Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya serah sumbangan kepada komuniti Cina, India

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin baru baru ini menyampaikan sumbangan kepada persatuan Cina dan India di kawasan Parlimen beliau.

“Menjadi tanggungjawab saya juga untuk membantu komuniti berbangsa Cina dan India.

“Saya telah menyerahkan sedikit bantuan kepada Encik Yeo Chew Yee bagi kegunaan Tokong Poh Siew Keng dan Ragu Renggasamy bagi membantu komuniti masyarakat India di Persatuan Muthamil Mandram Melaka.

“Semoga bantuan ini dapat dikongsi bersama dan digunakan untuk manfaat bersama komuniti anda semua,” katanya.

Bila lagi kerajaan akan selesaikan masalah banjir di Melaka secara tuntas? – Shamsul

Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu menyelesaikan masalah banjir di Melaka secara tuntas.

Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, masalah banjir di sesetengah kawasan di negeri itu unik kerana bencana akan berlaku hampir setiap kali hujan lebat.

“Saya pernah mendesak kerajaan mencari jalan penyelesaian dengan memberi kerjasama menyelesaikan masalah banjir di Melaka. Namun, hingga kini tiada sebarang maklum balas dari pihak mereka,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Kampung Krubong, baru baru ini.

Menurut Shamsul, penduduk mengadu kepada beliau bilakah lagi kerajaan pusat atau negeri akan membantu menyelesaikan masalah yang telah bertahun tahun dideritai rakyat.

Masalah banjir perlu diselesaikan dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

“Hari ini, saya telah melawat keadaan mangsa banjir di Kampung Krubong. “Setiap tahun begini yb.. bila lah semua ni nak habis” itulah salah satu keluhan yang diadukan oleh mangsa pagi tadi,” katanya.

Dalam kunjungan itu, beliau memberi bantuan apa yang termampu sebagai wakil rakyat pembangkang.

Namun masalah tersebut, katanya, perlu diselesaikan segera oleh kerajaan yang memerintah dengan peruntukan belanjawan tahunan.

“Pagi tadi saya dan pasukan saya telah turun bersama-sama meninjau keadaan banjir.

“Saya juga telah memberi sedikit bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Krubong. Tak banyak, akan tetapi diharap dapat meringankan sedikit sebanyak beban mangsa,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/bila-lagi-kerajaan-akan-selesaikan-masalah-banjir-di-melaka-secara-tuntas-shamsul

Pemerdagangan manusia, buruh paksa: Mengapa akta tidak diperketat sejak 2009?

Pemerdagangan manusia sinonim dengan buruh paksa yang menyebabkan Malaysia mendapat nama buruk apabila baru baru ini sebuah kilang elektronik di negara ini dikaitkan atas dakwaan tidak menepati had minimum antarabangsa dalam penggajian buruh.

Menurut Ahli Parlimen Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH – Hang Tuah Jaya) Kementerian Sumber Manusia (KSM) sepatutnya memperketatkan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) juga Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 berikutan Malaysia telah meratifikasikan peruntukan berkenaan di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu lebih sedekad lalu.

“Menteri sebut dalam pembentangan (mengenai) protokol yang diratifikasikan pada 2009, iaitu menggubal satu undang undang komprehensif menangani jenayah pemerdagangan manusia. Persoalannya kenapa ia mengambil masa sejak 2009 hingga 2021 untuk kita memasukkan ke dalam undang undang domestik negara? Apakah halangan sehingga kita terpaksa berdepan dengan keadaan yang amat memalukan negara (seperti sekarang)

“Kalau kita teliti perbahasan Ahli Parlimen pada 2007, antara isu yang dibangkitkan adalah aspek hukuman. Pada pandangan mereka hukuman sangat rendah, malah ada menyatakan apakah undang undang ini ada yang boleh terlepas (dengan mudah). Ada juga cadangan ketika itu hukuman sebat dikenakan.

“Dalam jawapan Menteri (MP) Padang Rengas, dikatakan hukuman sebat tidak boleh dikenakan kerana tidak selari kepada undang undang antarabangsa dan kita tidak boleh mengadakan undang undang tidak selari dengan antarabangsa

“Saya ingin tanya adakah ‘shift policy’? Berlaku perubahan dasar di mana dahulu menteri tidak mahu hukuman sebat. Saya ingin tanya adakah terdapat perubahan dasar?” katanya dalam perbahasan Dewan Rakyat, sesi petang.

Shamsul turut bertanya mengenai penguatkuasaan, iaitu berapakah peruntukan yang telah diluluskan untuk operasi mengkuatkuasakan akta yang bersangkutan dengan buruh asing.

“Aspek yang dibangkitkan adalah penguatkuasaan. Berapakah sumber kewangan yang telah diluluskan untuk memastikan kita menjayakan misi anti pemerdagangan orang ini?

“Kita sedia maklum undang undang ada tetapi mahkamah satu sahaja yang khusus, maka perlu ditambah mahkamah,” katanya.

Sebelum itu, beliau telah menyatakan kekesalannya apabila Malaysia melorot daripada negara Tier 2 ke negara Tier 3 dalam masa 14 tahun dalam pemerhatian berkaitan hak hak buruh, terutama terkait pekerja asing dan kebajikan mereka yang terabai.

Untuk rekod, baru baru ini Dyson, pengeluar pembersih vakum berteknologi tinggi menamatkan hubungannya dengan ATA IMS Bhd, pembekal produk berkenaan di Malaysia berikutan keputusan audit yang dilakukan.

Amerika Syarikat (AS) sebelum ini menyiasat ATA atas dakwaan buruh paksa diamalkan syarikat itu, namun ATA menafikan dakwaan sedemikian

Laporan tersebut, kata Shamsul, menjatuhkan reputasi Malaysia yang menurutnya akan menyebabkan kemungkinan negara Eropah pula menyusul melakukan tindakan serupa.

“Saya kebetulan ada pengalaman sedikit dalam kementerian komoditi utama. Kita tahu apabila laporan ini keluar ia akan memberi kesan besar kepada pemain pemain komoditi utama negara kita (getah dan sawit)

“Jika kita menghadapi cabaran di AS maka tentunya kita menghadapi cabaran dengan Kesatuan Eropah. Ia mengganggu ekonomi negara, terutama pemain ekonomi getah dan sawit (yang melibatkan buruh asing),” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/pemerdagangan-manusia-mengapa-akta-tidak-diperketat-sejak-2009

Tiada usaha ketepikan Anwar, kekal calon PM Pakatan Harapan PRU 15 – Shamsul

Dakwaan terdapat pemimpin DAP yang merancang untuk mengenepikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana diperkatakan oleh bekas Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau perlu dibuktikan.

Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, dakwaan Dr Boo itu seharusnya dijelaskan sendiri kepada Pengerusi PH dan bukannya dibuat di media massa yang akan menimbulkan lebih banyak ketegangan antara parti komponen PH.

“Pendedahan terkini Dr Boo yang menegaskan secara khusus bahawa sebahagian pimpinan DAP terutamanya bekas Menteri dan Timbalan Menteri ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan dahulu tidak mahu lagi menerima kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentunya mengejutkan.

“Saya menggesa Dr Boo untuk tampil dan mengambil tanggungjawab mengemukakan penjelasan lanjut kepada Pengerusi PH sendiri dan tidak melemparkan tuduhan atau melakukan serangan menggunakan media,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, meskipun dilanda beberapa isu selepas kekalahan mengejut PH dalam Pilihan Raya Negeri Melaka baru baru ini, keadaan politik dalaman masih tenang dan tiada desakan kuat mahukan Anwar berundur sebagaimana dibayangkan oleh media.

Katanya, pemimpinan utama PH masih berpegang teguh kepada deklarasi Port Dickson (PD) yang mencadangkan Anwar mengepalai PH memasuki PRU 15 dan sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.

“Apa yang jelas, Deklarasi Port Dickson selepas pemukiman PH awal tahun ini telah mengikat suatu konsensus bahawa PH memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 dan akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri Malaysia,” katanya lagi.

Hari ini, portal berita The Vibes menyiarkan komen Dr Boo mendakwa beberapa orang pimpinan kanan DAP yang ‘dahagakan kuasa’ mahu mengenepikan Anwar dan bergerak bersama Tun Mahathir untuk mendapatkan semula Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun Dr Boo tidak menamakan seorang pun daripada pemimpin yang didakwanya itu.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/deklarasi-pd-jelas-anwar-calon-pm-pakatan-harapan-pru-15-shamsul

Malaysia kekurangan pekerja skil tinggi, apa tindakan KPT?

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dipersoalkan perancangannya untuk menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)

Ahli Parlimen Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH – Hang Tuah Jaya) bertanya kepada Menteri Pengajian Tinggi apakah langkah yang sedang diambil untuk memastikan Malaysia tidak menghadapi kekurangan pekerja berskil tinggi pada masa hadapan.

“Ada kajian baru baru ini oleh Universiti Malaya yang bertajuk “employees expectation and preferences of graduates Malaysia”, yang menyimpulkan mustahaknya untuk IPT merangka program yang bersesuaian dan relevan dengan kehendak majikan dan pemegang taruh yang menyediakan peluang pekerjaan.

“Kalau kita merujuk senarai negara negara terkemuka dunia bagi pekerjaan berkemahiran tinggi. Luxemburg misalnya mempunyai 59.6% pekerjaan berkemahiran tinggi diikuti Singapura 54.7% dan Switzerland 51.3%.

“Untuk makluman, Kementerian Sains dan Inovasi baru baru ini memaklumkan kebimbangan mereka mengenai pekerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri, khususnya teknologi baru.

“Saya ingin tanya kepada menteri apakah perancangan segera KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mengatasi masalah ini sebelum ia menjadi lebih rumit lagi,” katanya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, KPT sedang bekerjasama dengan bebarapa kementerian lain seperti MOSTI, MITI dan Kementerian Sumber Manusia untuk melahirkan pekerja berkemahiran tinggi.

Katanya, pihak KPT juga menubuhkan IR 4.0 Competence Centre bagi menggarap industri baharu. Juga menyediakan korikulum masa hadapan di beberapa Institusi Pengajian Tinggi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/malaysia-kekurangan-pekerja-skil-tinggi-apa-tindakan-kpt

Ketum sebagai produk kesihatan, sumber ekonomi baharu

Kerajaan perlu meneroka industri baharu berasaskan daun ketum sebagaimana telah dilakukan oleh Thailand.

Ahli parlimen Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH – Hang Tuah Jaya) berkata, industri tersebut jika dibangunkan dengan betul berpotensi membantu kemajuan ekonomi

“Kerajaan harus membangunkan ketum sebagai produk dan tumbuhan herba, kerana terdapat pasaran yang besar untuk produk itu di kawasan luar bandar

“Malah negara jiran kita Thailand telah mengeluarkan ketum daripada senarai bahan narkotiknya.

“Saya telah menonton temu bual dengan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengenai topik ketum, jadi saya percaya kami mempunyai keupayaan untuk membangunkan industri dengan lebih baik,” kata Shamsul semasa membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Justeru Shamsul menggesa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk memperincikan masa depan program ketum negara yang mampu untuk memberi petani pulangan yang baik di samping mempelbagaikan produk herba Malaysia.

Ketum – atau nama saintifiknya, Mitragyna speciosa – adalah tumbuhan dalam keluarga kopi yang digunakan secara sejarah dalam perubatan herba. Ia berasal dari beberapa negara seperti Thailand, Indonesia, Malaysia, Myanmar, dan Papua New Guinea.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/ketum-sebagai-produk-kesihatan-sumber-ekonomi-baharu

Rizab simpanan tunai tertinggi, mengapa Sarawak paling banyak rakyat miskin?

Rakyat Sarawak seharusnya menjadi antara yang paling makmur di Malaysia kerana hasil bumi yang banyak termasuk gas asli, petroleum dan kayu balak.

Bagaimanapun, dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan mengesahkan Sarawak mempunyai insiden kemiskinan paling tinggi.

Hal itu, menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, menimbulkan keraguan, ke manakah hasil kekayaan Sarawak selama ini dilonggokkan?

“Saya merujuk kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith pagi ini di Dewan Rakyat. Beliau menjawab soalan yang dinyatakan oleh Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan YB Nga Kor Ming.

“Dalam menjawab soalan itu, Timbalan Menteri mendedahkan negeri Sarawak antara negeri yang merekodkan kadar kemiskinan paling tinggi di Malaysia. Pendedahan ini bukanlah satu perkara baru.

“Umum mengetahui meskipun sudah sekian lama Sarawak diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak yang didominasi oleh PBB, kadar kemiskinan di negeri itu tidak bertambah baik, malah kekal di tahap yang sama,” kata Shamsul.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu tertanya tanya mengapakah Sarawak yang mempunyai rizab simpanan tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia, sebanyak RM31 bilion, tidak menggunakan dana berkenaan untuk membantu rakyatnya yang miskin.

“Amat menyedihkan buat rakyat Sarawak, di mana negeri ini mempunyai rizab simpanan tunai terbesar. Pendapatan negeri juga ketiga terbesar, di mana Sarawak menyumbang sebanyak 12% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Namun di mana silapnya dalam pengagihan kekayaan negeri ini kepada rakyat Sarawak?” tanyanya.

Lebih mengejutkan, kata Shamsul, ADUN ADUN Sarawak juga diberikan peruntukan pembangunan tahunan yang jauh lebih tinggi berbanding mana mana ADUN di Malaysia, malah melebihi peruntukan Ahli Parlimen.

Namun ke manakah perginya dana berkenaan kerana taraf hidup rakyat Sarawak kekal daif sejak berpuluh tahun.

“Peruntukan yang diterima setiap ADUN Sarawak antara yang tertinggi di Malaysia.

“Setiap wakil rakyat GPS menerima peruntukan tahunan sebanyak RM5 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), RM2 juta untuk Projek Kecil Luar Bandar (MRP), RM1 juta untuk Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dan RM1 juta untuk Program Tabung Fasilitasi Pertanian.

“Adakah peruntukan yang diterima ADUN ini benar-benar sampai ke tangan rakyat untuk menikmati manfaatnya? Jika ya, mengapa Sarawak adalah antara negeri yang termiskin di Malaysia,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/rizab-simpanan-tunai-tertinggi-mengapa-sarawak-paling-banyak-rakyat-miskin

Calon DUN Paya Rumput teruskan janji perubahan

Calon DUN Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pengundi di DUN berkenaan yang mengundi beliau semalam.

Menurut Shamsul, beliau akan meneruskan perjuangan membawa perubahan ke DUN berkenaan

“Terima kasih kepada semua pengundi yang telah keluar mengundi di Dun Paya Rumput.

“Saya akan tetap meneruskan aspirasi saya untuk membawa perubahan di Paya Rumput selaras dengan janji saya,” katanya.

Dalam pilihan raya semalam Shamsul tewas tipis kepada calon BN, Rais Yasin.

Rais mendapat 6,830 undi, manakala Shamsul mendapat 6,201 undi, di tempat ketiga calon PN Muhammad Fariz Izwan Mazlan yang mendapat 3,972 undi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/calon-dun-paya-rumput-teruskan-janji-perubahan

Undi PH, BN perintah sejak merdeka, kempimpinan tidak bersih 

Pengundi Melaka diseru bersatu padu memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan pada hari pengundian untuk memastikan kemakmuran negeri Melaka.

Hal itu diungkapkan oleh calon DUN Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam ceramah grand finale, malam tadi.

Katanya, ada tiga gabungan utama yang bertanding tetapi PH memberi pilihan lebih baik dari segi kestabilan dan kemajuan negeri.

“Pilihan raya penting kerana ada kumpulan yang panggil Gagasan Bebas tetapi kita dihidangkan dengan 3 kumpulan utama. Iaitu adakah saudara saudari akan bersama PH atau memilih untuk memberi peluang sekali lagi kepada BN atau PN? Ini perkara paling mustahak yang harus kita sama sama muktamadkan esok.

“Rakyat telah beri peluang kepada BN sejak merdeka mentadbir Melaka. PRU 14 kita telah sama sama menolak BN dan angkat PH sebagai kerajaan. Kita boleh senaraikan apa yang berjaya kita lakukan dan apa yang tertangguh.

“Pada malam ini saya ingin berterus terang dengan rakyat, lepas BN kembali memimpin negeri ini apakah ada kejayaan mereka atau perangai lama berulang kembali?” tanyanya.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu merayu agar rakyat tidak mensia-siakan undi dengan memilih parti yang tidak bersih dan suka bertelagah.

Atau mencuba PN yang tidak terbukti rekod pentadbirannya.

“Esok jangan kita sia-siakan undi dengan pendekatan try and error. Cukup kita beri peluang dan ruang kepada BN. Jangan pula kita cuba beri peluang kepada PN kerana di peringkat Persekutuan bergabung jadi kerajaan, di peringkat negeri bertelagah sampai ke bawah.

“BN ada calon Ketua Menteri, PH pun ada. Kalau beri peluang kepada mereka, siapakah calon yang mereka akan angkat?

“Kita mahukan kerajaan yang bersih dan kompetan. Kita sudah muak dan meluat dengan pemimpin yang mengkayakan diri dan sanak saudara mereka. Inilah yang mereka lakukan selama 18 bulan menjadi kerajaan,” katanya lagi.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/undi-ph-bn-perintah-sejak-merdeka-kempimpinan-tidak-bersih

Calon DUN Paya Rumput janji selesai masalah banjir di Bukit Datuk

Calon DUN Paya Rumput, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berjanji akan menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering terjadi di kawasan Kampung Bukit Datuk A akibat sistem saliran yang kurang baik.

Beliau yang melakukan tinjauan semalam, mendapati kerja kerja mendalamkan tali air yang tidak berjalan lancar mungkin merupakan punca banjir.

“Ramai pemanggil meminta dibantu untuk menyelesaikan masalah di sini. Kita lihat saliran yang tersumbat dan projek yang belum siap.

“Masalah berlaku jika hujan lebat selama 1 jam maka air akan melimpah dan menyebabkan banjir di kawasan ini. Saya turun padang hari ini untuk melihat sendiri di mana kita semua sedia maklum hal hal seperti ini boleh kita selesaikan dengan segera kerana sekarang kita tengok di sini telah pun ada projek yang dilaksanakan.

“Tetapi hari ini kita tengok terhenti. Saya tidak tahun apa masalahnya. Yang penting isu ini akan menjadi isu utama bagi saya sekiranya diberi mandat dan amanah oleh warga Paya Rumput pada 20 November ini,” katanya.

Menurut beliau, masalah tali air dan banjir itu boleh diselesaikan dengan menghubungi agensi berkaitan dan beliau akan memastikan perkara tersebut diselesaikan segera.

Selain itu, Shamsul juga bertemu seorang penduduk tempatan yang mengadu masalah dihadapi kampung berkenaan setiap kali hujan lebat.

Menurut penduduk itu hujan dalam masa sejam biasanya menyebabkan banjir kilat dan menyukarkan kehidupan mereka.

“Kalau hujan lebat sangat akan banjir atau hutan satu jam akan banjir. Berlaku dalam setahun ini.

“Projek (mendalam tali air) baru dua bulan, tetapi tak siap siap lagi,” katanya.

Sumber: https://www.suarakeadilan.my/post/calon-dun-paya-rumput-janji-selesai-masalah-banjir-di-bukit-datuk