Siapa calon pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor?

Selepas kematian Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, spekulasi calon yang akan bertanding di kerusi itu bertiup kencang sama ada di pihak Pakatan Rakyat (PR) mahupun Barisan Nasional (BN).

Walaupun Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Noh Omar meminta tiada sebarang spekulasi dibuat berhubung calon BN di kerusi tersebut, perkara itu terus menjadi sebutan.

Nama bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Mohd Taib turut disebut-sebut calon layak untuk bertanding jika MIC dengan rela hati membenarkan UMNO bertanding di kerusi itu.

Tetapi, adakah MIC akan memberikan kerusi Hulu Selangor kepada UMNO?

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu yang sejak awal lagi mahu Timbalan Presidennya, Datuk G Palanivel bertanding di kerusi tersebut.

Malah, Samy menolak dakwaan bahawa para pengundi di Parlimen Hulu Selangor tidak berminat dengan calon daripada MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Ia adalah kerusi MIC sejak tahun 1990 dan termaktub melalui persefahaman antara parti komponen BN seperti yang dinyatakan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan beliau kelmarin akan mendengar ‘denyut nadi rakyat’ untuk pilih calon.

BN katanya akan membuat kajian segala perkembangan dan yang penting adalah kemenangan untuk BN.

Belum sempat kajian dibuat, beberapa NGO politik di kawasan Hulu Selangor menolak cadangan agar MIC bertanding di kawasan itu.

Mereka mahu calon UMNO bertanding untuk menentang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka mahu calon tempatan yang juga generasi muda antaranya bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Harumaini Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Isa Abu Kasim.

Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), nama yang mula diperkatakan ialah Syed Shahir Syed Mohamud (Timbalan Pengerusi PKR Selangor), Dr Badrol Amin Bahrom (Naib Ketua Perhubungan PKR Selangor), Datuk Zaid Ibrahim (Penyelaras Pakatan Rakyat), dan Datuk Dr Halili Rahmat (Bendahari PKR cabang Hulu Selangor).

Manakala Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Rebin Birham mencadangkan Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin untuk bertanding di kerusi tersebut.

Turut disebut nama Datuk Ismail Kamus yang tewas di tangan di Palanivel pada PRU 2004 untuk bertanding kerana sebelum PKR, Pas telah bertanding di kerusi tersebut.

Namun, walau siapa calon yang disebut-sebut, walau sebanyak mana pun spekulasi dibuat, ia adalah keputusan pucuk pimpinan kedua-dua parti.

Oleh itu, siapa calon yang dimahukan penduduk Hulu Selangor? Tepuk dada tanya selera.

Pejabat Ketua AMK