KERAJAAN PN TIADA MAJORITI, ANWAR UMUM MEMPUNYAI MAJORITI AHLI PARLIMEN

September 23, 2020

Bismillah Ar-Rahman Al-Rahim
As-salamu alaikum wa rahmatullahi wabarakaatuhu

Dan salam sejahtera

Terima Kasih saya ucapkan kepada semua rakan media tempatan dan antarabangsa yang hadir walaupun jemputan dikeluarkan dalam tempoh yang singkat.

Rakyat Malaysia berhak mendapatkan sebuah kerajaan yang kukuh dengan kepemimpinan yang cekap dan yakin, untuk mengurus krisis ekonomi dengan bijaksana dan tuntas. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyelamatkan negara ini daripada menghadapi kemelesetan ekonomi yang dibimbangi boleh menimbulkan ketegangan hubungan kaum.

Alhamdulillah kini saya telah mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan daripada Ahli Ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong. Ingin saya nyatakan di sini majoriti yang menyokong saya ialah Ahli Parlimen Melayu dan Islam.

Untuk maklumat semua, sebenarnya saya telah diperkenankan untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kelmarin, Selasa 22 September jam 11 pagi, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Baginda kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara.
Kendati begitu, melalui perbualan telefon malam Selasa lalu saya telah mendoakan aa’fiah buat Kebawah Duli Tuanku.

Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh. Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang terdekat, Insha’Allah.

Pentadbiran ini pastinya mewakili semua rakyat, dengan majoriti Melayu-Bumiputra dan perwakilan saksama semua kaum di negara ini. Kami tetap menjunjung prinsip-prinsip perlembagaan yang mengiktirafkan kedudukan Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputra disamping jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaum lain.

Akhir sekali, saya memohon seluruh rakyat supaya bersabar dan mendoakan kesembuhan segera Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Saya berjanji akan membentuk sebuah kerajaan dengan tatakelola berintegriti dan komited untuk menangani krisis yang melanda negara; menghentikan amalan rasuah dan membela nasib rakyat.

InshaaAllah saya akan tunaikan janji saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, aman dan adil untuk seluruh rakyatnya.

Terima Kasih.

ANWAR IBRAHIM

Ketua Bahagian PPBM Kuala Krau Sertai PKR, Selamat Datang! – Shamsul Iskandar

Kenyataan Media
10 Ogos 2020

Saya ingin mengalu-alukan penyertaan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kuala Krau Mohd Rafidee ke dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersama-sama 200 ahli mereka.

KEADILAN percaya beliau selaku mantan calon parlimen Kuala Krau telah membuat keputusan tepat meninggalkan BERSATU yang sudah menyimpang daripada matlamat perjuangan asal menentang kleptokrasi sekaligus mengkhianati mandat rakyat pada PRU14.

KEADILAN sebagai parti berbilang kaum sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bersama terlibat dalam perjuangan memartabatkan hak rakyat, ekonomi yang saksama, menegakkan keadilan dan melakukan perubahan institusi serta sistem dalam negara.

Di samping itu, penyertaan saudara Rafidee akan memperkukuhkan lagi Pakatan Harapan di kawasan Kuala Krau yang kini diwakili oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri dan juga negeri Pahang. Pastinya ide dan khidmat beliau diperlukan dalam ikhtiar untuk merampas kerusi tersebut.

KEADILAN sekali lagi mengucapkan selamat datang kepada Saudara Mohd Rafidee bersama 200 bekas ahli Bersatu Kuala Kurau ke dalam keluarga besar KEADILAN.

Masanya sudah tiba
Bersatulah demi Reformasi !

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat