Usah Bersekongkol Dengan Negara Barat Hingga Pinggir Negara Islam

TVSELANGOR – KLANG 27 APR: Kerajaan Selangor berharap Malaysia tidak bersekongkol dengan negara Barat hingga meminggirkan negara Islam lain semata-mata pemimpin mahu emmpertahan kuasa politik melalui sokong kuasa dari luar.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata demikian hari ini ketika merasmikan majlis tilawah al-Quran peringkat Selangor bagi tahun hijrah 1431.

Dalam ucapannya, beliau berkata kerajaan negeri mengambil berat terhadap pembinaan warga negeri yang cergas jasmani dan rohani, sekali gus menghindar perbuatan keji dalam masyarakat.

“Misalnya, salah guna kuasa, rasuah, berjudi, membeli nombor ekor, berzina, buang bayi dan banyak lagi perbuatan terkutuk” kata Khalid.

Selain itu, Khalid juga berharap tiada mana-mana umat Islam yang cuba menidakkan kebenaran ayat-ayat al-Quran kerana ia membawa kerugian.

“Setiap umat Islam mesti yakin dengan peringatan Allah yang terkandung dalam al-Quran supaya kekuatan lahiriah dan batiniah dapat memandu kita menjadi warga cemerlang dalam semua bidang,” katanya.

Majlis berkenaan berlangsung di Masjid As-Syarif, Meru Klang bersempena Tilawah al-quran selama empat hari sehingga 30 April ini.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Zaid Akan Fail Petisyen Pilihan Raya

MALAYSIAKINI – Calon PKR yang tewas, Datuk Zaid Ibrahim akan memfailkan petisyen pilihan raya supaya keputusan kerusi parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu diisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal.

Beliau memberikan alasan pembelian undi dan pemindahan pengundi sebagai hujah petiyennya itu.

“Dalam keadaan seperti, kami akan memfailkan petisyen pilihan raya sebaik sahaja pasukan perundangan saya bersedia,” katanya pada sidang media di rumhanya.

“Mana-mana pengundi di Hulu Selangor yang ingin menawarkan sebarang maklumat yang relevan boleh berbuat demikian di mana-mana pejabat PKR, DAP atau PAS.”

Zaid juga berkata beliau akan menyaman akhbar bahasa Melayu, milik Umno – Utusan Malaysia yang melabelkannya sebagai kaki botol.

“Saya bukan kaki botol. Apa yang saya minum adalah tidak lebih daripada apa yang diminum oleh (Dr) Mahathir (Mohamad) dan pemimpin Umno lain,” katanya.

“Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya tidak membebarkan kempen berniat jahat dan palsu berkenaan.”

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Pakar Forensik British Dapat E-Mel Ugutan

SUARA-KEADILAN – SHAH ALAM 27 Apr – Pakar Forensik British Prof Dr Peter Vanezis membuat laporan polis malam Isnin selepas menerima e-mel berupa ugutan berikutan keterangannya dalam inkues kes kematian Teoh Beng Hock.

Ugutan terhadap Dr Vanezis juga dilaporkan oleh ketua pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa kepada inkues yang disambung pada Selasa.

Abdul Razak berkata e-mel itu “menakutkan dan mengancam keselamatan” pakar British itu yang memberi keterangan untuk kali pertama pada Isnin.

Dr Vanezis tidak senang dengan e-mel ancaman terhadap beliau dan keluarganya itu, kata Abdul Razak.

Laporan polis dibuat di balai polis Seksyen 11 Shah Alam pada pukul 11 malam.

Dr Vanezis, yang dilantik SPRM dan pakar patalogi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor, telah menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh yang digali semula dari kubur pada November tahun lepas.

Pada Isnin, beliau memberitahu inkues bahawa Teoh berada dalam keadaan sedar semasa jatuh dan beliau tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Teoh telah dicekik sebelum kematiannya.

Dr Vanezis, pada Selasa dijadual disoalbalas oleh peguambela Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh.

Pada 17 Julai tahun lepas, Teoh ditemui mati di koridor di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas disoal siasat oleh SPRM Selangor di pejabat suruhanjaya itu yang terletak di bangunan yang sama, berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan negeri.

Bernama

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Kemenangan Yang Tak Perlu Dibanggakan

MALAYSIAKINI – Sebaik keputusan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor diumumkan, kalungan tahniah dan puji-pujian melimpah sesama pemimpin Barisan Nasional. Namun jika diteliti, kemenangan oleh P Kamalanathan itu bukan sesuatu yang membanggakan.

Majoriti yang diperolehinya adalah 1,725 undi dan jika undi pos sebanyak 627 yang terdiri daripada anggota keselamatan yang lazimnya berpihak kepada BN diketepikan, BN cuma mendapat majoriti 1,078.

Jumlah itu agak jauh lebih kecil daripada jumlah undi 6,176 yang dimenangi oleh BN di tiga kerusi dewan undangan negeri yang terletak di parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Ini menjelaskan mengapa Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pengundian begitu yakin Kalamanathan mampu menang dengan sekurang-kurangnya majoriti 6,000 undi.

‘Undi pecah’

Pada pilihan raya umum yang lalu, pengundi memberikan undi mereka kepada PKR pada peringkat persekutuan tetapi bagi kerusi negeri, mereka memilih BN.

Antara faktor yang mempengaruhi trend pengundian ketika itu adalah kerana rakyat di Hulu Selangor, khususnya masyarakat Melayu dikatakan cukup tidak berpuas hati dengan G Palanivel dari MIC yang memegang kerusi parlimen berkenaan dari 1990 hingga 2008.
Sebelum ini, MIC berkeras mahukan timbalan presiden mereka sekali bertanding di Hulu Selangor, namun akar umbi, Umno menentang keputusan itu.

Tindakan itu menyaksikan BN kali ini meletakkan muka baru dengan mengetengahkan Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan.

Selain calon muka baru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mengumpan penduduk Hulu Selangor dengan pelbagai janji dan sogokan.

Dua yang paling ketara ialah peruntukkan RM3 juta untuk SRJK (C) Rasa dan RM5 juta sebagai bayaran pampasan peneroka Felda Sungai Buaya. Namun umpan itu dengan syarat jika BN memenangi kerusi Hulu Selangor.

Di sebalik semua itu, BN masih gagal mengubah trend pengundian kerana majoriti yang diperolehi mereka pada Ahad lalu masih kekurangan 4,451 daripada apa yang sepatutnya dikumpul daripada tiga kerusi negeri pada pemilihan 2008.

Majoriti yang dimenangi BN hanya mewakili 3.5 peratus daripada jumlah undi yang dibuang dan dianggap antara yang paling rendah. Lazimnya majoriti BN berlegar melebihi paras 8,000 undi sejak 1990.

Justeru, Hulu Selangor tidak lagi boleh dikatakan kubu kuat BN.

Najib yang menyedari hakikat berkenaan, cuba mengelak soalan wartawan apabila ditanya sama ada keputusan pilihan raya itu adalah bukti rakyat menyokong agenda pembaharuannya.

Sebelum ini, Najib dilaporkan berkata pilihan raya kecil Hulu Selangor adalah medan terbaik sebagai pungutan suara bagi rancangan pembaharuannya termasuk Model Ekonomi Malaysia, gagasan 1Malaysia dan program tranformasi kerajaan.

Melayu sokong BN, Cina undi Pakatan

Bagi tujuan perbandingan, keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor hampir menyerupai keputusan pilihan raya di Bukit Gantang dan Bagan Pinang yang menyaksikan pertambahan undi Melayu untuk BN dan pada masa yang sama peningkatan sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan Rakyat.

Ini amat ketara sekali di Hulu Selangor apabila BN menang di semua daerah mengundi yang mempunyai majoriti masyarkat Melayu manakala Pakatan menyapu bersih di kawasan Cina.

Pada pusingan kali ini, dianggarkan BN berjaya menguasai 65 peratus undi Melayu yang sekali gus meranapkan harapan PKR untuk merampas sekurang-kurangnya 40 peratus undi Melayu.

Sebagai rujukan, berikut sampel enam daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu: Kpg Soeharto (66.1 peratus mengundi BN), Gedangsa (60.6), Sungai Tengi (68.4), Batang Kali (61), Hulu Kali (62.7) dan Sungai Buaya (73.5).

Menurut laporan akar umbi, insentif kewangan yang ditaburkan oleh Najib dan konco-konco BN serta serangan peribadi ke atas calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi Melayu.

Namun umpan dan serangan berkenaan tidak berkesan di kalangan masyarakat Cina seperti yang dilihat pada sampel daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Sampelnya seperti berikut: Kalumpang (77.2 peratus mengundi PKR), Ulu Yam Timur (71.1), Kerling (68), Kuala Kubu Bharu (78.4), Kampung Baru Batang Kali (80.5), Ulu Yam Lama (71.1) dan Kampung Baru Rasa (82.5).

Sepanjang tempoh berkempen, PKR dan DAP menjaja isu Muhyiddin yang mengakui bahawa dia adalah Melayu terlebih dahulu dan kemudian baru rakyat Malaysia.

Selain itu, kenyataan Datuk Seri Noh Omar yang menggesa masyarakat India dan Cina supaya berterima-kasih kerana diberi taraf warga negara serta isu kematian Teoh Beng Hock terus menjadi modal mereka.

MCA ternyata tidak berdaya menangkis atau mampu memberikan jawapan yang bertenaga tetapi sebaliknya terpaksa membawa Najib datang ke Hulu Selangor untuk menaburkan janji-janji.

Bagi sesetengah penganalisis, pemenang terbesar pada pilihan raya kecil Hulu Selangor ini adalah masyarakat Cina. Ini kerana mereka berjaya menyampaikan mesej secara jelas kepada BN dan pada masa yang sama, menerima habuan ataupun akan menerima ganjaran yang dijanjikan.

Apa seterusnya?

Di kalangan pengundi India, PKR hanya memenangi satu daripada lima daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi India.

Ada yang berpendapat kegagalan PKR menarik sokongan masyarakat India adalah kerana kerajaan negeri Selangor lembap dalam menagani masalah yang dihadapi oleh komuniti itu.

Kegagalan Pakatan Rakyat mendapatkan sokongan daripada Hindu Rights Action Force (Hindraf) dan Parti Hak Asasi Manusia juga dikatakan membawa padah.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Anwar: BN Belanja RM65,000 Bagi Setiap Pengundi

MALAYSIAKINI – Barisan Nasional (BN) didakwa membelanjakan lebih RM100 juta bagi menjamin kejayaan mereka merampas semula kerusi parlimen Hulu Selangor, malam semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun membelanjakan RM65,000 bagi setiap pengundi, di samping kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya menjamin pemilihan yang bersih dan adil, ugutan polis serta usaha menghalang pengundi menjalankan tanggungjawab mereka, BN hanya mampu menang dengan majoriti yang tidak memberangsangkan.

“Ini bermakna BN gagal mempelajari apa-apa sejak pilihan raya umum 2008. Serangan peribadi, isu perkauman, rasuah dan paksaan mungkin boleh membantu untuk menang di satu atau dua kerusi, tetapi rakyat Malaysia, tidak akan terpedaya,” katanya.

Walaupun PKR ditumbangkan malam semalam, namun Anwar berkata pembangkang berjaya meningkatkan sokongan popularnya di Hulu Selangor.

” Kita tahu kita perlu berusaha lebih gigih untuk mendekati penyokong khususnya di kawasan terpencil dan pedalaman, khususnya di kalangan peneroka Felda,” katanya.

Timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali melahirkan sentimen yang hampir sama dan berpendapat pencapaian parti itu dianggap membanggakan di sebalik asakan padu daripada jentera BN.

“Kami gagal menembusi kubu-kubu kuat, khususnya di penempatan Felda tetapi keputusan pilihan raya itu satu tamparan kepada BN yang begitu angkuh bahawa mereka boleh menang dengan majoriti lebih 3,000 undi,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kami anggap ia petanda bahawa polisi dan program Pakatan di terima rakyat, selepas dua tahun mengambil alih dan memberikan manfaat kepada mereka,” katanya.

Syed Husin berkata majoriti 1,725 undi yang diperolehi oleh BN jauh meleset daripada majoriti 6000 undi yang dimenanginya di ketiga-tiga kerusi dewan undangan negeri di parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum 2008.

“Tiada apa untuk Najib raikan,” katanya.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Zaid terima kalah, salahkan ‘politik beli undi’

TMI – HULU SELANGOR, 25 April — Calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim menerima kekalahan dengan hati terbuka tetapi pada masa sama menyalahkan strategi “membeli undi” yang dilakukan Barisan Nasional sebagai punca kekalahan beliau.

“Sudah tentu apabila kalah kita tidak akan berasa gembira.

“Tetapi bagi saya itu tidak mengapa yang penting kita telah mencuba.

“Selain itu, dalam setiap pertandingan kita mesti menjangkakan sama ada menang ataupu kalah,” katanya kepada wartawan selepas menyampaikan ucapan di Stadium Mini Kuala Kubu Baru dekat sini.

Terlebih dahulu dalam ucapannya, beliau mengatakan kekalahnya dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor berpunca daripada stategi BN yang “membeli undi”.

“Kita kalah kerana mereka (BN) menggunakan taktik kotor dengan membeli undi daripada pengundi.

“Kita perlu atasi masalah ini kerana apa yang kita hadapi ialah satu sistem politik yang teruk  dan pemimpin yang tidak hormat pada undang-undang,” katanya di hadapan kira-kira 300 penyokong PKR.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat DAP Lim Kit Siang

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa pilihan raya kecil kali ini adalah yang paling buruk dan penuh dengan rasuah dalam sejarah pilihan raya kecil berlangsung.

“Kita berdepan dengan mereka yang membeli dan menghalalakan undi tidak kira di waktu siang mahupun malam.

“Kita boleh lihat bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak membelanjakan sehingga RM64 juta untuk membeli undi pada pilihan raya ini.

“Jadi saya harap penyokong-penyokong kita bersabar dan usah risau dengan keadaan ini kerana saya boleh menghadapi cabaran ini.

“Saya berjanji saya akan sama-sama dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekerja keras dalam menghadapi pilihan raya  umum ke-13 nanti,” katanya.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Perjuangan Mengubah Ketagihan Bukan Mudah, Kekalahan Tidak Luntur Semangat

TVS – Menang kalah adat pertandingan, namun menyerah kalah tidak sesekali.

Demikian ucapan pembakar semangat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada penyokong Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat yang terus menyokong gagasan itu.

“Saya bagi pihak rakan-rakan kerajaan negeri dan kepimpinan negeri mengucapkan terima kasih atas sokongan dan usaha yang dijalankan oleh saudara sekalian.

“Saya berterima kasih kerana kalian berani menyumbangkan bakti dalam keadaan kita melawan jentera satu negara,” katanya pada ceramah selepas pengumuman keputusan pilihan raya Parlimen Hulu Selangor, malam 25 April lalu.

Kata beliau, perjuangan untuk merubah sesuatu yang sudah menjadi ketagihan atau kebiasaan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya tahu perjuangan kita ini adalah perjuangan yang sangat sukar. Kita hendak menghalang perkara yang membawa kepada rasuah, kita hendak menghalang penyalahgunaan kuasa, kita hendak memperjuangkan rakyat, bukan segelintir manusia.

“Kita mahu lakukan perkara tersebut,” tegas Khalid lagi.

Menyifatkan kemenangan Umno Barisan Nasional di Hulu Selangor bukan kemenangan bersih, Khalid berkata pilihanraya kecil kali ini dicemari dengan taktik seperti rasuah, provokasi melampau dan pengundi hantu.

“Kita akan menghadapi satu masalah iaitu mereka sudah terjebak dalam perkara ini. Sudah menjadi dadah kepada mereka,” katanya.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

Jangan Mengalah, Zaid

TMI – 26 APRIL — Zaid Ibrahim berhak untuk rasa marah, geram dan sedih dengan keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor. Tetapi Zaid tidak harus mengalah atau berundur semata-mata kerana Barisan Nasional diisytiharkan sebagai pemenang.

Menurut laporan awal, kedua-dua Barisan dan Parti Keadilan Rakyat telah meningkatkan prestasi mereka berbanding keputusan pilihan raya umum 2008 — Barisan dikatakan menambah 2,000 undi manakala PKR yang mewakili Pakatan Rakyat 200 undi. Daripada undi Barisan itu, lebih 700 datangnya dari undi pos. Lagi pula, pemindahan 13,488 pengundi di Hulu Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dikatakan telah mengelirukan pengundi.

Dalam keadaan sedemikian, Zaid terpaksa berdepan dengan formula lama Barisan — tawaran wang dan projek yang bernilai lebih RM60 juta. Tidak cukup dengan itu, media arus perdana sekali lagi memainkan peranan untuk berkempen bagi pihak Barisan, termasuk mengecam dan mengutuk Zaid habis-habisan.

Mungkin bagi Barisan, terutamanya Umno, yang selama ini terkapai-kapai sejak pukulan hebat pilihan raya umum 2008, mereka telah menemui semula kekuatan untuk menghadapi Pakatan — kembali kepada cara mempergunakan media arus perdana, jentera kerajaan dan tawaran berjuta-juta ringgit (baca: wang rakyat).

Analisis awal daripada kumpulan-kumpulan yang berkampung dan memerhatikan perjalanan pilihan raya kecil itu menunjukkan pengundi Melayu, khususnya peneroka Felda, dengan senang hati menerima cara dan kaedah Barisan. Dengan janji-janji manis, lebih 60 peratus pengundi kawasan Felda telah memilih calon Barisan.

Lebih separuh pengundi kaum India membuat pilihan yang sama untuk Barisan tetapi pengundi Cina tetap memihak kepada Zaid dengan memberi lebih 70 peratus sokongan kepada Pakatan.

Dalam hal ini, mungkin tidak memeranjatkan melihat selera majoriti pengundi Melayu di Hulu Selangor. Selain janji-janji wang dan projek berpuluh juta ringgit, serangan peribadi serta fitnah terhadap Zaid turut mempengaruhi pemikiran orang Melayu.

Mungkin bagi pengundi Melayu yang memilih Barisan, soal sama ada Zaid seorang yang berprinsip dan tegas dalam menentang rasuah serta ketidakadilan tidak menjadi penentu utama. Mungkin mereka juga belum dapat memahami usaha Zaid dan aktivis-aktivis Felda yang mahu mengembalikan hak milik tanah kepada peneroka dan bukannya berterusan menjadi pekerja kepada korporat gergasi itu.

Lagi pula, melalui peranan media arus perdana, kebanyakan Melayu yang memilih Barisan mungkin merasa lega apabila melihat calon barisan P. Kamalanathan mencium tangan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kenyataan wakil MIC itu yang menyokong perjuangan kumpulan ultra-Melayu Perkasa. Sehinggakan namanya dijual kepada pengundi Melayu sebagai “Kamal” dan bukannya Nathan sebagaimana nama singkat panggilan biasa.

Semua keadaan ini sepatutnya membakar semangat Zaid untuk terus berkhidmat dan berjuang. Apatah lagi beliau dengan bantuan aktivis Felda telah pun mengemukakan cadangan awal untuk mereformasikan sistem rancangan tanah itu supaya generasi kedua dan ketiga Felda dapat menjadi tuan di atas tanah sendiri. Isu ini perlu dibawa ke peringkat nasional, dan lebih baik lagi, dibincangkan bersama di peringkat pucuk pimpinan Pakatan Rakyat.

Begitu juga hasrat Zaid untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli yang selama ini terbiar di bawah Barisan. Ia bukan soal setempat kerana ia memerlukan reformasi nasional, sekurang-kurangnya orang asal ini yang lebih awal mendiami ibu pertiwi diberi taraf sama rata dengan Bumiputera.

Berdasarkan dua pengalaman pilihan raya, Zaid yang pernah menang di bawah lambang Umno di Kota Bharu dalam pilihan raya umum 2004 perlu menjadikan Hulu Selangor sebagai pengajaran dan persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, kekalahan di Hulu Selangor perlu dianggap sebagai satu langkah ke hadapan untuk mempersiapkan diri menghadapi saingan yang lebih hebat dalam pilihan raya umum nanti.

“Sama seperti Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor); beliau kalah dalam pilihan raya kecil Ijok pada 2007. Tetapi beliau kembali menang pada 2008. Kekalahannya di Ijok telah menjadi satu platform kepada kita untuk menawan kerajaan negeri Selangor. Biarlah Hulu Selangor menjadi Ijok yang kedua kepada kita,” katanya.

Tak kurang pentingnya ialah suasana pasca-Hulu Selangor akan memberi peluang kepada Zaid untuk mendekatkan diri dengan pengundi-pengundi Melayu, bukan sahaja di Selangor malah di seluruh negara.

Setelah dihamburkan dengan kata-kata fitnah dan kempen kotor dari mereka yang mengakui diri Melayu dan Islam, tidak banyak lagi yang boleh mereka contengkan peribadi Zaid yang jauh lebih berprinsip dan tegas dalam membela keadilan dan hak berbanding para pemimpin Umno.

Lapan hari untuk berkempen sememangnya tidak cukup. Tanpa perlu mengalah, Zaid kini mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama masyarakat, khususnya orang Melayu, bagi menjelas dan memperincikan apa yang diperjuangkannya bersama Pakatan Rakyat.

Tak kenal maka tak cinta. Bila dah kenal barulah mesra dan sayang.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia

PKR dakwa tahan 10 bas bawa pengundi hantu

TMI – HULU SELANGOR, 25 April — Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat mendakwa telah menahan kira-kira 10 bas yang menurut mereka membawa pengundi-pengundi ‘hantu’ untuk mengundi pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hari ini.

“AMK sedang tahan bas disyaki membawa pengundi hantu di IKBN Ampang Pecah (dekat Kuala Kubu Baru). Sekarang menunggu kehadiran polis,” kata Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Mereka ditahan sekitar subuh tadi, katanya.

Proses pengundian membabitkan 64,500 pengundi bermula 8 pagi ini.

Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan

Malaysia