Pemuda Pakatan: Hentikan Perkhidmatan Apco

MALAYSIAKINI – Para pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat hari ini mendesak kerajaan berhenti menggunakan perkhidmatan syarikat perunding Apco Worldwide dan syarikat-syarikat lain yang ada kaitan dengan Israel selaras dengan pendirian negara mengutuk tindakan negara Zionis itu melancarkan serangan maut ke atas kapal bantuan kemanusian ke Gaza.

Delegasi yang terdiri daripada anggota Pemuda PAS dan PKR itu, menyerahkan nota bantahan tersebut kepada pegawai khas kepada Perdana Menteri, Razali Ibrahim di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini di bawah pengawasan ketat kira-kira 20 anggota polis dan pegawai keselamatan.

Delegasi tersebut diketua oleh Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan turut disertai setiausaha Dewan Pemuda PAS, Kamaruzzaman Mohd dan ketua Pemuda PKR Selangor Khairul Anwar.”Inilah masanya bagi perdana menteri mengambil langkah tegas untuk memprotes jenayah perang yang dilakukan oleh Israel,” kata Shamsul kepada wartawan selepas itu.

Kerajaan juga harus mengambil kesempatan ini untuk memutuskan semua bentuk hubungan dengan syarikat lain yang mempunyai kepentingan Israel, tambahnya.

Tidak ada demonstrasi diadakan pagi ini selain menaikkan sepanduk yang mendesak kerajaan mengusir Apco.

Para aktivis melaungkan slogan untuk beberapa ketika di kawasan letak kereta pejabat perdana menteri, sambil diperhatikan oleh kira-kira 20 anggota polis dan anggota keselamatan.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Batalkan perjanjian dengan APCO: Surat kepada PM Najib Razak

Kepada

Y.A.B Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

YAB Dato Sri,

CUKUP DENGAN KENYATAAN, ANAK MUDA BERTINDAK MEMBANTAH TINDAKAN PENGGANAS ZIONIS !

Dengan hormatnya kami merujuk perkara di atas untuk perhatian serius daripada YAB Dato Seri.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) sangat dukacita dengan kelesuan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri dalam memberi respon yang seiring dengan gelodak emosi dan sensitiviti rakyat Malaysia dan umat Islam seluruhnya ke atas apa yang berlaku di Gaza.

Serangan kejam dan penahanan biadap oleh askar komando Israel ke atas para aktivis kapal Turki Mavi Marmara yang mengetuai konvoi Freedom Flotilla yang dijadualkan tiba di Genting Gaza adalah suatu tindakan terdesak rejim tersebut bagi menyekat kemaraan dan bantuan dari negara luar, membuktikan sekali lagi keikhlasan Israel dalam perjanjian damai Palestin-Israel layak dipersoalkan.

YAB Dato’ Sri,

Keganasan bertentangan dengan hak kemanusiaan dan perundangan perairan antarabangsa ini tidak boleh dimaafkan, dan AMK mendesak kerajaan Malaysia agar segera menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB untuk mengadakan suatu sidang khas bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Jenayah Perang Antarabangsa bagi menghentikan kekejaman puak Zionis ini daripada terus liar menindas rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Dilaporkan 19 aktivis maut dan 66 yang cedera manakala 11 sukarelawan NGO termasuk 6 rakyat Malaysia adalah antara anak kapal yang ditahan. Kerajaan Malaysia sehingga kini tiada memaklumkan penyiasatan butiran lanjut tentang keadaan dan nasib mereka secara rasmi dengan pihak Israel. Situasi ini amat menyedihkan banyak pihak yang terkilan dengan kerajaan yang sekan tidak hirau dengan nasib rakyat Malaysia sendiri.

YAB Dato’ Sri,

Selaku Perdana Menteri kepada sebuah negara Islam, YAB Dato’ Sri perlulah menghormati kehendak dan sensitiviti rakyat dalam isu ini yang jelas melibatkan maruah Islam. Tindakan tentera Zionis ini nyata membuktikan bahawa rejim palsu ini sudah tidak lagi menghormati undang-undang perang Kesatuan Geneva dan PBB sebagai institusi tertinggi antarabangsa.

AMK mendesak agar kerajaan segera membatalkan segala urusan perdagangan ekonomi, diplomatik serta segala bantuan yang berkaitan dengan negara rejim Israel. Bersandarkan rekod perdagangan dan ekonomi negara, Malaysia mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis ini. Buktinya, kerajaan Malaysia mempunyai pemegangan saham sebanyak 31% di Pantai Holding Berhad iaitu sebuah anak syarikat kepada Parkways Holdings Limited, yang dimiliki pelobi besar Zionis Richard C.Blum.
Teruskan membaca “Batalkan perjanjian dengan APCO: Surat kepada PM Najib Razak”

12 Rakyat Malaysia Selamat, Kini Di Haifa

MALAYSIAKINI – Wisma Putra hari ini mengesahkan 12 rakyat Malaysia yang berada dalam kapal Mavi Marvara yang ditawan Israel semalam selamat tetapi kini ditahan di Haifa.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata usaha membawa pulang mereka itu sedang dilakukan dengan kerjasama beberapa negara seperti Turki, Jordan, Ireland dan Filipina.

Dua hari lalu, kapal Mavi Marmara – kapal utama flotila enam kapal yang ditugaskan menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserbu dan diserang oleh tentera rejim Israel.

Pada kejadian itu, sekurang-kurangnya 20 aktivis pro-Palestin dibunuh manakala puluhan yang lain cedera.

Rakyat Malaysia yang berada di kapal itu adalah sebahagian daripada 480 aktivis pro-Palestin yang ditawan komando Israel.

Mereka dalam misi yang dinamakan Lifeline4Gaza, yang mengambil bahagian dalam ‘Flotila Kebebasan’ bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Semenajung Gaza.

Adalah dipercayai Lifeline bukan badan kemanusian tunggal dari Malaysia yang terbabit, kerana ada beberapa kumpulan yang bergerak secara berasingan dengan kapal yang lain.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Serang Flotila: Kedutaan AS Di Malaysia ‘Diserbu’

MALAYSIAKINI – Seperti di negara lain, rakyat Malaysia turut berdemonstrasi membantah serangan berdarah komando Israel kepada flotila bantuan pro-Palestin dengan ‘menyerbu’ bangunan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur hari ini.

Pembangkang, NGO, pelajar mula kelihatan membanjiri bangunan itu sejak jam 10.30 pagi tadi secara berperingkat-peringkat bagi menyatakan perasaan marah mereka.

Dalam satu bantahan oleh kumpulan pembangkang tengah hari tadi, kira-kira 100 orang berkumpul di kedutaan itu di Jalan Tun Razak bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada kuasa dunia itu.

Demonstrasi yang diketuai Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar itu mulai riuh apabila wakil kumpulan itu tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan kedutaan untuk menyerahkan memorandum dua halaman itu.

Mereka membawa sepanduk dan melaungkan reaksi yang tidak puas hati terhadapat isu ini.

Kumpulan itu antaranya melaungkan slogan anti-Israel seperti “hancur Israel”, “jahanam Israel” “mampus Israel”.

Antara pemimpin pembangkan yang turut serta dalam perhimpunan tersebut Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan pengarah stategi PKR Tian Chua.

Berucap ringkas di depan kedutaan itu, Mahfuz menyeru rakyat Malaysia terus membantu warga Palestin, dengan memutuskan segala perhubungan dengan Amerika Syarikat dan Israel.

Dua kumpulan bergerak berasingan

“Harapkan ini merupakan langkah awal (membantu Palestin),” kata Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Turut berucap menyatakan perasaan tidak puas hati dalam perhimpunan itu Tian Chua, Nasharuddin dan beberapa pemimpin Pemuda PAS.

Sejam sebelum itu, perhimpunan oleh sekumpulan 200 aktivis NGO di tempat yang sama menyaksikan sedikit kekecohan ekoran tindakan seorang pesertanya yang cuba membunuh diri kerana tidak dapat mengawal perasaan.

Dalam demontrasi anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu, presidennya Datuk Ibrahim Ali turut menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada pihak Amerika Syarikat yang dilihat sebagai sekutu rapat Israel.

Sementara itu, demonstari terbesar hari ini di kedutaan sekutu kuat Israel itu dianjurkan oleh NGO Lifeline4Gaza yang disertai 300 peserta.

Lifeline4Gaza merupakan NGO yang menyelaraskan bantuan kemanusian daripada Malaysia ke Palestin.

Kedua-duanya perhimpunan itu berlaku serentak di tempat yang sama tetapi mereka kelihatan bergerak dalam kumpulan yang berbeza.

Dalam perhimpunan Lifeline4Gaza, pengarah Muslimrelief Zulkifli Mohd Nani yang mengetuai kumpulan itu menyeru semua rakyat Malaysia terus berdemonstrasi membantah tindakan ganas tentera Israel semalam.

Katanya, pada Jumaat ini mereka akan sekali lagi berkumpul di tempat itu bagi menyatakan bantahan mereka.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

MB Selangor Ajak Rakyat Malaysia Berkabung

MALAYSIAKINI – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia memberikan penghormatan terakhir ke atas kehilangan 16 nyawa peserta frotila pro-Palestin yang diserang tentera Israel semalam.

“Seluruh rakyat Malaysia perlu berkabung bagi menghormati kehilangan 16 nyawa setakat ini, dalam serangan kejam tentera Zionis itu,” katanya.

Katanya, tindakan tentera Zionis itu sama sekali tidak boleh diterima oleh masyarakat berbilang kaum di Selangor kerana ia merupakan perbuatan kejam dan melampaui batas kemanusian.

“Kerajaan Selangor mendesak Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyiasat dan bertindak terhadap tentera Zionis kerana melakukan jenayah yang dikutuk seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Khalid juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia telah memutuskan semua hubungan diplomatik dan perniagaan dengan kerajaan serta rakyat Israel.

“Perdana Menteri perlu mengistiharkan bahawa Malaysia secara rasmi telah membatalkan kontrak dengan (firma perunding) Apco (Worldwide) dan mengharamkan sistem teknologi keselamatan untuk kegunaan polis yang dibekalkan syarikat Eropah dan Amerika Syarikat dengan nasihat teknikal Yahudi,” katanya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Husam: Malaysia Berdengkur Dalam Dakapan Apco

MALAYSIAKINI – Serangan Israel ke atas flotila kapal yang membawa bantuan kemanusian kepada rakyat Gaza yang dikepung terus dikecam pelbagai pihak.

Lewat malam semalam, exco Kelantan, Datuk Husam Musa membidas kekejaman Zionis itu yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 20 sukarelawan kemanusiaan yang menuju Gaza terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Bagaimanapun, menurut Husan apa yang paling dikesalinya ialah sehingga jam sembilan malam semalam, semakan menerusi laman web Bernama, menunjukkan tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan Israel itu.

“Menteri Luar masuk tidur begitu awal? Kerajaan Malaysia hanya beroperasi mengikut jam pejabat hingga lima petang?

“Kita tidak merasa apa-apa dengan serangan Israel ini? Kita tidak risaukan tentang keselamatan rakyat kita? Kita tidak marahkan Israel bertindak kejam dalam perairan antarabangsa menghalang bantuan kemanusiaan untuk ummat manusia yang sedang menunggu dunia membuka jendela mereka? “ katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut Husam, pemimpin dunia lain termasuk tindakan Perdana Menteri Turki, Erdogan bertindak mengarahkan duta Israel di Ankara supaya berundur manakala tiga latihan ketenteraan dengan negara itu dibatalkan.

“Sweden, Sepanyol, Denmark dan Greece juga memberikan reaksi segera dengan memanggil duta Israel. Perancis meminta insiden ini segera disiasat. Malaysia?

“Sehingga jam 9 malam, 31 Mei 2010, semakan menerusi web Bernama, tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan durjana Israel ini,” kata Husam.

Sehubung

an itu, katanya Malaysia seharusnya membatalkan kontrak dengan syarikat Israel – Apco – sebeberapa segera.

“Jika Malaysia telah membayar RM 77 juta kepada syarikat Israel itu, kita mesti menyumbang untuk manusia tertindas di Gaza lebih banyak dari itu.

“Malaysia perlu menyokong tindakan Turki memanggil sidang khas Bangsa-bangsa Bersatu. Malaysia perlu menghantar apa jua bantuan yang diperlukan untuk warga kita yang terlibat,” katanya.

Menurut Husam, dalam respon segera, DAP, Pemuda Umno, PAS dan PKR masing-masing telah mengeluarkan kenyataan.

“Kerajaan Malaysia? Lena dalam dakapan Apco,” katanya.

Pejabat Ketua AMK Malaysia

Rakyat Malaysia Antara Diserang Kapal Perang Israel

MALAYSIAKINI – Rakyat Malaysia yang menaiki sebuah daripada enam flotila bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza diserang kapal perang Israel mengakibatkan 16 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Menurut The Star, rakyat Malaysia itu adalah krew televisyen dari Astro yang menaiki kapal dari Turki.

Sementara itu menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Pejabat Ketua AMK Malaysia