutamaanya sendiri.

Beliau berkata, semasa era Tun Mahathir keutamaan diberikan untuk menaikkan imej Malaysia di kalangan dunia ketiga dalam NAM dan OIC.

Nazri juga mengakui hubungan Malaysia selama lebih 25 tahun dengan Amerika Syarikat ‘tidak begitu selesa’ dengan memberikan alasan setiap perdana menteri mempunyai prioritinya sendiri terhadap hubungan dengan negara-negara luar, termasuk Amerika.

“Sebagai syarikat yang besar dan sudah tentu ahli lembaganya terdiri daripada orang yang mungkin mempunyai kepakaran itu dan dia menjadi ‘board of director’. Kepada kita itu tak menjadi perkara yang mencerobohkan rahsia negara kita.

“Sudah tentu perkara yang dibenarkan untuk mereka lakukan ialah perkara umum. Itu cuma spekulasi dan perkara yang dibangkitkan pihak yang berhormat,” katanya.

Perbahasan yang berlarutan hingga ke petang itu menyaksikan Nazri secara angkuh menafikan kepakaran syarikat Malaysia bagi mengambil alih peranan dan perkhidmatan yang dijalankan Apco Worldwide.

Mahfuz bingkas bangun dan bertanya apa perlu mengambil perkhidmatan Apco untuk urusan dalam negara sedangkan ia boleh ditawarkan kepada syarikat tempatan yang ada kepakaran.

“Kita nak satu syarikat yang punyai kepakaran dan pengalaman dan ia diterima Asean. Kalau buat kerja bagus, kalau syarikat di Malaysia bagus, Asean dah ambil dah,” jawab Nazri seperti mencemuh syarikat tempatan.

Mahfuz bagaimanapun tidak berpuashati terhadap penjelasan Nazri yang dianggap tidak menghormati dan mengiktiraf keupayaan syarikat-syarikat tempatan.

“Betul, tak ada masalah. Serupa juga saya nak kata pasukan bola sepak Malaysia teruk. Apa masalahnya, memang teruk. Apakah saya berani cakap, ada di Malaysia ni dia punya standard tak sama macam dunia. Bola sepaknya, perangai ahli yang berhormat pun, ada banyak,” cemuh Nazri lagi.

Sumber: Suara-Keadilan

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia